Home Novel Seram/Misteri MARINA
MARINA
Saidee Nor Azam
10/3/2017 12:59:40
27,563
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 2

MARINA menyediakan makan malam buat keluarganya, Mylin pula asyik bermain anak patung berbentuk anak kecil di ruang tamu. Sesekali anak comel berambut lurus mencecah ke bahu itu akan berbicara dengan sendirinya. Seperti sedang berbicara dengan mainannya.

“Mylin sayang, mana papa?” laung Marina yang sedang berdiri di meja makan. Di tangannya penuh dengan pinggan kosong.

Mylin berpaling ke arah mamanya bersama-sama dengan wajah yang polos. Bundar matanya memandang Marina yang sedang menyusun pinggan di atas meja. Mylin menggeleng-gelengkan kepalanya, kemudian dia kembali bermain-main dengan anak patung yang memakai gaun merah cantik itu.

“Manalah pergi papa kamu ni, Mylin...” mendatar sahaja omelan Marina.

Mylin tidak mengendahkan bebelan mamanya, dia terus asyik bermain-main dengan anak patung yang dibelikan oleh ayahnya itu. Hadiah dari hari jadinya yang keempat itu merupakan hadiah yang paling istimewa buat Mylin. Ini kerana Mylin sudah lama mahukan anak patung bergaun merah.

“Abang...?”

Panggil Marina sambil mendongak ke atas di kaki tangga.

“Abang buat apa kat atas?” Marina memanggil lagi.

Diam, langsung tiada balasan dari Aiman. Marina mengerutkan dahinya tanda tidak berpuas hati. Adakah suaranya tidak begitu kuat sehingga Aiman langsung tidak mendengar? Sedangkan seketika tadi Aiman sudah berjanji akan menyusul turun untuk makan malam.

“Abang? Abang buat apa kat atas?”

Laung Marina, kali ini dengan lebih kuat.

“Ya, abang turun!”

Akhirnya suara Aiman berkumandang juga dari tingkat atas. Menerbitkan rasa lega di hati Marina. Bimbang juga dia bila dipanggil tidak menyahut langsung. Bunyi daun pintu ditutup rapat sebelum menyusul pula hentakan tapak kaki menuruni anak tangga kedengaran. Tidak lama kemudian muncul wajah Aiman bersama rembesan peluh membasahi wajahnya.

“Abang buat apa kat atas?” soal Marina.

“Er, tak ada apa-apa. Abang mengemas sedikit kat atas loteng sana.”

Jawab Aiman bersama segaris senyuman nan tawar di bibirnya.

“Kat loteng? Sayang tak pergi ronda-ronda lagi kat sana, luas ke?” soal Marina lagi.

“Er... luas itu taklah, sempit sikit bila sampai di puncaknya. Cuma ruang untuk berdiri itu selesa. Jarak lantai loteng ke bumbung dalam tujuh lapan kaki jugaklah.” Cerita Aiman serba sedikit.

“Ada apa kat situ?”

“Eh marilah makan, abang lapar. Sayang masak apa ya?”

Pintas Aiman tanpa mahu menjawab dan mengulas lebih lanjut apa yang ada di loteng rumah banglo itu.

“Marina masakkan ikan patin masak tempoyak yang abang suruh buat itulah,”

“Wah sedapnya, Mylin sayang, mari nak makan.”

Mylin yang masih bermain dengan anak patung bergaun merahnya itu berpaling memandang ayahnya. Mylin kemudiannya membalas dengan menggelengkan kepalanya.

“Dia dah makan tadi, sayang suapkan nasi bubur dengan sup kosong.”

“Oh jadinya anak papa ni dah kenyang la ya?”

Aiman bergerak ke arah anak perempuannya dan mengusap rambut Mylin yang lembut mengurai itu. Mylin langsung tidak memperdulikan Aiman, dia begitu asyik bermain dengan anak patung bergaun merah itu.

“Mylin main dengan anak patung yang papa hadiahkan hari itu ya?”

Aiman sengaja tidak terus menuju ke meja makan, dia sememangnya tidak boleh berenggang dengan anak perempuannya itu. Sebolehnya dia mahu mengusap-usap Mylin terlebih dahulu. Marina sekadar tersenyum sahaja di meja makan.

“Papa...” Mylin berpaling sambil mendongak memandang ayahnya.

Aiman yang duduk separa bertinggung tetap mengukirkan senyuman di bibirnya.

“Ya sayang,”

“Nama anak patung ini Sofea,”

Ucap Mylin sambil menghulur Sofea kepada ayahnya.

“Oh siap ada nama,”

Aiman menyambut Linda seperti mendukung bayi. Diteleknya wajah Linda sambil tersenyum-senyum.

“Comotlah Sofea ni, Mylin tak mandikan dia ya?” usik Aiman.

Tergelak-gelak Mylin dengan usikan ayahnya.

“Abang, marilah makan. Nanti sejuk lauk.” Kelur Marina lembut.

Aiman kembali meletakkan Sofea dalam keadaan duduk mengadap anaknya. Anak patung itu sentiasa dalam keadaan tersenyum. Mylin kembali bermain dengan Sofea sambil bertanya itu ini kepada anak patung perempuan itu. Begitulah setiap hari Mylin apabila bersama-sama dengan Sofea.

“Abang, esok abang dah mula masuk kerja kan?”

Soal Marina sambil menceduk lauk udang masak lemak cili api ke dalam pinggan Aiman dan kemudiannya dia menceduk kepala ikan patin masak tempoyak. Penuh pinggan suaminya dengan lauk pauk.

“Haah, esok dah start kerja kat tempat baru itu.”

Aiman kembali menyambung suapannya. Berselera sungguh dia dengan masakan isterinya. Sekejap dia mencubit isi di bahagian kepala ikan patin, sekejap dia menggigit isi udang. Tidak ketinggalan ulaman petai kegemaran Aiman. Semuanya menambah selera buat perutnya yang kosong itu.

Marina tersenyum memandang suaminya, dia tidak pula mahu menjamah makanan di atas meja. Dia lebih suka memandang wajah Aiman. Kemudiannya dia memandang Mylin yang leka bermain dengan Sofea. Semuanya membuatkan Marina seperti dunia sedang merangkul bahagia dirinya. Seboleh-bolehnya dia tidak sanggup untuk mengerdipkan pandangannya terhadap dua insan yang amat dia kasihi. Terlalu kuat rasa cintanya terhadap Mylin dan suaminya.

“Sayang? Kenapa tak makan?”

Aiman baharu tersedar isterinya mengelamun jauh tanpa mahu menyentuh butir-butir nasi di dalam pinggannya. Aiman perasan ada genangan air mata bertakung di kelopak matanya. Namun lekas-lekas Marina menyekanya dari melimpah keluar. Senyuman tetap diukir di wajah tenangnya.

“Kenapa ni?”

Aiman langsung berhenti dari menjamah makanannya. Galau pula hatinya melihat keadaan isterinya. Ada kerutan di dahinya.

“Eh tak ada apa-apa... Marina cuma rasa amat beruntung kerana ALLAH hadirkan abang dan Mylin ke dalam hidup Marina.”

Ucap Marina dengan senyuman yang jelas dihiasi dengan bunga-bunga bahagia.

“Sayang masih ingatkan perkara yang lepas ya? Sudah-sudahlah, semuanya bukan salah sayang. Yang dah pergi biarkanlah dia pergi. Mungkin sudah tersurat ajalnya di kolej itu. sekarang kita sama-sama bina hidup baru. Abang pun amat bahagia dengan Marina dan Mylin.” Luah Aiman perlahan.

Air mata yang tidak sempat untuk mengalir di kolamnya akhirnya tertumpah jua. Laju mengalir membasahi pipi mulus Marina. Tanpa menunggu lama, tangan Aiman dipautnya dan diciumnya dengan penuh rasa kasih. Air mata yang hangat jatuh membasahi belakang tangan kiri Aiman.

“Maafkan Marina andai Marina banyak susahkan abang...” ucap Marina.

“Sayang tak pernah buat abang rasa sakit, tak pernah buat abang rasa kesunyian. Apa yang June buat kat abang dulu itu memang sakit. Dia tinggalkan abang, dia bermain kayu tiga. Haa... itu baru buat hati abang sakit, remuk redam. Sayang lain, sayang betul-betul buat abang terisi. Sampai perut abang pun dah ke depan berisi.” Seloroh Aiman.

“Abang... tak baik sebut nama orang yang dah tak ada.”

Marina secara tiba-tiba terkenang wajah hancur June ketika di kolej dahulu. Kematian June yang berkait rapat dengan Marina antara penyebab hati kecil Marina lekas berasa bersalah. Walhal ketika itu Marina di bawah sedar sewaktu dia dengan bengis mengasari bekas seniornya itu.

“Oh... er... maafkan abang.” Ucap Aiman perlahan.

Marina hanya diam sahaja tanpa berkata apa.

“Er... sayang...”

“Ya...”

“Jangan tenung udang dalam mangkuk itu lama sangat, nanti tiba-tiba udang itu melompat masuk ke dalam mangkuk ikan patin pulak. Ha ha ha...!” seloroh Aiman.

“Hish abang ni!”

Dan disambut gelak tawa manja Marina. Benar, Aiman pernah kecewa dengan bekas kekasihnya, yang juga merupakan bekas senior Marina ketika di kolej dahulu. Kehadiran Marina telah mengubati kekosongan hati Aiman. Namun Marina lupa, jika tidak kerana Jamaliah, Marina mungkin tidak akan berpeluang mendekati Aiman.

“Hulurkan abang sayur kailan goreng itu.”

“Abang nak tambah nasi lagi?” tanya Marina.

“Urm, boleh jugak.”

Marina menyuakan senduk yang penuh dengan nasi ke dalam pinggan Aiman. Selepas itu diceduknya pula kailan goreng ikan masin ke dalam pinggan Aiman. Suaminya itu sungguh berselera menjamah rezeki di hadapan mata. Langsung tidak memandang ke arah lain lagi. Marina tersenyum gembira, air tangannya berjaya menambat selera Aiman. Suasana di dalam rumah besar itu kembali disimbah cahaya. Selama ini rumah agam itu sepi tanpa cahaya kebahagiaan. Suram dan kelam. Suara tawa kecil Marina kedengaran di meja makan, sesekali Aiman sempat bergurau dengan menyuap makanan ke mulut Marina. Ulah suami isteri itu bagaikan pengantin baharu lagaknya. Kemesraan mereka masih utuh.

Namun, mereka tidak menyedari, mereka sedang diperhatikan. Di satu sudut yang jauh terpencil di dalam rumah agam itu, ada sepasang bola mata merah merenung Mylin dengan renungan yang menggerunkan. Tiada siapa yang menyedari akan kehadiran sosok tersebut, termasuk Marina sendiri.
Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.