Home Novel Kisah Hidup Himpunan cerita kontot
Himpunan cerita kontot
Maryani Zailani
14/9/2024 17:57:38
3,824
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
CK 12

PERPUSTAKAAN KOPI DAN BUKU Oleh Maryani Zailani 

“Akhirnya, hari yang ditunggu-tunggu... tiba jua!” Guru muda berusia 28 tahun itu, kelihatan begitu bersemangat sekali. Dahlia yang manis dalam persalinan kurung moden dipadankan dengan selendang ungu tersenyum puas dan bangga.

Siapa sangka, kertas cadangan diusulkan kepada pengetua mendapat sokongan. “Saya suka dengan cadangan kamu. Saya memang tunggu... ada tak sesiapa nak ubah pusat sumber tu. Suram aje. Macam ada hantu! Sudahnya, murid-murid takut nak datang pusat sumber. Sayang buku-buku jadi tempat kumpul habuk.”

“Betul tu pengetua. Tujuan saya ialah nak wujudkan suasana yang mesra pengguna. Mula-mula tu, mereka datang tengok-tengok aje. Lepas tu, belek-belek buku. Tak mustahil, mereka akan menjadi seorang pembaca suatu hari nanti.”

Pada akhir perbincangan, pengetua telah meluluskan bajet yang dipinta. Dahlia tidak bertangguh, dia terus memulakan misinya!

Selama sebulan lebih bertungkus-lumus melakukan pengubahsuaian bersama-sama dengan anak-anak muridnya merangkap pengawas pusat sumber. Tiada lagi susun atur yang membosankan. Kerusi, meja dan rak ditukar bersesuaian dengan konsep seperti kedai kopi hipster. Dinding dicat dengan warna yang lebih ceria. Diserikan lagi dengan bunga-bunga segar di atas setiap meja.

Paling penting, tiada pengawas pusat sumber yang memasang wajah marah 24 jam. Papan tanda ‘Dilarang buat bising’ sudah dibuang ke dalam tong sampah. Bercakap perlahan dibenarkan namun tidaklah sampai memekik. Para pengawas pusat sumber turut diberi latihan agar bersikap lebih mesra pelanggan. Tidaklah takut orang hendak datang ke situ.

Dahlia menyedut nafas dalam-dalam. Dia menutup mata. Aroma kopi panas dan kuih-muih tradisional yang ditempah daripada pengusaha kantin, mendamaikan emosinya. Sesiapa sahaja boleh ambil. Percuma! Muzik Jazz lembut dipasang perlahan buat halwa telinga. 

“Cikgu...” tegur seorang pengawas pusat sumber. Dia melangkah masuk menerusi pintu utama yang tersedia dibuka semenjak dari awal.

“Ada apa Laili?” soalnya, sambil tersenyum.

“Lagi sepuluh minit cikgu kena naik atas pentas untuk upacara perasmian pusat sumber kita.”

“Baik. Kamu bersiap dulu. Nanti cikgu datang.”

Setelah anak muridnya berlalu pergi, Dahlia memerhati lagi pusat sumber itu. Dia menggali memori silam. Terkenangkan cikgu Shahrom, guru pusat sumber ketika zaman sekolah menengahnya yang menjadi inspirasinya sehingga ke tahap ini.

‘Cikgu, saya dah jadi cikgu pusat sumber! Terima kasih cikgu sebab ajar saya pasal pusat sumber. Ajar saya proses buku. Ajar saya katalog. Ajar saya baca nombor pengkelasan. Kesungguhan cikgu buat saya bersemangat nak jadi seperti cikgu. Siapa sangka, budak yang tak ada masa depan ni... boleh masuk universiti ambil jurusan Pengurusan Perpustakaan dan ambil DPLI. Sekarang, saya di sini, cikgu.’

Matanya sudah bergenang dengan mutiara jernih. Setahun lalu, cikgu Shahrom meninggal dunia akibat serangan jantung di rumah. ‘Cikgu, semoga cikgu tenang di sana. Al-Fatihah.’


- TAMAT -

26 OGOS 2024


Previous: CK 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.