Tahun 1995
SUASANA di padang permainan cukup ceria
dengan jeritan riang kanak-kanak yang bermain. Ada yang berbuai, ada yang yang
berjongkang-jongket malah ada juga yang berlarian berkejaran antara satu sama
lain. Mereka kelihatan gembira dan riang. Gelak tawa mereka jelas menunjukkan
dunia kanak-kanak begitu indah.
Di suatu sudut di tepi padang, ada seorang anak
kecil bertocang dua sedang menyendiri. Ada kesedihan di wajahnya. Sesekali dia
menyembamkan mukanya ke lutut yang dirapatkan ke dada. Wajahnya berbekas air
mata. Bahunya terhinggut-hinggut menunjukkan dia sedang tersedu-sedan.
“Intan...”
Panggilan serta usapan lembut di kepala
membuatkan anak kecil itu mengangkat mukanya. Pantas wajah lembut si ibu
menghiasi matanya. Terus sahaja tubuh itu dipeluknya. Esakan halus mula
kedengaran.
“Anak mak kenapa ni?” Lembut suara Puan Habibah
bertanyakan anaknya. Tangannya masih mengusap-usap rambut Intan.
Intan terus mencebik sebaik soalan itu diajukan.
Sedih sangat lagaknya. “Intan sedih,” katanya dalam esak tangis yang masih
berlagu.
Puan Habibah tersenyum nipis. “Kenapa Intan
sedih?”
“Intan sedih sebab tak dapat pergi majlis hari
lahir Faiz,” beritahu Intan lagi.
“Laa… kenapa Intan tak pergi? Tadi cakap dengan
mak nak pergi rumah Faiz,” soal Puan Habibah lagi.
Sebetulnya dia berasa pelik juga kerana melihat
anaknya berada di padang permainan ini. Kebetulan dia sedang berjalan pulang
dari kedai apabila ternampak kelibat Intan di sini. Tadi sebelum keluar rumah,
Intan ada meminta izinnya untuk ke rumah Faiz, teman sepermainannya. Katanya,
hari ini hari lahir Faiz. Temannya itu telah menjemput Intan ke rumahnya. Tanpa
ragu, dia terus sahaja memberi keizinan kepada Intan.
“Intan memang nak pergi, tapi tadi masa nak
pergi sana, Intan terserempak dengan Anita dan kawan-kawannya. Dia orang sekat Intan kat
tengah jalan. Anita kata, Intan tak boleh pergi majlis hari lahir Faiz sebab
Intan tak bawa hadiah,” cerita Intan lagi tersedu-sedan.
Puan Habibah terkedu. Cerita Intan menggigit
tangkai hatinya. Kasihan anaknya. Dipermainkan teman-teman sebaya lantaran
kesusahan mereka. Dia tidak menginginkan semua itu, namun aturan kehidupannya
membuatkan dia tidak mampu memberi kemewahan buat Intan.
“Bukan Intan tak nak beli hadiah, tapi kita tak
ada duitkan mak?” ujar Intan lagi.
Bertambah sayu di hati Puan Habibah mendengar
kata-kata Intan. Dia menarik Intan ke dalam pelukan. Bahu anak tunggalnya itu
diusap-usap lembut. Puan Habibah cuba mengumpul ayat terbaik untuk memujuk hati
anaknya.
“Intan, memang bagus kalau kita dapat memberi
hadiah kepada kawan di hari lahirnya kerana itu pasti dapat menggembirakan
hatinya. Tetapi andai kita tidak mampu, kita masih ada hadiah yang lebih
istimewa untuk kawan kita,” kata Puan Habibah lembut.
“Ya ke mak? Hadiah apa? Boleh Intan bagi pada
Faiz?” Bertalu-talu soalan terbit dari mulut Intan.
Puan Habibah tersenyum sambil mengangguk. “Doa.”
“Doa?” tanya Intan kembali. Dahinya berkerut
tidak mengerti.
Puan Habibah mengangguk lagi. “Intan boleh
hadiahkan doa buat Faiz. Berdoa kepada ALLAH, semoga Faiz dipanjangkan umur,
dimurahkan rezeki dan sentiasa dalam keadaan yang baik-baik. Bukankah itu lebih
baik.”
Tiba-tiba terukir senyuman di wajah Intan.
“Boleh ek mak?”
“Kenapa pula tak boleh. Mestilah boleh.”
“Kalau macam tu, Intan nak doakan untuk Faizlah,”
kata Intan dengan nada yang gembira.
Terus sahaja anak manis itu mengangkat kedua-dua
belah tangannya. Matanya dipejam rapat. Puan Habibah tersenyum dengan kepolosan
anaknya. Sebagai sokongan, dia turut sama menadah tangan.
“Ya ALLAH, Intan nak minta doa untuk Faiz. ALLAH
panjangkan umur Faiz, ALLAH murahkan rezeki Faiz, ALLAH jaga Faiz baik-baik ya.
Amin...” ucap Intan penuh naif tetapi begitu bersungguh-sungguh.
“Amin...” sahut Puan Habibah di sisi. Dia
tersenyum lagi. Kepala Intan sekali lagi diusapnya. Bangga hatinya kerana
mempunyai anak seperti Intan. Satu-satunya penawar hati yang ditinggalkan oleh
arwah suaminya, Ismadi.
“Pandai anak mak,” puji Puan Habibah, membuatkan
senyuman makin lebar di wajah Intan.
“Terima kasih doakan Faiz,” ujar satu suara dari
arah belakang.
Intan dan Habibah berpaling serentak.
“Faiz.” Intan sedikit terjerit melihat
kemunculan Faiz.
Budak lelaki yang dipanggil Faiz itu berjalan
menghampiri mereka. Di tangannya ada bekas makanan. Matanya tidak lepas
memandang Intan. Sukar ditafsir riak perasaannya ketika itu.
Puan Habibah segera bangun. Tersenyum dia
menyambut kedatangan teman sepermainan anaknya itu.
Faiz mendekati Puan Habibah lalu tangan wanita
itu dicium penuh hormat.
Puan Habibah mengusap lembut kepala Faiz dengan
bibir yang tetap tersenyum lembut. “Intan, mak balik dulu ya. Faiz berbuallah dengan Intan. Tapi, jangan lama sangat ya. Dah nak
maghrib ni.” Puan Habibah sempat berpesan kepada Intan dan Faiz.
Faiz dan Intan mengangguk hampir serentak tanda
akur dengan kata-kata Puan Habibah. Wanita itu tersenyum senang. Terus sahaja
dia melangkah pergi meninggalkan kedua-dua kanak-kanak itu di tepian padang.
Sepeninggalan Puan Habibah, Intan dan Faiz
saling menyepi. Mereka beralih duduk
di sebuah kerusi batu yang terdapat di situ. Intan
asyik menguis-nguis tanah di hujung kaki manakala Faiz sekadar memerhati
tingkah laku Intan. Agak lama mereka berdua berkeadaan begitu.
Sudahnya, Faiz yang mengalah. Dilepaskan keluhan
seketika sebelum bersuara. “Kenapa Intan tak datang tadi?”
Intan diam. Pertanyaan Faiz tidak terus
dijawabnya. Matanya masih tetap terpaku ke tanah. Entah apa yang bermain
difikirannya.
Faiz mengeluh lagi. Sedikit bengang apabila
pertanyaannya dipandang enteng oleh Intan. “Intan, Faiz tanya ni!” Suaranya
sedikit tinggi. Dalam hatinya terdetik juga rasa kecil hati kerana Intan lebih
berminat melihat tanah daripada memandang wajahnya yang dia amat pasti jauh
lebih handsome daripada tanah itu.
Intan tetap diam. Sebetulnya, dia tidak tahu
bagaimana mahu menjawab soalan Faiz. Takkanlah hendak diceritakan tentang dia
disekat di pertengahan jalan tadi. Dia bukan jenis mahu mengadu atau menjaja
yang tidak-tidak kepada Faiz mahupun sesiapa.
“Tak nak cakap, tak apalah. Faiz balik dululah.”
Faiz seakan merajuk hati. Terus sahaja dia bangun dari duduknya.Buat apa untuk terus duduk di situ kalau orang di
sebelah buat dirinya seperti tidak wujud.
Intan terpana. Namun, jemarinya pantas menangkap
pergelangan tangan Faiz. Dia tidak menyangka, diamnya membuatkan Faiz berjauh hati.
Faiz tidak jadi melangkah. Dia kembali memandang
Intan. Dia nampak ada kesedihan di wajah polos itu. “Intan ada masalah ke?” Faiz bertanya seraya kembali duduk di sebelah
Intan.
Intan pantas menggeleng. Sebuah senyuman yang
dirasakan cukup manis, dihadiahkan kepada Faiz. Dia tidak mahu temannya itu
berfikir bukan-bukan lagi. “Tak adalah,” dalihnya.
Beberapa ketika, Faiz memandang wajah Intan. Dia
cuba mencari kesungguhan di sebalik jawapan yang baru diberikan oleh Intan
tadi. Separuh hatinya tidak percaya. Ada bisikan kuat yang menyatakan, Intan
menyembunyikan sesuatu daripadanya. Tetapi dia kenal Intan. Andai temannya itu
memilih untuk tidak bercerita, tidak perlu dipaksa kerana hasilnya akan tetap
hampa.
“Ni, Faiz bawakan kek untuk Intan. Makanlah,”
ujar Faiz sambil menghulurkan bekas yang dipegang sejak tadi. Persoalan tadi
sudah dilontar jauh ke tepi.
Intan tersenyum gembira menyambut huluran bekas
daripada Faiz. Sungguh dia tidak menyangka, Faiz tidak melupakan dia.
Alhamdulillah, ada juga rezeki untuknya merasa kek hari lahir teman baiknya
itu.
Tanpa bertangguh, Intan terus membuka penutup
bekas tersebut. Ada dua potong kek di dalamnya. Cantik kek itu. Nampak sedap.
Kerana teruja, Intan terus mencapai sepotong kek, lalu disuapkan ke mulutnya.
Langsung dia terlupa akan Faiz disebelah.
Sedapnya! Itu yang dirasakan Intan sebaik sahaja
kek itu berada di dalam mulutnya.
“Sedapnya kek ini, Faiz. Apa nama kek ni?” tanya
Intan sambil mengigit lagi kek tersebut.
“Kek tiramisu. Ini kek kesukaan Faiz,” beritahu
Faiz.
“Ooo... kek tiramisu.” Intan terangguk-anguk.
Seumur hidup inilah kek yang paling sedap
dirasakannya. Kanak-kanak sepertinya, sudah tentu sukakan kek. Namun kehidupan
yang dilalui bersama ibu, tidak memungkinkan untuk dia merasai semua itu. Kali
pertama dia menikmati kek hari lahirnya, ketika dia berumur lima tahun. Ayah
yang beli sempena ulang tahun kelahirannya yang kelima. Dan itulah kali
terakhir kerana ayah telah pergi meninggalkan dia dan ibu buat selama-lamanya.
Namun, Intan tidak pernah berasa kecil hati. Dia
tahu kesukaran ibunya setelah ayah pergi. Dia memahami walaupun dia masih
kecil. Intan tetap rasa bahagia kerana ibu masih ada disisinya.
“Kek ni memang sedap. Intan pun nak jadikan kek
ni, kek kesukaan Intanlah,” kata Intan lagi.
Faiz tersenyum senang melihat Intan begitu
beria-ia menjamah kek yang dibawanya. Sengaja dia menyimpan kek tersebut untuk
Intan. Ketika mamanya bertanya tadi, dia berdalih mengatakan dia menyimpan
untuk dimakan kemudian nanti.
Bukan niatnya mahu berbohong dengan mama. Tapi
dia tahu, mama pasti melarang andai tahu kek tersebut disimpan untuk Intan. Entah kenapa,
dia tidak faham dengan mama. Mama tidak suka dia berkawan dengan Intan. Pada
Faiz, Intan sangat baik. Alasan mama bila ditanya, Intan tidak setaraf dengan
mereka.
Faiz pelik. Apa yang tidak setarafnya? Dia
manusia, Intan juga manusia. Kalau dia manusia, Intan tu pokok, adalah
peliknya. Hisy! Mama... mama...
“Kenapa Faiz mengeluh?” soal Intan. Suapannya
terhenti sebaik terdengar keluhan yang terbit daripada mulut Faiz.
Faiz termalu sendiri. Sangkanya keluhan itu
hanya dihati. Dia pantas menggeleng dan tersenyum. “Sedap tak kek tu?” Dia
menyoal Intan kembali. Topik perbualan dialihkan.
“Sedap!” jawab Intan dengan mata yang
bersinar-sinar. Faiz tersenyum puas.
“Nah, ni untuk Faiz.” Intan menghulurkan
sepotong kek yang masih berbaki kepada Faiz.
Faiz segera menolak. “Tak apa. Intan makanlah.
Faiz dah makan tadi. Kek tu memang Faiz bawa untuk Intan.”
“Betul?”
Faiz mengangguk.
Intan tersenyum gembira. Dia kembali menjamah
kek yang masih berbaki di tangan. Selesai, dia menutup bekas yang masih
terdapat sepotong kek dengan kemas. Dia mahu bawa pulang ke rumah. ‘Boleh
diberi pada mak nanti.’ Itu fikirnya.
Setelah Intan selesai makan, Faiz mula membuka
mulut. Sebetulnya, ada sesuatu yang mahu disampaikan kepada Intan. Berita yang
mungkin bakal menyedihkan Intan. Dan dia sendiri berasa amat sedih.
“Intan,” panggil Faiz perlahan.
“Ya,” jawab Intan dengan nada ceria. Dia masih
belum menangkap riak sedih di wajah Faiz. Hatinya masih berbunga riang kerana
Faiz sudi membawa kek yang sedap untuknya.
“Faiz ada sesuatu nak beritahu Intan,” ujar
Faiz.
“Apa dia?” Intan masih tetap dengan reaksi
seperti tadi.
“Errr... esok Faiz akan pindah dari sini.”
Boommm!!! Bagaikan ledakan bom terasa di kepala
Intan sebaik mendengar kata-kata yang baru sahaja dituturkan Faiz.
“Apa Faiz kata?” Intan meminta Faiz mengulangi
cakapnya. Dia berharap dia cuma tersalah dengar tadi.
“Esok Faiz akan pindah dari sini.” Perlahan
sahaja suara Faiz.
Senyuman riang Intan sebentar tadi terus mati.
Yang tinggal hanya riak muram yang mula memendung di wajahnya. Intan kembali
bermain dengan jari-jemarinya. Hatinya tidak gembira. Dia tidak suka dengan
berita yang dibawa Faiz. Dia tahu selepas ini, dia akan kembali sendirian. Dia
tidak akan punya kawan lagi. Dia tidak akan gembira lagi seperti mana bila
adanya Faiz.
Tanpa bertanya lagi, Intan terus bangun dari
duduknya. Bekas berisi baki kek dicapai. Lalu tanpa sepatah kata, Intan menapak
berlalu dari situ. Longlai sahaja langkahnya.
Faiz yang memandang jadi terkedu. Terkunci terus
mulutnya untuk menahan langkah Intan. Dia sudah menjangka yang Intan pasti akan
bersedih dengan khabar yang dibawanya. Namun, dia tidak menduga yang Intan akan
meninggalkannya tanpa sepatah kata.