Home Novel Thriller/Aksi Leluhur (Sudah Terbit)
Leluhur (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:24:10
7,494
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1

Kuala Lumpur, Julai 2022

SAAT ini, dia berdiri sambil memeluk tubuh. Hatinya berbolak-balik. Ada resah yang mencengkam jiwa. Jarum jam di tangannya sudah berganjak ke pukul 2.00 pagi, namun bayangan orang yang ditunggu masih jua belum kelihatan.

'Aku rasa dah kena tipu ni. Dia tak datang nampak gayanya. Kurang ajar Raimi, berani dia tipu aku!'

Telefon bimbit dikeluarkan lalu dia mendail nombor telefon Datuk Raimi. Berulang kali nada telefon berbunyi, tetapi tidak diangkat. Dia merengus, ada rasa kesal bersarang di hati. Harapan yang menggunung sebelum ini hilang dibawa arus.

"Argh! Aku ingatkan malam ini aku akan dapat habuan yang banyak, tapi apa pun tak ada!" rungutnya.

Dia sudah berangan-angan, selepas sahaja memuaskan nafsu lelaki tua itu pasti dia akan mendapat upah yang banyak. Tetapi setelah menunggu berjam-jam, lelaki yang ditunggu tak kunjung tiba. Dia mengeluh sambil memandang bangunan Kelab Malam Happy Garden. Semua lampu di tempat dia bekerja sudah dipadamkan, malah tiada sesiapa lagi di situ kecuali dia.

"Semalam beria-ia dia minta aku tunggu kat sini, tetapi hari ni langsung tak nampak muka. Tak guna kau, Raimi! Kau ingat GRO macam aku ini tak ada perasaan ke? Kau tunggulah nanti."

Sarah menarik nafas dalam-dalam, memikirkan apa yang perlu dilakukan ketika ini.

'Nampaknya, aku terpaksa telefon Mona minta dia datang jemput aku. Pasti dia membebel dengan aku sebab masa dia ajak aku balik tadi, aku kata nak tunggu Raimi,' fikirnya sendiri.

Dengan rasa sebal, dia mendail nombor telefon rakannya. Baru dua kali deringan telefonnya terus senyap. Sarah tersentak, dia memandang telefonnya.

"Aduh, tak guna betul! Masa terdesak macam ni pulak bateri habis!"

Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia mengeluh lalu melangkah ke tepi jalan. Matanya memandang jalan yang kosong. Dia berharap ada teksi yang lalu, tetapi harapannya tinggal harapan.

'Bukan senang waktu macam ini nak dapat teksi.'

Sarah mendongak ke langit yang kelam. Terasa titis-titis gerimis menimpa wajahnya.

"Alamak! Nak hujanlah pulak. Aku tak boleh tunggu lagi. Rasanya aku kena pergi ke hentian teksi di sana," getus Sarah lalu pantas berjalan.

Setelah berjalan beberapa meter, dia sampai di satu persimpangan. Dia memandang kedua-dua simpang di depannya.

'Jalan mana aku nak ikut ni? Jalan kanan agak jauh, tapi tak sunyi. Jalan sebelah kiri jalan pintas, tapi kena lalu lorong belakang bangunan. Mana harus aku pilih?' gumam Sarah dalam hati.

Setelah berfikir beberapa detik, dia berjalan ke arah kiri. Saat ini dalam kepalanya hanya mahu sampai cepat ke hentian teksi. Setelah beberapa lama berjalan, akhirnya dia memasuki lorong sunyi di belakang barisan bangunan lama. Semakin dia melangkah masuk ke lorong itu semakin kuat debaran di dadanya.

Lorong itu begitu gelap dan sunyi. Tiang-tiang lampu berderet, tetapi hanya ada beberapa lampu sahaja yang menyala. Dia mula rasa serba salah. Ada sesuatu bermain di benaknya.

'Ini satu-satunya jalan yang cepat untuk sampai ke hentian teksi.'

Dari jauh, dia dapat melihat hentian teksi itu.

'Masih ada lagi orang di sana,' getusnya dalam hati.

Dia terus melangkah, gerimis sudah bertukar menjadi kasar. Sebaik sahaja sampai di tengah-tengah lorong, tiba-tiba lampu-lampu yang bercahaya malas itu mula berkelip-kelip. Sarah memberhentikan langkahnya. Dia merenung lampu jalan seketika.

'Aduh! dah kenapa pulak lampu ni?' gerutu Sarah.

Sebaik sahaja habis dia berkata begitu, tiba-tiba semua lampu terpadam. Suasana terus menjadi kelam. Ketika itu juga rasa seram mula menjalar. Jantungnya berdegup kencang. Sarah menjadi tidak keruan, dia cuba menenangkan diri.

'Ah! Mungkin masalah litar pintas ni sebab terkena air hujan.'

Dengan tidak semena-mena, angin menderu menampar tubuhnya. Ketika itu juga bau yang sangat busuk menusuk hidungnya. Spontan Sarah menekup mulut dan hidungnya.

'Eh! Bau apa ni? Busuknya macam bau bangkai.'

Matanya meliar mencari dari mana datangnya bau busuk itu. Dia berpaling memandang ke arah pokok besar tidak jauh daripadanya. Seakan-akan terhenti degupan jantung Sarah apabila melihat ada satu susuk tubuh bertenggek di atas salah satu dahan.

Sarah terundur beberapa langkah. Wajahnya pucat lesi, seperti sudah kering darah dalam tubuhnya. Tubuh kurusnya mula menggigil. Dia benar-benar dalam ketakutan. Terasa susuk itu sedang merenung dirinya. Ketika itu juga, dia terdengar suara bisikan.

"Getih ...."/"Darah ...."

Berderau darah Sarah. Suara itu cukup menggetarkan jiwa. Tiba-tiba sejalur kilat memancar diikuti bunyi guruh yang menggegarkan. Lampu-lampu jalan yang terpadam sebelum ini menyala semula. Sarah segera berpaling memandang ke pokok tadi, berkerut dahinya.

'Eh! Mana dia pergi? Betulkah apa yang aku nampak tadi ataupun perasan aku sahaja?'

Nalurinya merasakan ada yang tidak kena. Segera dia mempercepatkan langkah.

'Aduh, menyesal aku ikut jalan ni! Sepatutnya aku ikut jalan depan tu sahaja.'

Semakin laju langkahnya diayun, rasa gerun semakin menjalar. Dia dapat merasakan ada yang tidak kena dengan tempat ini.

"He... he... he..." Tiba-tiba terdengar tawa halus dan tajam.

Tawa itu bergema berulang kali. Sarah menggeletar dan mukanya sudah pucat lesi. Dalam debaran, dia memandang sekitar tempat itu. Namun tiada siapa pun kelihatan.

'Han ... hantu ....' Kata-kata itu terlintas di benaknya.

Sarah menjadi tidak keruan. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu.

'Ayat Kursi!' getus hatinya.

Dia cuba membaca beberapa potong ayat al-Quran. Bibirnya tergagap-gagap menyebut patah-patah ayat suci itu. Dia gagal membacanya. Fikirannya kosong, lidahnya kelu. Dia tidak mampu membaca sepatah ayat pun.

"Aduh! Ke ... kenapa ... kenapa aku tak boleh baca? Kenapa aku tak ingat?" luahnya tidak keruan.

Dia bukanlah terlalu jahil dalam bab agama. Semasa kecil dahulu, dia boleh membaca al-Quran dengan baik. Tetapi kini tiada satu ayat pun yang dia mampu lafazkan. Ayat-ayat suci itu seolah-olah terhapus dalam dirinya lantaran dosa-dosa yang dia lakukan. Kejahilan dan kejahatan telah meleburkan iman dalam dirinya.

"Aduh! Aku ... aku tak ingat. Aku tak ingat," katanya panik.

"He ... he ... he ...." Suara tawa itu sekali lagi kedengaran, kali ini begitu dekat.

'Aku ... aku mesti tinggalkan tempat ini!'

Dia cuba melangkah, tetapi alangkah terkejutnya Sarah apabila mendapati kedua-dua kakinya langsung tidak boleh digerakkan. Kakinya terpaku di atas jalan. Dia sudah tidak keruan. Air matanya mengalir ke pipi.

"Mak... to ... tolong, Sarah."

Previous: Bab 0
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.