4
DIVA berlari laju. Segera dia
memboloskan dirinya ke dalam butik miliknya. Termengah-mengah dirinya tika ini.
Cuba diaturkan nafasnya sebaik yang mungkin agar mengah dapat diusir.
Fiza yang melihatkan keadaan Diva
pantas mendapatkan sahabat baiknya yang sudahpun melabuhkan punggungnya di atas
sofa, “Diva... kau okey ke?”
Diva tidak terus menjawab. Dadanya
masih berombak akibat kepenatan.
“Diva, kau ni dah kenapa? Kena kejar
dengan hantu ke?” Fiza tidak mempedulikan mengah yang terkesan di wajah Diva.
Dia harus mendapatkan jawapan segera. Mengapa sebegitu sekali tingkah laku
sahabat baiknya itu.
“Ini... bukan setakat kena kejar
dengan hantu dah... ni dah kes naya dah ni.” Terputus-putus suara Diva.
“Naya? Siapa yang naya kau?” Laju
Fiza menyoal.
Diva terdiam. Dia menoleh ke arah
Fiza. Riak serba salah segera terukir di wajahnya.
“Nanti dulu... muka kau ni, macam
muka orang buat salah je. Takkan... kau yang aniaya orang!” telah Fiza.
Diva anggukkan kepalanya perlahan,
“Tapi... aku tak sengaja nak naya mamat ‘mental’ tu. Mamat tu yang cari pasal
dulu dengan aku!”
“Siapa?” Sepatah soalan Fiza.
Diva kerutkan dahinya, “Siapa apa?”
“Lah... kau ni! Siapa mamat ‘mental’
yang kau cakap tu? Siapa dia?” Fiza kian menepatkan pandangannya ke wajah Diva.
Diva jungkitkan bahunya, “Entah. Aku
tak tahu siapa nama dia.”
“Habis tu kalau kau tak kenal mamat
tu macam mana kes naya menganiaya ni boleh berlaku? Diva... cuba kau cerita
betul-betul dekat aku apa sebenarnya yang telah berlaku?” Fiza memegang lembaut
bahu Diva.
Diva mengeluh. Berat keluhannya,
“Sebenarnya... masa dekat rumah Datin Salmah... Datin ajak aku makan tengah
hari dengan dia. So, aku ‘hentamlah’ ayam
masak lemak cili api yang pembantu rumah Datin sediakan. Bila dalam perjalanan
pulang, mulalah perut aku ni meragam. Aku pun singgahlah stesen minyak. Masa
aku nak guna tandas dekat stesen minyak tulah aku ‘berkenalan’ dengan mamat
‘mental’ tu.”
Fiza tidak menyampuk apa. Dia tahu
yang sahabatnya itu masih hendak menyambung penceritaannya.
“Kau tahu tak yang mamat tu memang
kurang ajar! Boleh pulak dia nak gunakan tandas perempuan. Dahlah waktu tu aku
memang dah tak tahan. Rasa macam nak melepaskan ‘hajat’ time tu jugak. Bila aku sound
dia, dia membentak. Katanya tandas lelaki dah rosak. So... tak salah kalau dia nak gunakan tandas tu. Aku pun apa lagi,
naiklah ‘sheikhlah’! Dan panda waktu tulah aku... aku... aku...”
“Aku apa?!” sergah Fiza. Geram pula
dirinya dengan kegagapan Diva itu.
“Aku tuduh dia nak cabul aku!”
Lancar kata-kata itu meluncur di bibir Diva akibat terkejut dengan sergahan
Fiza.
“Apa?! Diva... betul ke yang kau
fitnah mamat tu sampai macam tu sekali?” Membulat mata Fiza. Tidak disangkanya
yang sahabatnya itu mampu melahirkan fitnah sebegitu.
Diva tertunduk. Dia mengatip bibir
bawahnya. Penyesalan jelas terukir di wajahnya, “Aku tak sengaja. Aku... aku...
tak ada niat nak naya mamat ‘mental’ tu.”
“Habis tu apa yang terjadi pada
mamat tu?” Seketika soalan itu yang terlahir di bibir Fiza.
“Lepas aku fitnah mamat tu... dia
ditangkap oleh pekerja-pekerja stesen minyak.” Kembali perlahan suara Diva.
“Maksudnya kes kau ni dah melibatkan
pihak berkuasalah?” Fiza mendongakkan wajah Diva.
“Tak! Maksud aku lepas je aku keluar
dari tandas tu, aku terus drive balik
ke butik. Aku tak ada bagi apa-apa keterangan pada pekerja-pekerja stesen
minyak tu. So... aku yakin yang mamat
tu akan dilepaskankan tanpa apa-apa dakwaan.” Yakin Diva.
“Kau yakin yang mamat ‘tak bernama’
tu akan selamat?” Keraguan disuakan oleh Fiza.
Keyakinan yang tadinya menggunung
kini menjadi rata akibat kata-kata Fiza itu, “Kau ni Fiza... janganlah takutkan
aku. Insya-ALLAH mamat tu takkan apa-apalah.”
Fiza menghembuskan nafasnya panjang,
“Harap-harap macam tulah.”
Diva membisukan mulutnya sekali
lagi. Cuba menyuntik kembali keyakinan di hatinya.
“Mamat tu handsome tak?” Tiba-tiba Fiza bertanyakan soalan itu. Matanya tepat
memandang sepasang mata milik Diva.
Diva melarikan sedikit pandangan matanya.
Semerta imbauan mengenai seraut wajah berkemeja hitam itu terlayar di ruang
matanya.
“Diva! Aku tanya ni mamat tu handsome tak?” soal Fiza sekali lagi.
“Tak! Tak handsome langsung. Handsome
lagi muka bapak aku!” Habis sahaja menuturkan kata-kata itu, dada Diva terasa
sempit. Nafasnya terasa sesak. Dia menekan-nekan dadanya. Bunyi ‘wheezing’ turut kedengaran dari ruang
kerongkongnya. Semput telah hadir ‘menghukumi’ penipuannya!
“Kak Burkiah! Cik Diva semput! Cepat
ambil inhaler dia!!!” terjerit Fiza memanggil Kak Burkiah yang sedang menjahit
di bilik belakang butik itu.
Berlari Kak Burkiah mendapatkan
bosnya yang sedang semput. Tercungap-cungap Diva saat dia menyedut gas yang
keluar dari inhaler berwarna biru muda itu.
“Cik Diva okey ke?” soal Kak
Burkiah. Kerisauan jelas terukir di raung matanya.
Diva anggukkan kepalanya.
“Cik Diva nak air ke?” soal Kak
Burkiah lagi.
Diva gelengkan pula kepalanya. Saat
dan tika ini hanya bahasa tubuh yang boleh digunakannya.
“Betul ke kau okey ni?” Kali ini
Fiza pula yang menyoal.
“Be... betul aku okey. Kau janganlah
risau. Terima kasih Kak Burkiah. Tapi saya betul-betul dah okey sekarang. Akak
pergilah sambung menjahit ya.” Agak lambat Diva bersuara.
Kak Burkiah anggukkan kepalanya
sebelum berlalu.
Melihatkan bayangan Kak Burkiah
sudah menghilang, Fiza tersenyum sinis. Dia memandang tepat ke wajah insan di
sisinya itu.
“Dah kenapa kau pandang aku macam
tu?” Diva melarikan pandangannya. Dia tahu yang sahabatnya itu hendak
‘mengenakannya’.
“Tipu lagi. Ha... kan dah semput!”
Pantas tawa tercetus di bibir Fiza. Merah wajahnya menahan bahak.
“Ketawalah! Ketawalah puas-puas.
Malaslah aku nak layan kau!” Diva sudah bangkit. Berura-ura untuk berlalu.
Melihatkan tingkah Diva, cepat
sahaja Fiza menarik tangan sahabatnya itu. Terduduk kembali Diva.
“Mesti mamat tu handsome kan... tapi... aku peliklah...” Fiza kembali ‘memaut’
wajah Diva.
Berkerut dahi Diva. Dia membalas
pandangan sahabatnya itu, “Apa yang kau pelikkan?”
“Kalau kau tipu, kau semput. Tapi
kenapa masa kau tipu mengenai kes cabul tu kau tak semput?” Tanda tanya
memenuhi ruang wajah Fiza tika ini.
Diva terpempan. Baru dia
terperasankan suatu keanehan. Kenapa sewaktu dia berhadapan dengan mamat
‘mental’ tu dan penipuan disuakan, semput tidak ‘menghukumi’ dirinya?
‘Kenapa aku tak semput bila aku
berhadapan dengan mamat ‘mental’ tu?’ Semerta hadir persoalan di jiwa Diva.
Persoalan yang tidak mungkin dapat dirungkaikan dalam jangka masa seketika.