Home Novel Thriller/Aksi Leluhur (Sudah Terbit)
Leluhur (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:24:10
7,726
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 2

JIWA Sarah semakin tidak keruan. Dia tahu, dia tidak keseorangan ketika ini. Ada sesuatu di lorong itu. Matanya meliar memandang sekitar dan nafasnya menderu kencang. Bau busuk tadi semakin kuat. Hujan pula turun semakin lebat seolah-olah tahu hatinya dibanjiri ketakutan. Sarah cuba sedaya upaya mengangkat kakinya, tetapi tidak seinci pun mampu digerakkan.

'Apa yang dah jadi ni? Ke ... kenapa kaki aku tak boleh bergerak?'

Salakan anjing bersahut-sahutan. Suara ketawa tadi kembali bergema. Sarah menggigil ketakutan. Air matanya mengalir tanpa henti.

"To ... tolong, tolong jangan ganggu aku," rayu Sarah dengan suara tertahan-tahan.

"Panganan ..."/"Makanan ..." Terdengar kata-kata itu dibisikkan di tepi telinga kirinya.

Tersentak Sarah! Serta-merta dia berpaling ke kiri. Dia tidak melihat sesiapa pun di situ.

'Su ... suara siapa tadi? Aku dengar ada orang berbisik di tepi telinga aku,' getus Sarah.

'Aku ... aku kena tinggalkan tempat ni!' tekad Sarah.

Dia cuba mengawal ketakutan. Nafas ditarik dalam-dalam. Dia cuba mengaut sisa-sisa keberanian yang masih ada dalam dirinya.

"Ya ALLAH ... tolong aku! Sesungguhnya, aku memerlukan pertolongan-MU. Tolong bebaskan kedua-dua kaki aku ini, tolong Ya ALLAH," rayunya bersungguh-sungguh dengan linangan air mata.

Bagaikan satu keajaiban, Sarah terasa kedua-dua kakinya tidak melekat lagi di atas jalan.

'Kaki aku,' getus Sarah.

Sebaik sahaja dia merasakan kakinya sudah bebas, dia segera berlari. Dengan seluruh tenaga, dia memecut laju menuju ke arah hujung lorong.

'Aku dah bebas,' bisiknya dengan rasa lega.

Baru beberapa meter dia berlari, tiba-tiba terdengar bunyi derapan kuat. Tumit kasut tingginya patah. Buku lalinya terkehel dan dia jatuh berguling di atas jalan. Sarah meraung sekuat hati. Dia menggelupur kesakitan. Kedua-dua tangannya menggenggam buku lali kiri.

"Argh! Sakitnya!" raung Sarah.

Kesakitan itu menjalar ke seluruh tubuhnya. Sambil mengetam bibir, dia melihat buku lali kirinya mula membengkak. Rasa sakit berdenyut-denyut.

"Aduh, aduh sakitnya! Mak ... sakit," rintih Sarah dalam tangisan.

Suara jeritan Sarah langsung tidak didengari oleh para pemandu teksi yang berada di hentian itu. Ada sesuatu yang menyekat suara Sarah daripada sampai ke telinga mereka. Sedang Sarah bertarung melawan kesakitan, terdengar suara.

"Iara? Tresnaku ...."/"Sakit? Sayangku ...."

Sarah berpaling ke belakang. Tersentak Sarah apabila melihat beberapa meter di belakangnya ada satu susuk tubuh sedang berdiri di tengah lorong. Susuk itu merenung tajam ke arahnya, namun keadaan yang gelap membataskan pandangan Sarah.

'Si ... siapa tu?' Sarah tertanya-tanya dalam hati.

Sarah mula merasakan perubahan di lorong itu. Aura menyeramkan mula menguasai tempat itu. Perlahan-lahan bulu romanya tegak berdiri. Rasa seram itu membuatkan dia terlupa pada kesakitan di kakinya. Dengan tidak semena-mena sejalur pancaran kilat muncul diikuti paluan guruh yang kuat.

Sarah menutup kedua-dua telinganya sambil memejamkan mata. Sebaik sahaja dia membuka mata, Sarah terkaku apabila mendapati ada dua lagi susuk tubuh muncul di sisi susuk tubuh tadi. Ketiga-tiga susuk tubuh itu merenung tajam ke arahnya. Menggigil tubuh Sarah apabila melihat cahaya merah terbit dari mata mereka.

'Aku ... aku mesti tinggalkan tempat ni!' luahnya dalam hati.

Sambil menahan kesakitan, dia cuba bangkit berdiri. Dia sedar nyawanya dalam bahaya.

'Tahan Sarah! Tahan,' gumamnya sambil meringis menahan sakit.

Pada masa yang sama, salah satu makhluk itu berjalan ke arah Sarah. Sarah menjadi tidak keruan, bagai terhenti degupan jantungnya apabila susuk tubuh itu berdiri di bawah salah satu tiang lampu. Cahaya lampu jalan itu menyuluh wajah susuk tubuh itu. Sarah melihat makhluk itu adalah seorang lelaki tua. Kedutan jelas kelihatan pada wajahnya yang pucat lesi.

"Ha ... hantu," luah Sarah dengan tubuh menggigil kuat.

"Ayo Gusti! Panganan wisana ing ngarep. Seneng korban pisanan kita,"/"Ayuh Gusti! Makanan sudah di depan mata. Nikmatilah mangsa pertama kita," luah salah satu daripada makhluk itu.

Sarah mengerutkan kening mendengar kata-kata itu. Dia tidak faham apa yang lelaki itu katakan. Lelaki tua berwajah pucat itu merenung Sarah dengan tajam. Dia membuka luas mulutnya. Terkaku Sarah melihat barisan gigi-gigi runcing di dalam mulut lelaki itu. Lidah lelaki tua itu terjelir panjang dan meliuk-liuk seperti seekor ular.

Sarah sudah tidak keruan. Dia cuba berlari meninggalkan tempat itu. Malangnya baru sahaja dia melangkah tiba-tiba dia menjerit kesakitan. Dia memegang paha kirinya sambil memandang buku lali yang sudah lebam dan membengkak. Dia terlupa kecederaan pada kakinya.

"Aduh! Sakitnya," rintih Sarah. Dia melihat lelaki tua itu semakin menghampirinya.

'Aku ... aku mesti tinggalkan tempat ini,' tekadnya.

Sarah menarik nafas dalam-dalam. Dengan sisa-sisa kekuatan dan keyakinan, dia mula melangkah perlahan. Mata dipejam. Bibir digigit menahan sakit. Dia sedar nyawanya lebih penting daripada segalanya. Langkahnya diatur satu demi satu.

'Tahan Sarah, tahan! Kau mesti sampai ke hujung sana.' Dia cuba menguatkan tekad.

Langkah yang diatur semakin lama semakin laju, dia sudah mula mendapat rentak. Kesakitan kakinya telah dapat diatasi. Ketakutan telah membunuh kesakitan. Di hujung lorong, dia melihat ada beberapa orang pemandu teksi sedang leka berbual.

"To ... tolong ... tolong!" jerit Sarah sekuat hati.

Dia cuba menarik perhatian pemandu teksi itu, tetapi malangnya jeritannya tidak dipedulikan. Berkerut dahi Sarah apabila melihat kumpulan lelaki itu tidak menghiraukan jeritannya.

'Apa yang dah jadi? Kenapa mereka tak pedulikan jeritan aku? Adakah mereka tidak dengar? Mustahil! Jarak mereka tidak terlalu jauh dari aku, malah aku dapat mendengar perbualan mereka,' getus Sarah dalam hati.

Dia menyedari ada yang tidak kena. Sarah mempercepatkan langkahnya. Semakin lama semakin dia menghampiri hujung lorong itu. Kelegaan mula menguasai diri.

'Taubat aku tidak akan lalu lagi jalan ni, cukuplah sekali,' katanya dalam hati.

Dalam beberapa meter hendak sampai ke penghujung jalan, tiba-tiba terdengar sambaran angin yang kuat di belakangnya. Ketika itu terdengar satu suara halus dan lembut berbisik di tepi cuping telinganya.

"Ngendi sampean pengin pindhah?"/"Mana kau mahu pergi?" tanya suara itu.

Sarah tersentak. Ketika itu juga tubuhnya seolah-olah dibalut sesuatu. Sarah terkejut apabila melihat pinggangnya dibaluti sehelai kain yang entah datang dari mana. Susuk yang memegang kain selendang yang membalut tubuh Sarah menyentak kain itu. Sarah melambung ke belakang lalu jatuh berguling. Dia meraung kesakitan.

Suara tawa bergema. Sarah jatuh tidak jauh daripada lelaki tua berwajah pucat itu. Dengan satu senyuman sinis, dia menghalakan tangan kirinya ke arah Sarah.

Sarah terasa seperti lehernya dicengkam sesuatu. Dia memegang lehernya. Tubuhnya terapung-apung di udara, dia menggelupur kesakitan. Dia tidak tahu apa yang mencengkam lehernya. Matanya melihat ke arah lelaki tua itu. Dia melihat lelaki itu sedang mengangkat tangan kirinya dan seolah-olah jari-jemari lelaki itu mencengkam sesuatu.

Dengan senyuman sinis, lelaki itu membaca manteranya. Perlahan-lahan tubuh Sarah melayang ke arah lelaki itu. Sarah sudah ketakutan dan cuba melepaskan diri, tetapi tidak berjaya.

"Kowe tidak akan dapat meninggalkan tempat ini!" luah lelaki tua itu dengan nada menakutkan.

Sarah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Seluruh tubuhnya terasa lemah. Cengkaman jari-jemari lelaki itu begitu kuat. Kini, Sarah dapat melihat wajah lelaki tua itu dengan jelas. Matanya yang merah menyala begitu menakutkan. Lelaki itu melepaskan kuasa cengkamannya. Sarah jatuh ke tanah.

"Tolong ... tolong jangan apa-apakan aku. Tolong lepaskan aku," rayu Sarah.

"Lepaskan kowe? Itu sesuatu yang mustahil," ujar lelaki tua itu.

Sarah berpaling memandang ke hujung jalan. Dia berharap kumpulan pemandu teksi itu menyedari apa yang berlaku kepada dirinya.

"Kau harap mereka tahu apa yang kau alami ketika ini? Mereka tidak boleh melihat dan mendengar apa-apa! Seluruh tempat ini sudah aku pasung dengan kuasa aku. Suara jeritan dan tangisan kau tidak akan didengari sesiapa pun," jelas lelaki tua itu.

"Tuan ... tolonglah lepaskan aku. Aku akan berikan apa sahaja yang aku ada. Katakan apa yang tuan mahu?" rayu Sarah.

"Aku luwe!"/"Aku lapar!" luah lelaki tua itu lagi.

Sarah mengerutkan kening. Dia tidak faham apa yang lelaki tua itu katakan.

"Aku tak faham apa yang tuan cakap! Apa yang yang tuan mahu?" tanya Sarah lagi.

"Aku mahu nyawa kau!" beritahu lelaki tua itu sambil mendepangkan kedua-dua tangannya.

Tersentak Sarah apabila melihat dari hujung jari-jemari lelaki itu muncul perlahan-lahan kuku panjang dan runcing. Belum sempat Sarah berbuat apa-apa, lelaki itu menyerbu ke arahnya. Kepantasan lelaki itu tidak dapat dibayangkan lagi.

"Sampean korban sandi pisanan,"/"Kau mangsa aku yang pertama," bisik lelaki tua itu sepintas lalu.

Lelaki tua itu melepasi tubuh Sarah seperti bayangan. Dalam sekelip mata sahaja dia sudah berdiri beberapa meter di belakang Sarah. Dia berpusing ke arah mangsanya. Sarah masih berdiri terpaku tidak bergerak. Perlahan-lahan lelaki tua itu mengangkat tangan kirinya. Ada sesuatu berdenyut-denyut dalam genggaman tangan lelaki itu. Kelihatan darah menitis dari tangannya. Dengan rakus lelaki itu memamah benda yang berada di dalam genggamannya.

"Enak banget,"/"sedapnya," luahnya.

'Apa yang telah berlaku? Apa yang terjadi?' tanya Sarah kebingungan.

Ketika itu, dia terasa perit di dada. Sarah menunduk memandang ke dada. Terperanjat besar Sarah apabila melihat dadanya sudah lompong.

Saat itu juga, kepalanya jatuh bergolek di atas jalan, tubuhnya berdiri kaku tidak bergerak. Matanya terbuntang besar, mulutnya terbuka luas. Dia tidak percaya dengan apa yang terjadi. Pada saat-saat akhir itu, dia melihat tubuhnya masih berdiri tegak tanpa kepala. Darah membuak-buak keluar dari tunggul leher dan dadanya.

"Ke ... kepala aku," luah Sarah lalu pandangannya mulai kelam.

Lelaki tua itu ketawa berdekah-dekah. Hujan semakin lebat menimpa bumi. Tubuh tanpa kepala itu rebah lalu menggeletik beberapa kali. Dia berjalan ke jasad Sarah sambil menjilat-jilat bibirnya. Dua susuk tubuh melayang di udara lalu perlahan-lahan mendarat di sisi lelaki tua itu.

"Aku luwe,"/"Aku lapar," luah salah seorang makhluk yang baru muncul.

Susuk tubuh yang besar itu memandang darah yang masih memancut daripada tunggul leher Sarah. Dia menjilat-jilat bibirnya dengan penuh nafsu.

"Kula tahu kowe berdua sudah lama kelaparan. Ayuh! Nikmatilah habuan pertama kowe. Lepaskan dahaga yang lama tersimpan," ujar orang tua itu.

Mendengar kata-kata lelaki itu, kedua-dua susuk tubuh yang baru muncul itu terus menyerbu tubuh Sarah yang terbaring kaku. Hujan terus mencurah-curah. Semua pemandu teksi yang berada di hentian itu tidak menyedari ada nyawa yang telah terkorban.

Masa terus berlalu, tubuh Sarah terbaring kaku. Ketiga-tiga susuk tubuh yang membunuh Sarah sudah hilang entah ke mana. Keadaan terus senyap dan sunyi.

Dalam kegelapan terdengar bunyi jalan diketuk bertalu-talu. Kabus hitam muncul dengan tiba-tiba. Dari dalam kabus itu, muncul sesusuk tubuh. Seorang lelaki yang sangat tua serta bongkok, wajahnya berkedut seribu, matanya terperosok dan ada cahaya kejahatan pada matanya. Di tangannya ada sebatang tongkat. Dia berjalan menghampiri kepala Sarah yang terpenggal.

"Akhirnya ... mereka sudah kembali seperti dijanjikan. Aku datang untuk menuntut hak aku!" luah orang tua itu sambil mengangkat tongkatnya yang berukir kepala lembu.

Dengan serta-merta hujung tongkat kayu itu terbakar dengan api kemerah-merahan. Hujung tongkat yang terbakar itu kemudian dilekapkan pada dahi mayat. Terdengar bunyi desiran seperti besi panas dituang air, perlahan-lahan sejalur cahaya berwarna keperakan terbit dari dahi Sarah lalu merayap melingkari hujung tongkat itu.

Cahaya keperakan itu menjalar memanjat tongkat lalu meresap masuk ke dalam ukiran kepala Lembu itu. Selepas cahaya kehidupan itu disedut, tongkatnya diangkat dan jelas kelihatan di dahi wanita itu satu ukiran.

"Anakku ... terima kasih kerana menjadi pembuka jalan. Ia satu pengorbanan untuk satu kebangkitan. Masa akan menentukan bila akan bangkit semula Tuan Teragung. Dunia akan kembali bergolak dan tergempar," luahnya penuh makna.

Orang tua bongkok itu ketawa dengan kuatnya. Dia menghentak hujung tongkatnya di atas jalan. Terpancar percikan api lalu tubuhnya bertukar menjadi gumpalan asap hitam. Gumpalan asap itu melayang hilang dalam kegelapan malam. Lorong itu menjadi sepi semula.

Mata Sarah terbuka luas. Kelihatan setitis air mata mengalir perlahan.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.