Home Novel Keluarga Bunga Hati
Bunga Hati
24/4/2014 10:51:32
29,308
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 1

Bab 1

TANGGAL 5 September 2006, genaplah 17 tahun usia Qaseh Dilaila. Namun, cuaca hari ini bagaikan tidak gembira menyambut ulangtahun kelahirannya. Ketika ini, kakinya tegar mengayuh basikal. Dari bola mata terlihat mendung bersilang-silang bagai tikar mengkuang di dada langit, menyaring panas dan menyisakan cahaya suram. Membekalkan hawa dingin buat tubuh yang sering garing dibakar matahari.

Dilaila mendongak ke langit, angin sejuk menyapa rakus wajah dan membelit ghairah tubuhnya. Langit dari arah pusat bandar sudah gelap bukat. Manakala daun-daun menjadi kuncup mengikut arah angin menandakan badai sedang berarak menuju ke kampung.

Mata Dilaila ralit melihat kenderaan yang bergerak menentang arus. Semuanya basah. Pengelap cermin melibas kiri dan kanan tanda bumi di sebelah sana sudah ditimpa hujan.

Dilaila menghela nafas. Dia berhenti di simpang kerana ada sebuah kereta sedang memberikan isyarat hendak masuk ke kanan. Kenal benar dia akan tuan punya kereta itu. Pemandunya turut memberhentikan kenderaan lalu menurunkan tingkap.

“Nak ke mana?” Lelaki di dalam kereta itu menyapa.

“Nak balik. Pak Razak dari mana?” sahut Dilaila riang.

“Jemput Amer,” balas lelaki berusia 50-an itu.

“Ooo...” Dilaila menundukkan sedikit wajahnya untuk melihat pemuda yang dimaksudkan oleh Razak. Bila mata bertentangan, mereka berbalas senyuman tanda hormat.

“Kamu tak kenal dia. Jarang balik. Konon tak mahu jadi orang kampung. Bosan!” Lancar sungguh hujah Razak tanpa cuak.

“Jadi, buat apa balik?” aju Dilaila telus.

“Cuti kali ni dia balik kampung sebab kena praktikal di Muar,” pantas Razak memberi penjelasan.

Dilaila teruja menatap wajah Amer kerana memang sudah lama teringin hendak melihat dengan mata kepalanya sendiri. ‘Oh... macam pernah ku lihat mamat ni. Rupa-rupanya anak tauke tempe,’ hati Dilaila terdetik. Pernah beberapa kali dia terserempak dengan jejaka itu di sekitar kampung tetapi tidak tahu anak siapa.

Razak terus menyambung kata-katanya sambil melemparkan pandangan pada Amer, “Ini Dilaila, anak Mak Cik Salimah. Kamu tak pernah jumpa dia. Tapi masa kecil dulu kamu suka benar menyakat dia.”

“Pernah ternampak, tapi tak tahu dia anak Mak Cik Salimah!” Baru sekali jejaka itu menyahut sambil tersenyum.

Begitu juga dengan Dilaila yang tersipu-sipu malu bagaikan perempuan Melayu terakhir apabila diperkenalkan oleh Razak.

“Dah nak hujan ni, pergi balik cepat!” Razak menyergah sebelum kelam kabut menurunkan brek tangannya. Bimbang Dilaila terkena hujan jika dia terus berlengah di situ.

“Baik, Pak Razak,” balas Dilaila sambil matanya sengaja dilarikan walaupun dia tahu Amer masih merenungnya.

Dilaila mula menyambung perjalanannya. Masih teringat akan jejaka tadi. Dia tersenyum sendiri memikirkan perasaan nakalnya terhadap jejaka itu. Lamunannya terpadam apabila titis-titis hujan menujah pipinya. Diperhatikan pula situasi persekitarannya. Ayam-ayam yang biasanya asyik mengais tanah bertempiaran lari mencari tempat berteduh.

Ngeri hati kudusnya memikirkan hujan badai yang bakal tiba sebentar lagi. Risau hatinya takut tubuh kurusnya digulung bersama angin deras. Dia menoleh kiri dan kanan, tidak ada tempat berteduh. Yang ada hanyalah rumah-rumah yang pemiliknya tidak dikenali.

Mahu tidak mahu terpaksalah dia meneruskan perjalanan. Dia tega tubuhnya basah lencun tetapi bagaimana dengan buku-buku rujukan yang dipinjam daripada Jessila tadi? Sanggupkah dia melihat buku-buku itu basah?

“Dilaila!”

Tiba-tiba tubir telinganya bergetar dijerkah satu suara betul-betul di belakangnya. Luqman sudah terpacak sambil tersengih-sengih macam kerang busuk memandang si gadis.

“Hei, kau buat apa kat sini? Guruh dah berdentum-dentam ni. Pergi balik!” Giliran Dilaila pula menempelak dengan mata bulat memandang lelaki yang separuh siuman itu.

“Nenek kata, kalau nampak kau, suruh singgah.” Tergagap-gagap dia berbicara. Air liurnya meleleh.

“Mana nenek tahu aku lalu sini?” Si gadis berwajah bujur sirih segera menempelak. Hati berbunga-bunga tatkala memandang wajah yang dirinduinya.

“Pagi tadi nenek nampak kau.”

Bibirnya menceber. Baru dia teringat, rumah neneknya hanya kira-kira 50 meter sahaja kalau ikut jalan pintas melalui celah-celah belukar di situ.

“Kalau aku tak nak?” Dia mahu menduga.

“Marilah... hujan.” Luqman mempelawa bersungguh-sungguh. Tanda hitam dan sedikit berbulu di pipinya digaru-garu perlahan.

“Nama aku Dilaila... bukan hujan.” Dia tersengih.

Luqman tidak tega berlama-lama. Dia segera menerpa basikal Dilaila lalu menolak-nolak basikal itu.

“Eh... sabarlah. Jangan tolak-tolak. Nanti aku jatuh siapa yang susah?” Kelam kabut Dilaila mengimbangi tubuhnya.

“Cepat... hujan dah turun.”

Dilaila mengeluh. Dia berfikir sebentar. Sebaiknya dia akur dengan ajakan Luqman tetapi nanti pasti dia akan terlewat pulang. Belum pun sempat dia bersuara, deruman guruh bersama butiran kasar air bagaikan kristal berlari-lari mengejar ke arahnya. Bumi di hadapannya mulai basah. Kelam kelibut dia memacu basikal menuju ke rumah neneknya sambil diikuti oleh Luqman yang berlari terhincut-hincut.

Tidak sampai lima minit, Dilaila sudah pun tiba di perkarangan rumah. Basikal terus dihalakan ke bawah rumah yang agak tinggi lantainya. Ditinggalkan bukunya di situ lalu dia melangkah ke tangga dan melompat ke dalam rumah sebelum memegang daun pintu seolah-olah mahu menutupnya.

“Tunggu-tunggu!” jerit Luqman yang termengah-mengah menyeret sebelah kakinya yang sedikit lemah. Tangan kirinya mendakap ke dada. Manakala tangan kanan dibiarkan terjuntai dengan jari yang agak bengkuk.

Dilaila tersenyum.

“Padan muka! Terhegeh-hegeh!” ejek Dilaila sambil menjuihkan bibir. Seronok dia mengenakan Luqman begitu.

“Janganlah dimainkan-mainkan budak tu. Kesian dia. Tengok tu, dah basah kuyup!” Nek Tijah yang turut terjengul di muka pintu terus menyampuk sebaik melihat si jejaka capek sedang tercungap-cungap bagai betuk hilang air.

“Cepat masuk!”

Luqman melompat ke dalam rumah dengan hidung kembang kempis. Bibirnya masih tersenyum. Itulah Luqman. Tidak pernah ada rasa marah di wajahnya. Biarpun dipermainkan, biarpun diherdik, biarpun diejek dia tetap tersenyum.

“Ha, kan dah basah. Aku kata jangan ditunggu si Dilaila ni, kamu nak tunggu juga.” Nek Tijah menepis-nepis air di rambut Luqman.

Dilaila pantas mencelah, “Oh kau tipu aku ya tadi, kata nenek yang suruh. Pandai ya jual nama nenek!”

Luqman menyeringai. Sebenarnya dia yang ternampak kelibat adiknya itu pagi tadi. Sengaja dia menggunakan nama Nek Tijah untuk mengumpan Dilaila singgah di rumah mereka.

“Itulah kau ingat dia bodoh? Padanlah muka kau, hidup-hidup kau ditipunya.” Nek Tijah tertawa mengekek sambil menghulurkan tuala pada Dilaila dan Luqman.

Pantas Dilaila memandang Luqman, lalu dia bersuara sambil menunjal kepala si jejaka, pura-pura marah, “Oh, kau yang pandai-pandai ajak aku singgah, kau kata nenek yang suruh ya... dah pandai bohong ya?”

Luqman cuba mengelak sambil tersengih. Dilaila semakin galak. Kepala Luqman sudah berada di celah ketiaknya. Tawanya semakin nyaring kerana sudah lama tidak dapat mengenakan Luqman begitu.

“Hei, sudahlah tu. Kamu ni kalau tak menyakat dia memang tak sah kan? Sudah, tak baik main kepala macam tu. Dia tu abang kamu, hormatlah sikit!”

“Huh, abang konon. Abang apa? Abang capek?” Dilaila menceber sambil memperlekehkan manusia yang lebih berusia daripadanya. Kemudian menggesel kepala abangnya itu dengan siku, “Ha, ambik kau. Padan muka!”

“Adoi! Nek, tolong!”

“Sudahlah tu. Pergi mandi, basahkan kepala tapi jangan lama-lama nanti selesema pula. Kau tu senang dapat demam.”

“Ha, dengar tu? Pergi mandi, badan busuk macam lembu!” Dilaila masih tegar mengenakan Luqman.

“Dilaila, kamu ni kenapa? Tak baik cakap abang macam tu. Derhaka!” Suara Nek Tijah sedikit meninggi.

“Main-main aje nek. Bukannya betul pun.”

“Memanglah tak betul tapi dia pun ada hati dan perasaan. Berdosa kita kalau kecilkan hati dia.”

Si gadis memuncungkan bibir, hilang senyumnya seketika apabila ditegur begitu. Tapi dia tidak ambil hati. Dia tahu neneknya ikhlas menegur. Tanda kasih sayang yang tulus suci. Nenek tidak pernah membanding-bandingkan cucu-cucunya. Dia sentiasa dilayan dengan baik begitu juga dengan Luqman.

Lantas dia mengubah bicara, “Dah lama Dilaila tak datang sini. Nenek sihat?”

“Macam nilah, sihat orang tua-tua. Mak kau macam mana?” Nek Tijah menyoal dengan nada bersahaja.

“Biasa aje. Sekarang ni dia tengah sibuk berkira-kira nak tanam semula getah kat tanah atuk tu. Kenapa nenek tanya?”

“Tak ada apa-apa. Sajalah nak tahu cerita kamu anak beranak. Tapi jangan kau cakap pulak kau singgah di sini. Takut nanti di sini hujan di sana taufan.”

“Dilaila tahulah, nek. Takkan Dilaila nak beritahu mak. Mak memang tak suka Dilaila datang sini jumpa Abang Luqman.”

Nek Tijah akur. Riak senyuman di wajahnya terus malap. Dia berpaling lalu menuju ke meja makan. Di situ ada tiga cawan. Dia sudah menyiapkan air kopi. Kemudian, dibukanya tudung saji. Ada apam beras dengan sambal ikan bilis. Aroma kopi dan apam beras terus membangkitkan selera si gadis.

“Wah, ada apam beras? Sedapnya. Dah lama tak makan apam beras dengan sambal tumis. Ada kopi O panas pula. Hmm... kalau macam ni hujan selalu pun tak apa.”

“Hai belum makan lagi dah kata sedap?”

“Mana ada orang boleh lawan sambal tumis nenek? Apam beras ni pula, paling lembut dan kembang macam bunga. Terbaik punya!” Dilaila melaung sambil mengunjukkan ibu jari.

Nek Tijah tersenyum. Perangai ceria cucunya itu memang sering membuatkan hatinya bahagia. Luqman pun suka kehadiran Dilaila tetapi malangnya keakraban mereka terhalang.

SEBAIK cawan terisi, Luqman keluar dari bilik air. Nek Tijah menoleh sebelum melompat kerana terperanjat. Dilaila yang sedang menyuap apam pun turut terperanjat sama.

“Astaghfirullahalazim... Tuala kau mana, Luqman?”

“Eh, lupalah nek!” Luqman menjerit sambil menutup ‘anu’nya dengan tangan. Dilaila memalingkan semula mukanya sambil tersenyum malu.

“Tulah aku dah cakap, bila nak mandi, bawa sekali tuala. Barulah tak lupa! Masuk balik dalam bilik air itu, nanti aku ambilkan tuala.” Nek Tijah bangkit terdengkot-dengkot berjalan menuju ke bilik Luqman.

“Apalah, dah besar panjang perangai macam budak-budak! Nasib baik Dilaila dan nenek aje yang ada. Kalau orang lain?” Dilaila sedikit melaung supaya suaranya dapat didengari Luqman yang berada di dalam bilik air.

“Man lupa. Ingatkan dah pakai seluar.”

Si gadis semakin galak tertawa. Lesung pipit di pipinya semakin terserlah. Dengan gaya kekampungan dan selekeh, kecantikan Dilaila masih tersimpan rapi bagaikan berlian di bawah tujuh lapisan bumi.

“Amboi, galaknya ketawa. Anak dara tak malu!” Nek Tijah yang kurang senang dengan sikap galak si gadis segera meningkah.

“Eh, kenapa nenek marah Dilaila? Dia yang tak malu, dah tua pun nak berbogel.”

“Walaupun Luqman tu tak cukup akal tapi dia lelaki. Kenalah rasa malu sekalipun adik-beradik.”

“Alah, relakslah nek. Bukan nampak pun.”

“Memanglah tak nampak. Esok lusa kalau dia buat perangai macam ni mana kamu tahu? Tapi kau jangan cakap apa-apa pada mak kau fasal ni. Nanti dia ingat yang bukan-bukan. Tak fasal-fasal Luqman kena hambat nanti.” Untuk kesekian kalinya Nek Tijah mengulangi agar Dilaila tidak membuka mulut tentang kehadirannya di situ. Bimbang benar perempuan tua itu dengan reaksinya menantunya, Salimah.

“Dilaila tahulah, nek. Apa pun fasal Luqman, mak memang tak mahu dengar. Jadi, buat apa Dilaila nak cerita? Buat bodoh saja sudahlah.” Tuan punya bibir tebal terbentuk bak ulas limau itu bertegas.

“Luqman, cepat pakai baju tu, kopi ni kalau dah sejuk tak sedap!” kata Nek Tijah itu terus dipotong dengan suara Luqman yang sudah pun terjongol di belakangnya lengkap berpakaian biarpun tidak begitu rapi. “Nantilah sekejap nek. Man nak sikat rambut ni.”

“Pehh... duduk rumah pun nak buat jambul ke? Hujan-hujan ni Siti tak adalah,” sampuk Dilaila sebelum meneguk kopi 434 Muar yang sungguh istimewa. Kopi kampung atau kopi O yang mempunyai cita rasa tersendiri ini bukan sahaja beraroma, tetapi sungguh enak rasanya. Ia diproses dengan resipi tradisional yang menggunakan gula pasir dan marjerin sebagai ramuan. Sekali minum mampu membuatkan diri terus jatuh cinta.

“Dilaila mana tahu? Kalau-kalau Siti datang nanti. Man yang malu.”

Nek Tijah yang semakin dimamah usia pantas menyergah, “Sudahlah, cepat pergi sikat rambut tu.”

“Jangan nak harap, Siti dah ikut laki dia ke Sarawak. Padanlah muka kamu jadi bujang terlajak.” Dilaila masih gigih mengusik hati Luqman.

“Dilaila, sudahlah tu. Jangan disakitkan hati dia lagi.” Giliran Dilaila pula disergah oleh Nek Tijah.

Begitulah sibuknya Nek Tijah jika kedua-dua cucunya bertembung. Dilaila sering menyakat abangnya. Manakala Luqman pula akan merajuk, tetapi segera merindui adiknya apabila lama tidak bertemu.

Keadaan Luqman yang tidak begitu sempurna sering membuatkan dia terpaksa memastikan yang Luqman tidak lupa melakukan hal-hal penting. Luqman mampu mengurus diri dengan peringatan berterusan daripada Nek Tijah. Jika tidak diingatkan, dia akan lupa. Ada kalanya dia mandi berulang kali jika dimain-mainkan oleh anak-anak jiran. Dan yang paling kerap mempermainkannya ialah Siti, anak jiran sebelah rumah!

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh