*MIMPI 14*
[2014]
‘Wedding of The Year!’
Suasana merewang di rumah agam Prof. Madya Dr. Hajjah Khadijah binti Abdullah sangat meriah dengan kehadiran sanak saudara dan jiran tetangga yang ingin turut sama membantu dalam persiapan majlis pernikahan cucu sulungnya. Hajjah Khadijah yang juga dikenali dengan gelaran Nenda itu merupakan seorang pemilik hospital swasta yang terkemuka di Kuala Lumpur iaitu H&H (H and Heritage) Hospital. Hospital swasta tersebut pada awalnya diasaskan oleh arwah suaminya yang berketurunan Turkey.
Luthfi iaitu cucu lelaki yang sulung akan bernikah pada keesokan harinya. Hajjah Khadijah juga sangat dikenali dengan sifatnya yang sering bermurah hati dalam menjamu tetamunya dengan masakan rumah. Oleh itu, beliau juga menginginkan majlis pernikahan cucunya itu disediakan beramai-ramai oleh sanak saudara dan jiran tetangganya. Beliau sememangnya berhasrat ingin menghidupkan semula suasana bersilaturahim antara insan-insan yang pernah dikenalinya. Waktu sebegini jualah dia berpeluang untuk berjumpa semula dengan saudara mara yang jauh.
“Kak Jah..! Ya Allah Kak Jah, lamanya tak jumpa Kak Jah. Kak Jah sihat?”, ujar seorang tetamu yang baru sampai dari Muar, tempat kelahiran Hajjah Khadijah. Mereka berdua bersalaman dan berpelukan erat.
“Alhamdulillah Kak Jah sihat.. Awaknya sihat?”
“Alhamdulillah sihat juga, kak. Akak nampak makin berseri-seri ye sekarang. Maklumlah, nak dapat cucu menantu dah..”
“Haha. Ada-ada je awak ni. Kak Jah ni dah berkedut sini sana, dengan ubannya lagi, dia cakap berseri-seri? Tapi, alhamdulillah la kalau kamu kata macam tu. Kiranya Kak Jah ni masih awet muda. Eh, jemputlah masuk makan-makan dulu.”
Mereka bergelak sakan dengan usikan sesama sendiri. Hajjah Khadijah menjemput tetamunya itu masuk ke dalam rumah dan mereka berbual-bual sambil membantu jiran tetangga lain yang sedang merewang di kawasan belakang rumah. Macam biasalah orang kata, merewang dan ‘membawang’ itu memang berpisah tiada. Ada sahaja topik-topik anak dara itulah, anak dara inilah, anak teruna Kak Kiah dengan anak dara Kak Ros lah, dan bermacam-macam lagi sesi matchmaking antara makcik-makcik bawang ini.
Luthfi yang sedang berbual-bual dengan Harith di tepi kolam ikan rumah Nendanya tiba-tiba terganggu dengan deringan ringtone telefon bimbitnya. Telefon bimbitnya dikeluarkan dari poket seluar dan nama yang tertera di skrin telefonnya ialah ‘Reena sayang’. Senyuman lebar mula terukir di bibirnya.
“Siapa? Eleh, buah hatilah tu yang call kan? Senyum macam kambing busuk dah aku tengok. Pergilah sana.”, ujar Harith yang sudah dapat mengagak daripada reaksi yang ditunjukkan oleh Luthfi itu.
“Eleh, jealous lah tu. Busuk-busuk aku pun, ada juga orang termimpi-mimpi, daripada kau apa pun tarak. Hampeh. Haha.”
“Berlagak betul kau eh. Eh, aku ni ramai je yang beratur nak tunggu cinta aku ok, tapi aku je yang tak nak bagi. Kau apa tahu? Hahaha.”
Luthfi sudah mula menjauhkan diri ke kawasan yang lebih jauh dari orang ramai untuk mengangkat panggilan daripada buah hati yang bakal bergelar isterinya dalam beberapa jam lagi. Bahagia sungguh rasanya apabila memikirkan dirinya bakal disatukan dengan seorang gadis pujaan hatinya dalam ikatan pernikahan yang sah. Hampir 5 tahun mereka bersama. Saat susah dan senang semuanya mereka tempuhi bersama.
“Assalamualaikum, ratu hati pujaan Luth. Ada apa sayang call? Baru semalam kita jumpa kan? Dah mula rindu kat Luth ke?”, ucap Luthfi dengan nada yang penuh romantik.
“Waalaikumsalam. Luth, Reena nak...”, suara Reena di hujung talian kedengaran cukup sayu dan kata-katanya itu terhenti seketika. Tangisan Reena yang cukup halus menahan rasa sedih di hatinya saat itu kedengaran di corong telefon Luthfi.
Harith yang masih berdiri di tepi kolam sambil menunggu Luthfi dapat melihat perubahan wajah sepupunya yang sudah bertukar suram bagaikan sedang menerima sebuah kejutan yang perit. Luthfi kelihatan seperti sedang bersungguh-sungguh memujuk buah hatinya agar mempercayainya. Beberapa minit kemudian akhirnya talian diputuskan oleh Reena dengan serta merta. Riak muka Luthfi menjadi kosong dan perkara itu membuatkan Harith begitu tertanya-tanya apakah ujian yang telah menimpa sepupunya itu. Harith menghampiri Luthfi dan menepuk bahu sepupunya itu dengan lembut.
“Hey, what's wrong, Luth?”
“She said.. she want to cancel off our wedding, Rith.”, jawab Luthfi dengan lambat. Pandangan matanya kosong.
“What?! But, why?”
“Aku dah explain semuanya kat dia yang semua tu fitnah.. Tapi dia masih juga nak cancel wedding ni. Dia kata dia nak pergi jauh sebab nak tenangkan fikiran.”
“Kau pergi cari dia sekarang. Pasal hal lain biar aku yang terangkan kat semua.Go!”
“Thanks, bro!”. Luthfi sudah melangkah ingin pergi meninggalkan rumah banglo nendanya itu bagi mengejar cinta yang sangat penting baginya.
“Call me if anything happen!”, jerit Harith kepada Luthfi yang sudah jauh dari pandangan. Namun, Luthfi sempat berpusing dan menunjukkan simbol ‘OK’ dengan menggunakan jarinya.
“Ya Allah, Engkau permudahkanlah segala urusan sepupu aku, Luth. Hanya Engkau Yang Maha Berkuasa lagi Maha Penyayang.” Harith mengeluh buat seketika. Dia sungguh tidak menyangka ujian sebegitu boleh berlaku kepada sepupunya itu. Sungguh, sebuah fitnah itu merupakan jenayah yang lebih berat daripada membunuh. Seperti memakan daging saudara sendiri.
≈ ≈ ≈ ≈ ≈
Hajjah Khadijah, Dr. Hayden (ayah Harith), ibu bapa Luthfi serta beberapa orang saudara mara terdekat sudah berkumpul di family area yang berada di tingkat 2 rumah banglo itu. Masing-masing terdiam selepas mendengar berita yang telah disampaikan oleh Harith sebentar tadi. Ibu Luthfi sudah bergenangan air mata dan kelihatan sangat lemah kerana mengenangkan nasib yang menimpa ke atas satu-satunya anak lelaki yang dia ada. Mujur Harith sudah awal-awal lagi menyuruh ibu Luthfi dan Hajjah Khadijah untuk duduk di atas sofa supaya sebarang perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Hajjah Khadijah sudah mula memicit-micit kepalanya yang tiba-tiba terasa sakit sebaik sahaja menerima berita buruk yang menimpa cucunya itu.
“Ya Allah, apalah ujian yang Engkau berikan kepada cucu aku yang seorang ni, ya Allah?”
“Nenda, Mak Long, minum air ni dulu, ya.” Harith menghulurkan gelas berisi air yang dibawa orang pembantu rumah kepada Nenda dan Mak Longnya. Dia sudah berpesan kepada pembantu rumah supaya menyediakan air untuk mereka berdua.
“Sabarlah, nak. Ni semua ujian Allah. Mungkin ada hikmah di sebaliknya yang kita belum nampak.”, pujuk Hajjah Khadijah kepada satu-satunya menantu yang dia masih ada.
“Betul tu, Mak Long. Lagipun, Rith dah pesan kat Luth so that he will update to me untuk setiap perkembangan. Kita sama-sama doakan yang terbaik, insya’Allah ada jalan penyelesaiannya.”
“Tapi Mak Long kesian sangat dekat anak Mak Long, Rith.. Lepas tu, esok dah majlis pernikahan macam mana tu, Bonda? Nanti semua tetamu jemputan datang tengok pengantin tak ada, macam mana? Sumpah saya malu, Bonda..”, rintih ibu Luthfi.
“Tak apa, nak. Kalau sampai esok kita tunggu mereka berdua tu tak balik juga, kita minta je la tok kadi tu tolong baca doa untuk majlis doa selamat. Kita tukar majlis ni jadi majlis doa selamat, ya.”
Semua yang berada di situ hanya mengangguk. Tetiba, kedengaran suara orang memberi salam. Seorang wanita yang agak sebaya dengan ibu Luthfi menghampiri mereka dan bersalaman dengan semua saudara mara perempuan yang berada di situ. Dua anak perempuannya turut bersalaman dan hanya mengekori di belakang ibu mereka.
Puan Zahrah akhirnya berdiri di hadapan Hajjah Khadijah untuk bersalam. Wajahnya turut kelihatan sedih apabila memandang wajah tua di hadapannya itu. Dia turut bersimpati atas berita yang telah disampaikan kepadanya oleh anak angkat Hajjah Khadijah yang sudah menjadi teman sepermainannya sejak dari kecil lagi. Dia memang sudah berhajat ingin singgah ke rumah ibu saudara angkatnya itu lebih awal untuk turut menghulurkan bantuan dalam persiapan majlis. Namun, sebelum dia sampai ke rumah banglo itu dia sudah menerima panggilan yang memberitahunya tentang berita kejutan yang diterima oleh keluarga itu.
“Assalamualaikum, Mak Bonda. Mak Bonda apa khabar, sihat?”, tanya Pn. Zahrah kerisauan. Dia memeluk tubuh itu dengan erat.
“Waalaikumsalam. Sampai juga awak, Zara. Insya’Allah, Mak Bonda sihat. Kamu sihat?”
“Alhamdulillah Zara sihat Mak Bonda. Mak Bonda bersabar, ya. Anggap semua ni ujian Allah. Zara sentiasa doakan yang terbaik untuk Mak Bonda sekeluarga.”
“Yalah.. Terima kasih, Zara. Ni awak bertiga je yang datang? Mana Raikal, suami awak?”
“Eh, tak lah Mak Bonda. Raikal ada, tadi dia tengah cari parking. Kejap lagi dia masuklah tu. Ni Aisya dengan Aira je yang ikut kami hari ni. Lagi dua anak lelaki Zara tu tinggal kat hotel je. Esok baru mereka ikut sekali datang majlis.”
Tangan Hajjah Khadijah yang baru melepaskan salaman Pn. Zahrah itu terus menyambut huluran tangan Aisya yang ingin bersalaman diikuti dengan Humaira.
“Alhamdulillah dah besar dah anak-anak dara awak, Zara. Cantik.”
“Cantik ke? Hm, alhamdulillah. Terima kasih lah atas pujian Mak Bonda tu. Kembang dah budak-budak ni dengar Mak Bonda cakap macam tu.”, sempat Pn. Zahrah mengusik dua anak perempuannya itu. Mereka berdua sudah tersengih-sengih macam kerang busuk.
“Kamu berdua jemputlah makan dulu apa yang ada kat bawah tu. Kamu yang lain turunlah dulu Bonda nak berbual sikit dengan Zara ni. Dah lama tak jumpa dia. Kamu ajak sekali anak-anak si Zara ni makan kat bawah, ya. Pasal hal tadi, kita sambung kemudian. Bonda nak rehat dulu.”
“Baik, Bonda.”, semua anak dan anak menantu Hajjah Khadijah menjawab serentak seraya melangkah meninggalkan mereka berdua sendirian.
≈ ≈ ≈ ≈ ≈
Hajjah Khadijah dan Pn. Zahrah berdua-duaan di dalam kamar tidur Hajjah Khadijah. Mereka berbual-bual tentang isu majlis pernikahan Luthfi yang dalam masalah itu. Ternyata Hajjah Khadijah masih lagi merisaukan tentang nasib cucunya yang satu itu. Pn. Zahrah mengusap lembut belakang badan ibu saudara angkatnya itu. Dia sudah menganggap Hajjah Khadijah sebagai ibu kandungnya sendiri memandangkan ibu kandungnya sudah lama meninggal dunia sejak dia dalam zaman persekolahan lagi.
“Kerja fitnah ni Mak Bonda, tak boleh dibawa main sekarang ni. Melampaunya fitnah yang dicipta dalam akhir zaman ni boleh membawa kepada bercerai berai sebuah rumah tangga. Dalam kalangan keluarga sendiri pun boleh berlaku, inikan pula antara orang luar. Sekarang dengan teknologi baru lagi orang boleh pusing fakta dan sebarkan dengan meluas. Dahsyat kan zaman sekarang.”
“Itulah, Zara. Tapi, yang Mak Bonda tak boleh terima tu kenapalah si Reena, tunang Luth tu tak nak berbincang baik-baik dulu daripada terus nak tinggalkan majlis macam tu saja? Keluarga kita semua dah rapat pun, bawaklah berbincang dengan keluarga dulu. Ini tidak, dia terus lari bawak diri hilang entah ke mana. Masih mentah lagi budak Reena tu.”
“Nama pun budak lagi kan. Seingat Zara, Lily (ibu Luthfi) ada mention yang beza umur Luth dengan Reena tu dalam 6 tahun juga kan?”
“Iya, budak tu baru je lagi lepas SPM dah nak kahwin. Mak Bonda pun tak faham lah apa yang ditengoknya Luth tu dekat si Reena.”
“Adalah tu kebaikan dia yang mungkin kita tak tahu. Tak apalah Mak Bonda, kalau ada jodoh mereka berdua, kahwinlah mereka tu nanti. Kalau bukan, ada lah pengganti lain yang lebih baik tu datang nanti.”
“Iyalah, Zara.. Zara, Mak Bonda nak tanya sikit. Aisya dengan Aira tu dah berpunya ke belum?”
“Kalau si Aisya tu dah bertunang dan tak lama lagi nak kahwin dah, yang Zara ada jemput Mak Bonda sekeluarga. Majlis lagi 2 bulan, insya’Allah.”
“Oh, alhamdulillah… Aira pula?”
“Aira tak ada lagi kot.. Tak tahulah kalau senyap-senyap dia dah ada orang. Alah, lagipun Zara nak dia focus belajar dulu.”
“Dah kahwin nanti kan boleh focus juga. Kalau penat belajar balik rumah tengok muka suami tenang sikit rasa.”
“Tu pun kalau dapat suami yang boleh bagi ketenangan lah, Mak bonda. Hahaha.”
“Hahaha. Awak ni Zara, insya’Allah ada je lagi lelaki macam tu untuk anak awak tu. Contohnya, si Harith cucu Mak Bonda tu. Dalam ramai-ramai cucu dialah yang paling rajin, mudah dengar kata dan yang paling boleh diharap lah senang kata. Rasanya dia belajar dekat sama tempat dengan anak awak tu.”
“Siapa? Aira..? Oh, anak tunggal si Ayden tu? Ha ah, betul lah tu.. Harith tu junior Aira.”
“Kalau macam tu baguslah..”, ujar Hajjah Khadijah dengan pandangan yang penuh makna.
“Bagus? Bagus kenapa, Mak Bonda….?” Pn. Zahrah sudah mula memandang Hajjah Khadijah dengan wajah kehairanan kerana kurang faham atas maksud pandangan Hajjah Khadijah itu.
≈ ≈ ≈ ≈ ≈
“Rith macam mana? Rith, setuju tak?”
Harith memandang kembali wajah Nendanya. Dia dipanggil oleh Hajjah Khadijah sebentar tadi kerana ada urusan penting katanya. Luthfi yang dihubunginya berkali-kali masih tidak menjawab panggilan lagi. Sekarang, dia pula yang perlu memikirkan sesuatu perkara yang amat penting buat Nenda, seluruh keluarganya serta dirinya sendiri. Ini soal maruah keluarga. Namun, yang berada di rumah banglo Hajjah Khadijah saat itu nampaknya hanya dia seorang yang layak untuk membetulkan semula keadaan di samping menjaga nama baik keluarga mereka.
“Rith bukan apa Nenda. Cuma Rith rasa macam tak masuk je dengan cerita ni.. Luth yang pasangan pengantin dia lari, lepas tu Rith pula yang perlu ganti tempat dia? Kenapa tak tunggu je Luth balik, then ask him to marry that girl you recommended?”
“Haih.. Kalau kita nak tunggu si Luth tu balik agaknya sampai tahun depan pun kita tak pasti dia balik ke tidak. Rith call banyak kali pun dia tak angkat kan?”
“But, why me..?”
“Habis tu takkan Papa kamu atau Papa Luth pula? Adik-adik saudara kamu tu? Mereka belum cukup umur lagi. Lagipun, Rith kan umur lebih kurang sama dengan Aira. Tempat belajar pun sama, senanglah nak belajar bersama-sama nanti.”
“Kat sini isu dia bukan soal sama umur atau sama tempat belajar, Nenda. Tapi, soal hati dan perasaan. Then, it's about responsibility, Nenda. We don't even know each other and suddenly you want us to get into the marriage for replacement? Plus, I don't think that I'm ready to bear the responsibility as a husband. I’m not working yet and how will I give the nafkah untuk isteri Rith nanti?”
“See? You already concern about the responsibility and all. That’s how Nenda knows that you are ready enough to be called as a husband to Aira. Nenda tahu cucu Nenda ni dah cukup matang untuk semua ni. Sebagaimana Nenda nak pasangan yang terbaik untuk Rith, macam tu jugalah Nenda nak yang terbaik untuk Aira tu. Nenda dah lama berkenan dengan dia. Orangnya baik, tak hipokrit dan bukan macam gadis-gadis lain kat luar sana tu. Paling penting, Nenda suka kalau kita dapat jadi sebuah keluarga yang lebih dekat dengan Auntie Zara kamu tu bila kamu kahwin dengan Aira nanti. Auntie Zara kamu tu baik sangat orangnya, macam arwah ibunya dulu. Aira pun mesti sama baik macam ibunya juga.”
‘Menyesal pula aku mention ‘responsibility’ depan Nenda tadi. Haa kan dah kena balik. Padan muka kau, Rith. Hmm.. Macam mana aku nak tolak permintaan Nenda ni eh?’
“Macam ni lah. Nenda memang niat nak satukan Rith dengan Aira sebab Nenda dapat rasakan yang kamu berdua ni memang sangat serasi. Tapi, kalau Rith tak sudi nak tunaikan permintaan Nenda ni, Nenda tak akan paksa cucu kesayangan Nenda ni untuk buat pilihan. Tetapi.. Sekiranya Rith sudi untuk ikut permintaan Nenda dan Aira juga setuju untuk terima Rith dan kamu berdua akhirnya bersama, sebagai ganjarannya… Nenda akan masukkan aset terbesar dalam H&H atas nama Rith.”, tawaran besar Hajjah Khadijah itu membuatkan mata Harith serta merta membulat.
‘Wow, bukan senang ada orang nak offer aset besar macam tu walaupun family sendiri. Kharun yang dalam sirah nabi tu pun belum tentu nak bagi macam ni sebagai ganjaran. Eh, apa kau merepek, Rith. Kharun tu kedekut, memanglah tak kan bagi satu sen pun. Ni Nenda kau memanglah logik dia nak offer macam ni. Pemurah betul Nenda ni. Ni yang buat Rith sayang lebih ni!’
“Hmm.. Apalah Nenda ni. Nenda ingat Rith ni mata duitan ke nak aset-aset ni semua?”, ujar Harith jual mahal. Dia tak nak lah tunjuk yang dia terkejar-kejar sangat dengan harta Nenda. Lagipun, mereka sekeluarga bukan jenis yang mengejar harta benda sebegitu.
“Nenda tahulah cucu Nenda bukan macam tu.. Tapi, macam Nenda cakap tadi, Nenda cuma nak hadiahkan kepada Rith. Tak salah kan kalau Nenda nak hadiahkan sesuatu sebagai tanda terima kasih bila seseorang tu sanggup nak lindung dan jaga nama dan maruah keluarga kita?”
“Memanglah tak salah, tapi..”
“Lagipun, kita dah hampir siap semua persiapan majlis. Hiasan pelamin dah siap, makanan pun banyak dah nak siap. Semuanya Nenda dah sediakan cuma tunggu pengantin je. Bukankah membazir kalau kita tak teruskan majlis? Rith sayang cubalah fikirkan dulu, ya.”
Harith mengeluh berat. Dia sudah mula rasa serba salah. Nendanya sudah mula mengambil isu maruah keluarga pula. Mati akal dibuatnya.
“Si Aira tu setuju ke pasal ni, Nenda?”
“Nenda dah bagitahu Auntie Zara kamu. Mungkin dia dah cerita dekat Aira la tu. Kejap lagi Nenda tanya pendapat Aira pula.”
“Yalah, Nenda. Rith cuba fikirkan dulu.”
“Alhamdulillah.. Nenda tau Rith tak akan mengecewakan Nenda, kan sayang. Nenda sayang sangat Rith!” Dia mengucup lembut dahi Harith. Ceria sungguh wajah Hajjah Khadijah apabila mendengar jawapan itu.
‘Luth ni pun satu la. Aku dah bagi chance untuk dia cari Reena, boleh pula dia tak update apa-apa kat aku? Kurang asam punya cousin. Tunggulah, kalau Luth ada kat depan aku nanti, aku bagi penumbuk satu.’
≈ ≈ ≈ ≈ ≈
“Tok Jah.. Ada apa ya Tok Jah panggil Aira?”, soal Humaira yang sedang berdiri di hadapan pintu kamar Hajjah Khadijah.
“Masuklah dulu. Meh sini duduk sebelah Tok ni.”
Humaira perlahan-lahan memasuki ruang kamar itu dan mengambil tempat di sebelah Hajjah Khadijah seperti yang dipinta. Dia hanya membalas senyuman Hajjah Khadijah. Di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu betapa berdebarnya dia untuk mendengar ucapan wanita itu yang seterusnya. Humaira sudah dimaklumkan oleh Pn. Zahrah tentang cadangan yang diajukan oleh Hajjah Khadijah kepada ibunya itu. Bukan main terkejut lagi dia sebentar tadi. Kakaknya, Aisya sudah sakan mengusiknya itu dan ini dari tadi. Bukan Humaira tidak sudi, tetapi perkara itu sangat mengejut dan dia juga mahu menjaga maruah dirinya. Bukan senang-senang dia boleh berikan dirinya kepada sesiapa sahaja yang dia belum pernah kenal, walaupun mereka bersaudara. Ini soal perkahwinan, ok.
“Tok Jah panggil Aira ni sebab Tok Jah ada perkara sikit nak berbincang dengan Aira. Mak awak dah bagitahu awak pasal apa yang Tok Jah cakap?”
“Dah, Tok Jah.”
“Kalau macam tu apa pendapat Aira pasal pandangan Tok Jah tu?”
“Aaa...”
“Macam ni lah. Tok Jah nak Aira dengar dulu apa yang Tok Jah nak cakap. Kemudian, Aira cuba fikirkan dulu betul-betul dan baru Aira bagi jawapan dekat Tok Jah, ya.”
“Ok, Tok Jah.”
“Sebenarnya Tok Jah dah lama sangat berkenan dengan anak-anak si Zara ni. Mak awak, si Zara tu Tok Jah dah anggap macam anak kandung Tok Jah sendiri. Kalau awak nak tahu, Tok Jah ni ada anak kandung lelaki je. Jadi, dulu mak awak la yang jadi tempat Tok Jah menumpang kasih sayang seorang anak perempuan. Anak perempuan dengan anak lelaki ni lain sangat perwatakan dan kerenah mereka. Jadi, Tok Jah ni dah jatuh sayang dekat mak awak tu macam anak-anak Tok Jah yang lain-lain. Bila Tok Jah tengok Aisya dengan Aira membesar, Tok Jah jadi seronok. Anak-anak si Zara ni baik-baik budaknya. Sopan santun, rajin menolong, bercakap pun sopan je. Sekarang dah jadi anak dara ni makin lawa, hah.”
“Hehe. Terima kasih..” Humaira sudah tersipu-sipu malu setelah mendengar pujian-pujian Hajjah Khadijah itu.
“Tadi Tok Jah ada tanya mak awak sama ada awak dah berpunya ke belum. Dia kata awak masih single. Sekarang Tok Jah nak tanya Aira sendiri. Betul ke Aira masih single? Belum ada sesiapa dalam hati tu?”
“Hmm.. Setakat ni memang belum ada sesiapa lagi, Tok Jah. Lagipun, siapalah yang nak kat saya ni kan. Hehe.”, dalih Humaira.
“Iya ke tak ada? Cantik dan baik macam ni takkan lah tak ada yang cuba nak tackle?”
“Kan… Saya sendiri pun hairan. Agaknya dia orang semua takut dengan saya kot. Muka ni macam terlebih garang ke apa kan? Haha.”
“Ahahaha. Mana ada nampak garang. Tok Jah tengok sweet je muka tu.”
“Awww.. Saya rasa kan, saya patut bercinta dengan Tok Jah lah. Sebab Tok Jah ni sweet sangat, lepas tu pandai ambil hati pula tu.”
Lantas mereka berdua pun tertawa dengan usikan manja antara satu sama lain.
“Aira. Tok Jah nak minta tolong Aira ni. Itu pun sekiranya Aira sudi lah.”
“Apa dia, Tok Jah?” ‘Ok, macam dah nak start the serious part je ni.’
“Tok Jah rasa Aira pun dah tahu apa masalah yang keluarga Tok Jah sedang hadapi sekarang kan?”, soalan Hajjah Khadijah ini hanya menerima anggukan yang perlahan daripada Humaira.
“Pengantin perempuan dah lari entah ke mana. Cucu Tok si Luth tu pula sekarang tak tahu entah ke mana dia pergi mencari pasangannya tu. Sampai sekarang belum dapat apa-apa berita. Jadi… Tok Jah nak minta tolong Aira terima cucu Tok Jah yang seorang lagi ni untuk gantikan pasangan pengantin, boleh? Harith namanya.”
“Aira bukan tak sudi, Tok. Cuma Aira rasa macam semua ni terlalu mengejut.. Aira ni belum habis belajar lagi dan banyak lagi perkara yang Aira tak tahu.”
“Belum habis belajar tu tak ada masalah. Aira boleh habiskan belajar sama-sama dengan Harith. Lagipun, Harith pun belajar kat tempat yang sama dengan Aira. Tadi waktu Aira awal-awal sampai Aira perasan tak ada seorang lelaki baya-baya Aira berdiri kat sebelah Tok? Itulah Harith cucu Tok Jah.”
“Yang mana satu, ya? Sorry la Aira tak perasan sangat tadi.”, jawab Humaira sambil menggaru-garu kepala. Humaira ini memang sejenis yang tidak pandang kiri kanan sangat. Maklumlah, sejenis yang pemalu la nak katakan.
“Tak mengapalah. Kejap lagi Tok Jah tunjuk kat Aira yang mana satu. Dia pakai baju warna hitam ada garis-garis hijau fluorescent kalau tak silap Tok Jah.”
“Ooo..”
“Ok, sekarang Tok Jah nak Aira fikir-fikirkan dulu. Aira cubalah berkenalan dan berbual-bual dengan Harith dulu ke. Lepas tu, kalau Aira setuju, baju pengantin dan semua urusan lain Tok Jah akan uruskan. Aira cuma perlu datang awal pagi esok untuk persiapan dan datang ke masjid untuk sesi akad nikah nanti. Urusan yang lain tu semua Aira tak payah fikir. Insya’Allah semua Tok Jah tolong uruskan. Lagipun, saudara mara Aira yang terdekat pun akan hadir sekali dalam majlis esok kan?”
“Ya, Tok Jah. Mereka semua datang insya’Allah..”
“Apa-apa pun Tok Jah nak ingatkan yang Tok Jah tak akan sesekali paksa Aira dan Harith untuk terima cadangan Tok ni tau. Tok akan lebih bahagia kalau cucu-cucu Tok ni pun bahagia sama, ok.”, ujar Hajjah Khadijah lembut. Dia mengusap lembut tangan Humaira yang berada di atas riba.
‘Sayu pula hati aku ni bila dengar Tok Jah cakap yang dia bahagia kalau aku juga bahagia. Padahal aku jumpa dengan dia pun setahun sekali je. Oh my Allah.. how should I refuse her?! Takkan lah aku nak terima dan nikah esok macam tu je? Habis terkejut beruk nanti satu family aku. Dah la sebelum ni pun semua duk kata yang aku ni senyap-senyap je, tengok-tengok nanti aku yang kahwin dulu daripada sepupu-sepupu aku yang lain. Malulah aku nanti...!’
“Aira, ok tak ni? Aira tak sihat ke?”, tanya Hajjah Khadijah yang melihat Humaira termenung jauh.
“Haaa… Sihat, sihat. Alhamdulillah Aira sihat. Hehe. Hmm.. Kalau macam tu Tok Jah bagi Aira fikir-fikirkan dulu, boleh? Tapi, awal-awal Aira nak minta maaf sangat-sangat yang Aira tak boleh nak janji apa-apa keputusan dekat Tok Jah. Ya, Tok Jah?”
“Ya, Tok Jah faham. Tak apa, Aira ambil angin dulu, Aira cuba berkenalan dengan Harith dulu, buat istikharah dulu, berbincang semula dengan keluarga. Then you come to Tok Jah and give your answer, ok? Ataupun kalau Aira malu nak bagitahu Tok Jah, Aira bagitahu je mak Aira nanti kami tahulah nak buat apa seterusnya.”
“Ok, Tok Jah. Aira turun dulu, ya.”
Humaira bersalaman dan memeluk serta mencium pipi tua itu. Manakan tidak, Humaira sudah terbiasa dengan cara Hajjah Khadijah yang begitu mesra dalam berukhuwah dengan semua orang. Dia pun selalu mencium pipi Hajjah Khadijah di kiri dan kanan sebanyak dua kali serta memeluk tubuh itu setiap kali bertemu. Itu sudah menjadi kebiasaan dalam keluarga mereka sebagai adab bersalaman antara mereka yang mahram.
Setelah Humaira melangkah keluar dari bilik itu Hajjah Khadijah hanya tersenyum dan mula membaringkan badannya di atas katil. Badannya juga turut berasa letih kerana sudah lama dia melayani tetamu sejak awal pagi tadi dan ditambah pula dengan memikirkan masalah cucunya yang terpaksa dibatalkan majlis pernikahannya itu. Masalah yang timbul ke atas keluarganya itu sedikit sebanyak membuatkan tenaga tuanya cepat menurun dan membuatkan dia berasa sakit kepala.
“Ya Allah, aku bukan mahu pentingkan diri. Tapi, aku juga nak tengok cucu-cucu aku tu bahagia dan gembira. Sekiranya perkahwinan antara Harith dan Aira ni bakal membuahkan hasil yang diredhai dan diberkahi oleh Mu, maka Engkau sempurnakanlah dan satukanlah jodoh mereka bersama, ya Allah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin..”