Home Novel Thriller/Aksi Leluhur (Sudah Terbit)
Leluhur (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:24:10
7,727
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 3

7.45 pagi, Lorong Pekaka

SIANG menjelma usai malam berlalu. Pagi itu tidak seperti pagi hari-hari sebelumnya. Di lorong yang tidak pernah dihiraukan, kini dipenuhi ramai orang. Sekumpulan anggota polis lengkap beruniform biru gelap sibuk mengawasi sekitar tempat itu. Wajah mereka kelihatan tegang dan serius.

Kejadian hari ini benar-benar menggemparkan. Orang ramai tolak-menolak. Mereka mahu melihat apa yang terjadi di lorong sempit itu. Dari jauh, mereka melihat di tengah-tengah lorong ada plastik hitam menutupi sesuatu. Berita pembunuhan kejam seorang GRO kelab malam mula tersebar.

"Tuan ... tuan ... apa yang dah jadi dalam tu?" tanya salah seorang daripada orang ramai yang berada di situ.

Koperal Bahar menjeling ke arah orang yang bertanya. Wajahnya jelas kurang senang dengan pertanyaan itu.

"Tuan! Ada orang mati ke?" tanya lelaki itu lagi.

"Itu bukan urusan kau! Kenapa kau sibuk nak tahu? Kau ni wartawan ke? Kau ni polis ke? Dah! Jangan nak sibuk," ujar Koperal Bahar dengan wajah masam mencuka.

Tersentak semua orang yang berada di situ.

"Eh! Tuan ni dah kenapa? Mestilah kami nak tahu. Kami tinggal di sekitar tempat ini. Mana pernah sebelum ini ada pembunuhan seperti ini. Betul ke ada perempuan mati dibunuh?" kata lelaki itu lagi.

"Bukan sahaja kena bunuh, tapi cara dia mati menakutkan. Ada yang kata lehernya kena penggal," tambah rakan lelaki itu.

Semua yang berada di situ memandang lelaki itu.

"Eh! Biar betul? Betul ke ni, tuan?" Orang ramai inginkan kepastian.

Merah padam muka Koperal Bahar. Dia seorang yang cepat marah. Kata-kata yang dia dengar itu mula meningkatkan api kemarahannya. Belum sempat dia melepaskan amarah, bahunya ditepuk seseorang.

"Koperal! Kemarahan akan membunuh diri kau. Sikap pemarah ini akan merendahkan martabat diri kau. Sabar!" nasihat Sarjan Kassim.

Tersentak Koperal Bahar. Dia memandang orang yang memegang bahunya.

"Maaf tuan! Dia orang ni sengaja nak cari pasal," luah Koperal Bahar dengan nada geram.

"Sudahlah! Kau pergi jaga belah sana!" tingkah Sarjan Kassim dengan nada sedikit keras.

Koperal Bahar mendengus lalu berjalan meninggalkan tempat itu. Sarjan Kassim memandang sambil menggeleng perlahan.

"Barannya tak habis-habis."

Sarjan Kassim berpaling memandang ke arah orang ramai. Dia tersenyum lebar.

"Maafkan anak buah saya tu. Dia kurang gemar jika diasak dengan pelbagai pertanyaan," luah Sarjan Kassim dengan nada lembut.

"Tak mengapa, tuan ... kami cuma nak tahu apa yang terjadi dalam tu. Mana tahu jika kami boleh menolong," ujar salah seorang daripada mereka.

"Ya, memang benar ada kematian di sana. Seorang perempuan telah dibunuh awal pagi tadi. Kami tak tahu siapa yang membunuhnya dan apakah motif pembunuhan itu. Kami sedang menyiasat."

"Maknanya memang betullah ada orang kena bunuh. Katanya budak perempuan itu pekerja kelab malam di hujung jalan sana tu," tingkah seorang wanita Cina bertubuh gempal.

"Ya. Mengikut maklumat awal, mangsa memang bekerja di kelab malam tu. Dia mungkin berjalan seorang diri dalam lorong ini. Kami masih tidak tahu kenapa dia menggunakan lorong itu dan ke mana dia mahu pergi. Kami masih belum dapat sebarang bukti pembunuhan. Mungkin ada antara anda tahu apa yang terjadi? Anda boleh berkongsi maklumat dengan kami," luah Sarjan Kassim.

Orang ramai saling berpandangan sesama mereka.

"Kami ... kami tak tahu, tuan. Kami memang jarang guna jalan tu. Dahlah sunyi dan kotor. Tempat itu jadi sarang penagih. Hanya orang gila dan nak mati sahaja lalu jalan tu."

"Betul tu, tuan. Jalan tu jarang orang gunakan. Lagipun kalau malam-malam memang tak ada siapa yang berani lalu jalan tu. Menakutkan!"

Sarjan Kassim memandang ke arah orang ramai. Dia sedar mereka tidak dapat membantunya.

"Tak mengapalah. Kami akan menyiasatnya. Terima kasih. Harap semua tidak masuk ke kawasan ini ya," pesan Sarjan Kassim.

Pada masa yang sama juga beberapa orang wartawan meluru ke arah Sarjan Kassim. Mereka baru sampai ke tempat itu. Masing-masing begitu ghairah untuk mendapatkan berita hangat tentang pembunuhan di situ.

Sarjan Kassim memandang kumpulan wartawan itu. Masing-masing menghulurkan alat perakam ke arah lelaki yang sudah berumur itu.

"Tuan! Boleh tuan kongsikan sedikit maklumat tentang pembunuhan ini? Kami nak tahu, apa yang terjadi dan siapa yang membunuh mangsa?" tanya Bennie Mok dengan wajah teruja.

Sarjan Kassim agak tidak selesa kerana dikerumuni sekumpulan wartawan. Masing-masing menghulurkan alat perakam ke arahnya.

"Kau ni, Bennie memang selalu macam ni. Selalu mendesak aku. Nasib baik kau tanya dengan aku kalau kau tanya dengan bos aku percuma sahaja kena maki. Baiklah ... aku hanya boleh beri sedikit maklumat sahaja kerana siasatan sedang berjalan dan kami masih belum tahu siapa pembunuhnya," luah Sarjan Kassim.

Bennie Mok tersenyum ke arah lelaki tua itu. Mereka sudah kenal cukup lama. Dia tahu Sarjan Kassim tidak akan menghampakan hasratnya.

"Mangsa seorang perempuan yang berumur dalam pertengahan 20-an. Berbangsa Melayu dan bekerja sebagai GRO di sebuah kelab malam. Dia telah dibunuh di lorong itu. Mengikut andaian awal, dia dibunuh awal pagi tadi. Sampai saat ini, kami tak tahu siapa pembunuhnya dan apa motif pembunuhan," terang Sarjan Kassim.

Bennie Mok dan rakan-rakannya menulis dengan pantas maklumat yang dikongsikan itu. Mereka terus bertanya pelbagai soalan lagi kepada Sarjan Kassim. Lelaki tua itu menjawab semua persoalan dengan tenang.

Koperal Bahar yang berada tidak jauh dari situ memandang dengan hati jengkel. Dia memang cukup tidak berkenan dengan para wartawan. Setelah beberapa lama, akhirnya kumpulan wartawan itu berhenti bertanya soalan. Mereka berpuas hati dengan maklumat yang dikongsikan.

"Terima kasih, tuan kerana sudi berkongsi maklumat. Walaupun masih banyak persoalan yang tidak terjawab, sekurang-kurangnya kami ada asas untuk melaporkan berita. Kami akan menanti taklimat penuh daripada pihak polis nanti," luah Bennie.

"Maafkan aku, hanya maklumat itu yang boleh aku berikan. Pembunuhan ini baru sahaja berlaku, masih banyak perkara yang kami tidak ketahui. Kami akan menyiasat dengan bersungguh-sungguh. Kami juga memerlukan bantuan daripada pihak wartawan dalam memastikan pembunuh ini dapat ditangkap. Jika anda semua ada maklumat tambahan, sila berkongsi dengan kami ya," pinta Sarjan Kassim dengan senyuman lebar.

Sarjan Kassim menarik nafas lega apabila para wartawan itu berjalan meninggalkannya. Pada masa yang sama beberapa orang anggota forensik sedang bertungkus lumus mengumpul bukti dan maklumat pembunuhan. Salah seorang anggota unit forensik termenung di hadapan mayat Sarah yang terbaring tanpa kepala. Rasa kasihan dan sedih bermain di benaknya.

'Ya ALLAH! Kejamnya! Aku tak dapat bayangkan bagaimana sakitnya dia menghadapi kematian seperti ini.'

Dia mengeluh berat lalu memeriksa tubuh mangsa. Ketika ini, dia cuba mengesan sebarang benda abnormal yang boleh menjurus ke arah mengesan pembunuh itu. Dia cuba mencari sama ada terdapat kesan cakaran, bulu, rambut atau sebarang tanda lain.

Dia melihat ada beberapa helai rambut pada pakaian mangsa. Dengan segera dia mengambil pengepit lalu mengepit bahan bukti itu dan dimasukkan ke dalam plastik. Dia kemudian mengeluarkan lampu suluh ultra violet lalu menyuluh ke arah tubuh mangsa. Dia menyuluh pada mangsa dan di sekitar tempat itu.

'Pelik! Tak ada sebarang kesan cap jari atau bahan kimia,' getusnya dalam hati.

Pegawai forensik itu tekun memeriksa mayat Sarah, tetapi tidak menemui sebarang bukti pembunuhan. Pada masa yang sama sebuah kereta Honda berwarna putih sampai di tempat kejadian.

Sarjan Kassim memandang ke arah kereta yang diparkir di tepi lorong itu. Sebaik sahaja mematikan enjin kereta, pemandu kereta melangkah keluar. Dia berdiri tegak di sisi keretanya sambil memandang ke arah lorong yang dipenuhi orang ramai.

"Tak guna betul! Pagi-pagi lagi dah ada yang mati. Apa nak jadi dengan dunia ni? Nyawa sudah tidak bernilai lagi," gerutunya.

Dia membetul-betulkan bajunya lalu berjalan ke arah lokasi kejadian. Bennie Mok dan wartawan lain memandang ke arah orang yang baru sampai itu. Mereka rasa teruja apabila melihat susuk tubuh itu. Pegawai polis itu langsung tidak menghiraukan kumpulan wartawan yang sedang memerhatikan dirinya. Dia cukup benci dengan wartawan. Baginya, mereka hanya menyusahkan.

'Mereka bukan peduli pun siapa yang mati. Bagi mereka, mangsa hanyalah berita sensasi untuk melariskan akhbar. Selama ini, mereka hanya menyusahkan kerja aku,' kutuknya dalam hati.

Melihat pegawai polis itu semakin menghampiri mereka, Bennie Mok dan rakan-rakan wartawan yang lain segera menyerbu.

"Se ... selamat pagi, puan. Boleh puan komen tentang apa yang terjadi di lorong sana?" tanya salah seorang rakan Bennie sambil menghulurkan mikrofon ke arah muka wanita itu.

Wanita yang segak beruniform itu menepis mikrofon itu sambil mendengus. Dia berjalan tanpa menghiraukan mereka. Tidak terkesan dengan tindakan pegawai polis itu, wartawan terus mengejar wanita itu.

"Puan ... puan ... tolong komen sedikit dengan apa yang terjadi. Kami mahukan berita! Kami mahu tahu apa yang terjadi di sana. Janganlah sombong sangat," sindir wartawan itu.

"Benarkah si mati dibunuh oleh seorang pembunuh yang kejam? Apa tindakan yang polis akan ambil untuk menangkap pembunuh itu?" tanya lelaki itu lagi.

Wartawan-wartawan yang lain juga bertubi-tubi bertanyakan soalan. Dengan tiba-tiba, dia berhenti melangkah. Para wartawan itu teruja. Mereka membuat andaian wanita itu akan menjelaskan apa yang terjadi. Masing-masing menghulurkan alat perakam suara.

"Kamu semua ni dah kenapa? Tak ada otak ke? Mana etika kamu sebagai wartawan? Kamu hanya memikirkan mahu mendapatkan berita. Kamu mahu laporkan dan tulis dalam surat khabar besar-besar tentang kes ini, kan? Kamu tahu tak di sana itu seorang insan yang dah mati, seorang anak atau mungkin juga seorang ibu. Kamu dapat rasakan perasaan keluarganya ketika ini? Jangan hanya memikirkan kepentingan diri tanpa melihat kepentingan orang lain. Kamu hanya memikirkan berita yang boleh dijual!" makinya dengan nada keras.

Berubah air muka para wartawan itu.

"Dengar sini ya! Saya tak akan berikan apa-apa maklumat! Tugas saya untuk menyiasat kes ini dan menangkap pembunuhnya. Hal yang lain seperti kamu tak penting bagi saya! Lebih baik kamu berambus dari sini!" luah anggota polis itu dengan nada tegas.

Sarjan Kassim dan beberapa anggota polis yang lain tertawa kecil melihat air muka para wartawan itu. Ada yang sudah pucat lesi kerana ditengking dan tidak kurang juga yang kelihatan tidak berpuas hati.

"Padan muka kamu semua! Itulah cari pasal lagi dengan dia," luah Sarjan Kassim.

Kumpulan wartawan itu memandang ke arah pegawai polis yang sudah meninggalkan mereka. Jason Yong yang pertama kali mengikuti tugasan lapangan terkejut dengan apa yang terjadi. Dia yang bertugas sebagai jurugambar memandang rakannya.

"Bennie! Si ... siapa dia tu? Kurang ajar betul," bisik Jason.

Bennie memandang rakannya lalu tertawa. Jason mengerutkan kening melihat reaksi rakannya. Dia melihat wartawan yang lain juga ketawa sambil berlalu pergi. Mereka langsung tidak terkesan dengan apa yang berlaku tadi.

'Kenapa mereka semua ni?' getus Jason dalam hati.

"Kau nak tahu dia siapa? Dialah singa betina. Inspektor Damia Rashdan. Dalam kalangan wartawan kami panggil dia singa betina. Kami dah biasa dan cukup kenal dengan dia. Kalau dengan dia ni memang kena maki percuma sahaja. Dia memang tak suka dengan wartawan. Dia kata kita ni hanya pengacau dan mengganggu tugasnya. Selama aku jadi wartawan tak pernah dia memberi apa-apa taklimat atau wawancara. Kena maki macam tadi banyaklah," ujar Bennie sambil ketawa.

Jason mengerutkan kening. Dia tidak boleh menerima apa yang terjadi tadi.

"Eh! Mana boleh macam tu! Dia itu penjawat awam. Mana boleh cakap kasar macam tu. Wartawan dan pasukan polis kena bekerjasama. Aku rasa kalau kita buat repot pasti dia kena!" luah Jason dengan rasa tak puas hati.

Bennie memandang rakannya sambil menepuk bahu Jason.

"Kau nak buat repot pasal dia? Dahlah ... buang masa saja. Kalau kau nak tahu dia tu antara anggota polis terbaik dalam Malaysia ni. Dalam kalangan wartawan dan anggota polis sendiri kami menghormati kebolehan dia. Kami pun tak mahu cari pasal dengan dia. Setakat maki hamun macam tadi tu perkara kecil bagi kami. Walaupun dia begitu, dia tidak menghalang Sarjan Kassim daripada berkongsi maklumat dengan kami. Malah, Sarjan Kassim banyak mendapat infomasi teknikal daripada dia," luah Bennie.

Pegawai polis wanita itu sudah sampai ke laluan masuk ke lorong itu. Seorang anggota polis berpangkat rendah segera memberi tabik hormat sambil mengalihkan kon yang menjadi penghalang laluan masuk ke situ.

"Selamat pagi, puan!" ucap Konstabel Zamir.

Inspektor Damia terus berjalan masuk ke lorong tanpa menghiraukan anggota polis itu. Berubah air muka Konstabel Zamir apabila langsung tidak dipedulikan.

"Sombongnya perempuan ni!" makinya perlahan.

"Zamir! Kau terasa ke?" bisik rakan lelaki itu sambil tersenyum.

Konstabel Zamir menjeling rakannya dengan wajah kurang senang.

"Berlagak betul dia tu," omel Zamir.

Rakannya tertawa mendengar kata-kata Zamir.

"Dahlah ... kau tak payah ambil hati sangat dengan dia tu. Memang perangai dia macam tu. Berlagak! Tak hormat orang lain. Aku cukup kenal dengan dia tu. Dahlah, orang sombong macam tu buat apa nak layan," pujuk rakan anggota polis itu.

"Tak adalah, Munir ... sekurang-kurangnya angguk cukuplah. Aku bukan nak harap dia balas balik tabik aku. Jika kita mahu dihormati belajarlah untuk menghormati orang lain. Ini buat menyombong macam tu," luah Zamir dengan wajah tidak puas hati.

"Biarlah dia. Orang sombong macam tu tak payah dilayan. Semua anggota polis yang biasa dengan dia cukup kenal dengan perangai dia tu. Malah, pihak atasan pun tahu."

Konstabel Zamir memandang rakannya dengan pelik.

"Kenapa pihak atasan tak ambil tindakan? Bukankah sikap seperti itu memburukkan imej pasukan polis?"

"Kaunak tahu kenapa?" tanya Munir semula sambil memandang Inspektor Damia.

=====

Previous: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.