Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
120,416
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 9

MALAM kian larut. Hampir pukul 10.00 malam, namun Zairi masih belum pulang. Dahlia menanti sambil berbaring di atas sofa sambil menonton televisyen. Penat mengemas rumah siang tadi membuatkan matanya sudah makin layu seawal waktu ini.

Walau sudah puas ditahan, terpejam juga matanya hanyut dibuai lena. Tangannya erat memegang alat kawalan jauh televisyen yang didakap ke dada.

Telefon bimbit terbiar di atas meja. Rumah itu sunyi sepi. Hanya kedengaran suara dari televisyen yang sedang menayangkan filem Hollywood.

Sebenarnya Dahlia tak keseorangan di dalam rumah itu. Ada ‘sesuatu’ yang sedang memerhatikan Dahlia lena di sofa itu. Ia seperti bayangan hitam, namun tak kelihatan oleh mata yang memandang. Bukan juga asap kerana ia tak berbentuk. Cuma kedengaran desahan suara yang seakan menahan kesakitan.

Ia menyelinap ke dalam bilik utama, bilik tidur Dahlia dan Zairi. Menjalar ia di atas katil. Setiap inci bahagian katil itu ia menjalar. Di bantal juga tidak berkecuali. Ia menyusup ke sana sini bagai hilang arah dengan suara mendesah.

Tidak sekadar di situ, ia beralih pula ke setiap ruang di dalam bilik itu. Ke bilik air, ke almari, tingkap, meja solek... semua tempat dia menyusup. Kemudian, ia keluar ke bilik-bilik yang lain. Suara mendesah kesakitan kedengaran lebih kuat.

Ia menjalar dan menyusup tanpa henti sehingga beralih pula ke bahagian dapur dan bilik air. Tidak ada ruang di dalam rumah itu yang tidak dimasukinya. Suara desahan itu kedengaran lebih menggerunkan.

Akhirnya, ia kembali ke ruang tamu. Menjalar ke sana sini bagaikan tanpa tujuan. Di celah-celah langsir tingkap juga ia menyusup hingga ke dinding rumah sebelum menghadap Dahlia.

Tiba-tiba, dada Dahlia yang sedang tidur lena berombak kencang. Turun naik dengan begitu ganas. Dia bernafas kasar bagaikan tercungap-cungap. Seketika kemudian, wajahnya berkerut walau mata masih terpejam. Seolah-olah ada sesuatu yang membuatkan dia takut.

Bayangan kehitaman itu memerhati keadaan Dahlia sambil bersuara mendesah kesakitan. Dilihat Dahlia terteleng ke kiri dan kanan seakan keresahan. Diperhatikan sekujur tubuh Dahlia dari atas hingga ke bawah. Dari bawah kembali semula ke atas.

Sedangkan Dahlia yang sedang tidur itu berasa dirinya ditindih sesuatu. Membuatkan dia tak mampu bernafas. Malah, dia tak berdaya membuka mata atau bingkas bangun daripada pembaringan. Walau dia cuba meronta, tapi seluruh badannya tak boleh bergerak. Mahu menjerit pun tak terkeluar suaranya.

Bayangan kehitaman itu masih memerhati. Ia kemudian perlahan-lahan menghampiri Dahlia agar lebih dekat. Desahannya lebih kuat dari tadi. Dipandang ke arah kaki Dahlia yang kelihatan hingga paras betis kerana kain yang dipakainya terselak. Diperhatikan lama. Lalu ia memegang kaki Dahlia.

Serentak dengan itu Dahlia terjaga. Matanya terbuka dan mendadak dia duduk berlunjur. Tercungap-cungap dia seperti hampir kelemasan. Turun naik dadanya berombak kencang. Dahinya berpeluh. Sedangkan ketika ini kipas siling berputar.

Dia menoleh ke sekeliling rumah. Zairi masih belum pulang. Televisyen masih terpasang. Jam dinding dipandang. Sudah pukul 11.10 malam. Lalu dia mencapai telefon bimbit di atas meja. Tiada mesej atau panggilan daripada sesiapa walaupun daripada Zairi.

Seketika barulah nafasnya beransur-ansur perlahan dan tenang. Namun, mukanya masih berkerut. Masih terfikir, apa yang dia mimpi sehingga tiba-tiba terasa dirinya ditindih sesuatu. Dia tak ingat apa-apa.

Tersandar dia kelelahan. Mata yang tadi terlalu layu kini menjadi segar-bugar. Dia mahu tidur semula sementara menunggu Zairi, tapi tak boleh. Terasa bagaikan ada yang memerhati. Dipandang ke sekeliling. Dia cuak.

Seketika kedengaran bunyi jeriji pintu dibuka dari luar. Beberapa ketika muncul Zairi dari sebalik pintu. Melihat wajah suaminya itu, dia menarik nafas lega.

“Eh, sayang... tak tidur lagi?” tegur Zairi yang kehairanan. “Dah lewat malam ni. Kan abang dah pesan suruh tidur dulu.” Dia menutup pintu rumah.

Dahlia bingkas berdiri menyambut Zairi. “Err... tadi dah tidur. Tapi terjaga balik.”

Zairi mengukir senyuman. “Nak tunggu abang balik jugaklah ni?”

Dahlia ikut senyum. Tak mahu cerita apa sebenarnya yang baru dia alami tadi. Mungkin dia sekadar bermimpi.

“Jom...”

Mereka beriringan masuk ke dalam bilik sambil berpimpin tangan. Sampai di dalam bilik, Dahlia merebahkan duduk di atas katil. Diperhatikan Zairi membuka baju kemeja lengan panjang sebelum melilit tuala ke pinggang dan membuka seluar pula.

“Abang nak mandi dulu. Kalau sayang dah mengantuk, tidurlah.”

Kemudian Zairi menguap. Kalau ikutkan badan yang penat, mahu saja dia terus tidur. Tapi kalau tidur dengan badan berlengas, tak selesa juga.

Dahlia melihat Zairi masuk ke dalam bilik air. Seketika kedengaran bunyi air pancuran. Dia merebahkan diri di atas katil. Cadangnya, mahu menunggu sehingga Zairi selesai mandi. Tetapi sebaik saja kepalanya terletak di bantal, matanya dengan mudah menjadi layu. Perlahan-lahan terpejam dan terus dia diulit mimpi yang panjang.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.