Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
122,423
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 10

ZAIRI tersedar daripada lena apabila telefon bimbitnya berbunyi. Dalam keadaan mamai, dia mencapai telefonnya yang terletak di sebelah bantal. Bunyi penggera telefon dimatikan. Jam menunjukkan sudah pukul 6.30 pagi. Dilepaskan nafas panjang sambil menggeliat.

Rasa sekejap saja dia tidur, sudah kena bangun semula untuk ke pejabat. Dalam kegelapan bilik itu dia termenung merenung siling. Penat semalam masih terasa membebani tubuh. Mungkin kerana dia belum biasa lagi menggalas jawatan di sini.

Mungkin seminggu dua lagi dia sudah boleh membiasakan diri. Sekali lagi dia menghempas nafas panjang. Lega rasanya. Bagai dapat menghembus beban yang memenatkan.

Dia berpaling ke sebelah kiri. Di sisinya kosong. Lantas dia duduk berlunjur. Termenung semula. Bagai ada sesuatu yang mengganggu dalam fikiran. Dipandang ke kanan. Dipandang ke kiri. Dia masih mamai.

Tak mahu terus berkhayal, dia terus bangun mencapai tuala. Dia perlu mandi dan bersiap-siap untuk ke pejabat.

 


ZAIRI menyikat rambutnya yang lurus dan berbelah di bahagian tepi sambil bernyanyi-nyanyi kecil. Sesudah mandi, barulah badannya rasa segar semula. Bersemangat mahu ke pejabat kembali walau tahu bertimbun kerja yang sedang menanti.

Banyak lagi yang dia perlu pelajari memandangkan menyandang jawatan sebesar sekarang memerlukan tanggungjawab yang besar juga. Skop kerja juga bertambah. Sekiranya Razak bercuti atau outstation, dia perlu menggantikan tempat bosnya itu.

Haru kalau dia masih lagi terkial-kial dengan tugasnya sendiri. Disebabkan itu, dia berkobar-kobar mahu ke pejabat lebih awal.

Hari kedua bekerja di tempat baru, dia mengenakan kemeja warna kelabu cair dan seluar slack hitam. Baju kot dan tali leher akan dipakai apabila sudah berada di pejabat.

Jam menunjukkan pukul 7.50 pagi. Lantas dia keluar dari bilik. Bau nasi goreng semerbak menyucuk hidungnya. Terus dia jadi lapar. Kelihatan di atas meja sudah terhidang nasi goreng bersama seteko air panas. Malah,ada juga keropok ikan.

Kaki melangkah ke arah dapur. Kelihatan Dahlia sedang mencuci pinggan di singki membelakanginya.

Morning...” sapanya mesra.

Dahlia berpaling. Tatkala melihat Zairi yang sedang membuka peti sejuk, dia tersenyum. “Morning, abang...”

Zairi tak memandang Dahlia. Dia mencari buah epal dari dalam peti sejuk.

“Sebelum pergi kerja, abang makan dulu ya?” suruh Dahlia sambil mencuci kuali dan sudip kotor yang diguna untuk memasak tadi. Tugasnya hampir selesai. Selepas ini, dia mahu menemani Zairi makan bersama.

Zairi mengeluarkan sebiji epal dari dalam plastik. Sesudah itu, barulah dia menutup pintu peti sejuk.

“Saya ada masak lebih tu. Abang nak bawa bekal ke?”

“Tak apalah. Sayang makan ajelah kat rumah. Potongkan epal ni untuk abang, boleh?” Zairi menghulurkan buah itu ke arah Dahlia.

Dahlia yang baru saja selesai mencuci pinggan di singki berpaling menghadap Zairi. Diambil buah epal itu dari tangan Zairi. Mereka bertentang mata.

Saat itu, mata Zairi memandang Dahlia tak berkelip. Bagaikan tergamam. Direnung Dahlia dalam-dalam. Hingga membuatkan Dahlia tersipu-sipu.

“Kenapa abang pandang saya macam tu?”

Zairi tertelan liur.

“Abang...” Dahlia semakin malu. “Kenapa ni? Janganlah pandang saya macam ni.” Dia ketawa.

“Err... err... tak ada apa-apa.” Zairi menyengih.

“Abang makanlah dulu. Saya nak kupas epal ni.”

Zairi terangguk-angguk. Dia beredar ke ruang meja makan.

Dahlia yang masih senyum tersimpul malu, mula memotong buah itu untuk suaminya.
Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.