Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
204,112
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

DIAN melemparkan pandangannya ke arah luar restoran. Hujan masih lagi renyai, begitu pun gerimis di hatinya telah lama reda. Dia cuba menyelami perasaan sendiri dan memikirkan nasib yang menimpa dirinya.

Berkawan pernah, bercinta pun pernah. Orang lain bertunang, dia pun bertunang juga. Pasangan lain bahagia meniti jenjang pelamin, dirinya pula tersungkur sebelum sempat melangkah ke gerbang perkahwinan. Namun, dia tidak pernah berputus asa.

Berkali-kali dia putus cinta kemudian bercinta lagi. Ada yang putus di tengah jalan, selepas itu cuba disambung kembali. Sekejap okey tetapi selepas itu ada sahaja yang tidak kena. Mandi bunga jangan tanyalah, dia memang selalu buat di spa. Sudahnya dia kena tinggal lagi dan lagi.

Kali ini dia memang sudah malas hendak fikir tentang cinta. Bukannya membuat diri bahagia, asyik dilukai sahaja. Masuk yang ini, sudah tidak terkira jari kaki dan tangan. Kena tambah jari hantu kawan sebelah baru cukup gamaknya!

“Kenapa kau tersenyum?” tegur Asmidar, sahabat tempat dia meluahkan segala perasaan di hati.

“Bukan ke senyuman itu bahasa tanpa suara yang paling manis?” Lancar sahaja dia menuturkannya. Semudah dia melupakan kekecewaan di hati.

“Ada-ada ajelah kau ni,” ujar Asmidar kemudian menghabiskan kuih seri muka yang masih tinggal sepotong.

“Siapa lagi yang akan mengubat luka di hati andai bukan diri sendiri?” keluhnya.

“Yalah, aku doakan semoga kau cepat sembuh,” ucap Asmidar yang turut bersimpati.

“Terima kasih,” balasnya sambil memandang ke arah padang yang sederhana besar dan ada permainan sekali. Kelihatan tiga orang kanak-kanak menumpang teduh di wakaf yang ada di situ. Tangan masing-masing memegang layang-layang yang sudah pun basah.

“Betul ke dengan keputusan yang kau buat ni?” tanya Asmidar inginkan kepastian. Dia tahu Dian kecewa, tetapi masakan begitu cepat membuat keputusan?

“Aku bukan pilihan keluarga dia.Buat apa aku nak tunggu lagi?” soalnya. Memang dia berasa sedih sangat, namun bagaimana lagi? Andai dia melalak sekali pun, tiada siapa pun yang sudi memujuk. Baiklah dia senyum sahaja.

“Tetapi kau tidak pasti lagi cerita di pihak sana,” ujar Asmidar pula. Walaupun tidak mengenali Danish, dia tahu Dian begitu menyayangi lelaki itu.

“Kau nak aku buat apa?Aku juga ada maruah dan harga diri.Kenapa perlu terhegeh-hegehpada orang yang tak sudi?” Bagi dirinya, biarlah dia yang berundur.

“Suka hati kaulah, tapi kau tak nak cari lain ke?” Sengaja Asmidar bertanya. Dia turut merenung sayu wajahnya yang sentiasa tenang. Sebiji wajah Puan Anim, ibunya yang lembut dan sedap mata memandang.

“Aku malas nak bercinta lagi. Asyik dikecewakan saja. Penat tau,” jawabnya.

“Takkan begitu mudah berputus harap? Kau yang aku kenal, tidak begini.”

“Kadang-kadang kita kena berubah juga untuk sesuaikan diri dengan situasi yang dialami,” ujarnya. Begitulah dia melihat persepsi hidup ini.

“Hmm… patah tumbuh, hilang berganti.Aku tahu sangat dengan kau tu. Tengoklah nanti, tak sampai sebulan mesti sudah ada pengganti.” Asmidar yakin sangat dengan sahabatnya ini, pasti tidak lama berduka.

“Masinlah hendaknya mulut kau tu. Tak payah aku susah-susah mencari,” balasnya kemudian ketawa kecil.

“Sajalah nak bertanya, kau pernah terfikir tak?Kenapa orang kata mulut masin dan bukannya mulut bergaram?”

“Kau janganlah buat aku geram dengan bertanya soalan itu. Nanti bertambah pedih pulak luka yang baru nak sembuh ini,” jawabnya. Tiba-tiba rasa bengang pula.

“Tak apalah. Luka di dalam hati orang lain tak nampak. Diri sendiri sahaja yang tahu,” ujar Asmidar kemudian menyisip air minumannya.

“Apa yang ada di dalam hati tetap terpancar di sinar mata. Tak cakap pun, akhirnya orang tahu jugak,” balasnya.

“Baguslah kalau macam itu. Apabila sudah ada yang tahu, sudah pasti ada yang sudi mengubatinya,” ungkap Asmidar dengan senyuman di bibir.

“Bagus apa? Asyik menambah koleksi bakal suami yang tak jadi!” balasnya.

“Seronok tau… nanti boleh bercerita kepada anak cucu,” ujar Asmidar kemudian ketawa terkekeh-kekeh.

“Sudahlah kau! Kisah kau tidak pernah terpilih dan masuk senarai, tak nak cerita?” perlinya.Asyik dia sahaja yang terkena.

“Kau ni… gurau sikit pun tak boleh.”

“Eh! Sekarang sudah pukul berapa?” soalnya.

“Dah pukul 6.00 petang. Kenapa?” tanya Asmidar pula.

“Kita nak bertapa di restoran ini sampai malam ke?”

tanyanya apabila menyedari hujan sememangnya telah berhenti.

“Jom kita pergi tengok wayang. Siapa tahu dalam gelap-gelap tu, tiba-tiba terjumpa pulak dengan orang putih!” Sengaja dia hendak mengusik Dian.

“Kau ni memang sengaja nak buat aku sakit hati,” marahnya. Begitu pun dia terhibur juga dengan gurauan itu.

“Jomlah, aku pun tengah bosan jugak ni,” ajak Asmidar lagi.

“Baik kau pergi bayar cepat. Hari ini kau belanja, kan?” suruhnya.

“Yalah, aku pergi bayar dulu.” Asmidar segera bangun dan menuju ke kaunter pembayaran.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.