Cerita kanak-kanak
Tajuk : Unikorn si haiwan magis
Pada zaman dahulu, di sebuah negeri yang dipenuhi magis, tinggallah seekor haiwan yang indah rupanya serta berakhlak baik, iaitu si kuda pelangi yang bernama Momo. Momo suka menolong mereka yang memerlukannya tanpa mengira status haiwan tersebut. Momo memiliki sepasang sayap berwarna putih, manakala badannya dihiasi dengan warna-warna indah pelangi. Bulu-bulunya terasa gebu seperti kapas. Walaupun memiliki rupa paras yang mengagumkan, Momo tidak bertindak sombong mahupun menunjuk-nunjuk.
Pada suatu hari yang cerah, Momo pergi bersiar-siar ke taman yang dipenuhi bunga untuk menghirup udara segar setelah menghabiskan masa di rumah pokoknya. Sewaktu dia sedang leka baring di atas rumput yang seakan-akan karpet, dia terdengar suara rakan karibnya, itik, meraung kesakitan tidak jauh daripadanya. Momo segera terbang menuju ke arah bunyi itu dan mendapati itik sedang menahan sakit di bawah pokok ceri yang rendang.
“Apa yang tidak kena dengan kamu, wahai itik? Ada apa-apa yang boleh aku bantu untuk mengurangkan kesakitanmu?”, Momo bertanya dengan lembut dan ramah.
“Kaki aku luka kerana tersadung akar pokok tadi. Mujurlah, kamu di sini. Tolonglah. Lakukan apa sahaja supaya luka ini segera sembuh.”, mendengar nada merayu dalam suara itik, Momo mula mengeluarkan air matanya yang berwarna merah jambu. Kemudian, dia menghalakan kepalanya untuk membiarkan ia menitis di atas luka itik tadi. Tidak lama kemudian, darah-darah mula mengering dan luka tadi kembali sembuh.
“Terima kasih, wahai Momo. Sungguh aku amat menghargai pertolonganmu.”, kata itik sambil menghadiahkan senyuman. Momo meminta diri untuk beredar kerana ingin bermandi-manda di kawasan air terjun yang tidak jauh dari situ. Dia pun melebarkan sayapnya lalu mula terbang dengan hati yang gembira.
Ketika terbang di langit yang biru dan berbau harum, Momo terlanggar segumpal awan yang kelihatan seperti kapas. Awan itu menangis dengan sekuat hati. Momo segera memohon maaf kerana dia tidak sengaja melanggarnya.
“Tidak mengapa. Aku bukan menangis kerana kamu ! Aku kecil hati dengan sikap sahabatku yang mula berubah. Aku tidak mahu kehilangan sahabat yang dahulunya begitu baik terhadapku. Aku kecewa ! Kecewa ! Kecewa !”, awan tadi kembali menangis sekuat hati tanpa mempedulikan Momo.
Momo mula terbang mendekati awan tersebut. Dia cuba membelai awan yang gebu itu lalu berkata, “Wahai awan, cuba kamu baiki kembali persahabatan kamu dan dia. Saya percaya jika kamu berdua saling memahami antara satu sama lain, pasti ia tidak akan goyah ! Jangan berputus asa dan baikilah dengan sedaya upayamu.”
Awan cuma mengangguk kemudian dia bergerak menjauhi Momo. Momo kembali terbang menuju ke kawasan air terjun yang dikatanya tadi. Setelah dia semakin hampir, dia terus terbang menjunam ke bawah dan mendarat dengan selamat. Dia menghampiri air tersebut dan mula minum untuk menghilangkan kehausan serta kepenatan yang dirasainya.
Air terjun yang rasanya seperti air coklat memberikan kesegaran kepada Momo. Momo kemudiannya beralih ke sebuah pokok strawberi lalu mengambil sebiji buah strawberi dan memakannya. ‘ Ah, sedap !’, itu yang dirasainya ketika itu.
Dia terus makan beberapa biji buah strawberi yang ranum dengan laju. Tiba-tiba kedengaran bunyi tangisan halus tetapi nyaring dari pokok strawberi di sebelahnya.
“Kenapa dengan kamu, pokok strawberi?”, Momo menghampiri pokok tersebut dan bertanya dengan penuh rasa simpati.
“Momo, tolonglah siramkan air kepadaku. Sudah lama aku manahan kehausan.”
Tanpa membuang masa, Momo mengambil segelas air lalu menyiramkannya ke atas pokok strawberi tadi. Melihatkan pokok itu kembali tersenyum, Momo meminta diri untuk beredar ke hutan yang dipenuhi pokok buah-buahan untuk membawa balik sedikit buah ke rumahnya. Dia kembali terbang ke langit biru dan tanduknya bersinar apabila terkena cahaya matahari.
Setibanya dia di hutan itu, dia terus terpesona melihat buah-buahan yang ranum di situ. Momo terus memetik beberapa buah-buahan dengan senang hati. Sedang asyik dia memetik, bahunya dicuit dari belakang. Rupanya seekor beruang comel dan air mata yang membasahi wajah beruang itu.
“Momo, adakah awak ada terlihat anak saya di mana-mana ? Sudah dua jam saya mencarinya tetapi tidak jumpa. Saya sangat risau akan keadaannya.”, beruang itu mengesat air mata yang sedang mengalir dengan tangan gebunya.
Momo meminta beruang itu untuk bersabar. Momo terbang mencari anak beruang itu di merata tempat dan akhirnya, dia membawa pulang anak beruang itu kepada ibunya.
“Terima kasih, Momo. Kamu sangat membantu.”, Momo hanya tersenyum lalu beredar untuk pulang ke rumahnya. Hari pula sudah hampir senja, Momo sangat gembira kerana dapat menolong rakan-rakannya.