Home Novel Keluarga Antara Dendam Dan Rindu
Antara Dendam Dan Rindu
Rabihah Nur Ridhuan
14/1/2014 18:55:46
25,750
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
kecewa

Penantian selama empat tahun ini rupa-rupanya telah meranapkan seluruh kekuatan yang telah dibina oleh Balqis. Sangkanya dia sudah begitu kuat untuk berdepan semula dengan keluarga Sahak. Sekaligus membayar kembali setiap duri yang pernah ditabur oleh mereka disepanjang perjalanannya ini.

Ah, dia baru bertemu dengan Sarah. Tidak lagi dengan Sahak dan Esah yang sepuluh kali ganda lebih kejam daripada Sarah. Dia tidak boleh selemah ini sedangkan dia sudah sedia maklum tentang keperitan yang bakal dilaluinya di sepanjang laluannya kelak.

Balqis menarik nafasnya perlahan-lahan. Cuba melegakan kesedihan yang merantai kuat di tangkai hatinya saat ini. Matanya terus menyundut pandang kepada pintu lif yang masih lagi belum terbuka. Dia mula merasakan pintu lif ini mengambil masa terlalu lama untuk dibuka sedangkan dia tidak mahu terlepas bas pukul enam petang untuk pulang ke rumah. Kalau tidak dia terpaksa menunggu selama setengah jam lagi.

” Masamnya muka. Orang tua-tua kata tak elok anak dara mencuka macam ni nanti tak laku,” tiba-tiba satu suara berseloroh. Mungkin mahu menceriakan moodnya.

Balqis berpaling. Wajah Luqman Hakim tersengih memandangnya membuatkan satu keluhan lemah terkeluar dari bibirnya. Sejak peristiwa di restoran itu, Balqis cuba mengelak untuk bertemu muka dengan lelaki itu. Kalau boleh dia perlukan masa. Masa untuk dia mengumpul semula kekuatan dalamannya untuk menghadapi semula ahli keluarga Sahak.

I’m sorry kalau lawak saya ini mengguris hati Balqis,” kata lelaki itu apabila mendengarkan keluhan di bibir gadis jelita itu.

Balqis tersenyum tawar. Dia mati kata dan kehadiran lelaki itu di kala ini betul-betul menganggu ketenteramannya saat ini.

” Atau Balqis masih marah tentang peristiwa tadi?” Tanya Luqman Hakim yang begitu kesal dengan kelakuan Sarah yang melampaui batas itu.

” Tak perlulah kita bincang tentang perkara tadi Encik Luqman,” kata Balqis tanpa memandang ke arah Luqman Hakim.

Tidak dinafikan sifat dan perwatakan Luqman Hakim jauh berbeza daripada sifat ahli keluarganya yang lain. Lelaki itu nampak lembut dan cukup bersopan tiap kali menuturkan bicaranya. Kenapa perbezaan ini hadir sedangkan mereka berasal daripada darah daging yang sama?

Ah, arwah Tan Sri Mohd Jamil dan Sahak juga berasal dari darah daging yang sama tetapi sifat dan perwatakan mereka juga bagaikan langit dan bumi. Tidak perlu diherankan kerana setiap manusia mempunyai hati yang berbeza.

Balqis juga sedar dia perlu berhati-hati dan tidak boleh mudah cepat percaya dengan kebaikan dan kesantunan yang ditunjukkan oleh Luqman Hakim di kala ini. Mungkin juga lelaki itu sedang berpura-pura dan hanya mahu menunjukkan keperkasaannya di hadapan perempuan.

Akhirnya Luqman Hakim membisu. Mungkin lelaki itu sudah tidak tahu lagi bagaimana mahu melegakan rajuk hati Balqis. Mereka membisu sehingga pintu lif dibuka.

Balqis membiarkan Luqman Hakim masuk terlebih dahulu ke dalam kotak lif tetapi lelaki itu hanya terus membatu disitu. Mungkin juga lelaki itu ingin menunjukkan sifat gentlemannya dengan memberikan laluan terlebih dahulu kepada Balqis. Tanpa berfikir lagi, Balqis terus masuk ke dalam kotak lif tetapi malangnya tubuhnya dan tubuh Luqman Hakim berlanggar ketika mereka sama-sama ingin masuk ke dalam kotak lif.

” Oppps...sorry... saya ingatkan awak tak nak masuk tadi. Awak masuk dululah,” kata Luqman Hakim dengan senyuman yang memikat.

” Tak pe lah. Awak masuk dulu,” kata Balqis yang masih lagi masam mencuka.

” Awaklah..” kata Luqman Hakim tersenyum.

Balqis hanya menjungkit bahu dengan bicara Luqman Hakim itu. Tanpa membuang masa dia segera masuk namun sekali lagi tubuhnya dan tubuh Luqman Hakim berlanggar.

” Saya sangkakan awak tak nak masuk tadi,” kata Luqman Hakim sambil ketawa.

Entah kenapa riak wajahnya yang penuh kecerian itu tiba-tiba mendamaikan hati Balqis. Tidak dinafikan dia sudah lama tidak merasai kemanisan tawa itu.

Tiba-tiba Luqman Hakim terhenti tawanya lalu bertanya,

” Tak kelakar ke?”

Mimik muka Luqman Hakim kelihatan begitu naif sekali.

Serentak dengan itu Balqis ketawa. Ketawa yang sungguh-sungguh dan bukannya di buat-buat. Melihatkan wajah Luqman Hakim yang tercenggang begitu mengeletek hatinya. Tidak ubah seperti Mr Bean yang sedang membuat lawak selambanya. Cuma Mr Bean ini lebih kacak dan perkasa dari Mr Bean yang sebenarnya tetapi mampu membuatkan dia ketawa hanya dengan mimik mukanya yang naif itu.

Anehnya perasaaannya kali ini. Hanya dengan sekadar mimik muka sahaja sudah mampu menceriakan harinya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.