Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku villainess pantang menyerah kalah!
Aku villainess pantang menyerah kalah!
Seri Pagi
12/3/2020 11:52:05
60,066
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
15

Farrah hadir ke parti Putri malam itu. Hadirin terdiri daripada kawan-kawan Putri berkumpul dan bersantai disekitar laman bersebelahan kolam renang. Diatas meja dipenuhi makanan dan minuman disajikan dari servis katering. Ada BBQ dan kambing golek! Oleh kerana Farrah tiba lewat dari masa sepatutnya, kek telah dipotong dan dibahagi-bahagi kepada tetamu yang hadir.

 

Putri menghampiri Farrah dan Haris. Farrah mengambil kesempatan menyerahkan hadiah dibawanya kepada Putri. Kerana Putri seorang pelajar, Farrah hadiahkan set alat tulis, planner M*leskine dan juga sehelai scarf panjang. Tidak dilupakan Premium English Tea dalam tin aluminium bersegi. Putri boleh menikmati Darjeeling selepas penat menelaah.

 

"Terima kasih." Jawab Putri sambil tersenyum sebelum memberitahu sesuatu yang menggelisahkan."Mama nak jumpa Kak Farrah."

 

Farrah masuk ke bilik menunggu tetamu dalam villa itu. Dilihat Datin sedang berbual bersama Diyana yang ditemani Amir. Melihat kedatangan Farrah dan Haris, Amir dan Diyana berdiri lalu bergerak untuk kembali ke halaman tempat parti diadakan.

 

Datin kelihatan tenang bersahaja. Menurut Haris, Dato Kamal berada di bilik bacaan peribadi masih tidak keluar sejak petang lagi. Dari awal Datin seorang diri melayan tetamu yang ingin berjumpa dengan tuan rumah.

 

"Mama ingin berbual dengan Farrah seorang." Ujar Datin Rohaya meminta Haris beredar. Pada mulanya Haris berat hati tetapi akur akhirnya.

 

Setelah pasti kelibat Haris hilang, Datin mula bersuara. "Nampaknya awak amat rapat dengan Haris.."

 

"Ya sebab Farrah selalu jumpa Haris dalam syarikat… Tapi sama juga halnya dengan Putri." Farrah tersenyum.

 

"Tapi awak tak muncul-muncul ke rumah ini untuk temankan Putri seperti selalunya. Hubungan awak dengan keluarga ni betul-betul dah berubah. Bagaimana dengan keadaan awak sekarang?"

 

"Farrah sihat .Mengenai Putri, kebelakangan ini Farrah selalu bertemu dengannya di tempat lain."

 

Datin meletakkan cawan diatas meja. Bagaikan tanda perbualan jadi lebih serius selepas ini.

 

"Satu hari Amir katakan dia tidak mahu berkahwin dengan awak. Tidak lama selepas itu, dia bawa seorang perempuan untuk diperkenalkan pada semua orang dalam rumah ini. Saya rasa terkejut."

 

Datin membisu agak lama sebelum menyambung semula.

 

"Sebenarnya, saya sangat berharap awak datang cari saya. Datang untuk meminta saya memujuk Amir. Tapi awak tak muncul-muncul. Keluarga ini dah lama mengenali awak malah awak memang sepadan dengan Amir. Akhirnya, saya terpaksa menerima Diyana. Syukurlah Diyana seorang perempuan yang baik. Apa yang saya ingin katakan disini ialah jangan salahkan saya kerana ikut kemahuan Amir. Sebagai ibunya, saya hanya ingin lihat Amir bahagia. Jika awak masih menyimpan apa-apa perasaan pada Amir….. Sayangnya.. dah terlambat."

 

"Farrah faham. Amir telah buat pilihannya. Farrah juga dah dapat ganti rugi dari Datin sekeluarga. Perkara ini telah selesai. Datin tak perlu berfikir banyak atau risau." balas Farrah.

 

Tak sangka Datin sebenarnya berfikiran sedemikian. Menunggu Farrah. Agaknya Datin rasa bersalah? Bertemu Farrah pada hari ini hanyalah ingin mendengar penjelasan dari mulut Farrah sendiri.

 

"Maafkan Farrah. Tapi kita tak boleh ulangi masa semula. Perasaan Datin dah cukup. Walaupun keadaan dah berbeza, tapi Farrah tetap ingin berkawan dengan Putri dan Haris. Atau berbual dengan Datin seperti begini. Jadi lebih mesra. Farrah harap Datin ada fikiran yang sama."

 

Farrah cuba buatkan Datin tidak dibebani perkara ini.

 

"Ini pandangan awak? Saya sangka awak mulai beremosi dan salahkan keluarga ini. Jika awak berlagak seperti itu, agak mudah bagi saya untuk membenci awak. Tapi sayangnya awak bukan orang seperti itu. Tapi begini lebih baik. Jangan sebut tentang perkara ini lagi. Maaf, saya cuma ingin menguji awak." Datin berterus-terang. Reaksinya kelihatan berpuas hati.

 

Mmm?! Adakah Farrah baru sahaja terlepas dari masalah? Dari apa yang dikatakan Datin tadi, dia sedang menguji Farrah. Nampaknya Datin cuba untuk meng-kategorikan Farrah sebagai musuh atau tidak.


Orang seperti Datin tidak boleh dijadikan musuh. Lebih banyak keburukan dari kebaikan. Terutama sekali Datin paling berkuasa dalam rumah ini. Mujur sahaja Farrah berada di kategori 'bukan musuh'. Syukur. 

 

Farrah akan sentiasa beringat.

 

"Apa rancangan awak selepas ini? Dengarnya awak berhenti dari LinkComm." Datin mula menyoal topik lain.

 

Semua soalan Datin, Farrah jawab dengan berhati-hati. Terasa bagaikan sesi soal siasat dari berborak. Rasa tertekan. Adakah Farrah masih lagi diuji?

 

Berbual dengan Datin terasa agak lama. Paling teruk apabila perut Farrah berkeroncong minta diberi makanan. Demi parti malam ini, Farrah bertahan tidak makan apa-apa sejak pagi tadi.


Farrah teguk air yang ada digelasnya.

 

Tidak lama selepas itu muncul Bayazid. Pada asalnya dia bercadang ingin menyapa Dato Kamal tetapi hasratnya tidak kesampaian apabila mendapat tahu Dato masih belum keluar turun ke halaman rumah. Akhirnya Bayazid turut serta dalam perbualan bersama Datin. Sekurang-kurangnya topik jadi lebih banyak dari tadi. Sesi soal siasat tadi tamat. Awak selamatkan Farrah!

 

Perbualan berhenti apabila Putri munculkan diri. Dia meminta ibunya menemui kawan-kawannya yang ingin beredar. Mereka berempat kemudiannya kembali ke laman luar. Sewaktu Putri dan Datin ke arah bertentangan, Farrah pula bergegas lari ke arah buffet dan mula mengaut makanan. Bayazid memerhati kelakuannya.

 

"Ini bukannya alasan tapi Farrah tak sentuh apa-apa makanan sejak tiba tadi. Rasa kebulur!" jelas Farrah.

 

"Tak ada kata apa-apa pun lagi!" Balas Bayazid.

 

"Tapi reaksi awak tunjukkan perkara sebaliknya!"

 

Farrah tahu apa yang bermain difikiran awak sekarang! Awak tentu perli Farrah seperti kuat makan atau sebagainya sekarang ini.

 

Tiba-tiba kedengaran bunyi kecoh dari suatu arah. Semua yang masih ada memandang ke arah bunyi tersebut termasuklah Farrah dan Bayazid. Kelihatan Haris dan Amir dilihat saling berhadapan dan berpandangan dalam suasana tegang, sedia untuk bertengkar. Diyana berada di belakang Amir.

 

"Sejak pulang dari Malaysia, perangai kau makin pelik! Mengapa kau buat begini? Tak cukup lagi kau jatuhkan kedudukan dan ambil posisi aku. Sekarang ini kau nak hantar Diyana jauh-jauh dari sini? Kau gila ke?" Amir kelihatan amat marah.

 

"Tak faham.. Apa yang kau maksudkan?" balas Haris.

 

"Jangan pura-pura tak tahu. Awak pujuk Diyana terima tawaran kau. Dibawah program 'Employee Exchange', kau ingin hantar Diyana ke tempat lain.  Diyana sendiri beritahu aku apa yang berlaku!" Tengking Amir.

 

"Jangan lupa tiada sesiapa dipaksa untuk mengikuti apa-apa program dalam syarikat. Dia kelihatan berminat dan rela hati ingin ikut program itu lalu datang minta nasihat dan pertolongan. Tanyalah Diyana sendiri!"

 

Haris memandang Diyana yang sedang pucat.

 

"Kerana kau buatkan Diyana rasa bersalah. Kau katakan sesuatu padanya. Mengapa kau setuju dengan permohonannya?" soal Amir lagi.

 

"Sudah tentu kalau nak beri nasihat, aku perlu kata sesuatu. Tapi keputusan akhir semua di tangan Diyana kan? Mengapa rasa marah sangat? Kau tak rasa ini sebenarnya untuk kebaikan Diyana sendiri? Jika dia berada di tempat lain, dia boleh fokus pada kerjanya. Tiada khabar angin atau gosip. Amir… takkan kau tak tahu banyak cerita tentang awak dan Diyana dalam syarikat? Ada cerita mengenai awak berikan 'special treatment' pada Diyana. Kau salah gunakan kuasa selama ini. Sekarang aku kembali ke syarikat, tiada lagi perkara seperti ini!" Dengan muka dingin, Haris mengatakan sebabnya.

 

"Sebab itu aku katakan kau buatkan Diyana rasa bersalah. Jangan ingat aku tak tahu kau juga ada tawarkan sesuatu untuk Diyana. Jika Diyana setuju ke tempat lain, kau janji tidak lakukan apa-apa pada aku dan tolong Diyana perbaiki hubungannya dengan orang lain.Tapi kau sebenarnya ada rancangan lain!" tuduh Amir.

 

"Jika itu tawarannya, kan lebih baik jika terima sahaja?! Rancangan? Seperti apa? Cakaplah!"

 

Amir terdiam. Dia sendiri tidak tahu. Semua hanyalah intuisinya. Tapi ada sesuatu yang dia sangat pasti. "Mengapa kau sangat bencikan aku?"

 

"Tanyalah diri kau sendiri!" Haris jadi tidak berminat. Dia menoleh berniat ingin beredar dari tempat itu. Bagaimanapun bahunya dipegang Amir.

 

"Beritahu aku mengapa kau buat semua ini? Kau dipengaruhi seseorang….. Dipengaruhi Farrah atau keluarganya?" soal Amir.

 

Haris terhenti.

 

Datin dan Putri tersentak mendengar kata-kata Amir.

 

Bayazid senyap memerhati.

 

Farrah terus mengunyah makanan…. tapi sedar namanya disebut.

 

Tanpa memberi jawapan, Haris menolak Amir kebelakang. Tidak mengalah, Amir terus memegang bahu Haris, memberhentikannya.


Kedegilan Amir hanya membuatkan perkara itu berpanjangan Haris hilang sabar.

 

"Apa yang kau buat pada aku, aku buat pada kau balik. Semua berpunca dari sikap pentingkan diri kau sendiri. Fikirkan apa yang berlaku lima tahun lepas… Selama ini. Sejak dahulu lagi kau selalu pergunakan aku. Minta pertolongan aku tapi ambil semua hasilnya.Semua orang sayangkan kau. Kau sepatut pergi belajar ke luar negara tapi kau berjaya pujuk mama supaya benarkan kau belajar disini. Akibatnya aku terpaksa tanggung peranan kau. Bukan sekali. Dah banyak kali kau buat perkara ini. Sekarang terima akibatnya. Aku hanya ambil apa yang sepatutnya layak aku dapat." luah Haris.

 

"Mengapa sekarang ini? Kau sepatutnya berterus-terang pada aku.."

 

"..Dan tunggu kau berubah? Sehingga bila? Pada mulanya aku bercadang untuk sedia menetap diluar negara dan lupakan segala-galanya. Semuanya berubah apabila aku hubungi kamu semua. Melalui Putri, aku dapat tahu Farrah koma dan apa yang kau dah buat. Kau betul-betul cari penyakit! Selama ini kau tahu aku ada menyimpan perasaan pada Farrah tapi kerana ego kau, kau berjaya buatkan Farrah jatuh cinta pada kau. Tapi aku biarkannya. Berharap Farrah lebih gembira bersama kau. Tapi tengoklah apa yang kau dah buat!" marah Haris.

 

Semua yang mengenali Farrah memandangnya. Farrah jadi panik.

 

"Farrah sebahagian sebab aku kembali. Sebahagian lagi kerana perbuatan kau! Tak mungkin aku biarkan orang macam kau ambil-alih segalanya. Sekarang kau patut akui aku jauh lebih hebat d-"

 

Diyana menampar Haris.

 

"Cukuplah dengan segala kata-kata awak. Hentikannya."

 

Haris memandang Diyana.

 

"Jangan berlagak jadi mangsa keadaan. Kau bukannya baik sangat. Dengan salah faham berlaku antara kau dan Farrah, kau sepatutnya nafikan atau bersihkan nama Farrah tapi tidak… kau hanya diam. Biarkan Farrah jadi mangsa salah faham yang berlaku. Jauh disudut hati kau, kau tahu itu sahaja caranya kau boleh buatkan kedudukan Farrah jatuh. Ignorant women!"

 

Kali ini giliran Haris membidas Diyana.

 

"….tak ada niat sebegitu pada Farrah… awak layak ditampar…pergunakan saya… sakiti Amir…."

 

Panik. Diyana tersedar situasi yang dihadapinya. Kini giliran dia berhadapan dengan Haris.

 

"Mohon maaf pada Farrah sekarang juga! Jika tidak, kau akan menyesal…." gertak Haris.

 

Farrah memegang bahu Haris sambil menggelengkan kepala apabila Haris melihatnya.

 

"Cakap sesuatu Farrah. Ini sahaja masanya untuk buatkan mereka faham."

 

Haris yang selalunya mengawal emosi kini dipengaruhi keadaan. Farrah terus merenungnya. Melihat sikap Farrah tidak endahkan permintaannya membuatkan Haris makan hati. Bagaimanapun sebelum Haris sempat berkata sesuatu, Amir meluru kearah mereka.

 

"Kau dah melampau Haris..!" Amir melayangkan penumbuk.

 

Kerana Farrah berdiri disebelah, Haris tidak dapat mengelak. Penumbuk singgah tepat ke mukanya walaupun dia berjaya menolak Farrah. Haris berundur sebelum berlutut memegang tanah. Dengan cepat dia berdiri lalu menuju ke arah Amir. Mereka berdua mula bergelut.

 

"Berhenti!" Farrah menjerit cuba meleraikan mereka berdua. Diyana juga menjerit.

 

Malang tidak berbau apabila libasan tangan Amir sedikit mengenai muka Farrah. Sakit. Pedih. Air mata mengalir selain darah pekat keluar dari hidung apabila Farrah mengesat dengan tangan.

 

Haris naik berang.Tidak mengendahkan keadaan dirinya, Farrah menarik lengan Haris kebelakang untuk membuatkannya berundur. Kelihatan Diyana turut menghalang Amir daripada mara kehadapan.

 

"Berhenti! Kamu berdua rosakkan parti Putri dan mood semua orang. Berhenti sekarang!"

 

Farrah terdengar Putri menjerit ditepi. Tidak lama selepas itu, Putri turut ikut sama berdiri diantara kedua-dua abangnya untuk menghentikan mereka. Datin pula hampir pengsan melihat mereka semua. Keadaan jadi huru-hara.

 

Memalukan! Keluarga Dato Kamal dilihat dalam keadaan memalukan.

 

Hari ini, parti Putri jadi peristiwa yang tidak dapat dilupakan.

 

Tiba-tiba, kelima-lima mereka jatuh ke dalam kolam renang. Sebagai cara akhir, Bayazid terpaksa menolak mereka semua.

 

"Semua bertenang!" marah Bayazid.

 

Gulp! Gulp!

Daripada dipenuhi makanan lazat, perut Farrah dimasuki air kolam renang.

 

Farrah cuba naik ke permukaan. Bagaimanapun orang disebelahnya kelihatan bergelut dalam situasi itu. Diyana yang habis nafas cuba mencapai sesuatu.Farrah turut membawanya bersama. Sampai di permukaan, Pelayan dan orang ramai menolong mereka naik ke tepian.

 

Semua yang habis basah dibawa masuk kedalam rumah. Datin menenangkan tetamu yang ada dengan pertolongan Bayazid. Haris dan Amir mendiamkan diri. Sekurang-kurangnya mereka berdua tidak meneruskan pergaduhan mereka.

 

"Farrah okey." Jawab Farrah kepada Haris yang bertanyakan keadaannya sebelum masuk menumpang ke bilik Putri untuk membersihkan diri dan menyalin baju basah. Darah masih mengalir. Diyana pula dibenarkan menggunakan bilik tetamu.

 

Dengan tamatnya perkelahian tadi, parti itu berakhir tidak lama selepas itu. Bayazid antara tetamu terakhir sekali dilihat beredar dari kediaman itu.

 

*

*

Datin Rohaya menggesa Diyana terutama Farrah supaya bermalam di kediaman itu. Memandangkan hubungan kedua keluarga mulai pulih, tidak mungkin Datin membenarkan Farrah pulang setelah apa yang berlaku. Datin turut membuat panggilan kepada keluarga Farrah supaya mereka tidak risau. Farrah hanya meng-iyakan apa yang dikatakan Datin.

 

Dato Kamal amat marah. Dia melihat apa yang berlaku dari tingkap bilik bacaan setelah mendengar bunyi bising. Amir dan Haris dipanggil masuk ke dalam bilik bacaan. Kedengaran suara marah Dato walaupun kurang jelas apa yang dikatakan.

 

Haris dan Amir layak dimarahi. Mereka berdua juga patut minta maaf pada Putri kerana rosakkan partinya. Masih ada kawan-kawan Putri yang melihat kejadian tadi.

 

"Jangan risau. Putri akan suruh abang Amir dan abang Haris fikirkan sesuatu nanti. Ini semua salah mereka." Balas Putri memberi jaminan kepada Farrah.

 

Mereka berdua sedia untuk tidur apabila Farrah terfikir sesuatu: Diyana keseorangan di bilik tetamu.,,

 

"Putri…berminat adakan parti sekali lagi? Pajama party! "

 

Mendengar idea Farrah membuatkan Putri bersetuju. Tanpa membuang masa, Farrah dan Putri keluar membawa bantal lalu menuju ke bilik tetamu. Mendengar bunyi pintu diketuk, Diyana membuka lalu terkejut mendapati Putri dan Farrah tercegat dihadapan pintu.

 

"Pajama Party!" Putri menjelaskan apa yang berlaku sambil Farrah tersenyum.

 

Mahu tidak mahu, Diyana menjemput mereka masuk kedalam. Kerana malam semakin lewat, mereka bertiga tidur bersama-sama, saling berhimpit diatas katil. Jauh daripada pajama party, keadaan umpama kem perkhemahan.

 

Satu perasaan aneh timbul kerana Farrah tidak pernah mendekati Diyana selama ini. Walaupun pada awalnya kekok dan segan, mereka berdua membiarkannya. Kehadiran Putri sedikit banyak merubah keadaan jadi lebih rileks sebelum dia mula menguap. Oleh kerana mereka berdua tidak dapat melelapkan mata, mereka hanya memandang siling sambil berkata sesuatu yang terlintas dalam fikiran.

 

"Bagaimana dengan hidung awak?" soal Diyana.

 

"Agaknya mulai bengkak.." balas Farrah.

 

"Terima kasih kerana selamatkan saya dari lemas."

 

"Kebetulan Farrah disebelah awak."

 

Perbualan ringkas tapi penuh makna. Farrah harap ini permulaannya. Tidak perlu terus 'lompat' menjadi kawan dalam semalaman ini, cukuplah sekadar Diyana faham Farrah bukan musuhnya. Syukur Diyana terbuka hati ingin melayan Farrah.

 

Mereka terus berbual sehingga terlelap.

 

 

 

 

Awal pagi, Farrah dan Diyana antara terawal bangun di kediaman itu. Diyana bercadang untuk membantu membuat sarapan pagi sebagai tanda membalas budi kerana membenarkan dirinya bermalam di kediaman itu. Kelihatan dia seperti sudah biasa membuat makanan untuk diri sendiri. Tukang masak kediaman itu hanya menambah menu yang ada, tidak menganggu atau membantah pertolongan Diyana. Diyana bercadang ingin membuat nasi lemak.

 

Farrah juga boleh bantu. Farrah boleh kupas dan potong semua jenis bawang!

 

Tapi apabila melihat bawang Holland sebesar bola tenis bertukar menjadi sebesar bola ping pong hasil kerja Farrah, Diyana menyuruhnya berhenti. Tukang masak kediaman itu turut meminta Farrah duduk menunggu di meja makan sahaja apabila melihat kawasan dapur mulai bersepah. Diyana memandangnya dengan pandangan kasihan sambil menggelengkan kepala.

 

Mengapa?! Jangan lupa Farrah selamatkan awak dari lemas semalam!

 

Tunggulah! Farrah akan fokus ikut kelas memasak selepas berhenti!

 

 

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

 

Sebarang komen dan dan cadangan email kepada [email protected]

 

Bab16 bab akhir. Terima kasih kerana sudi luangkan masa baca kisah ini!




Previous: 14
Next: 16 END

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.