Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
204,121
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

ZAMIL memandang tepat ke wajah Dian. Seketika pandangan mereka bertautan. Tiada bicara daripada gadis bertudung biru yang kini duduk berhadapan dengannya. Malah, dia kembali tunduk dan menikmati tomyam yang memang kegemarannya.

Ada ketikanya Dian bagai terlupa sedang berdating dengan bakal suami sebab teruja menikmati tomyam istimewa ini. Dia pun tidak menyangka yang Zamil akan mengajaknya ke restoran kegemarannya. Lagipun sudah agak lama juga dia tidak makan di sini.

“Betul ke keputusan yang awak ambil ini?” soal Zamil untuk kepastian.

“Saya sudah berterus terang dengan awak. Selagi ijab dan kabul belum diakad, awak masih boleh mengubahnya,” jawab Dian kemudian mengelap tepi bibirnya dengan tisu.

Mata Zamil masih tidak lepas merenung Dian yang bakal menjadi isterinya. Gadis inilah yang akan bersama-sama dengannya melayari bahtera yang diri sendiri akan kemudinya kelak. Sekejap dia rasa okey namun, tidak lama selepas itu dia rasa tidak sedap hati pula.

Dia menarik nafas panjang. “Seperti awak tidak memaksa saya, saya juga tidak akan memaksa awak untuk ikut apa yang telah keluarga kita putuskan,” tutur Zamil perlahan.

Dian pandang Zamil tetapi kemudiannya dia melemparkan pandangan ke arah lain pula. ‘Apa yang dia cakap ni? Berbelit-belit pulak, nanti sampai ke sudah tiada keputusan juga,’ desisnya.Dia rasa bengang pula dengan tingkahnya.

Mereka diam seketika. Masing-masing sambung menikmati makanan yang terhidang. Dian laju sahaja menghirup kuah tomyam tanpa rasa segan. Dalam keadaan lapar begini, tiba-tiba dia lebih memenuhi seleranya dari memikirkan masalah dirinya dan Zamil.

Apabila Zamil senyap sahaja, Dian mengangkat muka dan memandang ke wajahnya. “Majlis kita tinggal dua minggu sahaja lagi. Apa sebenarnya keputusan awak?” soalnya.

“Kalau pada masa ini baru nak kata tak setuju, memang buat semua orang marah. Macam awak cakap, semuanya telah diuruskan. Tetapi, kalau tidak membantah, kita juga yang kena lalui dan tanggung,” jawab Zamil kemudian mengeluh berat.

“Saya sebenarnya sudah malas nak fikir soal hati dan perasaan. Ketika ini memang sudah tak boleh nak fikir,” ujarDian tanpa berselindung.

“Apa maksud awak berkata begitu?” tanya Zamil. Matanya masih merenungnya. Dia cuba mencari sebuah pengertian dan keikhlasan pada wajah gadis di hadapannya.

“Memandangkan awak pun macam tidak ada keputusan di kepala, balik nanti awak buatlah solat istikharah. Pasti ALLAH akan beri pertunjuk apa yang baik untuk awak,” cadang Dian.

“Awak akan terima apa jua keputusan saya?” tanya Zamil kemudian meneguk air di hadapannya.

“Ya, saya akan terima apa pun keputusan awak. Lebih mudah begitu dari kita duduk berbincang padahal tidak bawa kita ke mana-mana,” jelasnya.

Sekali lagi Zamil merenung wajah Dian. “Okeylah, apa-apa nanti saya akan telefon awak,” ujarnya hanya untuk mententeramkan hati sendiri.

“Suka hati awaklah tetapi jangan pulak esok hendak nikah, hari ini baru sibuk nak beritahu awak tak setuju. Bukan keluarga saya yang akan cekik-cekik awak, saya sendiri yang akan tembak awak,” ugut Dian sambil bibirnya mengukir senyuman.

“Manis…” Tiba-tiba perkataan itu pula yang keluar dari mulut Zamil.

“Apa yang manis? Kuah tomyam yang awak hirup tu ke?” tanya Dian sambil merenung tajam ke arahnya.

“Ha’ah...” jawab Zamil tersipu malu.

‘Sah Zamil ini dah biul,’ desis Dian kemudian menggelengkan kepala.

“Betul ni, apa pun keputusan yang saya ambil awak akan terima?” ulang Zamil untuk melindungi perasaan malu yang datang sebentar tadi.

“La… berapa kali saya nak cakap? Awak tu bukan budak sekolah tadika, dah boleh jadi bapak budak pun,” ujar Dian dengan perasaan geram.

“Kalau saya ambil keputusan kita teruskan perkahwinan ini, awak nak kata apa?” tanya Zamil, ingin tahu isi hati gadis di hadapannya.

“Nak kata apa lagi? Okey sajalah. Kita berkahwin dan lalui hidup ini seperti biasa,” jawabnya.

“Apa yang seperti biasa?” tanya Zamil yang tidak faham dengan apa yang Dian maksudkan.

“Awak nikan, saja buat saya sakit jiwa,” marahnya sambil menjeling Zamil.

“Yalah, kalau kita berkahwin, nanti boleh ke awak sayangkan saya?” tanya Zamil pula.

“Sekarang kita belum berkahwin lagi, macam mana saya hendak jawab soalan awak?” jawabnya.Tiba-tiba dia rasa geram sangat.

“Saya pun nak tahu juga apa perasaan awak.”

“Tiba masanya kalau saya rasa sayang awak, saya sayanglah,” jawabnya acuh tak acuh.

“Kalau tak sayang?” soal Zamil.

“Terpaksa sayang jugalah sebab awak dah jadi suami saya,” jawabnya. Gasaklah apa Zamil hendak fikir dengan jawapan yang diberikan.

“Macam tu pulak?” tanya Zamil yang semakin pelik dengan jawapannya.

“Habis tu awak nak saya buat apa?” soal Dian balik sambil membulatkan matanya.

“Yalah, takkan macam tu saja. Ini soal masa hadapan awak dan saya,” keluh Zamil.

Sekali lagi Dian merenung tajam ke wajah Zamil.

Zamil terpaksa melarikan anak matanya ke arah lain.Tidak semena-mena hatinya bergetar pula.

“Awak nak jumpa saya ni, sebenarnya nak putus ke nak teruskan?” tanya Dian geram. Dia sudah beritahu pendiriannya, tinggal Zamil sahaja yang asyik berdolak-dalih.

“Mulanya saya memang bercadang hendak putuskan.Apabila difikir semula, apa salahnya kita mencuba,” ujar Zamil pula.

“Ingat berkahwin ni boleh cuba-cuba ke? Kalau hendak berkahwin, kita kahwin. Kalau tidak mahu cakap sekarang, senang cerita,” tegasnya.

“Okeylah, kita kahwin,” putus Zamil tetapi matanya telah memandang ke luar restoran.Tidak berani pula hendak menentang mata Dian.

“Sekarang saya nak balik. Pergi cepat bayar nanti saya tunggu di kereta,” ujar Dian.

Zamil terpinga-pinga, bagai tidak percaya dengan apa yang baru Dian ucapkan.‘Macam itu sahaja?’

Dian bangun dan mencapai beg tangannya. Buat penat sahaja berjumpa, bukan ada benda yang berubah pun. Nasib baik tomyamnya sedap, berbaloi jugalah dia keluar makan bersama bakal suami.


“SEMUDAH itu awak membuat keputusan tentang masa hadapan awak?” Di dalam kereta Zamil menyambung pertanyaannya. Dia kena mengambil peluang yang ada untuk mengenali gadis ini.

“Habis tu, nak buat apa susah-susah?” soal Dian balik. ‘Kenapalah lelaki ini tak faham-faham?’ sungutnya dalam hati.

“Awak tak risau ke?” tanya Zamil. Semakin lama mereka berbual semakin galak pula dia bertanya soalan.

“Sekarang ini kita ada masalah ke?” soalnya sambil menjeling Zamil.

“Buat masa ini tak ada,” jawab Zamil.

“Jadi, buat apa nak risau?” Kini suaranya sudah berubah nada. Sedikit geram tetapi tidaklah sampai hendak memarahi Zamil pula.

“Awak ni peliklah,” komen Zamil.

“Patutnya perkataan risau tiada dalam kamus hidup awak,” balasnya.

“Kenapa awak berkata begitu?” tanya Zamil ingin tahu.Baginya, perangai Dian ini semakin pelik.

“Kalau setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, buat apa hendak risau, betul tak?” soalnya.

“Kalau masalah itu tidak dapat diselesaikan bagaimana pulak?” tanya Zamil.

“Huh! Sama jugalah. Awak risau pun tak guna sebab masalah tetap menghantui dan tidak dapat diselesaikan. Jadi, tak payahlah hendak risau,” jawabnya geram. Padanya betullah apa yang diperkatakan.

Zamil terkedu mendengarnya. ‘Betulkah dengan keputusan yang baru dinyatakan tadi?’ Dia tertanya sendiri. Namun dia tidak boleh menipu perasaan yang dialaminya kini. Dia juga tidak mahu perasaan yang baru datang ini pergi begitu sahaja.

“Kenapa awak diam pulak?” tanya Dian.

“Saya sedang fikir apa yang awak cakap sebentar tadi,” jawab Zamil sambil memberi tumpuan pada jalan yang sedikit sesak.

Dian diam sahaja dan tiada apa yang hendak diperkatakan lagi.

Seketika pandangan mereka bertemu apabila Dian turut memandangnya. Dia menghadiahkan senyuman yang paling manis buat gadis itu tertunduk malu. Kini dia mula yakin dengan keputusannya.

“Jangan pulak awak buat hal lagi pada saat-saat akhir, sudah!” Dian bersuara ketika Zamil membelok ke simpang menuju ke rumahnya.

Zamil diam sahaja tetapi tetap tersenyum.

Tiba-tiba Dian rasa geram pula apabila Zamil tidak memberi sebarang respons. Begitu pun dia sudah malas hendak memanjangkan perbualan.

Zamil tersenyum lagi. Bukan sesuatu yang sukar untuk menentukan adakah sesuatu tindakan itu betul atau sebaliknya. Andai diri mengambil keputusan yang betul, pasti sahaja diri akan tenang.Jika apa yang kita lakukan itu salah, kita juga akan turut rasa bersalah. Begitulah dia menilai situasi yang dialaminya kini.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.