Home Novel Seram/Misteri MARINA
MARINA
Saidee Nor Azam
10/3/2017 12:59:40
27,533
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 3

“ASHIKIN...”

“Hah?”

Langsung berpaling Ashikin memandang ke arah datuknya. Wajahnya kelihatan terpinga-pinga. Sejak tiba ke Terengganu, Ashikin lebih banyak termenung sambil melontarkan pandangannya jauh ke tengah Laut Cina Selatan.

“Kenapa ni? Sejak datang balik Terengganu banyak pula termenungnya.”

Tegur lelaki yang sudah dimamah usia itu. janggutnya yang putih beruban panjang mencecah ke dada. Ketayap lusuhnya itu tetap menjadi penutup kepala. Bukan tidak ada yang baharu, datuk Ashikin itu tetap selesa memakai yang lama. Lelaki tua itu melabuh duduk bersebelahan dengan cucunya itu. walaupun Ashikin sudah mendirikan rumahtangga, Ashikin tidak boleh berenggang dengan datuknya itu. Tidak kira jauh mana dia tinggal, bila terasa rindu, dia akan membelah banjaran Titiwangsa untuk pulang ke pantai timur.

“Tak ada apa-apa...” Ashikin tersenyum nipis.

Datuknya tenang membetul-betulkan rokok daunnya. Tembakau yang berbau wangi dicarik-carikkan sedikit dan diaturkan di tengah-tengah daun. Ashikin melihat sahaja datuknya menggulung-gulung menjadi bentuk silinder. Datuknya bersikap tenang tanpa banyak bercakap. Daun yang sudah berbentuk silinder itupun disuakan ke mulutnya. Pemetik api berwarna biru dinyalakan. Berkelun-kelun asap naik ke udara di saat dia menghembuskannya keluar.

“Kalau tak ada apa-apa takkanlah termenung tengok laut?”

Khaidir sudah cukup kenal akan cucunya itu. Sekali ditenungnya, sudah dapat membaca apa yang bermain di romannya. Tersipu-sipu Ashikin apabila datuknya berkata sinis kepadanya.

“Tokki...”

Ashikin memandang Khaidir dengan pandangan serba-salah.

“Ni pasal rumahtangga kamu ke? Kalau rumahtangga tokki tak nak campur. Nasihat aje bolehlah.” Khaidir menyedut rokok daunnya dalam-dalam.

Ashikin diam seperti sedang berfikir sesuatu. Khaidir melihat cucunya lama-lama. Memang dia seperti dapat menyelami perasaan cucu bertuahnya itu.

“Ini pasal Shikin tak ada anak lagikah?”

Ashikin terus berpaling memandang datuknya. Wajahnya seperti tercengang.

“Soal anak ni ketentuan ILAHI. Andai ALLAH dah tetapkan kamu berdua suami isteri akan dapat cahaya mata, maka kamu berdua akan terima kurnia itu. Yang penting kita perlu berusaha dan bertawakal aje. Satu hari nanti adalah tu rezeki yang datang.” Panjang lebar Khaidir berkhutbah.

“Tokki... ini bukan pasal rumahtangga Shikin la...”

“Hah! Dah tu pasal apa?”

“Shikin tiba-tiba teringatkan Marina.”

Ashikin melepaskan segumpal keluhan yang memberat.

“Oh budak itu, apa khabar dia sekarang? Dulu dia ditahan di hospital sakit mental kan?” soal Khaidir.

“Marina dah keluar dari hospital sakit mental tokki, dia pun dah berkahwin dengan Aiman. Bekas teman lelaki senior saya dan Marina dulu.”

Cerita Ashikin, terangguk-angguk Khaidir mendengarnya. Kerana Ashikin pernah bercerita perihal Marina kepada datuknya itu dahulu. Jadi tiada masalah buat Khaidir untuk mengikutinya.

“Shikin ada hubungi Marina lagi?” soal Khaidir.

“Lama dah tak hubungi dia. Nombor telefon lama dia pun dah tak aktif lagi. Kali terakhir Shikin bercakap dengan dia sewaktu dia melahirkan Mylin. Lepas tu terus lost contact.” Jelas Ashikin.

“Oh dia dah ada anak? Alhamdulillah. Dah sihat dah dia sekarang ya?” tersengih-sengih Khaidir dengan rokok daunnya masih tersepit di hujung bibir.

“Marina ada hubungi saya semasa dia keluar dari wad. Kami dah berbaik semula.” Cerita Ashikin lagi.

“Pasal peneman Marina itu macam mana?”

Soalan Khaidir membuatkan Ashikin tersentak dan terus memandang datuknya itu. Angin pantai yang membuai langsung tidak mampu mengalih pandangan Ashikin pada Khaidir.

“Tokki rasa macam benda itu masih nak berteman dengan Marina.”

“Marina cakap... Marina dah buang kawan dia... er, benda itu.” serba salah Ashikin berkata.

“Jadi dia dah tak pakai gelang kaki itu lagi ya?” Khaidir bertanya lagi.

“Dah rasanya. Dia dah tak nak berkawan dengan benda itu lagi.” Jelas Ashikin.

Khaidir diam, begitu juga Ashikin. Bunyi deruan ombak menghiasi suasana tanpa bicara dari kedua-duanya. Ashikin merenung ombak yang menghempas dada pantai. Dari renungan matanya Ashikin masih berada di dalam keluh kesah. Hatinya berkecamuk dengan perasaan yang tidak menyenangkan. Entah kenapa dia merasai semua rasa kegusaran terhadap Marina.

“Shikin ada rasa yang tidak enak?” tegur Khaidir.

Ashikin tidak menjawab, dia memandang datuknya dan mengangguk lesu. Khaidir menyalakan hujung rokok daunnya yang terpadam dek hembusan angin laut. Tenang sahaja wajah orang tua itu.

“Tokki bertuah ada cucu macam Shikin.” Khaidir memulakan kata-katanya.

“Sebab semua yang tokki ada, turun pada Shikin. Shikin boleh lihat benda ghaib, nah sekarang Shikin boleh merasakan sesuatu yang orang lain sukar merasainya. Shikin boleh rasakan ada sesuatu yang tidak elok bakal berlaku pada Marina kan?” teka Khaidir.

Ashikin berpaling ke arah datuknya dan mengangguk tanpa mahu berkata apa. Dari kelopak matanya ada genangan air mata yang hampir tertumpah. Betapa dia risaukan keadaan Marina. Satu-satunya kawan yang dia sayangi. Walaupun dahulu pernah Marina memutuskan pertalian yang mereka bina.

“Adakah ini bersangkut paut dengan ‘kawan’ Marina yang dulu itu kah? Benda itu nak kacau hidup Marina kah?”

Khaidir bertanya berulang-ulang. Dia juga dapat merasakan ada sesuatu yang tidak elok bakal berlaku, akan tetapi dia tidak tahu apa dia. Ashikin diam, dia juga tidak tahu apa yang menyebabkan dia berasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku pada diri Marina. Namun resah hatinya jelas sekali berkucah resah. Sesungguhnya Marina satu-satunya rakan yang rapat dengannya. Khaidir perasan akan keresahan yang melanda roman mulus cucunya. Sebolehnya dia mahu membantu cucunya itu selagi hayat dia masih di kandung badan.

“Shikin...” panggil Khaidir perlahan.

“Ya tokki.”

Lemah sahaja sahutan Ashikin.

“Tokki dah tua, tokki dah tak lama hidup dalam dunia ni. Tokki semakin kurang deria ke enam dalam diri tokki. Jadi tokki tak dapat rasakan apa yang Shikin rasa. Andai Shikin rasa Marina perlu bantuan, tokki boleh tolong. Tapi Shikin perlu hubungi dia. Cari di mana dia tinggal. Nanti kita akan cuba bantu dia.” Ucap Khaidir dengan perlahan.

Ashikin diam. Matanya sudah berkaca.

“Kamu satu-satunya cucu tokki yang punyai kelebihan yang tak ada pada orang lain. Sekurang-kurangnya kalau tokki dah tutup mata nanti, tokki rasa senang hati.” Tersenyum Khaidir memandang Ashikin.

Genangan air mata Ashikin tertumpah jua. Lekas-lekas dia menanggalkan kaca matanya dan menyeka air hangat yang mengalir. Esak tangis kedengaran perlahan walau dia cuba untuk menahannya. Begitu lembut hati Ashikin.

“Sekarang apa yang Shikin dapat rasakan?” soal Khaidir dengan tenang.

“Marina... er... keluarga Marina mungkin berada dalam bahaya. Ada sesuatu yang... erm... bersifat hitam.”

Ashikin bercerita tersekat-sekat sambil memejamkan matanya. Dia kini bagaikan mempunyai kuasa psikik dalam diam. Khaidir diam. Dia kenal cucunya itu, Ashikin sejak kecil lagi mempunyai kelebihan yang jarang manusia lain miliki. Cucunya itu mampu melihat ke dunia sebelah. Dalam erti kata lain, hijab pandangan Ashikin tidak tertutup. Dia mampu melihat sesuatu yang bersifat halus. Kini dalam diam Ashikin bagaikan menguasai fikiran telus pandang. Dia seperti seorang psikik yang mampu mentafsirkan sesuatu yang bakal berlaku. Dan mungkin mampu melangkah masuk ke alam bukan nyata.

“Sekarang Shikin dah boleh lihat apa yang bakal berlaku di masa hadapan?” soal Khaidir dengan tampang yang sedikit terkejut.

Ashikin membuka matanya dan memandang Khaidir dengan pandangan keliru. Lambat-lambat dia menggelengkan kepalanya.

“Tak... tak pasti... er... tak sepenuhnya tokki. Shikin hanya dapat merasakannya apabila Shikin teringatkan seseorang. Seperti sekarang Shikin teringatkan Marina. Lantas Shikin terus didatangi bayangan yang menakutkan melibatkan diri Marina dan keluarganya.” Jelas Ashikin.

Khaidir diam sejenak. Dia membelek-belek rokok daunnya yang sudah semakin kontot dimamah bara api. Dia menjentik rokok daun yang sudah tidak menyala itu jauh ke hadapan. Lelaki tua itu kemudiannya memejamkan matanya sambil menghela nafas yang cukup panjang. Jemarinya bergerak seperti sedang mengira-ngira. Sepertinya dia cuba menyelami apa yang dirasai oleh cucunya itu. Atau mungkin dia cuba meraih sesuatu. Sesuatu yang bersifat batiniah.

Setelah beberapa ketika kemudian, Khaidir melepaskan segumpal keluhan dan kembali membuka kelopak matanya. Ashikin memerhati sahaja ulah datuknya itu dengan tanpa sebarang celahan suara. Dia diam dan menunggu sehingga Khaidir selesai melakukan apa yang dia perlu lakukan.

“Tokki...?”

Kerana sudah tidak menahan sabar akhirnya Ashikin bersuara.

“Ya betul, ada sesuatu yang bersifat hitam mula mendekati keluarga Marina.”

Hela Khaidir sejenak sebelum dia kembali bersuara.

“Insya-ALLAH, andai perlukan pertolongan tokki, tokki akan cuba membantu. Tetapi dengan syarat, Shikin harus mencari Marina dan berjumpa dengannya. Jika tidak, payah nak memberi perlindungan kepada keluarganya.”

Jelas Khaidir dengan serius namun air mukanya masih tenang. Terangguk-angguk Ashikin mendengar pesanan datuknya itu.

“Terima kasih tokki,”

‘Tapi kalau Shikin sendiri boleh berikan bantuan, lagi bagus. Tokki percayakan cucu tokki ni.” Tersengih-sengih Khaidir.

“Urm... insya-ALLAH” balas Ashikin.

Lengan Khaidir diraih dan dirangkul. Perasaan lega mula memanjat pangkal hatinya, betapa dia bersyukur kerana datuknya itu begitu memahaminya. Itulah niatnya yang sebenar datang ke Marang, Terengganu. Hanya khaidir sahaja yang mampu memberikan penawar segala keresahan di dalam hatinya.

Marina. Hela hati kecil Ashikin sayu.


Previous: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.