Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
104,780
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

1 November 2012

NOMI tenang memandu kereta Swift merahnya. Sesekali dia menoleh ke arah tempat duduk di sebelah hingga ke lantai. Ada 15 bungkusan yang perlu dihantar terus kepada pelanggan. Bungkusan tudung dan pakaian muslimah yang dijual di butiknya, Charm & Sweet.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Kelam-kabut dia menyeluk ke dalam beg yang diletakkan di atas brek tangan sambil mata fokus pada pemanduan. Tangan diseluk, namun masih tak dapat mencapai telefon itu.

“Hisy... apa susah sangat nak ambil telefon ni? Aduh...” rungutnya sambil masih cuba menyeluk lebih dalam. Pemanduannya jadi tak tentu arah sedikit.

Telefon bimbit masih berdering. Lantas, dia mencapai beg itu dan meletakkannya di atas riba. Tangan diseluk dan diselongkar lagi.

“Haa... dapat pun!” Akhirnya, dapat juga dia mencapai telefon bimbit itu.

“Helo...”

“Weh, ada satu lagi bungkusan tertinggal ni!” Terus Tiara menyergah Nomi.

Berkerut dahi Nomi. Dengan tangan kiri menekap telefon bimbit ke telinga kiri, tangan kanan memegang stereng, dia melepaskan keluhan panjang.

“Kau biar betul, Ti. Janganlah main-main. Tak kelakar pun.” Nomi masih berharap Tiara cuma bergurau. Tiara ini kadang-kadang bergurau tak kena tempat.

“Eeii... apalah faedahnya aku nak main-main. Cuba kau kira betul-betul. Tak cukup 15 tu, Nomi. Cuba kira!”

Aduhh... kena kira pulak. Sambil berhati-hati, dia cuba mengira dengan ekor mata sambil sesekali mengerling ke arah jalan raya. Tangan kiri masih menekap telefon bimbit.

“Betul kan tak cukup?” Tiara tak sabar nak tahu.

“Kejap, kejap... aku tengah kira ni.” Beberapa kali dia cuba mengira, tapi masih bercelaru.Sekejap 15, sekejap 16.

Sedang dia mengira, tiba-tiba dia terkejut apabila simpang empat yang tadi lampu isyaratnya hijau bertukar kuningdan kini sudah merah! Mendadak dia menekan brek.

Apa lagi! Terlajak dia ke depan hinggaterlebih dari garisan. Fuhhh... nasib baik sempat tekan brek. Berdecit bunyi tayar dibuatnya. Telefon bimbit yang dipegang tadi hampir jatuh. Mujur sempat dia menyambutnya. Dadanya berdebar.

“Woi, woi... apa hal tu, Nomi? Apa hal?” Tiara yang terdengar telefon bimbit berlaga-laga bertanya.

“Tak ada apalah.” Tanpa bertangguh lagi, Nomi terus mengira bungkusan itu sementara keretanya masih berhenti di lampu isyarat itu.“Ha’ahlah... ada 14 je. Arghhh... tertinggal pulak!” Dia berdecit.

“Yang kau tak tengok betul-betul, kenapa? Apa lagi... balik butik baliklah.” Tiara mencadangkan tanpa belas ihsan.

Nomi berdecit lagi. “Jauh tu, aku nak patah balik. Tak pun nanti...”

Buk! Buk! Buk!

Nomi terdiam. Bunyi apa tu? Dia memandang sekeliling.

“Nanti apa?” Tiara pelik mendengar Nomi tak habis cakap.

Nomi tak menghiraukan bunyi itu. “Tak pun nanti, aku bagitahu customer yang stok tu habis. Esok baru...”

Buk! Buk! Buk! Buk! Buk!

Sekali lagi Nomi terdiam. Bunyi apa tu? Makin menjadi-jadi pulak. Dia melilaukan pandangan. Dipandang cermin sisi di kiri dan kanan. Ketika memandang cermin sisi kanan barulah dia perasan sesuatu.

“Woi, Nomi... apa bendanya kau nak cakap ni? Cakaplah bagi habis.” Tiara di hujung talian berasa resah. Entah kenapa si Nomi ni cakap separuh-separuh.

“Kejap, kejap...” Nomi tak pedulikan Tiara. Dia lantas menurunkan cermin tingkap dan menjengukkan kepala memandang ke belakang.

Dilihat ada seorang lelaki menunggang motosikal di sebelah kanan but keretanya. Lelaki itu sekali lagi mengetuk but keretanya berkali-kali.

Apa lagi, naik darahlah si Nomi. “Hoi!”

Lelaki itu buat muka keras.

“Sesuka hati je ketuk kereta orang! Ni nampak?” Nomi tunjuk penumbuk.

Lelaki itu berwajah selamba. Dia mengetuk lagi lagak mengetuk pintu. Kali ini lebih kuat lagi.

“Hoi!”

Lelaki itu berhenti mengetuk.

“Kemeklah kereta aku!” Mulut Nomi membebel-bebel tanpa suara sambil tercebik-cebik.

“Cik kak ni, ada lesen ke tak ada?”

Ewah, ewah... sesedap je tanya orang macam tu. “Kalau tak ada lesen, orang tak bawa keretalah!” balas Nomi lantang.

Lelaki itu buat muka bosan. “Nilah orang perempuan. Berhentikan kereta sampai ke depan, sampai lebih dari traffic light. Membahayakan diri, membahayakan orang lain. Nilah kalau orang perempuan yang bawa kereta.” Dia bercakap langsung tak pandang muka Nomi. Sinis sekali. Sesiapa yang mendengar memang tertusuk hati.

Terkemap Nomi mendengar kutukan lelaki itu. Dia memandang sekeliling. Memang keretanya jauh ke depan, melebihi garisan di kawasan lampu isyarat itu. Nak mengundur tak boleh. Ada kereta di belakangnya. Tapi, keretanya taklah membahayakan pun. Okey lagi jarak dengan jalan di tengah-tengah tu. Mengenangkan itu, dia rasa nak marah.

“Sibuklah! Sibuk je jaga tepi kain orang. Dia tu... err... err...” Dicari-cari salah lelaki yang kelihatan berwajah bujur cerah dan ada janggut sejemput di dagu itu pula. Janggutnya pendek dan dijaga rapi. “Eleh, dia tu... hmm... pakai helmet tak ada visor!” Akhirnya, ada benda yang dia nak jadikan isu.

Senyuman sinis lelaki itu tersungging.

Nomi tunjuk lagi penumbuknya dengan muka garang.

“Patutlah.” Muka lelaki itu seakan mengejek. “Sambil drive, sambil guna telefon. Tak ada etika langsung!”

Nomi yang masih memegang telefon bimbit spontan menjatuhkan tangannya. Berkerut muka kegeraman. Eeii... dia nampak je apa yang aku pegang!

“Cik kak ni kata ada lesen. Takkan etika memandu pun cik kak tak tahu?” Sekali lagi lelaki itu mengutuk dengan muka selamba.

“Eh, kau ni! Kenapa me...” Belum sempat Nomi menghabiskan ayat, lelaki itu berlalu pergi bersama motosikal Honda EX5 yang ditunggang.

“Woi! Woi!” pekik Nomi pada lelaki itu. Dilihat lampu isyarat sudah bertukar hijau. “Aku tumbuk kau! Aku tumbuk!” Ditunjuk penumbuknya tinggi-tinggi.

Kenderaan-kenderaan di lane sebelah yang bergerak melepasinya memandang bagaikan melihat hantu.

“Apa pandang-pandang?”

Kedengaran bunyi hon di belakang.

“Yalah! Yalah! Sabarlah!” Nomi segera menekan minyak. Cermin kereta dinaikkan semula.

“Oii, Nomi! Nomi! Nomi! Woi, Nomi!” Tiara dari hujung talian menjerit-jerit.

Baru Nomi sedar yang sejak tadi Tiara mendengar suaranya bertekak. Diletakkan semula telefon bimbit ke telinga kiri.

“Helo...”

“Apasal, weh? Kau gaduh dengan siapa?”

“Aku call balik nanti, Ti. Aku tengah drive ni.”Hatinya sedang hangat membara ketika ini. Dia memutuskan talian.

“Kurang ajarlah lelaki tu! Dahlah ketuk kereta aku sesuka hati. Kuat pulak tu! Entah-entah dah kemek. Huh!” Dia menggenggam sebelah tangan yang diangkat sampai bergoyang-goyang. Terlalu geram.

“Kalaupun aku salah, tegur elok-elok tak boleh? Eeii...” Dia mengetap gigi. “Bongoook!” jeritnya panjang melepaskan geram.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.