“ARGH!” jerit Ezra, tercungap-cungap.
Ezra memegang dada yang terasa pedih.
Mimpi yang sama menyapa lenanya. Dia
mengesat peluh yang membasahi dahi sambil bersandar
di kepala katil. Nafas ditarik perlahan untuk menenangkan
jiwa yang sedang bergelora.
“Kenapa aku kerap mengalami mimpi yang sama?”
gumam Ezra sambil meraup wajah.
Wajahnya keruh. Peluh yang menitik di dahi dikesat lagi
dengan tapak tangan.
“Mimpi ni benar-benar buat aku lelah. Siapakah atuk
yang sering muncul dalam mimpi aku? Aku tak faham.
Sungguh aku tak faham,” gumam Ezra lagi sambil mengesat
air mata yang tumpah setitis demi setitis.
Sesekali Ezra menarik air hidung, tidak mahu ia terus
meleleh. Dia lelah berkeadaan begini. Acap kali terjadi,
sering kali dialami. Dia bermimpi tetapi seolah-olah realiti.
“Rumah siapa yang sebenarnya? Apakah ia satu
petunjuk? Jika benar telahan aku, apa sebenarnya yang atuk
tu inginkan daripada aku?” gumam Ezra, benar-benar tidak
faham dengan apa yang sedang dialaminya.
Ezra cuba mengatur pernafasannya. Dia menarik nafas
perlahan dan dalam sebelum menghelanya keluar. Dia cuba
mengingati raut wajah atuk dan sebuah rumah yang sering
muncul dalam mimpinya. Ada sesuatu yang terpahat dalam
fikiran tetapi Ezra tidak dapat mentafsirkannya.
“Aku macam pernah tengok rumah tu tapi kat mana
ya? Atuk tu pun macam aku kenal tapi siapa? Ya ALLAH,
kenapa aku langsung tak ingat apa-apa?” rintih Ezra,
melepaskan lelah sambil memegang dada yang berdegup
hebat.
Beberapa kali dia cuba mengingati rumah dan raut
wajah atuk itu tetapi dia tetap tidak berjaya mengingatinya.
Semakin dia cuba semakin sesak dadanya dan akhirnya dia
memuntahkan apa yang terkandung di dalam perutnya.
Setiap kali dia cuba mengasak mindanya untuk mencari
sesuatu, setiap kali itulah dia akan memuntahkan isi
perutnya. Semakin difikir, makin banyak pula isi di dalam
perutnya yang keluar sehingga tubuh Ezra menjadi longlai
di dalam bilik air.
“Kak Ez, kenapa ni?” soal Nazmie.
Lenanya terganggu mendengar Ezra muntah-muntah di
dalam bilik air.
Belakang tubuh Ezra diurut perlahan. Ezra beralih ke
singki, berkumur sebelum mengadap adiknya.
“Entahlah Naz, Kak Ez tak sedap perut. Tekak Kak Ez
rasa loya sangat ni.”
Wajah Nazmie jelas risau melihat keadaan Ezra.
“Naz ambilkan Kak Ez air asam jawa kat dapur ya.
Mungkin boleh hilangkan loya tekak Kak Ez tu,” ujar
Nazmie, menawarkan bantuan.
Ezra hanya mengangguk.
“Jangan beritahu umi tau. Kak Ez tak nak umi risau,”
pesan Ezra.
Nazmie mengangguk.
Sementara Nazmie ke dapur, Ezra membersihkan diri.
Seketika kemudian, Nazmie datang dengan membawa
segelas air asam jawa suam. Ezra meminta adiknya
meletakkan air itu di dalam bilik. Nazmie hanya menurut.
Ezra membuntuti langkah Nazmie masuk ke dalam bilik.
Ezra mengambil gelas berisi air asam jawa suam dari
tangan Nazmie dan terus dibawa ke mulut. Sekali teguk,
habis air asam jawa suam itu. Ezra berasa lega. Rasa loya
sudah mulai hilang. Ezra tidak tahu sejak bila dia mengalami
simptom meloya apabila terlalu memaksa diri untuk berfikir.
Pendek kata, dia tidak boleh terlalu mengerahkan mindanya
untuk berfikir dengan lebih mendalam, jika tidak pasti dia
akan muntah. Pelik sungguh simptom yang dialaminya.
“Kak Ez ada rasa lega sikit?” soal Nazmie sambil
mengurut-urut belakang Ezra.
Ezra mengangguk lemah. Bibirnya mengukir senyuman
sebelum membaringkan tubuh di atas katil. Seperkara lagi,
pasti dia akan mengalaminya tepat jam 3.00 pagi sebelum
terjaga dan muntah. Tiada sesiapa pun yang tahu keadaannya
itu tetapi pada malam ini Nazmie sudah menyedarinya.
“Terima kasih, Naz. Naz pergilah sambung tidur. Kak
Ez tak apa-apa,” ujar Ezra, tidak mahu masa tidur Nazmie
terganggu gara-gara dia.
“Kalau ada apa-apa, Kak Ez kejut aje Naz okey?”
pesan Nazmie sambil menyelimutkan tubuh Ezra sebelum
menutup pintu bilik tidur kakaknya.
Ezra memejamkan mata dengan harapan mimpi yang
dialaminya sebentar tadi tidak akan bertandang lagi. Dia
tidak mahu kelelahan dan dia hanya mahu tidur dengan
aman.
WAJAH Ezra kelihatan sugul ketika berada di meja makan
pada pagi itu. Kepalanya masih berat dengan mimpi yang
dialaminya. Dia tidak tahu hendak mengadu kepada siapa.
Sesekali matanya beradu dengan mata uminya. Dia hendak
bertanya kepada uminya tetapi entah kenapa bibirnya terasa
amat berat.
Ezra hilang selera ketika bersarapan. Dia hanya
menjamah sedikit sandwic tuna keju dan air kopi putih.
Kelakuan Ezra itu diperhatikan Zarinah. Dia tahu ada
sesuatu yang difikirkan Ezra sehingga anaknya itu hilang
selera. Sesekali Zarinah mendengar Ezra mengeluh berat.
“Kenapa ni, Ez? Umi tengok Ez macam ada masalah
besar aje. Ada apa-apa yang Ez nak kongsi dengan umi?”
soal Zarinah sambil memandang tepat wajah Ezra.
Ezra menarik nafas dalam sebelum menghelanya
semula. Dia memandang Zarinah.
“Umi sentiasa ada untuk Ez kalau Ez nak kongsi apaapa
dengan umi. Naz pun sama. Kalau ada masalah jangan
segan-segan kongsi dengan umi.” Pandangan Zarinah
beralih pula pada Nazmie yang nampak berselera menjamah
sarapan pada pagi itu.
“Insya-ALLAH umi, kalau Naz ada apa-apa yang
perlukan pendapat umi, pasti Naz akan kongsikan dengan
umi. Tapi sekarang Naz rasa Kak Ez yang bermasalah,”
ujar Nazmie sambil memberi isyarat pada Ezra agar
meluahkannya kepada Zarinah.
“Ez, ada apa-apa yang umi tak tahu ke? Ceritalah kat
umi, biar lega perasaan tu,” pujuk Zarinah.
Sekali lagi Ezra menghela nafasnya dengan agak berat.
Walaupun berat tetapi dia harus meluahkannya. Manalah
tahu Zarinah mempunyai jawapan kepada semua mimpi
yang sering bertandang dalam lenanya. Dia sudah tidak
mampu menanggungnya seorang diri. Ezra meneguk kopi
putih sebelum bersuara.
“Umi, sejak kebelakangan ni Ez sering mengalami
mimpi yang berulang. Kadang-kadang mimpi tu buat Ez
lelah. Ez tak tahu apa yang cuba disampaikan pada Ez.
Mungkinkah ia satu petunjuk? Tapi Ez pelik kalau benar ia
satu petunjuk, sedangkan Ez tak kenal mereka yang muncul
dalam mimpi Ez tu,” cerita Ezra.
“Ez mimpi apa, sayang? Cuba cerita kat umi. Insya-
ALLAH kalau umi ada penyelesaiannya, umi akan selesaikan
untuk Ez,” ujar Zarinah, beri jaminan.
“Ez mimpi sebuah rumah buruk yang dah lama terbiar.
Rumah tu nampak menggerunkan. Ia sebuah rumah lama
setingkat dan klasik. Macam rumah orang dulu-dulu.
Sesekali muncul seraut wajah atuk yang cukup menakutkan.
Wajahnya cengkung. Dia selalu minta tolong pada Ez. Tapi
umi, Ez tak kenal pun siapa dia, macam mana Ez nak
tolong. Umi tahu ke milik siapa rumah tu dan siapakah atuk
yang sering muncul dalam mimpi Ez?” soal Ezra sambil
memandang tepat wajah Zarinah.
Zarinah terkedu mendengar cerita mimpi Ezra. Dia
menelan air liur beberapa kali. Tiada sepatah kata yang
keluar dari mulut Zarinah. Dia memandang piring sandwic
lantas mengambil sekeping dan memasukkannya ke dalam
mulut. Dia tidak berminat untuk berbicara. Tingkah laku
Zarinah yang berubah secara mendadak menarik perhatian
Ezra dan Nazmie.
Mereka berdua saling berpandangan. Takut pula mereka
melihat keadaan Zarinah begitu. Tidak pernah umi mereka
mendiamkan diri sebegitu. Nazmie memberi isyarat mata
agar Ezra bertanya. Ezra menelan liur sebelum melontarkan
pertanyaan.
“Umi, kenapa tiba-tiba diam? Umi tahu sesuatu daripada
mimpi Ez ke?” soal Ezra, takut-takut.
“Maaf. Umi tak tahu nak selesaikan masalah mimpi Ez.
Okeylah, umi ada kerja sikit. Nanti Ez pergi kerja hati-hati
ya,” pesan Zarinah sambil mengusap lembut kepala Ezra
dan Nazmie sebelum beredar dari meja makan.
Setelah bayangan umi mereka menghilang, Ezra
menghalakan pandangan ke arah Nazmie.
“Apa yang Naz fikir?” soal Ezra.
“Naz tak tahu tapi Naz dapat rasakan yang umi tahu
sesuatu cuma umi tak nak beritahu kita. Kak Ez rasa
macam mana?” soal Nazmie sambil menghabiskan baki
minumannya.
“Kak Ez pun rasa macam tu tapi kita tak tahu apa yang
ada dalam fikiran umi. Tak apalah Naz, perlahan-lahan
nanti kita akan korek rahsia ni,” ujar Ezra, bertekad untuk
membongkar segala-galanya.
“Tapi macam mana kalau umi tak nak beri kerjasama?”
soal Nazmie, menduga.
“Kita akan cari jalannya. Kak Ez pergi dulu, nanti
lambat pulak masuk kerja,” ujar Ezra sambil menepuk
lembut bahu Nazmie sebelum beredar.
Dan bermulalah tugas Nazmie Zalizan untuk mengemas
meja makan sebelum bertolak ke universiti. Nazmie belajar
di Universiti Griffith yang merupakan salah sebuah universiti
popular di Australia dan menduduki tempat ke 336 di dunia.
Untung Nazmie mendapat peluang melanjutkan pelajaran
di universiti ini.