Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
122,405
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 18

Sambil duduk di penjuru meja kecil berdekatan mesin penapis air itu, Zairi menyisip sedikit demi sedikit air kosong dari sebiji gelas polister. Tiada sesiapa di situ. Hanya dia seorang.

Selepas meneguk sedikit air, dia mengeluh lemah. Dia tunduk merenung lantai. Wajahnya kosong. Air mukanya jelas tiada riak ceria. Seperti ada sesuatu yang dipendam. Dia mengeluh lagi. Perlahan.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi tapak kasut menghampiri ke arahnya. Tak sempat dia nak bangun, Julie muncul di situ bersama seorang lagi staf.

“Eh, Encik Zairi?” Muka Julie agak kehairanan.

Zairi memandang kedua-dua stafnya itu. Dilihat tangan masing-masing memegang bungkusan makanan. Pasti mahu ke pantri. Lalu, dia cepat-cepat menghabiskan air dari gelas yang dipegang. Dibuang gelas polister itu ke dalam bakul sampah.

“Aik? Takkan lunch minum air aje, Encik Zairi? Air kosong pulak tu.” Julie menegur lagi.

Zairi hanya meleretkan senyuman. Di mata Julie dan kawannya itu, wajah Zairi jelas nampak riak serabut.

Kawan Julie memberi isyarat yang dia mahu ke pantri dahulu. Julie mengangguk. Dipandang kawannya itu masuk ke dalam pantri yang terletak tidak jauh dari situ. Ditoleh ke arah Zairi semula.

“Tak keluar makan ke, Encik Zairi?”

Zairi berdiri sambil mengeluh.

“Kalau nak, kita share. Saya ada beli lebih ni.” Julie menunjukkan plastik yang dipegangnya.

Cepat-cepat Zairi menggeleng. “Seganlah saya.”

“Nak segan apa pulak?”

Barulah bibir Zairi kelihatan benar-benar tersenyum.

“Jom kita makan sekali,” pelawa Julie lagi.

“Awak beli apa?”

Ketawa Julie terhambur. “Encik Zairi ni...” Dia tergeleng dengan sikap Zairi itu.

“Tak... sebenarnya saya tak rasa lapar. Tapi nak tahu jugak apa yang awak beli,” kata Zairi sambil menyauk rambutnya dengan jari. Makin malu dia dengan Julie.

“Ada-ada aje Encik Zairi ni.” Julie ketawa lagi. “Minum air kosong aje mana kenyang.”

“Tak... betul. Saya tak rasa lapar.”

Julie merenung wajah Zairi dengan muka berkerut.

Zairi melarikan wajahnya. Konon-konon memandang ke arah lain.

“Saya tengok Encik Zairi sejak akhir-akhirni asyik termenung aje. Tak suka kerja kat sini ke?” teka Julie waswas.

Terkejut Zairi mendengar soalan itu. “Eh, apa pulak tak suka. Suka... hmm... suka sangat.” Dia mengangguk-angguk dengan muka bersungguh.

Julie tunjuk muka tak percaya.

“Awak ni...” Zairi tolak bahu Julie. Tak mahu gadis itu memandangnya begitu. “Suka menuduh ya?”

“Jangan nak berselindung, Encik Zairi. Saya boleh baca air muka orang. Encik Zairi ada masalah ke?” Julie masih mahu menyelidik. Selagi tak tahu, selagi itu dia tak puas hati.

“Alah... biasalah. Masalah kerja.” Entah kenapa Zairi rasa selesa nak bercakap dengan Julie.

“Ya ke? Ya ke?” Julie meliarkan mata ke seluruh muka Zairi.

Zairi berdekah ketawa. Rasa lucu tengok aksi gadis itu.

“Hei... dia ni. Tak habis-habis fikir masalah. Dah jom kita makan.” Julie menarik lengan Zairi.

“Saya tak laparlah.” Zairi menahan diri daripada ditarik Julie.

“Kalau Encik Zairi tak nak makan dengan kita orang, saya bunuh Encik Zairi.”

Zairi tergamam memandang Julie.

Julie membuka mulut luas-luas. Dia buat gaya seperti sedang mengerkah seekor ayam dengan ganas. Dengan isyarat jari, dia memberitahu yang ayam itu sebenarnya adalah Zairi.

Terus mengekek Zairi ketawa. Julie ni nampak saja lembut, tapi buas juga sampai ada hati nak meratahnya.

“Tak payah nak gelak sangatlah, Encik Zairi. Cepat ikut saya makan.” Julie bercekak pinggang.

“Yalah, yalah...”

Nak tak nak, Zairi mengekori langkah Julie ke pantri. Lebar senyumannya menguntum. Terhibur dia dengan telatah Julie itu.

 

 

Dahlia memegang dua biji gelas berisi air oren di tangan kiri dan kanan. Dia berdiri kaku di situ. Mula timbul rasa menyesal. Tak tahu sama ada tindakannya ini betul atau salah.

Tapi apa yang jadi, dah terjadi. Jirannya itu kini sudah berada di dalam rumah. Dia yang paksa wanita itu masuk. Dan sekarang, dia sangsi dengan keputusannya sendiri.

Dipandang belakang tubuh wanita yang duduk di sofa ruang tamu itu. Melihat rambutnya saja sudah buat dia seram. Sedangkan tadi, entah dari mana datang kekuatan dalam diri sehingga dia tak teragak-agak menerkam wanita itu.

Air liur ditelan. Nak tak nak, dia perlu berdepan juga dengan wanita itu. Ditarik nafas dalam-dalam. Dihembus perlahan dan tenang. Seketika barulah dia melangkah.

Sebiji gelas diletakkan di atas meja kopi betul-betul di hadapan wanita itu. Lalu, dia melabuhkan duduk di sofa bersebelahan sofa yang diduduki wanita itu.

“Minumlah...” pelawanya apabila pandangan mereka bertentangan. Dia cuba mengawal perasaan gemuruh.

Wanita yang berbibir tebal seakan bengkak disuntik tak menjadi itu memandang Dahlia dengan renungan tajam.

Dahlia kegerunan. Bengkak-bengkak di muka wanita itu memang menakutkan.

“Kau nak apa sebenarnya ni?”

Mendengar suara wanita itu, Dahlia makin gementar. “Err... jemputlah minum dulu, kak... err... nak panggil apa ya?” Dia cuba berlagak ramah.

“Nama saya Dahlia.” Dihulurkan tangan untuk bersalaman.

Wanita itu memandang Dahlia tanpaperasaan. Tak dipedulikan huluran tangan Dahlia.

Dahlia menarik semula tangannya. “Hmm... saya minta maaf. Tadi saya berkasar dengan akak... err...”

“Panggil aku Ana.”

“Hmm... Kak Ana. Sedap nama tu.” Dahlia memuji tanpa haluan. Demi menutup rasa gabra direnung Ana, dia menghirup minumannya seteguk.

Pandangan Ana tertumpu ke arah sebuah bingkai gambar yang tergantung di dinding berdekatan dengan televisyen. Lama dia merenung gambar itu.

Dahlia turut mengarahkan pandangan ke bingkai itu. “Err... tu gambar kahwin saya. Nama suami saya... Zairi Uwais.”

Ana kembali memandang Dahlia. Membuatkan Dahlia tak keruan. Sumpah! Cara Ana merenungnya, membuatkan dia seriau. Ditambah lagi dengan wajah wanita itu yang bengkak dan herot.

Dahlia rasa, Ana sebenarnya cantik. Entah kenapa, Ana menyuntik muka yang sudah sedia cantik dengan botox sehingga jadi buruk sebegitu. Sayang sungguh.

“Tak payah jugde aku.”

Tersentak Dahlia. Dia boleh tahu keapa yang ada dalam hati aku? Makin seriau dia dibuatnya.

“Err... saya nak tanya sesuatu. Boleh?” Dialihkan perhatian pada tujuan utama dia membawa Ana ke rumahnya.

Ana tak bereaksi. Wajahnya kosong tanpa perasaan. Tak dipandang Dahlia walau sekilas.

“Hari tu...” Dahlia bersuara lagi. “Kak Ana pernah beri amaran kat saya. Kalau nak tinggal kat sini... kena hati-hati.”

Ana tersenyum senget sambil menghembus nafas sinis.

Dahlia terasa seperti diejek. Tapi disabarkan hati supaya tak naik angin. “Apa maksud Kak Ana sebenarnya?”

Ana yang masih tersenyum sinis menyandarkan tubuh ke sofa dengan selesa. Dihirup minuman dari gelas yang dipegang seolah-olah seorang permaisuri.

“Rumah ni...” Dahlia mengitarkan pandangan sekeliling rumahnya. “Ada yang tak kena ke dengan rumah ni sebelum saya pindah ke sini?” Inilah persoalan yang membuatkan fikirannya berserabut.

Ana mengerling Dahlia sekilas.

“Tolonglah beritahu saya, kak. Tolonglah...” rayu Dahlia penuh mengharap.

Ana melepas nafas panjang. Kemudian dia mendongak ke siling. Seketika dipandang ke kanan. Diperhatikan rumah Dahlia setiap inci.

Dahlia memandang tepat ke wajah Ana menanti kata-kata daripada wanita itu.

“Aku dah tinggal kat sini lima tahun kalau kau nak tahu. Tapi rumah ni...”

Dada Dahlia mula berdebar. Ditunggu kata-kata Ana seterusnya tanpa berkelip mata.

“Rumah ni...” Suara Ana berubah perlahan. “Kau orang pertama tinggal dalam rumah ni.”

Debaran di dada Dahlia makin bergoncang hebat. Maknanya, sepanjang lima tahun rumah ni kosong? Entah-entah lebih dari lima tahun.

“Rumah kalau terbiar kosong lama-lama, kau tahu kan siapa yang bersarang?”

Bagai nak gugur jantung Dahlia. Apa yang dia fikirkan sama seperti apa yang Ana katakan. Jadi... bunyi yang dia dengar, perkara pelik yang berlaku dan ketakutan yang dia alami memang benar-benar terjadi. Bukan igauan atau imaginasi dari mimpi seperti yang Zairi katakan.

“Kenapa? Benda tu kacau kau?”

Dahlia menoleh menatap wajah Ana semula. Soalan itu membuatkan dia benar-benar yakin Ana tahu segala-gala yang berlaku di dalam rumah itu.

“Malanglah nasib kau,” keluh Ana. Seakan mengejek pula.

“Tapi...” Dahlia cuba untuk menidakkan, namun dia terdiam semula. Terfikir. Banyak lagi perkara yang membuatkan dia musykil.

Ana menyengih sinis memandang Dahlia sebelum menghirup minumannya.

“Saya hairan...” Dahlia bersuara semula dengan nada ragu-ragu. “Kenapa kondo ni macam sunyi tak ada orang? Saya tak pernah nampak jiran depan rumah saya. Jiran-jiran level ni pun saya tak pernah jumpa.” Direnung Ana dalam-dalam. “Kecuali Kak Ana sorang.”

Ana mendengus. “Sebab dia orang tak menyibuk macam kau!” balasnya kasar.

“Hidup dia orang cuma kerja, kerja, kerja. Balik rumah bila nak tidur aje. Bukan macam kau! Sibuk nak tahu hal orang.”

Kata-kata Ana membuatkan Dahlia tersentap. Dia bukan nak jaga tepi kain orang. Cuma tertanya-tanya saja. Dia hairan dengan senario begini.

“Mungkin sebab rumah yang kau duduk ni... dia orang jadi takut. Takut nak balik rumah sendiri.”

Dahlia semakin rasa tak sedap hati. Kata-kata Ana ada logiknya. Jiran-jiran yang lain tak berani berlegar di koridor kerana dah tahu tentang rumahnya.

“Jadi... memang betullah rumah ni...” Soalan Dahlia dibiarkan tergantung.

Ana meliarkan pandangan ke sekeliling rumah itu lagi. Setiap sudut yang tercapai oleh matanya diperhatikan.

Tingkah laku Ana jadi tumpuan Dahlia. Dia turut melihat ke arah yang direnung Ana. Ana menunduk, dia turut tunduk. Apabila Ana mendongak, dia turut mendongak sama.

Saat itu kelihatan Ana mengusap-usap lengannya yang terdedah. Seolah-olah sedang keseriauan. Serta-merta meremang bulu roma Dahlia. Rasanya, banyak yang Ana tahu tentang rumah ini.

Sekarang, dia dah tahu rumah ni tak pernah berpenghuni. Dah tentulah ada yang ‘menginap’ di sini. Dan kemudian dia dan Zairi berpindah ke rumah ini. Pasti ‘benda’ itu tak suka tempatnya dikacau.

Dia dah ada hujah yang kuat untuk buktikan pada Zairi. Ya, dia takkan mengalah mempertahankan kebenaran. Zairi perlu tahu semua ini.

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.