Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
204,122
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

SELEPAS mengemas biliknya, Dian menuju ke ruang tamu untuk berehat dan menonton televisyen. Tiba-tiba hendak melepak dan bermanja dengan ibunya. Padahal saban hari dia asyik berkepit dengan ibunya apabila berada di rumah.

Dia tidak pernah berasa dirinya dewasa apabila berada di samping ibunya. Kadang-kadang mereka berdua bagai kakak dan adik yang begitu rapat sekali.

“Dian macam mana sekarang ni?” tanya Puan Anim. Rasanya inilah saat paling sesuai untuk berterus terang dengannya. Kadang-kadang dia dan suaminya membuat keputusan sendiri tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Dian.

“Macam mana apa, ibu?” soalnya sambil duduk di sebelah Puan Anim.

“Yalah, bila nak berkahwin? Belajar dah habis, kerja pun sudah stabil.” Puan Anim bertanya sambil merenung lembut anak gadisnya.

“Ibu tolong carikan,” balasnya pula. ‘Hmm… Apa lagi harus dijawab? Istana impian bukan lagi di awangan, sebaliknya telah menyembah bumi,’ detiknya dalam hati.

“Dian bercakap macam orang patah hati saja?” Puan Anim menduga anak gadisnya. Bukan dia tidak tahu apa yang terjadi, sengaja dia memberi ruang kepada anaknya untuk mengubat lukanya sendiri.

“Andai hati ini dapat dilihat, bukan setakat patah malah sudah tidak serupa hati,” jawabnya sambil tersenyum pahit.

“Bukankah anak ibu selalu berfikiran positif?” ujar Puan Anim pula.

“Sebab itu Dian okey sahaja. Satu pergi, sepuluh datang.”

“Tetapi sepuluh yang datang tetap tidak dapat menyamai satu yang pergi,” balas ibunya pula.

“Biarkanlah… mungkin dia tidak cukup baik untuk Dian.” Dia memujuk hatinya.

“Betul tu. Di luar sana pasti ada yang terbaik untuk anak ibu ini,” ujar Puan Anim sambil menguntum senyuman.

“Ibu ni… cakap macam ada benda hendak beritahu Dian saja?” Dia bagai sudah dapat meneka apa yang bermain di fikiran ibunya. Pasti ada sesuatu yang ingin disampaikan.

“Hmm… Dian kan, suruh ibu cari? Sebenarnya siang-siang lagi ibu sudah cari. Kalau malam-malam, nanti tidak nampak pulak. Takut tersalah pilih.” Puan Anim cuba menyampaikan hajat secara gurauan.

Dian membulatkan matanya. ‘Ibu aku ni… tadi gurau saja, rupanya dah cari. Habislah kali ini,’ desisnya.

“Ibu tahu Dian sudah putus dengan Danish sebab itu cepat-cepat cari pengganti. Ibu tak mahu anak ibu terus-terusan berduka,” ujar Puan Anim sambil memeluk bahu anaknya.

“Cepatnya ibu tahu…”

“Tak hendak ambil tahu pun akhirnya tahu jugak,” tuturnya sambil merenung Dian.

“Siapa pulak calon kali ni?” tanyanya seolah-olah tidak sabar pula.

“Ir. Ahmad Zamil Zairazi.” Pantas sahaja Puan Anim menyebutnya.

“Panjangnya nama dia… tapi macam pernah dengar saja,” ujarnya sambil otaknya cuba mengingat kembali.

“Hmm… memang dia.” Ibunya memberitahu dengan tenang.

“Ibu… Kenapa buat Dian macam ni?” keluhnya. Tiba-tiba dia rasa lain pula.

“Ayah dan ibu tidak sampai hati hendak menolaknya,” ujar Puan Anim. Itulah yang dia dan suaminya rasa.

“Tetapi kenapa dia? Ibu masih nak buat Dian rasa serba salah.”

“Hingga saat ini, kalian berdua masih belum bertemu jodoh. Rasanya tidak salah andai ayah dan ibu mempertimbangkannya semula.” Puan Anim meluahkan perasaan di hati.

“Bila pulak keluarga dia datang? Bukan ke seperti sudah ludah, jilat kembali?” soalnya. Tiba-tiba peristiwa sedih itu terlayar di ruangan mata.

“Sebenarnya tiada sesiapa pun yang meludah. Juga tiada siapa yang kena ludah,” sangkal Puan Anim. Lembut sahaja dia menuturkannya.

“Habis tu, bagaimana semua ini berputar balik?” soalnya bagai tidak berpuas hati pula.

“Anak ibu sentiasa bersangka baik, kan?” pujuk ibunya.

“Bagaimana kalau pisang berbuah dua kali?” Kini dia memandang tepat ke wajah ibunya.

“Baguslah… hasilnya pasti bertambah!” usik Puan Anim pula kemudian turut tertawa.

“Ibu ni… Dian serius, ibu main-main pulak.”

“Betullah apa yang ibu cakap. Orang lain kena bercucuk tanam dua kali untuk dapatkan hasil. Dian pulak tidak perlu bersusah payah.”

“Malaslah Dian nak layan ibu ni,” balasnya seakan merajuk pula.

“Anak ibu janganlah begini. Sekarang ini, tunggu lampu hijau daripada Dian. Kalau okey, dua bulan lagi bolehlah bernikah,” terang Puan Anim buat dia terkejut.

“Amboi, macam itu sahaja? Biar betul?” balasnya dengan muka tercengang. Memang dia terkejut sungguh!

“Pihak lelaki mahu macam itu,” balas ibunya. Senyuman manis telah terukir di bibirnya sambil menanti jawapan si anak.

“Otak Dian sudah sebu dan tidak boleh nak berfikir. Apa pendapat ibu?” soalnya pula.

“Sebagai gadis yang baik, tidak wajar menolak lamaran daripada lelaki budiman.Sekali Dian menolak, memang tidak ada lagi yang akan datang.” Puan Anim memberikan jawapan yang jujur dari hatinya.

“Dian tidak pernah menolak, pihak lelaki yang buat hal.” Selama ini pun dia tidak pernah ambil hati dengan apa yang telah terjadi.

“Sebenarnya ibu tidak pernah pulangkan cincin tu. Pihak lelaki juga tidak pernah menuntutnya.” Puan Anim menjelaskan apa yang disembunyikan selama hampir 5 tahun ini.

“Macam tu ke? Agaknya sebab itu sampai sekarang Dian masih sendiri,” keluhnya.

“Ke situ pulak Dian ni. Jadi, apa keputusan anak ibu?” tanya Puan Anim.

“Tawakal sahajalah. Mungkin dia jodoh yang terbaik untuk Dian.” Dia sendiri tidak menyangka semudah itu pula dia memberikan jawapan.

“Alhamdulillah… percayalah, ayah tidak akan menyerahkan Dian kepada sembarangan orang.” Puan Anim memberi keyakinan kepada anak gadisnya.

“Entahlah, kali ini Dian memang sudah serik. Dian serahkan segalanya kepada ayah dan ibu untuk tentukan,” ujarnya sambil memegang tangan ibunya.

“Betul ni, tak mahu berjumpa dahulu?” tanya Puan Anim untuk kepastian.

“Tak apalah. Dulu pun sampai ke sudah tak berjumpa jugak,” jawabnya sambil tersenyum.

“Hmm… nampak sangat anak gadis ibu ini macam sudah putus harapan saja.”

“Nak buat apa berharap kepada orang yang tidak sudi? Baik beri hati ini kepada yang lebih berhak,” balasnya. Entahlah, dia sudah tidak mahu fikir lagi tentang kenangan silam.

“Itu yang buat ibu sayang sangat dengan Dian. Dengar cakap, dengar nasihat…” Puan Anim memuji anak gadisnya. Dian sememangnya begitu, tidak suka menyusahkan atau merumitkan sesuatu perkara.

“Dah anak ibu,” jawabnya sambil melentok kepala di bahu ibunya.

“Satu saja pesan ibu, setelah berkahwin nanti kena tutup buku lama. Buku baru nanti kena bermula dengan kosong, baru seronok,” tutur Puan Anim dengan cerianya.

“Kalau macam itu, janganlah suruh tutup buku lama.Patutnya terus bakar atau buang saja.”

“Kalau bakar atau buang, terhapuskah semua kenangan?”

Pertanyaan ibunya buat dia terkedu seketika. “Kenangan tetap kenangan. Bila teringat, terbayang jua di hadapan mata,” ujarnya perlahan.

“Sebab itu ibu suruh tutup saja. Ada kalanya ia boleh memberi panduan, jadi bukalah sebagai rujukan. Namun, tetap tidak boleh kembali kepada buku yang lama.” Puan Anim memberi nasihat kepada anak kesayangannya.

“Bercakap dengan ibu ni memang tidak habis, apa kesimpulannya?” soalnya.

“Memandangkan Dian sudah bersetuju, selepas ni kena cepat-cepat pergi kursus. Dahulu Dian tak jadi pergi kursus, kan? Yang lain semuanya telah diuruskan. Anak ibu hanya perlu hadirkan diri pada hari pernikahan,” terang Puan Anim.

“Sudah sejauh itu ibu merancang?” tanyanya bagai tidak percaya pula.

“Ibu tahu, Dian tidak akan menolak,” jawab Puan Anim dengan gembiranya.

“Ibu memang ibu sejati,” ucapnya.

“Kalau ibu ini ibu sejati, Dian apa pula?” Senyuman di bibirnya semakin lebar.

“Entahlah, nama sahaja Dian tetapi tidak sanggup hendak membakar diri walaupun untuk terangi diri sendiri,” keluhnya.

“Tak apalah. Dian tetap kesayangan ibu dan ayah,” balas Puan Anim sambil mencium pipi anaknya.

“Terima kasih ibu,” ucapnya kemudian turut memberi ciuman mesra.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.