Dengan sebatang fountain pen di tangan kanan, Zairi merenung sehelai kertas putih di atas meja sambil tangan kirinya menompang dagu. Dan kertas itu masih bersih tiada sebarang perkataan atau pun huruf.
Teringat semula apa yang terjadi antara diadan Dahlia. Dengan beban kerja yang banyak, membuatkan dia tak boleh nak hadam apa yang Dahlia cakap. Dan banyak hal lagi yang berselirat dalam akal fikirannya.
Tuk! Tuk! Tuk!
Zairi mendongak memandang ke pintu. Julie berdiri di situ.
“Jauh termenung, Encik Zairi,” tegur Julie.
Barulah Zairi bagaikan tersedar. “Eh, taklah.”
Julie melebarkan senyuman.
“Semua insurance staff dah ada, Encik Zairi. Bolehlah kita mula meeting.” Dipandang jam tangannya.
“Housing loan staff pun dah ada semua?”
Julie mengangguk.
“Okey...” Zairi bingkas berdiri malas-malas. Mahu bersiap-siap untuk ke bilik mesyuarat.
“Kenapa ni, Encik Zairi? Lain macam aje hari ni. Penat ke?” Julie dapat mengesan air muka Zairi tak seperti biasa.
Zairi masih terbayang apa yang jadi antara dia dan Dahlia pagi tadi. Membuatkan dia mengeluh berat.
“Biasalah. Encik Zairi mungkin tak biasa lagi kat sini. Dah lama-lama nanti okeylah.”
Mendengar kata-kata Julie membuatkan Zairi hanya meleretkan senyuman tawar.
“Saya kalau nak kahwin nanti, kena cari lelaki yang betul-betul boleh faham kerjaya saya. Yang boleh terima kalau saya balik kerja malam dan kerja weekend. Yang tak merungut. Yang penting dia sentiasa support saya bagi semangat.”
Zairi mengerling Julie. “Dah ada calon?”
Julie hanya mengulum senyuman. Kemudian dia ketawa. “Jom meeting.”
Senyuman Zairi menguntum. Beberapa buah fail di atas meja dicapai. Melihat Julie beredar ke bilik mesyuarat, dia turut mengekori.
Mencurah air pancuran ke tubuh Dahlia. Dibiarkan air sejuk itu menimpa diri seberapa lama yang dia mahu. Kalau boleh dia nak mandi sampai hatinya turut sejuk.
Wajahnya didongak dengan mata terpejam rapat. Air pancuran menghujani wajahnya itu. Tubuhnya sudah mula kesejukan. Tapi dia masih belum puas.
Dan sebenarnya dia sedang menangis di bawah pancuran air itu. Air matanya dibawa pergi bersama air yang pecah ke lantai. Dalam ruang ingatan, dia terbayang pergaduhannya dengan Zairi pagi tadi.
Kata-kata Zairi masih terngiang-ngiang dalam fikiran. Dengan nada suara yang tinggi Zairi menengkingnya. Zairi tak pernah begitu selama ini.
Kenapa aku dapat rasa ada sesuatu yang berbeza pada diri Zairi? Kenapa hati aku rasa ada yang tak kena?
Dahlia membuka mata dan menundukkan kepala. Tangan meraup-raup rambut yang basah. Mata yang kemerahan jelas kelihatan sedikit bengkak. Dia banyak menangis hari ini.
Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi sesuatu. Kedengaran riuh-rendah di luar bilik air itu. Seakan ramai orang berada di dalam biliknya sekarang. Matanya membulat apabila suara riuh-rendah itu kedengaran makin jelas di telinga. Berkerut dahi Dahlia. Kehairanan.
“Ada orang datang rumah ke? Abang Zairi bawa balik siapa ke rumah? Macam ramai aje,” bisiknya pada diri sendiri.
Dia masih waswas. Macam tak percaya. Masih terfikir-fikir.
“Abang Zairi kan kerja. Dia dah balik ke?” Diraup mukanya yang sedang dicurahi air pancuran. Akal masih ligat berfikir. Meneka-neka siapa yang datang ke rumah.
“Kenapa dia ajak orang lain datang rumah tak cakap dengan aku? Apa aku nak jamu tetamu? Dahlah baru mandi. Mata pun bengkak.”
Dia mengeluh panjang. Rasa nak marah pula pada Zairi. Seketika, riak muka nak marah berubah jadi kehairanan kembali. Muka makin berkerut.
Telinganya cuba menangkap bunyi bising itu. Terdengar-dengar suara orang bercakap dan bunyi seolah-olah ada pergerakan melangkah ke sana sini.
“Takkan bawa tetamu sampai masuk dalam bilik? Kenapa tak berbual kat ruang tamu?”
Ya! Tak ke pelik? Dia memasang telinga lagi. Mahu mendengar dengan lebih jelas. Tapi dia tak boleh nak dengar betul-betul apa yang mereka bualkan.
“Abang Zairi dah buang tabiat agaknya. Seganlah aku nak keluar dari toilet kalau tetamu ada dalam bilik. Aduh...” Dihempas nafasnya kuat.
Nak tak nak, dia perlu keluar dari bilik air itu. Dah kecut satu badannya. Dilihat jari-jemarinya yang menggerutu kerana kesejukan.
Lalu, dia mematikan pili air pancuran. Serta-merta air yang mencurah tadi berhenti. Tuala yang digantung di tepi dinding dicapai lantas membalut tubuhnya. Sehelai lagi tuala kecil dibalutkan ke kepala. Rambut yang basah kini kemas dalam tuala itu.
Dipandang wajahnya dari biasan cermin. Mahu melihat mata yang sedikit bengkak itu. Mungkin orang takkan perasan yang dia menangis. Tiba-tiba dia berdiri tegak. Baru dia perasan.
Suara dan bunyi yang tadi riuh-rendah di luar bilik air sudah hilang! Senyap!
Dia mengemam bibir sambil memasang telinga. Benar. Di dalam bilik sudah tiada suara riuh itu. Agaknya Zairi dah ajak mereka ke ruang tamu.
Perlahan-lahan dia membuka pintu bilik air. Apabila pintu terbuka separuh, dia menjengukkan kepala. Memang tiada sesiapa di situ. Barulah dia keluar dari bilik air dengan hanya tuala melilit di tubuh dan kepala.
Dilihat bilik itu kemas seperti sebelum dia masuk ke dalam bilik air. Seolah-olah tiada tanda-tanda ada orang masuk ke situ. Dia terpandang pintu bilik yang terbuka. Cepat-cepat dia mahu menutup pintu itu. Risau andai ada yang ternampak dia hanya bertuala saja.
Saat dia menyentuh tombol pintu, dadanya serta-merta berderau. Dia terkaku berdiri di situ. Rumah itu senyap sunyi!
Terus jiwanya bergemuruh. Lambat-lambat dia keluar dari bilik. Matanya tertancap ke arah ruang tamu. Tiada sesiapa. Hanya kelihatan langsir tingkap beralun ditiup angin.
Ya, rumah itu tiada sesiapa!
Lantas dia bergegas masuk ke dalam bilik semula. Pintu dihempas. Dia mahu bersiap-siap. Kelam-kabut dia dengan tangan menggeletar mencari baju yang mahu dipakai.