TIGA bulan telah berlalu. Pagi ini, kokokan ayam
jantan mengejutkan Dilaila daripada tidur. Dia ter-dengar bunyi periuk belanga
bergeseran sesama sendiri di dapur. ‘Mak dah bangun,’ getus hati kecilnya. Mata
yang masih liat membuatkan dia menarik selimutnya semula. |
“Hei, bangun! Kau jangan nak jadi raja dalam rumah ni!” Tiba-tiba
suara Salimah memekik memecah keheningan subuh. Dilaila terdengar bunyi benda
dipukul seraya kedengaran keluhan daripada Luqman.
Seperti hari-hari sebelumnya, begitulah cara Salimah mengejutkan
Luqman agar bangkit lalu bersiap ke kebun getah. Sejak sebulan lalu, Luqman
dikerah menoreh. Pekerja Indonesia yang sebelum ini bekerja di situ sudah pun
diberhentikan.
Tanpa membantah, Luqman akan terhincut-hincut
berjalan menuju ke kebun getah yang terletak kira-kira lima kilometer dari
rumah dengan berbekalkan sebotol air sejuk. Dia tidak akan diberi makan kalau
gagal menyelesaikan tugasnya.
Mendengarkan Luqman sudah bangun, Dilaila segera bangkit.
Dicapainya seluar trek, kemeja-T dan tudung lalu menuju ke dapur. Salimah yang
perasan tindakan anak gadisnya segera menegur, “Kau nak ke mana?”
“Hantar Man ke kebun.” Bersahaja si genit itu membalas pertanyaan
ibunya.
“Kau dah gila? Baru pukul lima. Gelap-gelap macam ni nak keluar?”
“Habis tu, yang mak suruh Luqman keluar seorang diri tu, tak apa?”
Wanita itu mendengus, “Dia lelaki.”
“Tapi dia tak sempurna! Dia cacat! Sampai hati mak suruh dia pergi
ke kebun sendiri. Mak tahu tak, pukul tujuh nanti baru dia sampai!”
“Habis tu, kau nak aku simpan dia dalam rumah ni? Tak payah buat
kerja?”
“Dia boleh tolong mak kat rumah ni. Tak payahlah mak berhentikan
Yoyot. Kesian dia. Biarlah dia yang menoreh di kebun tu. Anak dia nak sekolah,
sampai sekarang dia belum dapat kerja lagi.”
“Yang kau sibuk sangat ni kenapa?”
“Luqman tu bukannya pandai menoreh. Mak juga yang merungut pokok
rosak, getah sekerap sikit.”
“Dia yang bodoh! Tak tahu buat kerja!”
“Mak, dia bukan tak tahu tapi tak boleh! Mak janganlah paksa dia.”
“Ah, aku tak peduli. Daripada dia menyemakkan mata aku di rumah ni
baik dia pergi menoreh.”
“Suka hati maklah. Tapi mulai hari ni, Dilaila akan hantar dia ke
kebun.”
“Ha... pergilah hantar dia. Kalau jadi apa-apa pada kau, jangan
cari aku!”
Dilaila tidak berganjak
daripada niatnya. Lantas dia melangkah lalu mencapai basikalnya. Dia mahu
menyongsong langkah abangnya yang belum jauh lagi. Jalan Luqman ibarat
kura-kura dan kalau mahu deras pun, mungkin dia hanya boleh jadi macam penyu
berjalan di atas pasir. Dia tidak boleh bergerak lebih pantas daripada itu.
Seketika kemudian, kelibat Luqman sudah kelihatan berbalam-balam
di bawah sinaran bulan penuh. Suasana yang sunyi memang menyeramkan. Namun,
Dilaila menguatkan hati. Dia yakin di depannya itu memang Luqman.
“Man, Man!” jerit Dilaila membelah keheningan subuh.
Lelaki tempang itu berpaling lalu menyeringai. Kalau orang lain
mungkin akan menjerit ketakutan tetapi bagi Dilaila senyuman abangnya yang
bergigi rompong itu sangat manis. Semanis senyuman Aaron Aziz dalam Ombak
Rindu.
“Kenapa kau kejar aku? Kau nak ikut ke?”
“Aku nak hantar kau ke kebun. Naiklah cepat,” balas Dilaila dengan
nafas tercungap-cungap.
“Eh, aku beratlah. Kau tak larat nak bawa aku.”
“Jangan degil. Cepat naik. Kalau aku hantar kau, cepatlah kau
sampai. Bila cepat sampai, cepatlah kerja kau siap dan kau boleh balik awal
untuk makan.”
Luqman menyeringai lagi. Dia tahu kalau dia lambat siap, dia akan
dihukum. Dia tidak akan dapat makan tengah hari. Perutnya akan menggigil
kelaparan. Sebab itu, tidak kira hujan atau panas, dia perlu ke kebun. Kalau
hujan dan tidak boleh menoreh dia perlu menebas. Arahan ibunya perlu dituruti
kalau tidak mahu dipukul dengan kayu api.
Belakang badannya masih berbekas apabila dipukul Salimah dua hari
lalu. Semuanya gara-gara dia tertinggal pisau getah. Salimah memaksa dia ke
kebun semula untuk mencari pisau itu kerana pisau perlu diasah setiap hari
untuk memastikan ia tajam dan mudah menghiris kulit getah.
“Kau bawa bekal?” laung Dilaila sambil terkial-kial mengayuh
basikal. Nafasnya turun naik menahan lelah.
“Apa?” soal Luqman yang tidak begitu jelas dengan soalan adiknya.
“Bekal, kau bawa bekal tak?” Gadis itu berteriak.
“Bawa,” balas Luqman sebelum batuk tidak henti-henti.
“Apa dia?”
“Ni!” ujar Luqman sambil mengunjukkan sebotol air masak.
Dilaila sebak. Sampai hati ibunya tidak memberikan bekal pada
Luqman. Sekadar air kosong. Mana mungkin boleh menggalas perut Luqman sampai ke
tengah hari?
“Kau ni tak sihat. Nanti aku belikan ubat batuk. Esok pastikan kau
pakai baju tebal sikit. Pagi-pagi ni sejuk. Rumput basah kena embun. Kasut kau
ni tak sesuai. Nipis sangat. Kau kena pakai kasut getah paras lutut. Barulah
kaki kau tak basah.” Panjang lebar Dilaila memberikan nasihatnya. Tidak pasti
sama ada Luqman faham atau tidak. Tapi dia dapat berasakan yang kata-katanya
bagaikan Nek Tijah.
Tanpa disedari Luqman tersenyum panjang sebaik melalui kawasan
perkuburan yang disinari cahaya lampu masjid di sisinya. Lantas seketika
kemudian, Luqman melambai-lambai ke satu arah. Seolah-olah ada seseorang di
situ.
Dilaila perasan perbuatan Luqman. Dijelingnya ke kanan dan dia
nampak barisan batu nisan. “Kau lambai siapa Man?”
“Nenek, Man lambai nenek!”
Sepantas kilat tangan Dilaila menggigil dan hampir hilang
keseimbangan. “Hei, kau gila ke? Jangan sebut apa-apa lagi. Aku tak nak
dengar!”
“Betul, Man nampak nenek. Ha... tengok nenek dah hilang dah. Mesti
nenek takut bila Dilaila marah tadi!” Jelas kerinduannya pada Nek Tijah sudah
tidak dapat dibendung.
Sang gadis kelu. Dia tidak mampu meneruskan kata-katanya. Segala
tenaganya dikerah untuk mengayuh walau pun hakikatnya nafasnya tenggelam timbul
kerana panik. Bulu romanya meremang tiba-tiba.
10 minit kemudian, mereka tiba di tepi lorong masuk ke kawasan
kebun getah. Perlu merentas satu kebun kepunyaan orang lain sebelum tiba ke
kebun mereka. Suasana masih gelap gelita tanpa ada sesiapa yang lalu lalang di
situ.
“Sunyinya. Tak ada orang yang sampai lagi ke?”
“Kebun Cik Minah ni dah tak ada orang menoreh. Yang ada cuma atas
bukit sana,” ujar Luqman sambil memuncungkan bibirnya.
“Kau tak takut ke menoreh seorang?”
“Buat apa nak takut. Man bukan seorang aje kat sini.”
“Bukan kau seorang? Siapa lagi yang ada?”
“Nenek selalu datang teman Man,” ujar lelaki itu sambil
menyeringai.
Bagaikan terhenti jantung Dilaila. Bulat matanya memandang Luqman.
Mulutnya turut menganga. Terasa bulu romanya semakin meremang. Lantas dengan
suara melengking, “Hei bodoh! Jangan nak main-main ya. Nenek dah meninggal. Kau
jangan sebut lagi benda macam ni. Nanti betul-betul kau jumpa baru tahu!”
“Man tak tipu! Memang nenek ada datang teman Man. Nenek rindu pada
Man. Dia ajak Man ikut dia.”
“Ah sudahlah.Scary Movie betul! Aku nak balik. Lambat pula sampai sekolah nanti.” Tanpa
berlengah dia memusingkan basikalnya lalu mengayuh laju meninggalkan Luqman
yang masih terkulat-kulat memandang ke arahnya.
‘Orang cakap betul pun nak marah,’ Luqman menggumam sambil
melangkah membelah denai menuju ke kebun getah milik ibunya. Hatinya berbunga.
Walaupun sejuk dan letih tetapi dia tahu di sana ada wajah yang dirindukannya
sedang menanti.
BAYU
dingin menggigit tubuhnya. Sesekali basikalnya berselisih dengan motor para
penoreh yang bersemangat waja untuk mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan
hidup. Benar, bau getah memang busuk tetapi duitnya wangi. Malah dengan duit
itulah yang telah menjadikan Malaysia antara negara paling pesat membangun di
persada dunia.
Meskipun getah bukan lagi komoditi utama negara tetapi kenaikan
harganya hari demi hari kerana permintaan tinggi pasaran telah membuatkan
semakin ramai yang mahu menjadi penoreh semula. Jika dulu banyak kebun-kebun
getah yang terbiar atau ditukar menjadi ladang kelapa sawit dan kawasan
perumahan, tetapi kini sudah semakin ramai yang berebut mahu mengusahakannya.
Gadis itu mengayuh dengan perasaan yang semakin berdebar tatkala
melalui kawasan perkuburan. Pelbagai ingatan dan kenangan bersilih ganti di
benaknya. Lebih-lebih lagi kata-kata Luqman tentang Nek Tijah tadi. Tangannya
terasa menggigil. Bukan sahaja kerana kesejukan tetapi kerana ketakutan.
‘Ya ALLAH, ya TUHANku, berikanlah aku kekuatan dan keberanian. Aku
tahu Luqman hanya berimaginasi. Keistimewaan Luqman mungkin membuatkan dia
mampu melihat ke dimensi lain. Tetapi janganlah KAU uji aku dengan ujian yang
KAU beri pada Luqman. Aku tak mampu menanggungnya. Aku sayang nenek tapi KAU
biarlah kenangan sahaja yang tinggal padaku.’
Dilaila bermonolog hinggalah dia melepasi kawasan masjid.
Kemudian, dia melepasi pula kawasan perkuburan. Dia cuba mengawal perasaan
takut tetapi tiba-tiba kakinya terasa berat untuk mengayuh. Bagaikan ada beban
berat di belakangnya. Dilaila tidak tega menoleh. Beban itu bagaikan tatkala
Luqman membonceng basikalnya tadi. Tapi Luqman sudah lama ditinggalkan di
kebun. Jadi siapa yang memboncengnya kini?
Peluh jantan memercik. Air mengalir dari kelopak mata dan
hidungnya. Dilaila tidak mampu menangis
lagi. Apatah lagi berfikir. Ketakutan yang melampau telah membuatkan kakinya
beku.
Akhirnya, dia hilang kawalan. Basikalnya terhuyung-hayang. Argh!
Bum! Dilaila tersungkur di dalam
longkang. Dia terbaring di situ seketika sebelum cuba bergerak. Jari-jemarinya
terasa pedih. Pahanya sakit. Lututnya melecet. Dia cuba bangkit dengan menolak
basikalnya tetapi dengan tangan yang menggeletar dia tidak mampu melakukan.
Seluruh tubuhnya lemah. Pandangan mula berpinar-pinar sebelum bertukar menjadi
gelap. Dia pengsan!