5
MENDESUP kereta mewah itu memasuki
pekarangan banglo dua tingkat itu. Datin Salmah menjenguk ke luar melalui
jendela yang terbuka luas. Dia tersenyum. Wajah mencuka anak lelakinya yang
sedang melangkah masuk ke dalam rumah sudah mampu melahirkan sebuah ‘cerita’.
“Bad
mood?” soal Datin Salmah kepada anak lelakinya yang masih tidak menyedari
kehadirannya di ruang tamu itu.
Terhenti langkah lelaki kacak itu.
Dia memusingkan tubuhnya dan memandang tepat ke arah emaknya.
“Kenapa anak mak ni? Masam je muka
tu. Ada masalah apa lagi ni?” Lembut suara Datin Salmah. Dia menghampiri anak
lelakinya itu.
“Perempuan tak guna tu!” Tajam
kata-kata itu terlahir di bibir lelaki yang sedang menahan amarahnya.
“Perempuan mana pulak ni?” Masih
lembut suara Datin Salmah.
Terdengar dengusan nafas yang kasar
sebagai ‘jawapan’ terhadap persoalan Datin Salmah sebentar tadi.
“Marah betul nampaknya anak mak
ni... Siapalah agaknya perempuan yang berjaya ‘menyusahkan’ anak mak ni ya?”
Datin Salmah tersenyum. Sekadar mengusik insan di sisinya.
“Apa yang mak cakap ni? Tak ada
orang yang boleh menyusahkan Irfan! Irfan akan cari perempuan ‘senget’ tu
sampai ke lubang cacing!” Marah benar Irfan tika ini.
Datin Salmah menelan liur. Dia harus
menghentikan usikannya serta merta! Andai tidak pasti bala hadir menerpa
dirinya.
“Irfan... sabar... janganlah suka
melenting macam ni. Mak tak pernah ajar Irfan berkasar dengan mana-mana
perempuan. Seteruk mana pun perempuan tu menyusahkan Irfan, Irfan tak boleh nak
bersikap kurang ajar dengan dia. Sebab perempuan ni kaum yang lemah.” Datin
Salmah mengusap lembut bahu anaknya itu.
“Walau pun dia fitnah Irfan?! Macam
tu?” Irfan membalas pandangan lembut emaknya.
Berkerut dahi Datin Salmah, “Fitnah
Irfan? Maksud Irfan?”
Sekali lagi Irfan mendengus. Dia sudah
mengorak langkah ke hadapan.
“Irfan... Siapa yang fitnah Irfan?”
Datin Salmah menghentikan langkah Irfan melalui pertanyaan.
“Irfan tak kenal perempuan tu.”
Jujur Irfan.
“Habis tu kalau tak kenal kenapa
pulak dia boleh fitnah Irfan? Dia fitnah Irfan apa?” Naluri keibuan mendesak
Datin Salmah untuk melahirkan pelbagai lagi pertanyaan.
Ifran mendiamkan dirinya. Dia
membisukan mulutnya. Pertanyaan emaknya itu langsung tidak dapat meredakan
kemarahannya terhadap wanita ‘senget’ itu. Wanita yang ditemuinya di setesen
minyak tadi!
“Irfan... Irfan dengar...”
“Mak! Cukup... Irfan tak nak dengar
apa-apa lagi. Irfan penat. Nak rehat.” Irfan terus melangkah ke hadapan. Tangga
didakinya sebelum bilik tidurnya dibolosi.
Datin Salmah menggeleng melihatkan
sikap anaknya itu. Namun persoalan masih lagi menyentak-nyentak hatinya, ‘Siapa
perempuan tu? Fitnah? Fitnah apa yang ditaburkan oleh perempuan tu kepada anak
aku?’
KLINIK SITI sudah lengang setelah
menjadi tumpuan ramai sedari pagi lagi. Doktor Sufian mengukirkan senyuman
kepada wanita mengandung di hadapannya. Pesakitnya itu diberikan vitamin dan
beberapa jenis ubat lagi untuk meningkatkan tahap kesihatannya.
“Terima kasih doktor,” tutur wanita
mengandung itu.
“Sama-sama,” balas Sufian sebelum
pesakitnya itu melangkah keluar.
Doktor muda itu memanggil seorang
pembantu klinik masuk ke biliknya.
“Ya, doktor.” Tersenyum Ruzita
memandang lelaki idamannya. Doktor kacak di hadapannya itu sering sahaja hadir
membahagiakan mimpinya. Mimpi yang ‘diorak’ ceritanya.
“Ada pesakit lagi ke di luar?” soal
Sufian. Dia membalas senyuman pembantu kliniknya itu.
“Tak ada doktor. Tapi ada satu lagi MC
pesakit yang doktor perlu turunkan tanda tangan.” Ruzita meletakkan MC tersebut
di hadapan Sufian.
“Siapa punya?” Laju Sufian bertanya.
“Pesakit yang mengandung tadi. Hari
inikan doktor berikan cuti sakit pada dia.” Masih lembut suara Ruzita.
Sufian angguk sambil menurunkan tanda
tangan. Dia menyerahkan MC tersebut kepada Ruzita.
“Ada apa-apa lagi ke doktor?” soal
Ruzita dan wajah Sufian masih ‘diterokainya’.
‘Aduyai! Kacaknya jejaka idaman aku
ni. Geram aku!’ Nakal hati Ruzita bersuara.
Sufian menggelengkan kepalanya,
“Kalau ada apa-apa, saya akan panggil awak.”
“Baiklah doktor. Saya sambung buat
kerja dululah ya.” Semakin lebar senyuman Ruzita. Menggedik sungguh dirinya
tika ini.
“Baiklah.” Hanya sepatah jawapan
Sufian. Sejujurnya dia sudah berasa rimas dengan tingkah laku wanita muda di
hadapannya itu. Bukannya dia tidak tahu sedalam mana rasa suka pembantu kliniknya
itu terhadap dirinya.
Melihatkan bayangan Ruzita sudah
tiada, Sufian menyandarkan tubuhnya. Dipejamkan matanya dan diaturkan nafasnya
untuk menghilangkan sedikit kepenatan yang mendaki-daki tubuhnya itu. Sedari
pulang dari makan tengah hari di rumahnya tadi, dia langsung tidak dapat
menarik nafas lega. Pelbagai ragam manusia perlu dilayaninya. Ada yang
benar-benar sakit dan ada pula yang berpura-pura mengaduh kesakitan semata-mata
untuk mendapatkan MC daripadanya.
‘Ah! Ragam manusia susah untuk diteka,’
desis hati Sufian bersama mata yang masih terpejam.
Pejamnya pancaindera itu tidak mampu
untuk menyekat mindanya memutarkan ‘rakaman’ mengenai pertemuannya dengan
wanita itu. Pertemuan yang dicetuskan dengan sebuah kemalangan yang tidak
‘sempurna’.
Wanita yang memakai kurungan
berlabuci penuh itu kian menguasai pandangan gelapnya. Senyuman dan suara
wanita yang tidak diketahui namanya itu sedikit demi sedikit menghadirkan
kegembiraan di hatinya. Secara ‘senyap’ penat meninggalkan tubuhnya.
“Ah! Wanita itu cukup sempurna!”
Tanpa sedar mulut melahirkan kenyataan di saat mata yang terpejam masih
‘memuji’ kejelitaan wanita itu.