“CIKGU!”
Intan terus mengangkat wajahnya. Terkejut dia
apabila dipanggil tiba-tiba seperti itu. Angkat sahaja wajah, matanya terus
terpandangkan wajah Cikgu Amran yang begitu serius riaknya.
‘Ish, nak apa pula pak cik ni? Pagi-pagi Isnin
macam ni dah muncul tayang muka. Silap-silap, boleh hilang mood
sepanjang minggu dibuatnya,’ rungut hati Intan.
“Cikgu rupanya. Terkejut saya. Kalau iya pun
bagilah salam cikgu. Tidaklah mencicit lari semangat saya ni,” gurau Intan
sambil tergelak kecil.
Gurauan Intan sedikit pun tidak mencuit hati
Cikgu Amran. Riaknya masih seperti tadi. Serius.
“Siapa lelaki hari tu?” soal Cikgu Amran tanpa
sebarang mukadimah.
Intan mengerutkan dahi. “Lelaki mana?” Dia
amnesia.
“Jangan buat-buat lupalah cikgu,” sinis nada
suara Cikgu Amran.
Muka Intan sudah mula berubah kemerah-merahan.
Ada kemarahan yang mula bertandang. Memang pantang dia kalau orang menuduh dia
begitu sedangkan dia memang langsung tidak faham apa yang dimaksudkan.
Sudahlah datang tidak bersalam, kemudian soal
siasat orang macam drama CSI. Lepas tu main sedap mulut tuduh orang buat-buat
lupa. Memang melampau amatlah tu. Kalau tidak kenang situasi mereka sebagai
guru dan berada di sekolah, mahu juga diseligi cikgu beranak empat ini.
Walaupun tubuhnya kecil, kecil lagi dia melihat Cikgu Amran sekarang ini.
“Cikgu cakap apa ni? Saya tak faham,” ujar Intan
menahan geram.
“Saya tanya, siapa lelaki yang jumpa cikgu hari
tu?” desak Cikgu Amran terus-menerus.
Ingatan Intan tiba-tiba melayang kepada Faiz.
Dia mula pasti, Faizlah yang dimaksudkan Cikgu Amran. “Oh, yang kat restoran
hari tu?” soalnya meminta kepastian.
Cikgu Amran mengangguk. Gayanya memang serius
habis.
Intan menyandarkan tubuhnya ke kerusi. “Kenapa
cikgu nak tahu?”
Cikgu Amran mendengus kasar. “Cikgu tipu saya.
Hari tu saya ajak cikgu keluar, cikgu kata ada hal dengan kawan. Tapi,
sebenarnya cikgu jumpa dengan lelaki tu.”
Intan terpana dengan tuduhan Cikgu Amran.
Meroyan apa pula cikgu beranak empat ini tiba-tiba sahaja membuat tuduhan
berbaur cemburu ni? Naik bingung Intan dibuatnya. Nasib baik juga tiada
guru-guru lain ketika ini. Kalau tidak buat malu sahaja.
“Cikgu, saya ni tak suka nak berkasar.
Hendak-hendak kita ni sama rakan setugas. Tapi, rasanya cikgu macam dah
terlebih batas sampai tuduh saya menipu.” Turun naik suara Intan menahan marah.
“Cikgu memang tipu saya. Cikgu kata nak jumpa
kawan tapi berjanji dengan lelaki itu. Siapa lelaki tu?” Cikgu Amran mengulang
tuduhannya. Kali ini lebih keras nadanya.
“Cikgu!” Intan tidak mampu berlembut lagi. Dia
terus bangun berdiri. Tangannya menepuk meja.
Tersentak Cikgu Amran melihat Intan yang jelas
dengan riak marah.
“Saya tak pernah menipu. Memang saya jumpa kawan
dan kawan saya adalah lelaki itu. Dan untuk soalan siapa lelaki itu, bukan
urusan cikgu untuk ambil tahu. Antara cikgu dan saya, tidak ada apa-apa
hubungan yang memerlukan saya mendapatkan keizinan cikgu untuk saya berkawan
dengan sesiapa pun. Saya harap cikgu sedar tentang itu,” tegas Intan berkata.
Cikgu Amran terus terdiam. Terkebil-kebil dia
menghadapi kemarahan Intan. Selama ini, dia hanya melihat Cikgu Intan sentiasa
tersenyum dengan semua guru-guru. Walaupun Cikgu Intan sentiasa serius dengan
pelajar-pelajar memandangkan dia seorang guru disiplin, tetapi dia mesra dengan
semua guru-guru. Tidak disangka, sekali Cikgu Intan menunjukkan marah, boleh
tahan bahangnya.
Padanlah dengan muka. Sengaja mencari nahas
namanya. Orang tua-tua sudah pesan, sarang tabuan jangan dijolok tidak tentu
hala. Sekarang sudah disengat, rasakan natijahnya.
Kata-kata Intan sebentar tadi juga membuatkan
Cikgu Amran termalu sendiri. Rasa cemburu yang tidak tertahan membuatkan dia
tidak segan silu mahu tahu siapa lelaki yang datang bertemu dengan Intan tempoh
hari.
Sejak pulang dari hari itu, dia tidak
sabar-sabar menunggu datangnya hari Isnin. Hatinya melonjak-lonjak mahu
bertanya. Sudahnya, hari ini dia termalu sendiri. Jika difikirkan kembali,
kata-kata Intan itu ada kebenarannya. Dia bukan sesiapa.
“Errr... maafkan saya cikgu.” Tergagap-gagap
Cikgu Amran memohon maaf atas ketelanjurannya. Dia mula sedar sikapnya hari ini
akan membuatkan Cikgu Intan akan makin renggang dengannya.
Intan menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba
menenangkan kemarahannya. “Cukuplah, cikgu. Rasanya bicara kita sampai di sini
saja. Saya tak mahu mengeruhkan keadaan. Saya harap perkara macam ni tak jadi
lagi,” putusnya.
“Saya betul-betul minta maaf cikgu,” pinta Cikgu
Amran bersungguh-sungguh.
Intan menegakkan tapak tangan kanannya meminta
Cikgu Amran berhenti bercakap. “Saya kata sampai sini aje. Saya tak mahu dengar
apa-apa lagi. Saya ada kelas,” ujar Intan sambil mengambil beberapa buah buku
mengajarnya.
Tanpa bertangguh, Intan terus melangkah keluar
dari bilik disiplin itu. Cikgu Amran yang masih tegak berdiri bagaikan tiang
elektrik di tepi jalan, langsung tidak dipeduli. Anggapan awalnya tadi benar
belaka. Munculnya Cikgu Amran di pagi-pagi hari Isnin ini hanya merosakkan moodnya
sepanjang minggu!
* * * * *
MENGHAMPIRI saja ke pintu kelas 5 Sains 2,
telinga Intan sudah menangkap bunyi riuh-rendah. Hairan betul Intan dengan
kelas ini. Pantang cikgu terlambat sedikit masuk ke dalam kelas, mulalah jadi
macam pasar ikan. Kali ini entah apa pula masalahnya.
Ketika Intan melangkah masuk ke dalam kelas,
tiada seorang pun pelajar yang perasan akan kehadirannya. Masing-masing sibuk
melihat aksi riuh-rendah di belakang kelas. Intan tergeleng-geleng kepala
melihat perangai pelajar-pelajarnya. Sudahlah moodnya masih belum pulih
gara-gara Cikgu Amran tadi. Sekarang pelajar-pelajarnya pula sengaja
menyirapkan darahnya. Memang cari pasal betul!
Pap! Pap! Pap!
Nyaring bunyi rotan bertemu dengan permukaan
meja mula singgah di telinga pelajar-pelajar kelas 5 Sains 2 itu. Semuanya
terus terdiam, sunyi sepi kelas jadinya. Perlahan sahaja gerakan kepala
masing-masing menoleh ke hadapan kelas.
Di hadapan sana, Cikgu Intan sudah tegak berdiri
memandang tepat ke arah mereka. Tiada senyuman di wajah itu. Yang ada hanyalah
sebelah tangan yang mencekak pinggang dan sebelah tangan lagi memegang rotan.
Semuanya menelan liur. Terasa perit tekak bagaikan menelan buah berduri.
Habislah! Itu kata hati masing-masing.
“Ada masalah apa ni?” tanya Intan dengan wajah
sehabis serius.
Serentak, separuh pelajar menunding jari ke arah
Sarah dan separuh lagi kepada Fatin yang berada di tengah-tengah. Satu suara
pun tidak berbunyi. Bebola mata Intan mencerlung kepada Sarah dan Fatin yang
agak tidak terurus keadaan mereka. Sekali pandang, sah ada aksi tarik-menarik
tadi. Kalau tudung sudah senget sana-sini, apa kes lagi?
“Saya lambat masuk sikit, kamu semua sudah buat
hal. Semua balik ke tempat masing-masing!” arah Intan.
Semua pelajar 5 Sains 2 akur dengan arahan
Intan. Masing-masing bergerak ke tempat sendiri. Termasuk Sarah dan Fatin.
Belum sempat duduk...
“Sarah, Fatin. Awak berdua ke hadapan.” Sekali
lagi Intan mengeluarkan arahan.
Fatin dan Sarah saling berpandangan.
Masing-masing menayang wajah tidak puas hati terhadap sesama sendiri. Dari
pandangan mata, jelas mereka saling menyalahkan antara satu sama lain.
“Apa lagi yang awak berdua pandang-pandang?” tengking
Intan. Di sekolah ini, semua pelajar tahu, suara guru disiplin itu kalau sedang
marah langsung tidak sepadan dengan tubuh badan. Badan kecil, suara bukan main
tinggi lagi.
Fatin dan Sarah sama-sama melangkah ke hadapan
kelas. Dalam berjalan, sempat lagi mereka berdua saling menendang kaki antara
satu sama lain. Intan menjegilkan matanya.
Sampai di hadapan kelas, Fatin dan Sarah tegak
mengadap Intan. Pelajar yang lain diam tidak berkutik. Seorang pun tidak berani
berbunyi suara. Sekalipun mahu terbersin, segera ditahan.
Intan memandang Fatin dan Sarah silih berganti.
Dia kemudian berjalan mengelilingi dua orang pelajar itu. Mereka berdua ini
memang tidak sudah-sudah membuat hal di sekolah. Ada sahaja perang yang
dicetuskan. Setiap kali berperang, diangkut pula geng masing-masing.
‘Belajar pun keluarga yang tanggung, ada hati
nak jadi samseng,’ desis Intan sambil tergeleng-geleng kepala.
‘Apalah nak jadi dengan budak berdua ni? Dah
naik letih aku nak mendidik,’ gumam hatinya lagi.
Cukup satu pusingan, Intan kembali berdiri di
hadapan Fatin dan Sarah. Diulangi perbuatannya memandang mereka berdua bersilih
ganti.
“Nak kena cuci tandas lagi ke cikgu?” Fatin
tiba-tiba bersuara. Wajahnya langsung tidak berperasaan. Berani sungguh dia.
Sedikit pun tidak takut dengan Cikgu Intan yang kelihatan menyinga di
hadapannya.
‘Wah, nak mencabar
aku nampaknya budak bertuah ni. Baik, tunggu!’ desis hati Intan. Dalam
kepalanya sudah terencana denda yang bakal dikenakan terhadap Fatin kali ini.
Intan berpura-pura senyum. “Taklah. Takkan saya
nak suruh awak cuci tandas hari-hari. Nanti marah pulak abang awak, kan?” kata
Intan bersahaja.
Fatin menjungkitkan sedikit bibirnya, tanda
sinis kepada Intan. Dia merasakan dia sudah menang kali ini.
Intan hanya buat-buat tidak nampak. Dibiarkan
sahaja reaksi Fatin itu. ‘Sekejap lagi kau tahu siapa Cikgu Intan.’
“Sarah, saya nak awak cuci tandas sampai bersih
berkilat. Mesti tip top macam yang Fatin selalu buat,” perintah Intan.
“Tapi cikgu, Fatin yang mula dulu,” bantah
Sarah.
Intan menggoyang-goyang rotan di tangannya.
“Saya tak mahu tahu siapa yang mula, siapa yang akhir. Yang pasti awak berdua
dah buat hal.”
“Tapi cikgu...” Sarah cuba membantah lagi, namun
segera dipotong Intan.
“Tak ada tapi-tapi. Sebab awak suka bergaduh,
hari ini saya bagi cuti. Awak tak payah ikut kelas saya. Saya nak awak pergi ke
tandas sekarang, selesaikan hukuman awak. Saya nak bunyi sahaja loceng tamat
waktu kelas saya, tandas dah bersih berkilat. Faham?” tegas arahan Intan.
Sarah akhirnya akur.
Fatin di sebelah sudah tersenyum-senyum
mengejek. ‘Padan muka kau! Hari tu kau ejek aku cuci tandas, kan? Rasakan nasib
kau hari ni,’ hamun Fatin di dalam hati.
Sarah melangkah keluar dari kelas. Sempat dia
menjeling tajam kepada Fatin. Dalam diam, Fatin membalas dengan menjatuhkan ibu
jarinya ke bawah, tanda dia mengejek kekalahan Sarah kali ini.
“Tak payahlah seronok sangat nak ejek orang
Fatin. Saya rasa, saya sangat-sangat baik hati hari ini. Sebab tu awak pun saya
nak bagi cuti kelas saya hari ni,” ujar Intan tersenyum-senyum penuh makna.
Rupa-rupanya perbuatan Fatin tadi tidak lepas
daripada pandangan matanya.
Riak ceria Fatin terus bertukar keruh. Dari
kata-kata Cikgu Intan, nampaknya dia ada harapan untuk didenda lagi hari ini.
‘Aduh! Janganlah cikgu ketot ni suruh aku bawa waris datang lagi.’ Doa Fatin
dalam hati.
Dia benar-benar bimbang kalau itu terjadi. Baru
minggu lepas dipanggil, kalau kena lagi, memang habislah dia. Confirm,
abang takkan tolong lagi. Hari itu, pulang sahaja ke rumah, teruk dia kena tarbiah
dengan abangnya. Naik pijar telinga dibuatnya.
“Fatin, saya nak awak pergi ke padang sekolah
sekarang.” Intan mengeluarkan arahan sekali lagi.
Fuh! Ada kelegaan di hati Fatin. Kalau suruh
pergi padang sekolah tu, habis-habis sangat cikgu ketot ni nak suruh aku lari
pusing padang. ‘Jaguh olahraga, tak ada hal semua tu.’ Fatin memperlekehkan
denda yang bakal dihadapi. Denda itu jauh lebih baik daripada kena bawa waris
ke sekolah.
“Nak suruh saya lari pusing padang ke cikgu?
Sepuluh? Atau dua puluh round?” Fatin melawan berani.
Intan senyum lagi. Budak ini memang tidak tahu
takut. Tapi tidak mengapa. “Taklah. Saya tidaklah sezalim itu. Saya nak awak
pergi ke padang sekolah, cabut kemucup yang ada kat padang tu.”
“Hah?” Fatin terperanjat besar. Pelajar-pelajar
yang lain juga turut terbuntang mata mendengar denda baru hari ini. Ish! Tak
pernah dibuat orang.
“Apa hal pulak saya nak kena cabut kemuncup kat
padang tu?” soal Fatin tidak puas hati.
Intan masih berlagak selamba. “Saya cuma
melaksanakan arahan abang awak. Awak dah lupa ke?”
Fatin terdiam. Mindanya segera teringatkan
kata-kata abangnya kepada Cikgu Intan pada perjumpaan minggu lepas.
“Lain kali, cikgu denda aje dia suruh cabut
kemuncup kat padang tu. Biar dia tahu betapa susahnya hidup.”
Sebuah keluhan terbit di celah bibir Fatin.
‘Alahai abang. Kenapalah idea mengarut tu jugak yang nak dicadangkan?’
“Sekarang awak boleh pergi ke padang,” kata
Intan.
“Tapi cikgu, ini tak adil. Sarah kena denda cuci
tandas, saya cikgu denda cabut kemuncup tengah panas ni.” Fatin membuat
bantahan.
“Alah, tadi kata lari 20 round pun tak
ada hal. Setakat nak cabut kemuncup tu apalah sangat, kan?” Intan memulangkan
paku buah keras.
“Tapi, cikgu...” Fatin masih tidak puas hati.
“Sudah! Awak pergi ke padang sekarang, buat denda
yang saya suruh. Bunyi saja loceng tamat kelas saya, saya nak tengok 500 gram
kemuncup yang awak cabut.” Kali ini suara Intan kembali nyaring. Tanda dia
tidak mahu berkompromi.
Fatin tidak berkata lagi. Dia segera keluar dari
kelas dengan hati yang sebal. Segala Sarah, Cikgu Intan, habis semua dihamun
dalam hati. Termasuklah abangnya juga kerana memberikan idea yang bukan-bukan.