Home Novel Seram/Misteri Rahsia bukan rahsia
Rahsia bukan rahsia
Maryani Zailani
14/2/2024 00:27:17
20,413
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5
Mereka berdua membantah tapi sekarang mereka berada tepat-tepat di depan pintu pensyarah bernama Raudhah.

 “Haisy, aku tak boleh nak merungut dengan kau punya pujuk rayu!” Rungut Manisah, perlahan sekali. Bagaimana dia teringat Najwa membelanja dirinya dan Fatimah di sebuah restoran makanan segera dan juga kopi mahal! Dia sendiri tidak tahu alasan sebenar Najwa.

 “Syhhh! Jangan kuat sangat. Mati kalau madam dengar!” Tegur Fatimah siap menyiku lengan Manisah.

 “Yalah… yalah!” Manisah mengalah.

 Hari ini mereka datang demi meminta izin untuk menemu ramah Raudhah selaku tokoh pilihan mereka. Di tangan Najwa, terdapat surat keizinan. Mereka mahu menyerahkan kepada pensyarah itu.

 “Pssst…” Manisah menegur Najwa. “Kau ketuklah! Bagi salam sekali. Kami dah setuju ikut permintaan kau. Jadi, sekarang tugas kau berurusan dengan madam.”

 “Ya, tahulah aku!” Balas Najwa.

 Belum sempat Najwa mengetuk pintu, terlebih dahulu dibuka dari dalam oleh seseorang. Terus mereka bertiga terundur ke belakang. Tidak menjangka langsung akan berhadapan dengan situasi sedemikian.

 “Assalamualaikum, madam!” Serentak senada mereka memberi salam.

 Seorang wanita dalam lingkungan umur pertengahan 30-an dengan riak serius memerhati setiap daripada mereka. Mereka tahu, penampilan mereka sedang diteliti. Habislah jikalau tidak mengikut garis panduan ditetapkan. 

 “Kamu tak ada kelas?” Keras dan tegas sehingga menggetarkan keberanian mereka. Tiada senyuman langsung terukir.

 Sempat tiga sahabat itu saling menyiku untuk memberi jawapan.

 Raudhah memejam mata sejenak. Menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepas.

 “Sorang jelah jawab. Kamu tengok dia… dia tengok kamu! Siapa nak jawab ni?”

 “Sa…saya!” Najwa memberanikan diri. “Kami ada kelas petang nanti. Sekarang tengah lapang.”

 Raudhah menjeling Najwa. Diperhati dari bawah sampai atas. 

 “Kan senang jawab terus. Kamu semua nak apa depan bilik saya? Kamu dari kelas mana? Saya tak pernah nampak kamu semua selama ni.”

 “Hmmm… kami bukan dari kelas puan. Kami sebenarnya…” Najwa terputus kata akibat terlalu gemuruh. Telapak tangannya basah dengan peluh. Lama juga dia berjeda sehingga Fatimah menyampuk.

 “Sebenarnya kami nak hantar surat ni.” Fatimah terus menyerahkan surat tadi.

 Raudhah masih dengan riak serius. Dia membaca tiap perkataan dalam surat.

 “Kenapa kamu nak interview saya?”

 ‘Alamak, dia nak reject ke?’ Najwa berteka-teki dalam diam.

 ‘Kalau dia reject… baguslah juga!’ Fatimah berkata sebaliknya dalam hati.

 “Jawab…” Raudhah sudah siap berpeluk tubuh.

 Najwa tergaru kepala, “Sebab puan antara pensyarah lama yang mengajar di sini. Tentu puan lagi lebih tahu banyak perkara.”

 Raudhah ketawa kecil. Mulalah kelihatan sisi lainnya. “Kamu yakin? Prof. Adnan lagi lama. Ramai lagi. Kamu tak selidik satu persatu.”

 Najwa mencuri pandang wajah Raudhah. Dia semacam benci mendengar gelak itu. 

 “Mungkin sebab puan tahu tentang kematian seorang pelajar 10 tahun lalu semasa cuti semester?” Laju meluncur dari bibir Najwa. Fatimah dan Manisah sudah saling berpandangan. Mereka berasakan kata-kata Najwa akan sinis dan mengandungi maksud tertentu.

 Tawa Raudhah terus mati. Tidak berkelip matanya. Entahlah. Semakin diamati wajah pelajar perempuan itu, semakin mengingatkan dia dengan sesuatu.

 Giliran Najwa pula tertawa.

“Mesti pengalaman hidup puan lebih menarik berbanding dengan pensyarah lain. Keunikan cerita itu akan buatkan kami mungkin dapat markah tinggi. Puan mesti gembira melihat kami berjaya lebih-lebih lagi kami menukilankan hidup puan.”

Raudhah mengecilkan mata. Kata-kata pelajar itu seperti sedang menyindirnya. Dia harus berhati-hati.

“Najwa!” Fatimah menekan suara. Terasa Najwa berlebihan. “Maaf puan. Kalau puan keberatan… kami okey sahaja. Maaf mengganggu masa puan.”

“Betul… betul! Kami mahu bertanya dahulu sahaja,” sokong Manisah. “Kami minta diri dahulu.”

Fatimah dan Manisah bersedia untuk pergi. Hanya Najwa masih mengeraskan diri meskipun sudah diberi isyarat beredar.

“Nanti…” Raudhah menahan mereka. Surat tadi dipaparkan di depan mereka. Raudhah mengukir senyuman sinis. “Saya terima.”

“Oh… betul ke puan?” Fatimah agak terkejut. Begitu juga Manisah. Najwa sahaja yang ikut tersenyum sinis.

“Terima kasih puan,” ucap Najwa.

Raudhah dan Najwa saling merenung. 

‘Apa mahumu?’ Raudhah berteka-teki sendiri. Dia bertekad untuk mencari punca sebenar. Tugasan itu hanyalah wayang sahaja. Tujuan sebenar masih tersembunyi. Dia yakin itu.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.