Home Novel Seram/Misteri SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
Mmel Ismail
22/1/2019 22:01:18
25,857
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 4

Siang sudah bertukar malam. Matahari perlahan terbenam. Bulan pula sudah mula memancarkan cahaya yang terpantul dari sang matahari. Langit sudahpun dihiasi dengan kilauan bintang yang cukup membuatkan kedua anak mata tidak berhenti berkedip. Suasana cukup tenang dan mendamaikan.

Namun tidak bagi Nazira, dia masih tidak tenang selagi tidak mendengar jawapan ayahnya. Harapannya tinggi namun bila-bila masa boleh rebah. Entah berapa kali dia berdoa berharap ayahnya akan memberi keizinan untuknya ke Bario.

Secara jujur, bukan tempat itu yang diterujainya. Dia tidak kisah kemana hala tujuan yang ingin diajak oleh kekasihnya. Apa yang dia mahu adalah, bersama dengan kekasih sepanjang hari.

Ketukan di pintu bilik membuatkan Nazira tersedar dari lamunan. Dia bangun dari meja soleknya menuju ke pintu bilik. Dikuaknya perlahan.

“Ayah panggil dibawah,” ujar Farish. Wajahnya tampak marah, seolah tahu akan rencana adiknya.

Nazira hanya mengangguk. Langkah abangnya diturut perlahan. Hujung kuku ibu jari mula dimain, dicarik-carik bagaikan kertas.

Diruang tamu, Nazira dapat melihat ayah dan ibu tirinya. Degup jantungnya mula laju. Dia takut.

“Nazira... Mari duduk sini.”

Lambaian ayahnya hampir mematikan langkah Nazira. Dia terkejut. Namun langkahnya kembali diatur menghampiri ayahnya dan duduk disalah sebuah sofa bersebelahan ayahnya.

Wajah Farish yang masih kencang sempat dipandangnya. Air liur ditelan. 

“Kenapa ni sayang? Ada apa-apa yang berlaku ke?” tanya Tuan Andrian tenang.

Nazira hanya diam. Wajah ayahnya dipandang sekejap.

Tuan Andrian sabar menunggu. Sesekali dia menggaru pahanya yang gatal. Kain pelikat yang dipakainya membuatkan dia terlihat berbeza. Orang tidak akan tahu jika dirinya adalah seorang presiden syarikat jika melihatnya mengenakan pakaian sedemikian rupa.

“Dah jadi bisu ke?” tanya Farish pula. Geram hatinya akan adiknya itu. 

“Farish... Talk slowly,” tegur Tuan Andrian. 

Farish mencebik.

Nazira kembali memandang ayahnya. Nafasnya ditarik agak dalam. Sempat juga anak matanya melihat ibu tirinya yang asyik bermain telefon disebelah ayahnya.

“Okaylah. Cuba Nazira beritahu dengan ayah, sebab apa Nazira dengan kawan Nazira nak ke Bario?” Tuan Andrian akhirnya ke pangkal pokok. 

Nazira memandang abangnya. Jelingan abangnya terlihat jelas.

“Erm... Sebenarnya kawan Nazira yang ajak,” ujar Nazira perlahan.

“Ramai ke yang pergi kesana?”

“Tak. Empat orang je,” jawab Nazira.

“Sayang, ayah bukannya tak nak bagi keizinan untuk Nazira kesana, tapi bila ayah dengar ada kes orang hilang, terus ayah jadi takut.”

Tuan Andrian berterus terang. Itulah apa yang sempat diceritakan Farish, dimana pendaki Gunung Murud masih belum dijumpai sehingga kini. Dia risau anaknya akan ditimpa masalah. Lagipula Bario sering dikaitkan dengan perkara mistis.

“Tak payahlah nak kesana Zira. Setakat nak tengok buah epal, di YouTube pun boleh,” sampuk Farish.

Nazira mula memuncungkan mulut. 

“Ayah harap Zira tak ambil hati ya?” Tuan Andrian memegang tangan anak perempuannya. Dia tahu Nazira seorang gadis yang cepat tersentuh.

“Ayah... Pleaselah. Nazira teringin nak kesana.”

Rayuan mula dikeluarkan. Dia berharap ayahnya akan berubah fikiran.

“Sayang, ayah sebenarnya memang izinkan Zira untuk kesana, tapi dari apa yang ayah baca di internet, tempat tu berbahaya. Jauh di pedalaman. Kemudahan pun tak lengkap. Ayah takut Nazira tak selesa disana.”

“Ayah... Ayah janganlah risau. Lagipun Nazira cuma seminggu disana. Pleaselah ayah...”

“Eh, kau tahu tak dekat sana ada hantu?” Farish pula memula langkah.

“Apa yang abang mengarut ni? Main hantu-hantu pula...” 

Nazira menjeling. Dia tahu itu cuma rekaan abangnya.

“Pernah dengar tak kisah kapal terbang hilang? Sekali jumpa dimana? Tak di tengah hutan tebal? Lepas tu kena sorok pula dengan hantu.”

“Tapikan mereka dah jumpa,” jawab Nazira. Dia tahu akan kisah itu. Kisah dimana sebuah kapal terbang yang hilang sebaik melalui kawasan tersebut.

“Jumpa memang jumpa, tapi berapa lama?”

Nazira diam. Kisah tersebut mula meremangkan bulu romanya. Kehilangan sebuah pesawat menggemparkan Malaysia, tatkala pesawat tersebut hilang dari radar sebaik melalui kawasan hutan terluas di Malaysia itu. 

Para penumpang yang mengikuti pesawat tersebut dijumpai telah mati. Mati setelah hampir dua minggu ditemui reput didalam pesawat.

“Jadi masih lagi nak kesana? Tak takut?” ujar Farish lagi.

“Tapi...”

“Sayang, macam yang ayah cakap tadi, ayah minta maaf. Ayah tak dapat nak beri keizinan. Kawasan tu jauh di pedalaman. Lagipun Zira tak biasa dengan kawasan hutan,” Tuan Andrian memberi kata putus.

Nazira diam. Dia mula menunduk. Air matanya sudah mula bergenang. Luluh hatinya akan ketidakizinan ayahnya. Hati kecilnya mula meronta, menjerit tidak berpuas hati.

“Sayang, bagi je lah Nazira tu pergi. Lagipun dia bukan pergi ke hutan. Tempat tu pun banyak orang kan. Orang sana boleh tengokkan dia,” sampuk Sofia pula, seolah menyokong anak tirinya untuk pergi.

“Tapi tempat tu jauh. Banyak benda misteri dekat sana,” jawab Tuan Andrian.

“Misteri apanya pula? Ada orang kerdil ke dekat sana? Takkan.”

Tuan Andrian melepaskan keluhannya. 

“Setakat ke Bario, apalah sangat. Tempat tu bukannya ada makhluk asing sampai tak boleh kesana. Lainlah kalau dia nak Chernobyl. Itu patut juga dilarang,” ujar Sofia lagi.

Chernobyl, siapa yang tak kenal dengan tempat itu? Satu kawasan bandar yang telah tercemar dengan udara radioaktif akibat meletupnya loji nuklear. Tempat yang kini tidak lagi didiami oleh para manusia. Kosong dan terbiar.

“Eh, yang kau sibuk ni kenapa?” tanya Farish. Dia tidak berpuas hati dengan campur tangan Sofia.

“Apa? Aku cakap pun salah ke? Betulkan? Setakat ke Bario apalah sangat,” Sofia menjawab dengan berani.

“Hei, dahlah tu. Takkan nak bergaduh?” tegur Tuan Andrian.

Farish menjeling tajam. Begitu juga dengan Sofia. Keduanya bagai anjing dan kucing. Namun siapa sangka jika keduanya pernah bersama suatu ketika dahulu.

Farish pernah menjadi teman lelaki Sofia sebelum akhirnya Sofia memilih ayahnya untuk menjadi pasangan hidup. Dari keputusan mengejut itu, Farish sudah menyimpan dendam pada Sofia. Wanita itu tidak akan dilayani dengan baik. Hatinya masih sakit dengan sikap Sofia. Malah lebih sakit tatkala mendapat tahu Sofia curang dengannya malah berhubungan dengan ayahnya sendiri.

Tidak tahan menanggung emosi, Nazira bangun dari tempat duduk. Dia berlari naik ke tingkat atas masuk kedalam biliknya. Dan satu hempasan pintu yang kuat terdengar, mengejutkan Farish dan ayahnya.

“Hoi, kau fikir pintu murah ke sekarang? Kalau rosak nanti, tak payah berpintu. Biar lapang,” jerit Farish marah. Sakit benar hatinya akan kebiasaan adiknya itu.

“Dahlah tu Farish. Biarkan Nazira tenang dulu,” ujar Tuan Andrian.

Farish hanya mencebik. Sempat dia melemparkan jelingan maut kearah Sofia. Sofia pula membalas dengan menjulur lidah, menambahkan rasa sakit hati Farish.


Didalam bilik, Nazira menangis semahunya. Dia benar-benar kecewa dengan jawapan abang dan ayahnya. Keinginannya untuk ke Bario hancur. 

Bantal kini basah dengan air mata. Dia marah, geram dan kecewa. Seribu satu rasa berkumpul didalam hati.

Ingin saja dia menjerit mengeluarkan amarahnya namun dia masih sedar diri. Tindakannya itu akan lebih membuatkan abang dan ayahnya sukar melepaskannya. Silap haribulan, dia tidak dibenarkan keluar dari rumah.

Nazira mendudukkan dirinya. Hingus yang meleleh dilap dengan hujung lengan baju. Matanya mula sembab.

Almari pakaian dipandang. Dia seolah mendapat idea untuk melarikan diri dari situ. Dan dia telah tekad, dia tetap akan ke Bario. Walaupun tanpa persetujuan ayah dan abangnya.

Beg pakaian beroda yang ada dibawah katil mula dikeluarkan. Almari dibuka, mengeluarkan beberapa helai pakaian lalu disumbat masuk kedalam beg. Dia tidak lagi peduli. Keputusannya bulat.

Tidak sampai sepuluh minit, beg pakaian tersebut telah penuh dengan pakaian. Jam dinding dipandang sekejap. Sudah pukul 9.30 malam.

Telefon pintar yang sedang dicas dicabut. Dia mula mendail nombor rakannya Alia.

“Hello Alia,” ujar Nazira sebaik rakannya itu mengangkat panggilannya.

“Alia, tolong ambil aku boleh?” pinta Nazira. Suaranya perlahan, risau jika perbualannya didengar oleh abangnya.

“Kau nak ke mana?” Alia bertanya.

“Aku cadang nak tumpang rumah kau malam ni. Boleh tak?”

“Eh, kau lari dari rumah ke ni?”

“Panjang ceritanya. Kau ambil aku disimpang ya?”

Alia bersetuju. Panggilan dimatikan.

Jam dinding dipandang lagi. Baru tiga minit berlalu. Ayah dan abangnya pasti masih diruang tamu. Mana mungkin dia akan keluar sambil membawa beg pakaiannya. Pasti ayah dan abangnya akan menghalang.

Tingkap yang terbuka memberi idea untuk Nazira. Dia menghampiri tingkap itu, menjenguk ke bawah.

Beg pakaian mula ditarik. Dia ingin membuang beg pakaian tersebut ke bawah. Dengan tenaga yang tidak seberapa, beg pakaian tersebut akhirnya berjaya diangkat. Dengan penuh berhati-hati, dia melemparkan beg tersebut.

Buk!

Farish terkejut dengan bunyi tersebut. Pantas kepalanya berpusing mencari punca bunyi kuat tersebut.

“Kenapa ni?” tanya Tuan Andrian.

 Hairan pula dia melihat gelagat anak sulungnya yang tidak ubah seperti seekor meerkat.

“Ayah dengar tak? Ada bunyi macam benda jatuh,” ujar Farish.

Tuan Andrian. Dia mencuba untuk mendengar bunyi yang dimaksudkan. Namun tiada apa yang didengarnya melainkan suara penyampai berita di televisyen.

“Tak ada apa pun. Mungkin bunyi orang main mercun tu,” ujar Tuan Andrian. Dia kembali fokus pada televisyen.

“Main mercun apanya pula? Bukannya sekarang musin tahun baru cina,” balas Farish.

Tuan Andrian hanya mengangkat bahunya. Dia malas hendak ambil tahu.

Farish pula bangun. Dia semakin tertanya-tanya akan bunyi tersebut. Ruang dapur mula dimasuki, risau jika ada sesuatu yang masuk kedalam rumahnya.

Nazira membuka pintu biliknya perlahan-lahan. Kepalanya dijenguk keluar. Dengan langkah yang perlahan, dia keluar dari dalam bilik.

Satu persatu anak tangga dituruni. Dia tidak mahu menarik perhatian abang dan ayahnya.

“Kau apahal?”

Pertanyaan tersebut membuatkan Nazira terlompat. Dia terkejut bukan kepalang. Jantungnya terasa beralih arah, sempat berhenti mengepam.

“Abang...”

“Apa abang-abang?” balas Farish. Ditangannya ada sebatang kayu.

“Abang nak buat apa dengan kayu tu?” tanya Nazira. 

Dia mencuba untuk berlagak selamba. Risau juga hatinya jika abangnya sedar akan keinginannya.

“Kau ada dengar bunyi tak tadi?” Farish tidak menjawab pertanyaan adiknya.

“Bunyi? Bunyi apa?” 

Nazira menelan air liurnya. Dia tahu akan maksud abangnya. Bunyi yang dikatakan adalah bunyi dari beg pakaiannya yang dibuangnya dari tingkat atas.

“Kau tak dengar ke? Bunyi macam ada benda jatuh.”

“Benda jatuh? Mungkin jiran sebelah kot.”

“Jiran sebelah? Kau merepek apa ni? Takkanlah sampai kesini dengar kalau bunyi tu datang dari jiran sebelah?” Farish mengerutkan dahinya. Dia mula mencium kebohongan.

Nazira kembali menelan air liur. 

“Alah, mungkin je jiran kita yang jatuh. Kan dia besar,” Nazira mengembungkan mulutnya.

“Nazira oii, kalau jiran kita yang jatuh takkan ada bunyi buk macam tu. Paling tidak pun ada gempa bumi,” balas Farish.

Nazira tersenyum. Lawak abangnya sedikit mencuit hatinya. Dia lupa akan rasa marahnya tadi.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail