Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
23/4/2015 08:21:20
5,860
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 13

DI kaki langit baru saja terbit jaluran cahaya kekuning-kuningan. Keheningan pagi menyengat kulit Pak Aki ketika orang tua itu memulakan perjalanan menuju ke kebunnya.

Pak Aki mengenakan seluar slack hitam lusuh dan kemeja lengan panjang putih yang juga lusuh untuk turun ke kebun. Dia melangkah dengan penuh hati-hati melangkaui batas ubi kayu yang berbaris di situ.

Suasana pagi itu masih berbalam-balam kerana mentari baru nak muncul. Batang-batang ubi kayu itu sudah mula bertunas. Pak Aki menebarkan pandangan sekali lagi ke arah batang-batang ubi kayu dengan senyuman meleret.

Syukur alhamdulillah, penat lelahnya selama ini telah berhasil. Tak sia-sia berbudi pada tanah. Kebun Pak Aki yang luas empat ekar itu telah diusahakan sendiri dengan tanaman kampung. Ada pokok pisang, ubi kayu, kacang tanah, keledek, sedikit tanaman sayur seperti sawi, bendi, cili padi, terung, jagung dan kangkung untuk keperluan sendiri.

Sejak pencen, Pak Aki hanya menghabiskan masanya di kebun itu. Dapat juga hasil dan dapat menyihatkan badan. Tidaklah membuang masa dengan tidur dan berkunjung ke gerai-gerai kopi untuk bersembang-sembang dengan kawan-kawan yang sebaya dengannya.

Ada sesetengah orang pula selepas bersara hanya duduk diam-diam di rumah. Langsung tak mahu melakukan apa-apa. Terperap saja. Hanya duduk berangan dan layan perasaan di rumah. Bila badan mula berasa sengal-sengal, mulalah mengatakan yang diri tu sudah terlalu tua. Sedangkan usia baru saja mencapai 60 tahun.

Pak Aki mempercepatkan langkahnya. Dia hendak segera sampai ke batas yang baru dibuat semalam. Terletak agak ke dalam dari jalan raya dan bersebelahan dengan hutan. Dia bimbang kalau-kalau batasnya yang baru dipacak dengan batang ubi kayu, diranduk dek babi hutan yang mencari makan pada waktu malam.

Bayu pagi bertiup lembut menyegarkan tubuh Pak Aki. Dia berasa semangat untuk berkebun hari ini. Mangkuk tingkat yang dibekalkan isterinya tergenggam erat di tangan kanan.

Apalah agaknya sarapan yang dibekalkan? Matanya liar memandang sekeliling sambil berjalan menuju ke batas yang dimaksudkan. Di bahu kirinya, tersandar cangkul. Baldi merah kusam yang berisi tuala ‘Good Morning’ tersangkut di hujung cangkul itu. Tuala itu digunakan untuk mengelap peluh.

Tiba-tiba kaki Pak Aki tersandung ranting pokok yang terlunjur di laluannya. Ranting itu betul-betul termasuk ke dalam selipar yang dipakai. Nasib baik ranting itu tidak mencucuk dan menembusi kakinya.

“Hisy, nasib baik tak tercucuk.”

Pak Aki lantas mencangkung menarik keluar ranting kayu itu. Dia melihat sekali imbas ranting itu sebelum dilontarkan ke sisi kirinya dengan agak kuat. Ranting itu melayang jatuh ke dalam semak berdekatan yang agak lebat.

Semasa hendak bangun, Pak Aki terpandang sesuatu yang mencurigakan. Macam bentuk sekujur tubuh sedang tertiarap. Jantungnya tiba-tiba berdebar kencang. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah tubuh yang tertiarap itu. Bayu pagi menampar-nampar lembut pipi tuanya.

“Eh? Apa pulak ni?” tegurnya perlahan.

Pak Aki bingkas bangun dan melangkah berhati-hati menghampiri tubuh itu. Setapak demi setapak dia melangkah. Terbongkok-bongkok meninjau tubuh itu yang tidak bergerak. Hatinya mula rasa tak sedap. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri silih berganti. Dia mula berasa cemas.

“Apa bendanya ni? Takkan patung pulak. Siapa pulak buang patung kat sini? Ingat kawasan ni tempat buang sampah ke?” ucap Pak Aki.

Pak Aki mula terbayangkan patung-patung besar yang selalu digunakan oleh pekedai untuk mempamerkan baju yang dijual di pasar-pasar raya.

Siapa punya kerja ini, buang patung kat kebun aku? Tak ada tempat lain nak buang ke? Rungut Pak Aki, tak puas hati.

Kerana keadaan ketika itu masih lagi kelam, jadi penglihatan Pak Aki tidak berapa jelas. Sekali lagi anak mata Pak Aki merenung tubuh yang tidak bergerak itu dengan penuh tanda tanya.

Lagi 20 langkah, Pak Aki akan sampai ke tubuh itu. Pak Aki meninjau-ninjau dari jauh. Bimbang nak rapat dengan tubuh itu. Buatnya dia bangun dan menerkamnya, seperti dalam cerita Zombi yang pernah ditonton, takkan niaya. Takut tubuh itu makan daging segar.

Tubuh itu langsung tidak bergerak. Pak Aki memerhati dengan teliti kalau-kalau dia boleh nampak pergerakkan pernafasan tubuh itu. Hatinya berbolak-balik.

Orang ke? Atau patung? Tiada sebarang petunjuk yang dapat menyokong tekaan Pak Aki. Sedangkan tubuh itu kaku di situ, tidak bergerak-gerak. Sekali-sekala bayu pagi yang segar menyapa pipi tua Pak Aki lagi.

Sudah lima minit, Pak Aki berdiri di situ namun tubuh itu masih tidak bergerak. Akhirnya Pak Aki memberanikan diri menghampiri tubuh itu.

Dup! Dap! Dup! Dap! Degupan jantung Pak Aki menghentak dinding dadanya. Peluh dingin memercik halus di dahi Pak Aki yang berkerut seribu itu. Cangkul di tangan, digenggam dengan kemas. Erat pegangannya.

Kalau tubuh itu tiba-tiba saja bangun, Pak Aki sudah nekad, terus saja dia menghayunkan mata cangkul itu ke tengkuk tubuh itu tanpa teragak-agak. Keselamatannya harus diutamakan.

Pak Aki sudah semakin rapat dengan lokasi tubuh itu berada. Keadaan sekeliling sudah semakin cerah dan kini Pak Aki telah dapat melihat dengan jelas tubuh yang telah merengut ketenteraman Pak Aki.

Astaghfirullahalazim! Mayat ke ni? Hati Pak Aki menjadi kacau-bilau.

Peluh dingin membasahi baju. Pak Aki serba-salah. Betul ke apa yang dia lihat ni? Berkali-kali dia menggosok-gosok mata tuanya. Dia tak puas hati. Pak Aki maju ke hadapan beberapa langkah lagi untuk melihat dengan lebih jelas dan untuk pastikan betul-betul.

Keadaan tubuh itu amat menyayat hati. Nampak jelas akan kesengsaraan yang dialami ketika sakaratulmaut mencabut nyawanya. Mulutnya herot-berot dan matanya terbeliak menahan kesakitan yang ditanggung. Tangannya seperti ingin menggapai sesuatu di hadapan tapi tak tercapai.

Pak Aki melangkah ke bahagian kepala mayat itu pula. Nak tahu apa yang cuba digapai oleh mayat itu. Menggeleng-geleng Pak Aki beberapa kali. Terkejut melihat mayat itu habis melecur. Reput macam terkena simbahan asid.

Tapi yang peliknya, hidung Pak Aki tidak pula tercium sebarang asid atau cuka getah di tempat kejadian. Apa yang dah terjadi sebenarnya?

Lutut Pak Aki terasa longgar. Terduduk dia seketika memikirkan kejadian yang pelik itu. Dia tak sangka perkara buruk terjadi di dalam kebunnya. Tertangguh terus niat Pak Aki untuk melihat batas ubi kayu barunya.

Apa yang dah berlaku ni? Soalan demi soalan bermain di benaknya. Setengah jam orang tua itu menghabiskan masa bertanya soalan yang dia tidak ketemui jawapannya.

Setelah berfikir seketika, akhirnya Pak Aki pulang ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Nasib baik ketika dia pulang, isterinya sedang membasuh di dalam bilik air. Wajah Pak Aki kelihatan cemas walaupun sebenarnya dia cuba bertenang. Dia tidak mahu memberitahu sesiapa akan hal itu sehinggalah pihak polis tiba nanti.

Pak Aki tidak mahu dituduh bukan-bukan oleh penduduk Kampung Nilam Setia. Dia tidak mahu penduduk Kampung Nilam Setia jadi kecoh tentang hal ini tanpa usul periksa. Biarlah pihak polis siasat dan membuat rumusan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.