Suraya mengetap bibir. Tak puas hati. Duduk dalam rumah sendiri tetapi mengapa perasaannya bergemuruh ketika mahu membukakan pintu itu. Dalam diam, dia berdoa janji pada malam tadi tertunai. Dengan lagak perlahan-lahan, daun pintu dibuka. Melihatkan pintu bilik tetamu terbuka luas, dijengulkan kepala untuk memastikan. Melilau matanya melirik ke arah ruang yang rapi seperti tidak pernah disentuh sebelum ini. Okay. Lega.
Dia melangkah pula ke ruang tamu. Tiada apa yang ditemui. Ditilik melalui tingkap untuk meninjau ke laman. Juga kosong. Tiada lagi kereta lelaki itu tersadai di situ. Lapang dadanya. Entah pukul berapa lelaki itu bertolak dia tidak pasti. Bangunnya setelah azan Subuh berkumandang sebelum kembali terlena. Malam tadi, entah jam berapa dia tertidur. Tiada yang dilakukan kecuali menangis dan terus menangis. Merindui sosok mummy juga, memikirkan hasrat abah itu.
Meski hari masih awal, dia berhajat untuk masuk ke dapur. Menyediakan sarapan untuk mereka berdua. Melewati bilik tidur abah, dilihat pintu bilik itu terbuka luas menandakan abah tiada. Eh, ke mana perginya? Ke surau ke pagi tadi? Tak pula dia dengar abah berpesan untuk ke sana. Barangkali keluar membeli sarapan.
Dia, melangkah masuk ke bilik orang tuanya. Terus menuju ke jendela lalu disingkap langsir tebal yang menutupi. Daun jendela dibuka. Sejuk. Tetapi dibiarkan sahaja bayu pagi itu masuk. Dia berpaling. Terbayang kelibat arwah mummy sedang duduk di birai katil. Bergenang tubir mata. Cepat-cepat dia melangkah keluar dan terus ke dapur. Gelap. Dibukakan pintu dan tingkap. Barulah cerah sedikit.
Jam di dinding melewati tujuh pagi. Diisi air di dalam heater untuk dipanaskan. Dia mahu membancuh teh tarik pada pagi itu. Sambil menanti air mendidih, dia mencari penyapu. Ruang dapur itu disapu dan dikemas serba sedikit. Siap menyapu, teh tarik disediakan lalu dibawa ke meja makan. Dia duduk termenung pula di situ. Masih kekal dalam carta minda untuk terus mengenangkan arwah mummy dan perihal semalam. Dadanya terasa sesak tatkala mengingati kedua perkara tersebut. Bahunya juga seakan dapat merasai bebanan yang sedang ditanggung ketika ini. Berat sekali.
Ketika ini, hanya satu yang bermain di fikiran. Dia, enggan membuat telahan terhadap keputusan Dr. Adrian. Biarlah lelaki itu saja yang mencari jalan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka berdua itu. Lagipun, dia telah memberi kata putus pada malam tadi. Dia percaya tak mungkin lelaki itu memaksa dengan sanggup menerima pinangan abah padahal telah tahu keadaan hatinya.
Jelingan Suraya sekali lagi menangkap muka bulat jam dinding. Lama pula dirasakan masa berjalan. Dah hampir setengah jam dia duduk menunggu abah. Sekali lagi dia duduk termenung. Sesekali bayangan arwah mummy sedang memasak, duduk di meja makan dan mengemas terlayar di ruang minda. Ditarik nafas yang panjang. Sungguh! Kerinduan tidak bertepi itu terlalu menyakitkan. Hendak dibelai tidak tercapai. Hendak dikaut tidak terpaut.
"Yaya..." panggil Encik Ahmad Fauzi.
Sejuring air mata pantas diseka. Suraya menoleh. Melihat abah yang memakai baju Melayu dan berkain pelikat sedang menjinjit sesuatu di tangan. Betullah terkaannya. Abah keluar membeli sarapan.
"Abah ke mana?" soalnya lantas bangun menyambut huluran dari abah.
Encik Ahmad Fauzi terus ke sinki mencuci tangan sebelum duduk di meja makan. Suraya pula sibuk mengeluarkan beberapa biji pinggan dari kabinet. Nasi lemak yang dibungkus daun pisang itu dikeluarkan lalu dihidangkan kepada abah terlebih dahulu.
"Surau... Dengan Adrian. Tapi, dia terus balik lepas solat Subuh tadi. Kemudian, abah ke kubur."
Kening Suraya sedikit terangkat. Ada sedikit kesilapan dalam agakannya itu.
Teh yang masih panas dituang ke dalam cawan lalu ditolak mendekati abah.
"Abah bawak motor ke?"
"Iyelah. Kenapa? Selama ni memang motor tu abah sorang aje yang bawak."
Suraya melirik ke arah orang tuanya. Jelas reaksi hairan di wajah itu.
"Maksud Yaya, abah tak rasa apa-apa ke bila bawak motor tu dekat jalan raya?" terangnya akan maksud sebenarnya.
Encik Ahmad Fauzi membalas renungan anaknya itu. Digelengkan kepala beberapa kali.
"Abah tak apa-apa." katanya meyakinkan anaknya akan keadaan dirinya itu.
Mereka berdua mula menjamah sarapan. Seperti kelaziman, sepi menjadi lagu tatkala menjamu.
"Yaya, abah buat semua tu untuk kebaikan Yaya." tutur Encik Ahmad Fauzi setelah siap bersarapan.
Hanya duduk di meja makan sambil memerhati anaknya mengemas dan mencuci.
Suraya menutup paip sinki. Dengan perasaan yang berat dia kembali duduk. Dengan perasaan yang berat juga hal itu bakal dibahaskan. Renungan dari abah tersayang dibalas. Dilontarkan pandangan sayu dan berharap. Juga, keliru.
"Abah, Yaya bimbangkan abah. Lepas accident tu betul ke abah betul-betul sihat?"
"Iye, Yaya. Abah sihat. Betul-betul sihat."
"Tapi, kenapa tiba-tiba dipinangkan Dr. Adrian tu untuk Yaya? Abah kenal anak abah ni, kan?"
Tanpa perlu memancing dengan rangkap pembayang, dia terus melompat kepada pokok cerita.
"Abah kenal Yaya... Abah kenal." sahut Encik Ahmad Fauzi lembut.
"Tapi, kenapa-.."
"Yaya..," seru Encik Ahmad Fauzi dengan nada sedikit tinggi berbaur ancaman.
Suraya bungkam. Nafas yang tiba-tiba pendek dihela panjang. Diatur satu per satu supaya bertenang. Dia mahu membahas bukan bertikam lidah.
"Kalau Yaya sayangkan abah, Yaya dengarlah permintaan abah ni..."
Air mata Suraya mula bergenang.
'Abah, kenapa diusik tentang kasih sayang?'
Tak mungkin dia mempertaruhkan ikatan kurniaan ILAHI itu sebagai galang ganti kepada kemahuan diri.
"Kalau mummy masih ada tentu tak jadi macam ni..." ucapnya lemah. Dibiarkan sahaja setitis air mata mengalir. Kecewa. Dia benar-benar kecewa dengan abah yang telah membulatkan niat.
"Yaya!.. Kenapa cakap macam tu? Walau mummy masih ada pun abah tetap buat perkara yang sama. Cuma, masa saja yang jadi penentu." ujar Encik Ahmad Fauzi masih mampu menahan sabar menarik anak kesayangan dalam suasana toleransi.
"Yaya tak faham, abah. Kenapa mesti kahwin? Yaya dah besar, abah. Dah boleh jaga diri." sanggah Suraya lirih dan sedih. Juga, separuh tidak sabar.
Sebenarnya, dia bimbang andai perbualan itu berpanjangan semakin banyak pula soalan yang diasak kepada abah. Makin didesak makin ringan pula mulutnya menuturkan sesuatu yang tidak disengajakan. Dia benar-benar risau andai kata-kata yang terkeluar itu bakal menggores hati dan perasaan orang tuanya.
"Anak perempuan abah tak mungkin abah biarkan menjaga diri sendiri. Abah tak tahu sampai bila abah dapat tengok Yaya depan mata abah. Entah-entah, esok lusa abah bakal ikut mummy juga,"
"Abah!!" Suraya terjerit kecil. Bingkas dia bangun. Melutut di atas lantai di sisi abah. Rembesan air mata makin laju. Tersedu-sedan dia menahan tangisan yang makin menggila itu. Bahunya, dirasakan diusap beberapa kali.
Encik Ahmad Fauzi menolak kerusi lalu bangun. Dipegang kedua belah bahu anaknya supaya turut berdiri. Dipeluk bahu Suraya lalu dibawa untuk duduk berhampiran pintu dapur di mana terletak sebuah bangku kayu. Sedu-sedan anaknya memecah keheningan pagi.
Sebenarnya, Encik Ahmad Fauzi turut bersedih. Melihat keadaan anak kesayangan meluluhkan jiwa dan perasaan. Namun, tiada kata yang mampu dijelaskan kepada anaknya itu akan keputusan yang telah diambil.
"Abang, kalau bos Yaya tu masuk meminang, kita terus terima aje, bang!"
"Hisy, Nor ni!.. Dah kenapa?.." soal Encik Ahmad Fauzi pura-pura terkejut. Padahal, setelah pertemuan dengan Dr. Adrian tadi, hatinya senang. Sudahlah pemuda itu nampak bertanggungjawab, adabnya memikat. Patutlah isterinya itu tanpa segan berterus-terang. Cuma,
"Kalaulah dia nak dekat anak kita yang lagaknya tak macam perempuan Melayu terakhir tu..."
Sikap anaknya yang agak lasak itu membuatnya berfikir dua kali. Kelaziman lelaki tentulah mahu mencari pasangan yang berlemah-lembut sikapnya. Namun, anaknya itu sedari kecil memang bertabiat lasak. Meski sudah menginjak dewasa, perangai yang satu itu tak mampu diubah!
"Kalau dah jodoh tak ke mana, bang..."
Dengan mudah isterinya membuat kesimpulan.
Sepanjang perjalanan menuju ke rumah Fauziah, rakan karib arwah isterinya, tak sudah perkara itu dibangkitkan. Akhirnya, dibalas niat si isteri dengan usikan meskipun dia sendiri bersetuju dengan pandangan itu.
Namun, setelah kehilangan arwah, barulah dia sedar impian arwah isterinya itu bakal terpadam sepertimana padamnya jejak arwah di dunia yang fana ini. Malah, setelah dirasakan sendiri keadaan diambang maut itu barulah dia menyedari akan singkatnya kehidupan ini. Betapa kematian itu lebih dekat dari apa yang disangkakan.
Oleh kerana itu, pada hari pengebumian isterinya, dijemput seorang sahabat lama iaitu seorang peguam untuk menguruskan hartanya yang bakal diwarisi oleh Suraya. Meski hartanya tidaklah banyak, persiapan setelah peninggalan itulah yang terpenting.
Tetapi, harta sahaja tidak mencukupi sebagai sandaran. Anaknya itu perempuan. Tunggal dan sebatang kara. Keselamatan anaknya menjadi keutamaan. Selama ini pun, memang pergerakan anaknya itu agak terbatas dan terkawal. Sebab itulah rakan-rakan lelaki yang menjadi kenalan anaknya itu dapat dibilang dengan jari dan kesemuanya dikenali olehnya sendiri.
Sehinggalah anaknya belajar di universiti, tabiat mengenali rakan taulan Suraya diambil peduli. Bukanlah mengongkong tetapi, dirasakan sudah menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk memelihara dan membentengi kehormatan anaknya itu dari tergelincir ke lembah yang hina.
Dia, ibarat sebatang payung yang memayungi buah hati kesayangan dari kepanasan dan kebasahan.
"Yaya, seorang ayah adalah seorang lelaki yang tak perlu pura-pura untuk cinta dan kasih pada anak perempuannya. Dialah yang pertama sedar anak perempuannya bakal diambil oleh lelaki lain. Dan dialah yang pertama merasa cemburu bila mana hal itu berlaku,"
Encik Ahmad Fauzi mengungkap kembali kata-kata hikmah yang pernah dibaca di halaman atas talian sebelum ini agar Suraya tahu bagaimana perasaan seorang ayah terhadap anak perempuan. Dia tidak pandai bermain kata. Tetapi, itulah perasaan yang sedang dirasakan oleh dirinya ketika ini.
"Percayalah pada abah, Yaya. Abah buat semua ni untuk kebaikan Yaya. Sekarang ni, terserah pada Adrian. Kalau dia mahu dan terima, abah gembira sangat-sangat. Tapi, kalau dia menolak abah tak kecewa. Inilah usaha abah untuk anak abah dan mungkin dah ditakdirkan antara Yaya dan Adrian memang tiada jodoh."
Suraya diam. Tiada lagi sedu-sedan. Kata-kata abah terlalu rumit untuk difahami. Impian besar abah itu tak tercapai oleh fikirannya untuk memikirkan dan menyetujui. Dia masih enggan. Hati kecil berkeras membangkang.
"Abah, andai Yaya setuju mana Yaya nak tahu kalau Dr. Adrian tu sikapnya baik atau tak. Abah tak bimbang ke kalau-kalau dia seorang yang panas baran? Atau cemburu buta... Atau, gilakan perempuan?" ucapnya memancing abah supaya menyemak kembali keputusan yang telah diambil.
Bahunya, dirasakan dielus lagi. Lembut sahaja.
"Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Pertama kali jumpa Adrian, abah cuma agak. Kali kedua abah pasti dan kali ketiga abah yakin. Sebab itulah abah berani menyampaikan hajat abah pada dia." cerita Encik Ahmad Fauzi sedangkan Suraya terkebil-kebil memahami.
Lain yang ditanya lain pula yang dijawab.
Tetapi, macam mana kalau Dr. Adrian menolak? Ya. Kebarangkalian itu perlu juga diambil kira. Walaupun memang dia berharap benar lelaki itu menolak namun, tak ke malu setiap kali ke pejabat terpaksa menghadap wajah lelaki itu yang sentiasa tenang seperti tiada apa-apa yang berlaku. Padahal, situasi dirinya ibarat perigi mencari timba. Ah! Kalau betul Dr. Adrian tak nak, dia akan bertukar kembali ke posisi asal.
'Yup. Baik hadap muka Mr. Lee dari hadap muka lelaki pinangan abah tu!'
"Sudahlah tu. Abah tak ada permintaan lain kecuali yang ini ajelah yang abah harapkan dari Yaya. Abah nak masuk bilik dulu." ujar Encik Ahmad Fauzi sebelum memeluk mesra bahu Suraya kemudian, bangun.
Keputusan abah muktamad. Suraya, termangu lagi. Air mata sudah kering. Tidak guna mencari alasan.
Hari-hari yang dilewati di kampung bersama abah menjadi satu rutin. Menjelang petang dia akan ke tanah perkuburan bersama-sama abah. Dia sedar, rutin abah melebihi dirinya sendiri. Pagi dan petang menziarahi kubur arwah mummy.
Sebuah kereta sedan model lama milik Pak Long dipinjamkan kepada abah untuk kegunaan sementara waktu. Siasatan terhadap kes kemalangan itu pula sedang berjalan. Tiada sebarang petunjuk kerana masih belum ada saksi yang tampil. Setiap malam juga selepas solat berjemaah bersama-sama, kedua beranak itu menunaikan solat sunat hajat memohon dimudahkan perjalanan penyiasatan.
Dan, pada satu petang yang damai, abah tersungkur ke lantai melakukan sujud syukur di atas kurniaan ILAHI terhadap hasratnya itu. Khabar dari Dr. Adrian diperolehi. Lelaki itu bersetuju dengan pinangan tersebut namun, meminta suatu tempoh untuk dilaksanakan kerana perlu menguruskan hal peribadi terlebih dahulu. Manakala dia, tentulah dipanah rasa kacau dan gugup. Terlintas sahaja nama lelaki yang bakal menjadi suaminya itu sudah menggetarkan seluruh jiwa. Apatah lagi membayangkan kehidupan berdua nanti. Bagaimana agaknya kehidupan yang dijalani bersama dengan seseorang yang tidak dicintai?