CERITA KONTOT 1: HAIKAL
“Haikal... Haikal... kat mana kamu?” jerit Aisyah di sekitar kawasan luar rumah. Teriknya mentari petang buatkan dia cepat haus dan hampir hilang suara.
“Awak cari apa Aisyah?” tegur anak jiran sebelah rumah yang sedang menyapu daun kering di halaman rumah.
“Haikal. Ada nampak Haikal tak?”
“Haikal? Siapa tu? Adik ya? Eh, sejak bila awak ada adik?”
“Bukanlah! Kucing saya. Warnanya hitam putih. Ada nampak? Dah cari satu rumah, tak jumpa-jumpa. Selalu waktu petang dia tidur dalam bilik.”
“Oh, cakaplah kucing! Nama dah serupa manusia. Tak ada pula nampak kucing dari tadi. Mesti dia tidur selit-selit tu.”
“Haish, saya risau kalau-kalau Haikal keluar rumah. Bukan main kuat bunyi anjing menyalak. Dah dua tiga ekor lalu-lalang di kawasan kita ni.”
“Tulah. Ada orang tinggal anjing buat jaga kebun hujung sana tu. Tapi, tak diberi makan. Sudahnya, merayau ke kawasan rumah orang.”
“Merisaukan. Saya sambung cari ya.”
“Ha, yalah.”
“Aduh, sakit perut pula!” Sebaik sahaja pintu tandas dikuak, muncullah seekor kucing dalam usia setahun sambil menguap. “Haikal! Sini pun kamu! Separuh nak gila kakak cari kamu. Rupanya sedap tidur dalam tandas. Panas sangatlah tu kat luar.”
Dan, Haikal pun sambung tidur di lantai dapur.
- TAMAT -
29 OGOS 2024