Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayangku Cik Tiramisu
Sayangku Cik Tiramisu
27/8/2014 03:32:25
79,114
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9

“YATI, jom kita pergi beli barang dapur kejap lagi,” laung Intan sambil memungut kain-kain yang sudah siap dibasuh dari dalam mesin basuh. Kain-kain tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah raga yang bersaiz sederhana besar.

Begitulah rutin Intan setiap kali cuti hujung minggu. Hari-hari minggu beginilah peluang yang ada untuk dia membasuh dan mengemas apa yang patut. Kalau hari kerja, memang susahlah sikit. Banyak benar kerja dan aktiviti di sekolah yang menuntut masa guru-guru sepertinya.

Yati masih lagi menikmati nasi lemak sambil matanya ralit menatap satu per satu berita di surat khabar pagi ini. Kata-kata Intan yang berada di bahagian luar dapur rumah mereka seperti tidak singgah di telinganya.

Intan menjengukkan kepala ke dalam rumah apabila sepatah pun Yati tidak menjawab kata-katanya tadi. Sangkanya, Yati sudah hilang dari dapur, rupanya sedang asyik membaca surat khabar.

“Oii mak cik! Gegendang telinga kau rosak ke? Ke cuping telinga kau kena kebas dengan tikus masa tidur malam tadi?” sergah Intan.

Yati tersentak. Dia segera menoleh ke pintu dapur dengan wajah bingung. Langsung dia tidak faham dengan apa yang dimaksudkan Intan.

‘Cuping telinga aku kena kebas dengan tikus?’ Yati menyoal diri sendiri sambil tangannya meraba kiri dan kanan telinga.

“Ada aje cuping telinga aku ni,” beritahu Yati lurus bendul.

Intan tepuk dahi. Dia menggeleng-geleng. Sudahlah kurang pendengaran, blur pula tu. Hisy!

“Eeii... kau cakap apa ni Intan? Aku tak fahamlah.” Yati masih kebingungan. Dia meminta penjelasan Intan.

“Aku cakap, kejap lagi kita keluar sama-sama beli barang dapur. Nak tak?” Intan mengulangi apa yang dikatakan tadi.

Segera Yati mempamerkan riak serba salah.

Intan yang melihat, sudah dapat meneka. “Tak nak la tu,” tebaknya.

“Alaa... Intan. Aku bukan tak nak pergi dengan kau, tapi aku dah janji nak keluar dengan Haziq.” Yati memberikan alasan.

“Kau selalu macam ni tau,” sayu suara Intan seakan sudah merajuk dengan Yati. Dia terus mengelek bakul berisi pakaian yang baru siap dibasuh itu ke ampaian.

Yati cepat-cepat bangun dari meja makan. Dia menuju ke pintu dapur. Dia memanggil Intan yang begitu tekun menjemur pakaian tetapi Intan langsung tidak mempedulikannya. Dia mengeluh, resah. Kawan serumahnya itu memang sensitif betul.

Dia tahu Intan sedang merajuk dengannya. Dia sedar, ini bukan kali pertama dia menolak apabila Intan mengajaknya keluar bersama. Malah sudah berkali dan kali dan kali. Yati pening.

Ikutkan hati, memang dia rasa bersalah dengan Intan. Tapi kalau dia ikut Intan, teman lelakinya pula akan merajuk. Tapi bila menolak, inilah jadinya. Intan muncung sedepa dengannya.

“Kalau kau cakap awal-awal, maybe aku boleh rancang. Last minute macam ni, aku dah janji dengan Haziq,” kata Yati lagi, cuba membuat Intan faham akan keadaannya. Dia bertutur dengan penuh berhati-hati. Bimbang kalau tersalah cakap, makin panjang pula rajuk Intan.

Intan masih lagi diam. Langsung tidak memberikan reaksi terhadap penjelasan Yati. Hanya tangannya yang lincah menyidai satu per satu pakaian di dalam bakul. Sejujurnya, ada rasa kecil hati di sanubari Intan.

Sejak Yati berhubungan dengan Haziq, sudah jarang benar mereka menghabiskan masa terluang bersama. Setiap kali cuti hujung minggu, Yati akan hilang. Ada sahaja program mereka. Pendapat Intan, sekemaruk mana pun bercinta, sahabat tidak boleh dilupakan seratus peratus. Namun hendak dinyatakan kepada Yati, bimbang nanti dikatakan cemburu pula.

“Intan...” panggil Yati. Dia resah dengan kesenyapan Intan.

“Pergilah. Aku tak ada apa-apa. Nanti aku pergi sendiri,” jawab Intan tanpa menoleh kepada Yati. Fokusnya masih kepada menjemur baju.

“Intan... aku minta maaf okey,” pinta Yati dengan rasa bersalah. Dia tahu, Intan sudah berkecil hati dengannya.

Tidak mahu memanjangkan perkara, Intan kunci rapat-rapat perasaan jauh hatinya. Sudah lama mereka duduk serumah. Untuk apa perlu bersengketa. Intan cuba melapangkan dadanya untuk memahami Yati.

“Tak apalah. Kau pergilah layan mamat bucuk kau tu. Karang merajuk susah pulak. Aku okey. Aku boleh pergi sendiri.” Tidak mahu Yati terus dihambat rasa bersalah, Intan sulamkan kata-katanya itu dengan senyuman seikhlas mungkin.

Yati terasa lega. Lapang hatinya apabila Intan memahami keadaan dirinya. Dia pantas memeluk Intan yang kebetulan sedang melintasinya untuk masuk ke dalam rumah. “Aku sayang kau!”

* * * * *

INTAN sedang ralit memilih beras apabila troli barangnya dilanggar dengan troli daripada salah seorang pelanggan pasar raya TESCO itu. Terinjak sedikit kedudukan trolinya.

“Maaf,” ucap pelanggan tersebut atas ketidaksengajaannya.

Intan segera memalingkan wajah memandang pelanggan tersebut. Dia terperanjat. Terbuntang matanya bagaikan tidak percaya. “Awak?”

Faiz tersengih. Tidak sangka pula tuan punya troli yang dilanggar tanpa sengaja itu adalah singa comel. Hai, terasa bahagia pula datang membeli-belah barang keperluan dapur hari ini.

“Hai awak,” ucap Faiz pula.

Intan pula tiba-tiba rasa tidak seronok. Dalam banyak-banyak pasar raya di kawasan Lembah Klang ini, kenapa pula si nyamuk tiruk ini hendak datang ke sini juga? Sejak akhir-akhir ini, kerap pula dia bertemu dengan lelaki ini. Sebelum ini, tidak pernah bersua pula.

“Jumpa lagi kita ya,” ujar Faiz ramah walaupun Intan tidak membalas sapaannya.

Intan senyum paksa. “Itulah. Saya ni selalu berdoa supaya tak jumpa awak lagi. Tapi, tetap terjumpa juga. Nak buat macam mana, kan?” sinis balasannya. Intan terus menolak trolinya beredar dari situ setelah mengambil sekampit beras.

Faiz tidak melatah dengan ucapan pedas Intan. Tenang sahaja dia dengan senyuman manisnya. Memang itu pun yang dia suka. Suka tengok singa comel marah-marah. Dia turut menolak trolinya yang masih kosong mengekori Intan.

“Laa... ya ke? Saya pula selalu berdoa supaya dapat jumpa awak lagi dan lagi dan lagi. Nampaknya ALLAH makbulkan doa saya dan reject doa awak.” Selamba jawapan Faiz membuatkan Intan geram.

Intan memberhentikan tolakkan trolinya serta-merta. Faiz yang tidak perasan, terus sahaja menyondolkan trolinya ke punggung Intan. Makin anginlah singa comel dibuatnya.

“Oppss... sorry. Terlajak pulak,” ucap Faiz bersama sengihannya yang tidak sudah-sudah.

Makin meluat Intan yang memandang. “Eeii... saya tahulah awak tu nyamuk. Nyamuk tiruk. Tapi tak payahlah nak ikut saya. Pergi ke lain. Saya pukul pakai tibai lalat nanti baru tau!” marahnya.

“Sampai hati nak pukul saya pakai tibai lalat. Tahulah awak tu singa garang yang comel. Tapi nyamuk tiruk yang handsome gila tahap gaban ni, nak kawan dengan singa comel.” Faiz tidak mahu mengalah.

Intan sudah rasa hendak termuntah. Handsome setakat manalah kalau dah namanya nyamuk tiruk? Cer kabor.

“Syoh... syoh. Pergi tempat lain. Awak jangan nak ikut-ikut saya.” Intan memberikan amaran keras.

Kali ini Faiz mengalah. Dia mengundurkan trolinya lalu pergi dari situ. Intan puas hati. Dia menolak trolinya menyusuri lorang itu.

Tanpa Intan ketahui, Faiz punya rancangan nakal sendiri. Dia mengikuti celah lorong sebelah. Laju sahaja tolakkan trolinya mahu menyaingi langkah Intan di lorong sebelah. Tiba sahaja di hujung lorong, Faiz terus melencongkan trolinya merentangi lorong yang dilalui Intan tadi.

Intan yang terperanjat terus merempuh troli Faiz. Jadi bising seketika tempat mereka akibat bunyi yang tercetus daripada pelanggaran itu. Beberapa pelanggan yang kebetulan lalu di kawasan itu memandang ke arah mereka. Intan kembali naik darah.

“Aaa... jangan nak marah-marah. Kali ni bukan salah saya. Awak yang langgar troli saya.” Cepat-cepat Faiz berkata sebelum Intan sempat memuntahkan marahnya.

Intan mengeluh. Secara teknikalnya, memang dia yang melanggar troli Faiz kali ini. Tapi secara etikanya, memang Faiz sengaja main taktik kotor mahu mengenakannya.

Intan tidak jadi hendak marah. Sia-sia sahaja marahkan nyamuk. Halaulah macam mana pun, tetap hendak membuat bising di telinga orang. Sudah memang tabiat nyamuk.

“Awak nak apa sebenarnya?” tanya Intan setelah rasa bosan bertekak dengan Faiz. Lelaki itu memang tidak tahu letih. Setiap kata-kata Intan, ada sahaja yang hendak dijawabnya. Sudahlah tu, tayang muka selamba tahap tak ingat-ingat.

Faiz senyum. “Apa kata awak tolong saya? Mak saya suruh beli barang dapur, tapi saya tak reti.” Idea nakal itu tiba-tiba melintas di kepalanya.

“Huh! Dah satu kerja pulak saya nak tolong awak. Tak ada masa okey,” tolak Intan tanpa sebarang pertimbangan.

Faiz tayang muka minta kasihan. “Kesianlah kat saya awak. Saya ni memang tak reti. Ikan kembung dengan ikan termenung pun saya tak tahu nak beza, macam mana nak beli. Tolonglah awak,” rayu Faiz.

Intan juling mata ke atas. ‘Ikan kembung dengan ikan termenung memanglah tak boleh nak beza sebab ikan yang sama. Apa punya dol la dia ni,’ omel hatinya. Sempat lagi dia mengutuk Faiz.

“Eeii... tak kuasalah nak layan awak.” Intan masih tidak mahu menolong. Dia menolak trolinya mahu beredar dari situ tetapi Faiz masih menghalangnya.

“Tolonglah saya awak. Anggap ajelah kali ni awak bayar satu daripada empat hutang budi awak dengan saya tu.” Faiz merayu sambil mengungkit kes hutang budi minggu lepas.

Intan mendengus geram. Lelaki inikan... ada sahaja jawapannya.

“Yalah... yalah. Asyik mengungkit aje kerjanya. Barang apa yang awak nak beli?” tanya Intan dengan wajah bosan. Lebih baik dia mengalah dan cepat-cepat menyelesaikan hutang budi lelaki itu. Kalau dilayan bertekak, sampai TESCO ni hendak tutup nanti belum habis cerita lagi.

Faiz tersengih kemenangan. Terus sahaja dikeluarkan senarai barang yang hendak dibeli dari kocek seluar jeansnya. Kertas yang sudah agak renyuk itu diserahkan kepada Intan.

Intan merenggut kasar kertas yang dihulurkan Faiz. Sempat lagi dia menghadiahkan satu jelingan tajam. Faiz masih tetap dengan senyumnya. Senarai yang agak panjang itu diteliti Intan satu per satu.

Siap meneliti, Intan mula berjalan menolak troli. Cepat-cepat Faiz menuruti. Intan memulakan dengan bahan kering dahulu. Satu demi satu barang yang tersenarai dicapai lalu dimasukkan ke dalam troli Faiz.

Dalam sibuk Intan mencari barang, sama sibuk jugalah Faiz bertanya itu ini. “Rempah kari ikan ni, apa bahan yang terkandung eh?” Itu soalan Faiz apabila Intan mengambil rempah kari ikan.

Rempah kari ikan yang dipegang, dihulurkan kepada Faiz. “Kat belakang paket tu ada tulisan segala mak nenek kandungan dalam rempah. Sila baca sendiri ya,” kata Intan.

Faiz mencebik nakal.

Intan meneruskan lagi pencarian barang. Sambil mencari barang Faiz, Intan turut mengambil barang keperluannya juga jika kebetulan barang tersebut ada di kawasan rak yang sama. Senarai barang dibaca lagi. Garam sudah ambil. Gula pun sudah. Okey, tepung gandum pula.

Intan segera bergerak ke rak yang menempatkan pelbagai jenis tepung. Jumpa sahaja tepung gandum, Intan terus mengambil dua paket. Satu dimasukkan ke dalam troli Faiz, satu lagi dimasukkan ke dalam trolinya.

“Tepung gandum ni boleh buat kuih, kan?” Faiz mengacau Intan lagi.

‘Apa punya soalan la dia ni bagi? Takkanlah tepung gandum nak buat kuah kari pulak,’ gumam hati Intan penuh sebal.

“Taklah. Tepung gandum ni boleh buat sabun basuh baju,” jawab Intan penuh jengkel.

Faiz terus ketawa. Boleh tahan juga loyar buruk singa comel ni. Nampaknya pancingannya untuk membuatkan Intan marah-marah mengena. Bukan dia tidak tahu tepung gandum itu gunanya untuk membuat kuih-muih, tetapi sengaja dia buat-buat bodoh. Biar lakonannya nampak berkesan.

Selesai mengambil semua bahan-bahan kering, Intan bergerak ke bahagian basah pula. Seperti tadi, Faiz setia mengekorinya ke mana sahaja. Sampai di bahagian sayur, Intan kembali meneliti senarai barang milik Faiz. Dia mahu memastikan sayur apakah yang mahu dibeli oleh lelaki itu.

Siap meneliti senarai, Intan sedar Faiz sudah tiada dengannya. Sibuk Intan menoleh ke kiri dan kanan mencari kelibat Faiz. Akhirnya, dia terpandang lelaki itu sedang mencekak segenggam besar daun kesum.

Intan ternganga. “Nak buat apa pulak si nyamuk tu ambil daun kesum banyak-banyak? Tauke kedai laksa ke dia ni? Tapi kalau tauke laksa, takkanlah tak kenal barang-barang dapur? Ish, pelik betullah dia ni.” Dia membebel-bebel sendiri. Dia kemudiannya menghampiri Faiz.

“Buat apa tu?” tanya Intan.

“Main layang-layang.” Kali ini Faiz pula yang berloyar buruk.

Intan segera mendengus geram. Tahu pula dia sakit hati bila kena loyar buruk. Masa dia buat pada Faiz tadi, boleh pula.

Macam biasa, Faiz cuma sengih. Makin Intan marah, makin dia suka. “Gurau aje,” ujarnya.

“Saya beli sayur bayam ni. Mak pesan,” kata Faiz lagi. Penuh yakin dia menunjukkan segenggam daun kesum ditangannya.

Bulat mata Intan memandang daun kesum yang ditunjukkan Faiz. Biar betul Faiz ni? Kurang sangat ke ilmu sayur dia, sampaikan daun kesum dengan daun bayam pun tak dapat beza?

“Awak kata sayur apa tadi?” soal Intan kembali untuk memastikan telinganya tidak salah dengar.

“Sayur bayam.” Faiz mengulangi jawapannya.

Intan terus menepuk dahi sendiri. Memang buta ilmu sayur si nyamuk tiruk ini. Dia terus mengambil daun kesum di tangan Faiz. Terpinga-pinga Faiz dibuatnya.

Intan meletakkan kembali daun kesum tersebut lalu diambil daun bayam yang sebenarnya terletak tidak jauh dari tempat daun kesum. “Ini baru sayur bayam. Yang tadi tu daun kesum. Faham?” ujarnya sambil menghulurkan daun bayam tersebut kepada Faiz.

Faiz menyambut sambil menggaru-garukan kepala. Dia tersengih malu. Sebenarnya, di dalam hati Faiz sudah ketawa mengekek. Takkanlah dia tidak kenal mana satu daun bayam, mana satu daun kesum. Cuma sengaja dia buat-buat bodoh untuk memancing perhatian lebih daripada Intan. Nasib baik lakonannya menjadi. Kalau tahu dek Intan, mahu juga singa comel itu terkamnya di tengah-tengah orang ramai ini.

“Oh, ya ke?” Faiz menambah lagi mutu lakonannya dengan mempamerkan muka dungu.

Intan malas mahu melayan. Dia mahu cepat-cepat menyudahkan pembelian dan pulang ke rumah. Tiba-tiba dia rasa tidak sedap badan seakan mahu demam. Agaknya akibat terkena hujan ketika balik sekolah petang semalam. Hari ini baru terasa kesannya.

Selesai membeli kesemua barang-barang yang diperlukan Faiz, Intan memulangkan kembali senarai barang. “Semua barang yang awak nak dah ada dalam troli ni. Tu kaunter, pergi bayar,” kata Intan. Dia malas lagi mahu melayan Faiz.

“Awak punya barang?” tanya Faiz.

“Kenapa pulak dengan barang saya? Awak nak tolong bayar?” balas Intan serius. Sejak bertemu tadi, tidak ada sedikit pun mesranya dengan Faiz. Asyik nak menyinga sahaja.

“Eh, taklah. Awak bayarlah sendiri. Lainlah kalau awak tu... saya punya. Confirm saya bayarkan.” Faiz buat lawak. Nakal sekali riak mukanya mengusik Intan.

Intan menjungkit bibir atasnya sinis. ‘Memang macam nyamuk dia ni. Ngong ngeng, ngong ngeng. Eeiii... rimas. Rasa macam nak spray pakai ridsect!’

“Huh, sudah! Pergi-pergi. Rimas dengar bunyi suara awak tau. Pergi balik. Hutang budi awak tu saya dah habis bayar.” Intan segera menghalau Faiz pergi.

“Apa pulak? Awak bayar baru satu. Ada lagi tiga tau,” tukas Faiz mengingatkan Intan tentang lagi tiga hutang budi yang perlu dibayar.

Intan menjegilkan matanya. “Awak jangan nak melampau ya.” Dia memberikan amaran.

“Mana ada saya melampau. Betullah tu. Hutang empat, bayar pun empatlah. Saya minta yang pokok aje. Tak ada bunga-bunga pun,” jawab Faiz pantas.

Kemarahan mula menerpa ke dalam kepala Intan. Nyamuk tiruk ini memang sengaja hendak cari pasal dengannya. ‘Aku serius, dia main-main pulak.’

“Okeylah, saya pergi dulu. Lain kali saya call awak tuntut hutang lagi ya.” Cepat-cepat Faiz berkata apabila dia sudah terperasan perubahan muka Intan yang semakin memerah. Malah, dia juga perasan gaya Intan memandang kakinya. Sebelum kena pijak lagi, lebih baik dia pergi.

“Tahu pun takut,” ujar Intan puas hati apabila Faiz tergesa-gesa pergi meninggalkannya. Dia tersenyum sendiri sambil melihat langkah lelaki itu yang semakin menjauh.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.