KHALID yang baru keluar dari bilik terhenti melangkah. Perlahan-lahan dia menutup
pintu sambil memasang telinga. Dia dengar dengan jelas suara Nomi menyanyi di
dalam bilik air yang terletak di ruang tingkat atas rumahnya itu.
“Oh... asmara... yang terindah, mewarnai bumi... yang
kucinta menjanjikan aku... terbang ke atas ke langit ketujuh... bersamamu.
Oh... dewi cinta... sandarkan aku di bahumu, ada kurasa rindunya hati,
teredakan sudah hadirmu sayang, tenangkan diriku...”
Bukan main kuat lagi Nomi menyanyi.
Tergeleng-geleng Khalid sambil tersenyum senget. Entah
lagu apa entah yang anaknya menyanyi. Kalau ikutkan telinganya, itu bukan
menyanyi, tapi ‘melalak’! Dia bukan tahu lagu orang muda sekarang. Lagi-lagi
bila Nomi menyanyi. Hancur!
Dia menuruni anak tangga dan menuju ke ruang meja makan.
Hasyimah ketika itu sedang menyendukkan bihun goreng ke pinggan.
“Anak awak tu... dia ingat bilik air tu pusat karaoke?”
adu Khalid pada isterinya.
Hasyimah hanya tersenyum.
“Dari dulu tak berubah. Ingatkan dah besar panjang ni tak
terlolong-lolong lagi dalam bilik air.” Khalid masih mahu menjadikan Nomi
sebagai topik perbualan.
“Ni abang tengok makin kuat pulak dia menyanyi,”
sambungnya lagi. Air kopi O yang sudah dituang dalam cawan diteguk sedikit.
Hasyimah melabuhkan duduk sambil menyuakan pinggan yang
penuh dengan bihun goreng ke hadapan suaminya. “Anak abang,” komennya sambil
senyum.
“Anak awak jugak.” Khalid mencapai sudu dan garpu.
Setelah membaca bismillah, dia mula menikmati sarapannya itu.
“Binti nama abang.” Hasyimah masih mahu mengusik.
Khalid terdengus perlahan.
Hasyimah ketawa. Dia turut menikmati bihun gorengnya.
“Dah hobi dia menyanyi dalam bilik air. Nak buat macam mana? Biasanya, dia
menyanyi perlahan sikit. Tapi hari ni entah apa dia mimpi agaknya. Kuat betul
dia menyanyi.”
Khalid tergeleng-geleng. “Awak nasihatlah anak tunggal
awak tu, Syimah. Kot sampai ke tua perangai tak berubah macam tu. Kat rumah
sendiri tak apalah jugak. Buatnya kat rumah mak mertua pun terlalak terlolong
macam ni, buat malu je!”
“Jarang-jarang dia menyanyi. Biarlah... sedap jugak suara
dia nyanyi, bang. Kadang-kadang seronok saya dengar. Cuba abang dengar
betul-betul. Sedap suara dia tu.” Hasyimah beria-ia memuji.
“Ahh... awak ni. Suara kambing pun awak kata sedap,” cebik
Khalid.
Terkekeh-kekeh Hasyimah ketawa.
Khalid mengerling mata ke atas, ke arah bilik air. Masih
terdengar sayup-sayup Nomi menyanyi.
Nomi di dalam bilik air sedang ‘naik syeikh’. Bilik air
dah jadi macam konsert solonya. Dengan berkemban, botol syampu dijadikan
mikrofon. Air pancuran dipasang mencurah-mencurah sesekali membasahi tubuhnya.
Dan dia masih menyanyi lagu rancak Melly Goeslow bertajuk Bagaikan Langit.
“Bagaikan langit di sore hari, berwarna biru, sebiru
hatiku. Menanti khabar yang aku tunggu, peluk dan cium, hangatkan untukku...”
Terangguk-angguk Nomi menyanyi. “Ewaahh!!” Dia buat gaya bermain gitar
elektrik.
“Oh... asmara... yang terindah, mewarnai bumi... yang
kucinta menjanjikan aku... terbang ke atas ke langit ketujuh... bersamamu. Oh...
dewi cinta... sandarkan aku di bahumu, ada kurasa rindunya hati, teredakan
sudah hadirmu sayang, tenangkan diriku...” Nomi terlompat-lompat sambil
menyanyi.
“Ayuh, semua! Say ‘Mr. Krab gila’!” Sempat lagi
dia mengutuk Mr. Krab yang telah buat dia sakit hati.
Orang dah mesej dia tak balas. Senyap je! Nak jumpa ke
tak nak? Kalau tak nak, cakaplah tak nak! Senang sikit kepala otak aku ni tak
payah nak fikir-fikir. Huh!
“Oh... asmara...
yang terindah, mewarnai bumi... yang kucinta menjanjikan aku... terbang ke atas
ke langit ketujuh... bersamamu. O... Mr. Krab gila... sandarkan aku di bahumu,
ada kurasa rindunya hati, teredakan sudah hadirmu sayang, tenangkan diriku...”
Dia ketawa pula kerana dapat menggelar Mr. Krab gila dalam nyanyiannya.
Dia menyanyi semula dengan begitu gembira.
“DAH pukul 10.15 malam dah.
Takkan tak sampai lagi?” Adib melilaukan pandangan ke arah tempat parkir
kereta. Langsung tak nampak kereta Honda Civic Risham.
Dia menanggalkan topi keledar setelah mematikan enjin
motosikal yang diparkir berdepan dengan restoran yang dijanjikan. Dia turun
dari motosikalnya. Lambat-lambat dia melangkah masuk ke dalam restoran itu
bersama topi keledar untuk mencari tempat duduk.
Sebaik saja dia duduk, pelayan datang mengambil pesanan.
Dia hanya meminta minuman. Tatkala minuman yang dipesan tiba, muncul Risham
bersama wajah keruhnya.
“Eh, sorry... aku lambat sikit,” ujar Risham
berbahasa setelah duduk.
“Tak apa.” Adib menyedut air teh O ais sedikit.
Risham duduk bersandar. Lemah. Dia menghela nafas panjang
dan melepaskannya keras. Apabila datang seorang pelayan menghampirinya, dia
buat isyarat tak mahu memesan apa-apa. Pelayan itu berlalu.
Pelik Adib melihat aksi Risham itu. “Kau okey tak ni?”
Risham melepaskan nafas yang teramat panjang. Kedengaran begitu
lemah. Lama dia diam merenung Adib.
Adib sudah rasa ada yang tak kena. Dia menyedut semula
minumannya.
“Aku ada hal penting nakbagitahu kau.”
Adib menoleh memandang Risham.
Risham seriuskan wajahnya. “Ini betul-betul penting.”
Mendengar suara dan melihat wajah Risham, tahulah Adib
yang sahabatnya itu tak bergurau. Tubuhnya tegak. “Tu sebab kau mesej aku? Nak
jumpa aku kat sini?”
Risham mengangguk.
Terdiam Adib. Mesej Risham itulah yang membuatkan dia tak
senang duduk sejak semalam. Mesej itu begitu misteri baginya, membuatkan dia
tertanya-tanya.
“Aku tak main-main, Dib. Aku harap sangat kau boleh
tolong aku.” Risham bertegas.
Kerana mereka bersahabat dan Risham dah banyak menolong,
Adib susah nak cakap ‘tak boleh’. Dia dah banyak berhutang duit dengan lelaki
itu. Kalau tak kerana dia benar-benar memerlukan, tak mahu dia berhutang. RM30
ribu bukannya sikit.
“Macam nilah...” Risham tunduk seketika dan kemudian
memandang Adib tajam. “Berapa lagi hutang kau kat aku?”
Alamak! Soalan apa ni? Sampai menyebut-nyebut pasal
hutangnya. Bulan ni dia dah bayar hutang Risham. Adib sedang berkira-kira.
“Hutang kau kat aku tinggal lagi... tiga ribu.” Risham
memberitahu.
Adib mengangguk. Setelah hampir dua tahun, sudah tak
banyak yang perlu dia bayar pada Risham.
“Aku akan anggaphutang tu...” Risham terdiam sejenak merenung
Adib. “Settle,” sambungnya.
Terangkat kening Adib. “Kau biar betul? Tak...”
“Tapi...” Lekas-lekas Risham menyambung. “Kau kena buat
sesuatu untuk aku.”
Makin tak senang duduk Adib kini. Dahinya berkerut.