Sesampai di rumah, Lotpi dan Jibam tidak banyak berbual. Mereka
masuk ke bilik masing-masing. Besok keduanya perlu bangun awal untuk bekerja.
Jibam masuk dan merebahkan badannya di atas katil. Fikirannya
bercelaru. Dia melihat ke arah kipas yang berpusing ligat di siling. Seekor
cicak gemuk sedang menanti mangsa berdekatan dengan lampu kalimantang yang
terletak terkehadapan dari kipas yang berpusing. Seekor rama-rama kecil hinggap
di lampu yang sedang bernyala itu. Rama-rama mengepakkan sayapnya. Cicak gemuk
dengan pantas mengeluarkan lidahnya. Tamat riwayat hidup rama-rama itu di mulut
cicak. Kenyang cicak.
Jibam memikirkan apa nasibnya. Dia memikirkan sesuatu. Sama
seperti rakyat berpendapatan rendah yang memikirkan tentang kenaikan harga
gula, harga minyak dan lain-lain keperluan harian yang menjerut kehidupan.
Jibam tidak begitu kisah tentang kenaikan harga gula kerana
dia mempunyai pendapatan bulanan. Jibam kasihan kepada penduduk kampung yang
hanya mempunyai motosikal sahaja. Kebanyakkan mereka mempunyai anak yang ramai.
jika hendak ke pekan akan dibawa membonceng beramai-ramai, melintasi jalan yang
sibuk. Kadang-kadang membawa anak yang masih kecil yang diletakkan di bahagian
hadapan motorsikal.
Jibam selalu terserempak dengan bapa yang membawa anak-anak
membonceng motosikal, ketika merentasi jalan balik ke rumahnya dari tempat
kerja setiap hari.
“Mas, kalau di Indonesia harga gulanya mahal,” Sutinah pernah
memberitahunya suatu petang ketika dia mengunjungi mini market Pak Nuji.
“Gula Aren Batok Bengkulu saja, harganya lima belas ribu
rupiah gitu, satu kilo,” tambah Sutinah.
“Kalo gula putih pula, lima ratus tiga puluh lima ribu rupiah
bagian lima puluh kilo,” tambah Sutinah lagi.
“Bisa aja Pak Menteri, Wali Kota, kepala Kantor dan
seumpamanya enggak terkesan dengan harganya. Mereka punya uang,” tambah
Sutinah lagi.
“Di
Malaysia pula, gomen minta rakyat kurang ambil gula. Gula kurang nanti sakit
kencing manis pun kurang,” Pak Nuji yang sedang menyusun barang pula mencelah.
Dia sudah lama mengamati perbualan Sutinah dan Jibam.
“Memang benar Pak, semakin kurang gula pokoknya bisa selamat
dari diabetes,” balas Sutinah.
“Gimana ya kalau milo pun turut naik harganya?” pertanyaan
Sutinah menyebabkan Jibam dan Pak Nuji terkebil-kebil.
“Milo kesukaanku,” pintas Jibam.
“Kesukaanku juga,” balas Sutinah.
“Pak Cik pun suka juga,” Pak Nuji melahirkan persaanya.
Ketiga-tiga mereka ketawa berderai hingga menarik perhatian
beberapa pelanggan yang masuk ke dalam mini market Pak Nuji.
“Cari apa bung?” Tanya Sutinah kepada seorang pelanggan.
“Cari setin milo, yang 1 kilo ada tak?” pelanggan tersebut
memberi respon.
Ketawa Sutinah, Jibam dan Pak Nuji seterusnya
bersambung-sambung apabila mendengar pertanyaan pelanggan tadi. Dia kelihatan
kehairanan dengan ketawa itu.
“kesukaan ramai,” balas Jibam.
“Ada-ada,nanti saya ambilkan,” balas Sutinah sambil menahan
ketawa. Kemudian Sutinah berlalu pergi meninggalkan Pak Nuji dan Jibam.
“Kamu tahu milo keluaran Malaysia memang sedap.Penuh dengan
coklat. Tidak seperti keluaran Indonesia atau Thailand. Katanya di Australia
pun tidak sesedap keluran Malaysia,” beritahu Pak Nuji.
“Dibungkuskan di Malaysia Pak
Nuji. Prosesnya di Singapura juga. Sama seperti air, dihantar ke Singapura dan
diproses kemudian dibeli pula oleh Johor,” tambah Jibam.