Home Novel Komedi/Romantik Komedi Miss Diva Semput
Miss Diva Semput
Eija Khadeeja
3/1/2015 15:55:51
33,122
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 5

5

MENDESUP kereta mewah itu memasuki pekarangan banglo dua tingkat itu. Datin Salmah menjenguk ke luar melalui jendela yang terbuka luas. Dia tersenyum. Wajah mencuka anak lelakinya yang sedang melangkah masuk ke dalam rumah sudah mampu melahirkan sebuah ‘cerita’.

“Bad mood?” soal Datin Salmah kepada anak lelakinya yang masih tidak menyedari kehadirannya di ruang tamu itu.

Terhenti langkah lelaki kacak itu. Dia memusingkan tubuhnya dan memandang tepat ke arah emaknya.

“Kenapa anak mak ni? Masam je muka tu. Ada masalah apa lagi ni?” Lembut suara Datin Salmah. Dia menghampiri anak lelakinya itu.

“Perempuan tak guna tu!” Tajam kata-kata itu terlahir di bibir lelaki yang sedang menahan amarahnya.

“Perempuan mana pulak ni?” Masih lembut suara Datin Salmah.

Terdengar dengusan nafas yang kasar sebagai ‘jawapan’ terhadap persoalan Datin Salmah sebentar tadi.

“Marah betul nampaknya anak mak ni... Siapalah agaknya perempuan yang berjaya ‘menyusahkan’ anak mak ni ya?” Datin Salmah tersenyum. Sekadar mengusik insan di sisinya.

“Apa yang mak cakap ni? Tak ada orang yang boleh menyusahkan Irfan! Irfan akan cari perempuan ‘senget’ tu sampai ke lubang cacing!” Marah benar Irfan tika ini.

Datin Salmah menelan liur. Dia harus menghentikan usikannya serta merta! Andai tidak pasti bala hadir menerpa dirinya.

“Irfan... sabar... janganlah suka melenting macam ni. Mak tak pernah ajar Irfan berkasar dengan mana-mana perempuan. Seteruk mana pun perempuan tu menyusahkan Irfan, Irfan tak boleh nak bersikap kurang ajar dengan dia. Sebab perempuan ni kaum yang lemah.” Datin Salmah mengusap lembut bahu anaknya itu.

“Walau pun dia fitnah Irfan?! Macam tu?” Irfan membalas pandangan lembut emaknya.

Berkerut dahi Datin Salmah, “Fitnah Irfan? Maksud Irfan?”

Sekali lagi Irfan mendengus. Dia sudah mengorak langkah ke hadapan.

“Irfan... Siapa yang fitnah Irfan?” Datin Salmah menghentikan langkah Irfan melalui pertanyaan.

“Irfan tak kenal perempuan tu.” Jujur Irfan.

“Habis tu kalau tak kenal kenapa pulak dia boleh fitnah Irfan? Dia fitnah Irfan apa?” Naluri keibuan mendesak Datin Salmah untuk melahirkan pelbagai lagi pertanyaan.

Ifran mendiamkan dirinya. Dia membisukan mulutnya. Pertanyaan emaknya itu langsung tidak dapat meredakan kemarahannya terhadap wanita ‘senget’ itu. Wanita yang ditemuinya di setesen minyak tadi!

“Irfan... Irfan dengar...”

“Mak! Cukup... Irfan tak nak dengar apa-apa lagi. Irfan penat. Nak rehat.” Irfan terus melangkah ke hadapan. Tangga didakinya sebelum bilik tidurnya dibolosi.

Datin Salmah menggeleng melihatkan sikap anaknya itu. Namun persoalan masih lagi menyentak-nyentak hatinya, ‘Siapa perempuan tu? Fitnah? Fitnah apa yang ditaburkan oleh perempuan tu kepada anak aku?’

KLINIK SITI sudah lengang setelah menjadi tumpuan ramai sedari pagi lagi. Doktor Sufian mengukirkan senyuman kepada wanita mengandung di hadapannya. Pesakitnya itu diberikan vitamin dan beberapa jenis ubat lagi untuk meningkatkan tahap kesihatannya.

“Terima kasih doktor,” tutur wanita mengandung itu.

“Sama-sama,” balas Sufian sebelum pesakitnya itu melangkah keluar.

Doktor muda itu memanggil seorang pembantu klinik masuk ke biliknya.

“Ya, doktor.” Tersenyum Ruzita memandang lelaki idamannya. Doktor kacak di hadapannya itu sering sahaja hadir membahagiakan mimpinya. Mimpi yang ‘diorak’ ceritanya.

“Ada pesakit lagi ke di luar?” soal Sufian. Dia membalas senyuman pembantu kliniknya itu.

“Tak ada doktor. Tapi ada satu lagi MC pesakit yang doktor perlu turunkan tanda tangan.” Ruzita meletakkan MC tersebut di hadapan Sufian.

“Siapa punya?” Laju Sufian bertanya.

“Pesakit yang mengandung tadi. Hari inikan doktor berikan cuti sakit pada dia.” Masih lembut suara Ruzita.

Sufian angguk sambil menurunkan tanda tangan. Dia menyerahkan MC tersebut kepada Ruzita.

“Ada apa-apa lagi ke doktor?” soal Ruzita dan wajah Sufian masih ‘diterokainya’.

‘Aduyai! Kacaknya jejaka idaman aku ni. Geram aku!’ Nakal hati Ruzita bersuara.

Sufian menggelengkan kepalanya, “Kalau ada apa-apa, saya akan panggil awak.”

“Baiklah doktor. Saya sambung buat kerja dululah ya.” Semakin lebar senyuman Ruzita. Menggedik sungguh dirinya tika ini.

“Baiklah.” Hanya sepatah jawapan Sufian. Sejujurnya dia sudah berasa rimas dengan tingkah laku wanita muda di hadapannya itu. Bukannya dia tidak tahu sedalam mana rasa suka pembantu kliniknya itu terhadap dirinya.

Melihatkan bayangan Ruzita sudah tiada, Sufian menyandarkan tubuhnya. Dipejamkan matanya dan diaturkan nafasnya untuk menghilangkan sedikit kepenatan yang mendaki-daki tubuhnya itu. Sedari pulang dari makan tengah hari di rumahnya tadi, dia langsung tidak dapat menarik nafas lega. Pelbagai ragam manusia perlu dilayaninya. Ada yang benar-benar sakit dan ada pula yang berpura-pura mengaduh kesakitan semata-mata untuk mendapatkan MC daripadanya.

‘Ah! Ragam manusia susah untuk diteka,’ desis hati Sufian bersama mata yang masih terpejam.

Pejamnya pancaindera itu tidak mampu untuk menyekat mindanya memutarkan ‘rakaman’ mengenai pertemuannya dengan wanita itu. Pertemuan yang dicetuskan dengan sebuah kemalangan yang tidak ‘sempurna’.

Wanita yang memakai kurungan berlabuci penuh itu kian menguasai pandangan gelapnya. Senyuman dan suara wanita yang tidak diketahui namanya itu sedikit demi sedikit menghadirkan kegembiraan di hatinya. Secara ‘senyap’ penat meninggalkan tubuhnya.

“Ah! Wanita itu cukup sempurna!” Tanpa sedar mulut melahirkan kenyataan di saat mata yang terpejam masih ‘memuji’ kejelitaan wanita itu.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.