“TAHNIAH BRO!” Ken memeluk sahabat-sahabatnya.
Hari itu hari bersejarah mereka di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Mereka telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan selepas empat tahun di situ. Impian mereka untuk menjadi seorang guru bakal terlaksana selepas ini. Masing-masing kelihatan ceria di dalam jubah konvokesyen bersama skrol ditangan.
“Tahniah untuk kau jugak bro!” Nazim, Alan dan Haziq membalas ucapan tersebut.
Mereka berempat sama-sama berasal dari Pahang dan mula bersahabat sejak melanjutkan pelajaran di situ. Belajar dalam satu dewan kuliah yang sama benar-benar menyeronokkan. Empat tahun dirasakan sekejap sahaja berlalu.
“Jadi ke plan kita nak pergi bercuti lepas graduate ni?” tanya Alan inginkan kepastian. Dia sudah tidak sabar-sabar mahu beriadah bersama rakan-rakannya.
Nazim mengangguk.
“Jadi.”
“Minggu depan kan?” soal Ken pula. Soalannya dibalas dengan anggukan kepala Nazim dan Haziq.
“Sayangnya kita takde awek yang boleh dibawa sekali. Ruginya!” Alan berkata penuh kesal. Rakan-rakannya ketawa terbahak-bahak. Beginilah hidup solo, hanya menghabiskan masa bersama rakan-rakan sahaja. Kadang-kadang naik jemu juga.
“Bukan kita Alan. Ni, geng kita si Haz ni. Dia kan ada awek,” Nazim mengusik seraya mengangkat-angkat keningnya.
Haziq menggeleng. Senyuman pahit terukir di bibirnya.
“Aik, kenapa geleng kepala?” Ken bertanya hairan.
Gelengan kepala Haziq menimbulkan tanda tanya rakan-rakannya. Sebelum ini Haziq mempunyai teman wanita namun tidak dinafikan Haziq memang kurang bercakap tentang gadis itu. Mungkin tidak berapa gemar bercerita tentang kisah peribadinya kecuali jika dipaksa.
“Kami dah putus,” kata Haziq, tenang.
“Ha?Bila?” Nazim ternganga. Dia tidak tahu pun!
“Dah sebulan. Dia pun dah ada orang lain. Lupakanlah,” ujar Haziq. Dia tidak mahu bercerita tentang itu. Biarlah bekas kekasihnya itu bahagia dengan teman lelaki baru. Orang tak hendak dia pun tak hingin.
Nazim, Alan dan Ken memandang Haziq dengan muka blur. Haziq memang hebat. Sudah sebulan dia putus hubungan dengan gadis itu tetapi tidak sekalipun riak mukanya menggambarkan yang dia sedang kecewa atau bersedih. Ya, inilah perangai Haziq. Selamba dan susah untuk dibaca isi hatinya.
Baru sahaja Alan mahu membuka mulut, bahunya dilanggar oleh seorang remaja lelaki. Dia hampir-hampir terjatuh.
“Sorry, sorry,” ucap seorang wanita berumur 25 tahun. Adik lelakinya yang telah melanggar bahu Alan sebentar tadi. Remaja itu pula terus berjalan ke hadapan tanpa meminta maaf.
Alan dan yang lain menggelengkan kepala. Biadap.
“QAYYUM, TUNGGU!” Qisya memegang lengan adiknya.
“Apahal ni?!” Qayyum menyoal kasar. Dia merentap tangannya kasar dari pegangan Qisya. Kakaknya ini memang menjengkelkan!
“Qay nak pergi mana? Kenapa tak jumpa dengan Mak Ngah dulu?”
“Saya dah cakap saya malas pergi sini! Akak aje yang suka paksa-paksa saya! Saya malas nak jumpa sesiapa!” marah Qayyum.
Lebih baik dia menghabiskan masa di rumah dengan permainan video. Lagipun dia bukannya suka sangat pada keluarga Mak Ngah mereka. Suka membanding-bandingkannya dengan anak-anak mereka yang berjaya dalam pelajaran.
Qisya mengeluh. Qayyum buat hal lagi. Satu-satunya adik lelakinya ini memang keras kepala. Bukannya mahu mendengar kata.
“Apa salahnya berjumpa dengan dia orang sekejap. Lepastu kita bertolak balik ke Selangor,” pujuk Qisya. Besar harapannya supaya Qayyum bersetuju.
Qayyum merenung muka kakaknya dengan marah.
“Aku cakap tak nak, tak naklah!” suaranya meninggi sehingga menarik perhatian orang-orang yang ada di tapak konvokesyen itu.
Qisya akhirnya mengalah. Nanti mengamuk pula Qayyum di sini. Tidak pasal-pasal mendapat malu pula nanti. Dia menyerahkan kunci kereta kepada adiknya dan meminta remaja itu menunggunya di dalam kereta.
“Akak nak jumpa Mak Ngah dengan Pak Ngah sekejap.”
Qayyum mendengus. Dia memusingkan tubuh lalu beredar pergi. Qisya hanya mampu memandang adiknya dengan rasa kecewa. Semakin besar semakin degil. Walaupun Qayyum membuatkannya sedih 24 jam tetapi kerana sayang dia turutkan. Mereka sudah kehilangan ibu dan bapa sejak Qayyum berumur 10 tahun lagi. Sekarang dialah ayah dialah ibu.
Qisya tersenyum manis apabila melihat Haqim yang segak berjubah graduasi. Dia tumpang gembira diatas kejayaan sepupunya ini.
“Tahniah Mak Ngah, Pak Ngah, Haqim.” Dia berkata ikhlas. Tangannya merangkul bahu Mak Ngahnya.
“Qayyum mana kak?” tanya Haqim. Matanya melilau mencari kelibat Qayyum.
Qisya tersenyum pahit.
“Dia tak berapa sihat. Tu yang tunggu dalam kereta.” Qisya mencipta alasan. Dia terpaksa berbohong untuk menyelamatkan imej adiknya.
Mak Ngahnya melepaskan keluhan. Dia kenal benar dengan perangai Qayyum. Dia sebenarnya kasihan dengan Qisya yang terpaksa melayan kerenah Qayyum yang biadap.
“Kau jangan ikutkan sangat si Qayyum tu Qisya. Mak Ngah tengok dia dah makin melampau. Tak hormat langsung kau sebagai kakak dia,” nasihat Mak Ngah. Kadang-kadang dia geram dengan perangai Qayyum yang macam hantu.
Qisya hanya mampu tersenyum tetapi senyumannya itu sepahit hempedu.
“SAYANG!” jerit Jun Xia sambil menunjuk ke hadapan kereta. Suaminya hampir-hampir melanggar seseorang.
Raj cepat-cepat menekan brek. Kereta yang bersusun di belakang membunyikan hon bertalu-talu. Mujur tiada kes kemalangan jalanraya.
“Tengok kiri kananlah dik!” laungnya dari dalam kereta. Memang bermasalah betul! Tidak belajar cara-cara melintas jalan ke?
Jun Xia memegang bahu suami yang baru dikahwininya minggu lepas. Dia menenangkan lelaki India itu.
“Sudahlah sayang. Jangan marah-marah.”
Raj menggeleng-geleng. Budak lelaki itu hampir-hampir cedera atau mati jika terlanggar tadi! Sudah besarpun tidak tahu melintas jalan. Dia membebel dalam hati. Sudahlah tidak pandai memohon maaf!
Ekor mata Raj mengekori langkah kaki remaja itu sehingga dia menghilang di balik dinding bangunan konkrit. Sesetengah remaja zaman sekarang memang tidak tahu adab!
“Kereta-kereta di belakang dah bising-bising.” Jun Xia berkata. Sudah agak lama suaminya berhenti dan kereta mereka mulai mengganggu pergerakan lalu-lintas.
Dengan muka kelat, Raj memandu keretanya pergi dari situ. Dia berharap supaya dia tidak terserempak dengan remaja itu lagi sekali. Jumpa sekali lagi, taulah aku macam mana nak nasihat kau! Getus hatinya, geram.
Jun Xia menepuk-nepuk lembut paha suaminya. Segaris senyuman manis terukir dibibirnya. Mereka sudah membuat perancangan untuk berbulan madu di satu lokasi pada minggu hadapan. Perasaan terujanya membuak-buak.
“You janganlah marah-marah lagi. I nak happy-happy aje. Lagipun you handsome sangat kalau senyum.” Pandai dia mengambil hati suami yang sedang membara. Cepat sahaja hati lelaki itu bertukar sejuk.
“You ikhlas ke puji I ni?” Raj mengusik.
Tawanya terburai apabila Jun Xia memuncungkan bibir tanda tidak puas hati. Sejak bercinta lagi dia memang suka mengusik Jun Xia. Wanita berumur 25 tahun itu kelihatan comel sekali apabila merajuk.
“Yalah, I tak marah dah. Sekarang kita pergi shopping untuk honeymoon ya sayang,” ujar Raj lalu memulas stereng masuk ke simpang sebelah kanan. Mereka sudah sampai ke destinasi yang dituju.