Home Novel Keluarga Bunga Hati
Bunga Hati
24/4/2014 10:51:32
28,787
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 10

PINTU pagar dibuka. Dilaila melangkah deras, namun matanya sempat menangkap sebatang sabit yang ada di bawah pokok rambutan. Serta-merta dadanya berombak, matanya meliar sebelum menangkap sepasang kaki yang terlunjur di celah pasu. Dilaila bergegas ke rimbunan pokok bunga di sudut kanan pagar rumah.

“Luqman!” Dilaila menjerit.

Lelaki yang sudah hampir biru itu segera dikejutkan. Luqman batuk dengan kuat bagaikan hendak terkeluar segala isi perutnya dengan matanya yang terjojol. Pada bahagian abdomennya, segala-gala sudah tidak terkawal lagi. Dia terkencing-kencing setiap kali batuk kerana pundinya ditekan oleh usus. Akhirnya dia termuntah dan segumpal lendir bercampur darah keluar dari tekaknya.

“Mak! Mak! Luqman sakit!” Dilaila menjerit bagaikan orang gila.

Dia memapah Luqman hingga ke beranda. Kemudian berlari masuk ke rumah. Dicapainya kain pelekat, tuala dan sebaldi air. Ibunya mengekori dari belakang sambil menunjukkan wajah cuak. Dia tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Luqman kerana asyik menggunting cili kering di dapur.

Luqman masih batuk dengan teruk. Paru-parunya kembang dan dipenuhi lendir. Batuk ialah usaha biologi untuk mengeluarkan lendir dari dalam paru-paru. Yang pastinya tiada siapa pun yang sanggup batuk seperti itu. Dada bagaikan diragut malaikat maut setiap kali ia batuk. Kesakitannya sudah tidak tergambar.

Luqman cuba bernafas. Berdehit-dehit bunyi nafasnya sebelum dia batuk lagi lalu keluar lendir putih likat bertali tanpa putus dari mulut. Dilaila segera menyapu lendir itu dengan kain tudungnya yang sudah ditanggalkan. Badan abangnya yang berlengeng ditutup dengan tuala.

Dilaila mencurahkan air ke punggung Luqman untuk menghalau bau hancing air kencing yang sudah bersatu dengan seluarnya. Tanpa segan silu, dia melonggarkan seluar cerut abangnya sebelum menyarungkan kain pelekat pada tubuh lelaki itu.

Kain pelekat diikat paras dada lalu ditariknya seluar itu agar terpisah dari punggung Luqman. Kerjanya sangat pantas. Luqman disuruh bangkit lalu duduk pada anak tangga yang kering sambil tangan Dilaila menarik kain pelekat yang bergulung tadi agar menutup sebahagian kaki abangnya.

Seluar yang basah segera ditanggalkan terus melalui hujung kaki Luqman lalu dicampak ke dalam baldi. Kemudian dia memapah Luqman ke dalam rumah. Fikirannya pantas berfikir cara untuk memanaskan badan Luqman. Dia segera mengelap rambut Luqman dengan tuala.

Luqman masih batuk dan tuala tadi menjadi tempat lendirnya ditadah pula. Sebotol minyak kayu putih diambil lalu disapu di belakang badan Luqman. Fikiran si gadis berputar seligat tangannya bekerja. Dia bergegas ke dalam bilik mencapai selimut tebal dan diselubungkan pula ke tubuh Luqman.

Haba yang terperangkap dalam selimut akan membantu memanaskan tubuh lelaki yang hampir separuh mati itu. Suhu sejuk akan membuatkan batuknya semakin teruk jadi dengan memanaskan tubuh Luqman, dia berharap agar batuk abangnya itu akan berkurangan. Dia pernah lihat Nek Tijah melakukan hal yang sama sewaktu Luqman kecil dulu.

Salimah pula sudah kembali ke dapur. Membantu tidak, bersuara pun tidak. Sengaja dibiarkan sahaja Dilaila berhempas pulas menyelamatkan abangnya. Jauh di sudut hatinya dia tidak tergamak menyaksikan betapa Dilaila bersungguh-sungguh mahu menyelamatkan abangnya. Kalau gadis itu tahu bahawa mereka sebenarnya bukan saudara kandung, apakah tindakan Dilaila tetap sama?

DI RUANG TAMU, Dilaila masih tega bersama pemuda malang itu. Suaranya tersekat-sekat, “Man, kau kena kuatkan semangat. Lepas reda hujan ni, kau tentu akan rasa lebih sihat.”

“Aku dah nak mati, Dilaila,” ujar Luqman bercampur dengan batuk.

“Jangan jadi bodoh. Kau ingat kau siapa? Mati tu kerja TUHAN!”

“Aku tahu, aku dah nak mati. Janganlah kau risau.”

“Tak, kau tak boleh tinggalkan aku. Kau tak boleh mati. Kau mesti hidup! Ingat tak janji kita dulu? Kau nak tengok aku berjaya dan bina mahligai untuk kau kan?”

“Kaulah yang teruskan hidup. Aku nak mati, nak nenek...”

“Sekali lagi kau sebut fasal mati, aku akan hantar kau ke hospital!”

“Eh, jangan Dilaila. Aku tak nak pergi hospital,” kata-kata Luqman terputus oleh batuk yang semakin kuat, sebelum menyambung, “Itu tempat orang mati!”

“Ha, tau pun takut kan?”

“Nanti doktor cucuk aku, lepas tu aku mati!” Luqman batuk lagi.

“Bukan ke tadi kau sendiri cakap yang kau nak mati?”

“Aku nak mati di sini!” Tercungap-cungap nafasnya meminta nyawa sebelum menyambung. “Tak kena cucuk.”

“Huh, kau ingat kau boleh pilih di mana kau nak mati? Banyak cantik muka kau!”

Luqman tersengih. Hingusnya disapu dengan hujung kain. Senang hati bila melihat adiknya cemas begitu. Dia tahu Dilaila sayangkannya.

“Kau baik pada aku, tak macam mak.” Luqman akhirnya bersuara lagi sambil berselang seli dengan batuk keras.

“Mak tu nampak aje keras tapi hati dia baik. Dia sayang kau, cuma dia tak nak tunjuk sebab kau bodoh!”

“Betullah aku bodoh, tak boleh kerja kuat. Orang bodoh tak boleh duduk di rumah ni kan?”

“Kalau kau bijak kenapa kau berhujan macam ni? Ni kerja orang bodoh, tau tak?” Si gadis terus menempelak abangnya tanpa belas kasihan. Marahnya meluap-luap di atas kebodohan Luqman yang tidak tahu menjaga diri.

“Mak marah kalau aku berhenti.”

Jantung Dilaila tersentap apabila mendengar kata-kata Luqman. Kenapakah ibunya tergamak berbuat begitu pada Luqman? Mengapakah ibunya sanggup mendera Luqman? Tidakkah serik ibu dengan kematian Gaban dan Nek Tijah?

Dilaila bangkit kembali lalu menuju ke dapur. Dia mencari sudu plastik dan botol madu di atas para. Matanya sempat menjeling ke arah ibunya yang sedang menjerang air.

Setelah menemukan benda yang dicarinya dia segera mendapatkan kembali Luqman yang masih batuk terkokol-kokol. Nafasnya turun naik dan nampak kesakitan setiap kali terbatuk.

“Man, minum madu ni dapat melegakan sikit dada kau. Esok pagi-pagi kita pergi hospital.”

“Tak mahu pergi hospital!”

“Okey, kalau macam tu kau kena minum madu ni setiap pagi dan malam. Faham?”

Luqman mengangguk. Dilaila menyuakan sudu yang penuh dengan cecair likat keemasan ke mulut Luqman. Terimbau kembali di benaknya kenangan sewaktu kecil bila dia sering meminta nenek menyuapkan makanan ke mulutnya.

“Man, kau ingat tak masa kita kecil dulu? Aku merajuk sebab nenek tak suapkan nasi pada aku. Dia asyik layan kau saja. Aku ingat nenek tak sayang aku.”

Melihat Luqman diam, gadis itu menyambung semula kata-katanya, “Aku menyorok bawah katil. Seorang pun tak dapat cari aku. Mak dan nenek panik. Ramai jiran yang datang tolong cari sampai ke baruh. Ada yang kata aku disorok bunian.”

Sambil tercungap-cungap, Luqman segera menyampuk, “Man dah tahu tempat Dilaila nyorok.”

“Yalah, mula-mula kau diamkan sebab takut aku marah. Tapi kau cakap juga akhirnya kan? Aku kena pukul teruk dengan mak. Masa tu aku memang marah kau dan bersumpah tak nak kawan dengan kau sampai bila-bila. Kelakarnya, esok kita main pondok-pondok bersama. Dah lupa dah fasal semalam,” ujar Dilaila sambil tersengih tanpa diduga ada air jernih bergenang di tubir matanya.

Luqman masih diam. Dia hanya memasang telinga dan matanya sahaja yang terkebil-kebil memandang adik yang dikasihi.

Dilaila menarik nafas panjang. Luqman tidak bersalah, malah Luqman telah menyelamatkannya. Kalau Luqman tidak memberitahu Nek Tijah di mana dia tentu dia akan tertidur di situ sampai keesokan harinya dengan perut kosong.

Kini gadis itu faham kenapa Nek Tijah sangat mengambil berat terhadap Luqman. Nek Tijah kasihan pada Luqman kerana dia tidak pernah meminta dilahirkan cacat. Meskipun ramai yang membenci tetapi sebahagiannya pula akan mengasihi. Itulah makna manusia istimewa seperti Luqman. Simpati terhadap nasib abangnya membuatkan dia mahu membela lelaki malang itu. Sudah menjadi tanggung jawabnya menyambung tugas Nek Tijah.

Perlahan-lahan dia menyeka air matanya yang tergenang. Luqman tidak berdosa pada sesiapa. Luqman tidak pernah menyakiti hati sesiapa. Tetapi kenapa Luqman dibenci oleh ibu kandung sendiri? Mustahil hanya kerana Luqman cacat! Gadis itu belum dapat memahami sikap ibunya.

Previous: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh