Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 17


"Abah!.. Nanti jap. Kita wefie dulu."

Encik Ahmad Fauzi tak jadi mencapai bingka labu yang diletakkan di dalam bekas makanan warna ungu. Suraya yang masih berdiri cepat-cepat mengambil tempat di tengah-tengah. Dua kali swafoto dirakamkan lalu dia terus duduk di atas tikar mengkuang yang dijadikan sebagai alas dari pepasir pantai.

"Yaya nak bagi Hanis. Mesti dia jealous tak dapat join!" tutur Suraya lalu tergelak kecil. Usai menghantar foto yang dirakamkan melalui pesanan WhatsApp, telefon itu disimpan ke dalam beg yang bersilang di tubuh.

Dari pagi lagi, mummy sudah mewar-warkan rancangan untuk pergi berkelah. Seingatnya memang sudah lama benar mereka tidak melakukan aktiviti itu bersama-sama.

Jam lima petang, mereka bertolak dari rumah. Singgah sebentar disebuah gerai menjual goreng pisang. Bekalan yang disiapkan di rumah adalah bingka labu kegemaran abah. Manakala minuman dibeli ketika singgah membeli pisang goreng itu.

Suraya mencapai seketul pisang goreng lalu dibawa ke mulut. Sambil makan, mata memerhati keadaan sekitar.

Hujung minggu merupakan waktu terbaik meluangkan masa bersama keluarga. Tidak hanya mereka yang berkunjung ke situ malah, di sepanjang pantai itu penuh dengan pengunjung yang lain. Ada yang sedang duduk berkelah seperti mereka bertiga, ada yang sedang berjalan di pesisiran pantai. Ombak sederhana besar tidak menjadi penghalang buat sebahagian yang lain untuk mandi-manda.

"Tengok tu, Yaya. Dulu, masa Yaya kecil Yaya suka tau kalau kena dukung macam tu." kata abah sambil jari telunjuk menunjuk ke suatu arah.

Serentak Suraya dan mummy menoleh. Melihat seorang kanak-kanak lelaki yang masih kecil sedang didukung di atas bahu seorang lelaki dewasa. Wajah mereka berdua girang sambil berlari anak. Manakala seorang wanita tertawa riang mengejar di belakang. Dia menduga andai ketiga-tiga mereka itu adalah satu keluarga yang bahagia.

"Betul tu, abah. Kalau tak dapat, dia bergayut

pada kaki abah hinggalah abah dukung dia."

Muka Suraya mula memerah.

"Abah, mummy... Sampai hati..," ujarnya pura-pura marah.

Abah dan mummy makin galak ketawa membuatkan Suraya tak jadi nak merajuk. Dia turut tertawa.

"Masa tu Yaya umur berapa, abah?"

Alang-alang bercerita biarlah diceritakan kesemuanya. Rupa-rupanya masih banyak kenangan tentang dirinya ketika kecil yang belum diketahui.

"Dua tahun setengah." sahut mummy setelah dilihat abah seperti terkontang-kanting mengingati umur sebenar dirinya ketika itu.

"Iye... Abah dah ingat. Masa tu rambut Yaya panjangkan, mummy? Panjangnya nak cecah pinggang." kata abah pula.

Mummy mengangguk mengiyakan.

"Sesiapa saja yang tengok Yaya mesti geram. Comel sangat. Rambut panjang, pipi bulat. Bila senyum dan ketawa lesung pipit kiri dan kanan." cerita mummy membuatkan Suraya tersipu.

Puan Norlin, mengelus lembut belakang tubuh anaknya itu. Menatap wajah buah hati penuh kasih lalu memori sewaktu Suraya kecil dahulu satu per satu terimbau di benak memori.

"Sampaikan Aunty Lela, nak jadikan Yaya anak angkat. Siap nak bawak balik tinggal dengan dia. Tapi abah dan mummy tak izinkan sebab Yaya seorang ajelah anak kami." tambah abah pula.

Suraya membulatkan biji mata. Kali pertama mendengar rahsia hidupnya yang satu itu.

"Sebab tulah masa Yaya kecil Aunty Lela kerap datang ke rumah. Rindu dekat Yaya katanya." celah mummy.

"Laa... Iyeke? Yaya tak pernah tau pun." ujarnya seakan tidak percaya. Ditatap wajah abah meminta kepastian.

Abah menganggukkan perlahan.

"Sayangnya berlebihan. Sampaikan sering benar belikan pakaian dan mainan untuk Yaya, tau." cerita mummy lagi.

Suraya terkesima. Kenapa kedua orang tuanya tidak pernah menceritakan hal itu kepadanya? Memang diakui oleh jiran tetangga akan kebaikan Aunty Lela itu. Tetapi, tak sangka pula dalam kebaikan ada kasih berlebihan terhadap dirinya. Sehingga ke hari ini pun dia masih terasa sikap ambil berat Aunty Lela terhadapnya. Dan kadangkala, ada saja buah tangan yang dihantar ke rumah apabila mengetahui dia telah pulang.

"Tapi, selepas tu barulah mummy faham. Aunty Lela nak sangat anak rupanya. Hampir sepuluh tahun menanti barulah Raj dilahirkan." kata mummy mengakhiri kisah Aunty Lela.

Kepala Suraya terangguk-angguk mengiyakan. Perasaan kasih dan sayang bila terwujud mana mungkin ada batasan. Usai berbual, dipelawa kedua orang tua berjalan-jalan menyusuri pinggiran. Tidak jauh kemudian, berpatah kembali.

"Abah, mummy... Sebenarnya Yaya nak minta pendapat dan izin abah dan mummy ni." tuturnya ketika sedang mengemas serba sedikit. Kesempatan bersantai begitu diambil peluang meluahkan perkara penting yang sepatutnya diketahui oleh kedua orang tuanya.

Ketika ini, mereka sudah siap berkemas. Cuma duduk-duduk sahaja menikmati pemandangan matahari yang mulai jatuh ke ufuk barat.

"Apa Yaya?" mummy terlebih dahulu menyahut.

"Sekarang ni, Yaya dimasukkan ke dalam satu team yang memerlukan masa Yaya banyak di luar berbanding ofis." terangnya memulakan bicara.

"Team apa pulak?" celah abah ingin tahu.

"Drive Testing." jawabnya.

Wajah kedua orang tuanya ditilik. Nampak kebingungan.

"Nama pun drive, kan? Jadi, sepanjang masa Yaya akan duduk dalam kereta yang bergerak untuk collect data dalam kawasan yang dah ditetapkan."

"Collect data?" soal abah tidak memahami.

Suraya mengangguk.

"Erm, collect data dari voice call yang dibuat menggunakan satu software sepanjang drive test dilakukan. Kemudian, akan dianalisis oleh team yang lain pula untuk mengukur kekuatan signal yang tertangkap oleh handphone dan sebagainya." jelasnya panjang lebar.

Kedua-duanya masih terkulat-kulat walaupun dia melihat kepala mummy terangguk tadi.

"Kalau hasilnya elok?" tanya abah. Penerangan itu menarik perhatiannya. Meskipun dia berkerja di jabatan komunikasi namun, sektor kewangan adalah bidangnya. Jikalau arena teknikal, memang dia tidak berpengetahuan. Jika ada pun, terlalu minimal.

"Pass untuk commercial use. Cuma akan sentiasa di monitor dari semasa ke semasa."

"Kalau tak?" soal mummy pula.

"Akan melalui proses troubleshooting. Data yang dikumpul akan disemak, dinilai bacaannya dan dikenal pasti yang mana satu punca. Contoh, bila kita tengah bercakap di telefon tetapi tiba-tiba talian terputus. Banyak kemungkinan yang boleh berlaku seperti masalah hardware di site, tiada signal, interference atau pun handover failure." ujarnya lagi. Wajah dua orang kesayangan yang buntu sedikit demi sedikit mulai keluar dari kekaburan. Tak mengapalah. Dia tidak memaksa mereka untuk terus faham sekaligus. Asalkan mereka berdua memahami serba sedikit pun sudah memadai.

"Ermm, Yaya boleh check network dekat kawasan ni?" soal abah.

Lantas Suraya mengangguk. Berbesar hati.

"Tapi sikit aje sebab Yaya cuma ada phone Yaya je. Mari sini Yaya tunjukkan." tuturnya sambil mengeluarkan telefon pintar. Aplikasi Speedtest disentuh dengan hujung jari. 

Abah dan mummy mula merapatkan kedudukan.

"Abah dan mummy tengok ni. Latency, upload dan download." ujarnya menunjukkan skrin telefon yang dipegang kepada kedua orang tuanya.

"Nombor apa yang ditunjukkan tu?" tanya abah.

"Tempoh masa. Test yang Yaya buat sekarang ialah speedtest. Ianya untuk mengetahui berapa lama masa diambil untuk aplikasi atau server memberi respon."

"Jadi, ada masalah tak?"

Mummy sedari tadi menjadi pemerhati bertanya.

"Kalau tengok bacaan kesemuanya dalam kadar optimum. Bermaksud internet di kawasan ni agak pantas."

Abah dan mummy sama-sama menganggukkan kepala. Seronok mendapat sedikit pengetahuan tentang pekerjaan Suraya.

"Abah tak sangka pekerjaan anak abah ni untuk kemudahan orang ramai. Abah ingatkan Yaya duduk di ofis aje." ucap abah. Setahu Encik Ahmad Fauzi, Suraya lebih banyak menghabiskan masa di pejabat berbanding tapak projek meskipun ketika menerima lantikan itu ada dinyatakan akan kesediaan untuk bertugas di tapak projek pada bila-bila masa yang ditentukan oleh syarikat.

"Itulah kami, abah. Antara silent service yang berkhidmat untuk orang awam. Ada di antara kami merupakan hero-hero yang tak didendang seperti team technician dan juga rigger."

"Macam tulah Yaya kehidupan berkerja ni. Yang dibelakang tabir payah untuk dihargai. Tapi, technician dan rigger tu buat kerja apa pulak?" sampuk mummy. Seperti suaminya, Puan Norlin turut bersemangat ingin menambah pengetahuan tentang bidang pekerjaan anaknya itu. Jikalau bercerita tentang bahagian pengurusan, dia tahulah juga kerana dia mengambil bidang itu ketika belajar dahulu. Namun, jika berkaitan bidang teknikal, memang dia buntu.

"Mummy nampak tower tu?" soal Suraya lantas jari telunjuk menunjuk ke arah sebuah bukit di belakang mereka. Di atas bukit itu terpacak sebatang menara telekomunikasi. Kedua orang tuanya berpaling kemudian angguk.

"Yaya rasa tinggi tower tu lebih dari tiga puluh lima meter. Sewaktu site tu masih kosong, technician yang dipanggil surveyor akan melakukan site survey dan, antara tugasnya panjat dan ambil gambar 360 darjah dari ketinggian yang mahu diletakkan antena."

"Kalau puncak?" tanya mummy lagi.

"Sampai ke puncak dia panjat."

"Uishhh! Tinggi tu..." seru mummy dengan perasaan ngeri.

Suraya tersenyum tipis.

"Kemudian, kerja-kerja installation equipment dilakukan dan technician atau rigger akan mengangkut antena ke atas menggunakan kaedah takal. Rigger akan berada di kedudukan antena yang bakal dipasang di atas dan yang lain pula di bawah. Kerja yang berisiko tinggi dan kadangkala tak terikat dengan jadual masa." hurainya panjang lebar. Dilihat abah dan mummy berbalas pandang. Bapanya menggelengkan kepala beberapa kali. Mungkin berasa kagum. Juga, gerun.

"Sebenarnya abah, dalam bidang RF, kami ibarat koloni lebah. Tak kiralah sama ada berkerja sebagai rigger, buat report, driver, drive test, planning atau opti dan lain-lain, satu demi satu saling berkaitan untuk tujuan yang sama. Keselesaan dan kemudahan pengguna. Belum lagi Yaya ceritakan pengorbanan mereka yang meredah hutan atau masuk ke kawasan pedalaman demi memastikan tidak seorang tercicir dari mendapat kemudahan yang disediakan." tambahnya lagi supaya kedua orang tuanya tidak salah faham akan tugas mereka yang saling memerlukan antara satu dengan yang lain itu. Kalau mahu ditulis memang panjang berlembar kertas yang digunakan. Tetapi, cukuplah tugasan dirinya seorang yang diambil tahu oleh kedua orang tuanya itu.

Encik Ahmad Fauzi dan Puan Norlin sama-sama menganggukkan kepala. Menerima penjelasan dan pandangan anak mereka dengan berbesar hati. Juga bangga.

"Betul kata Yaya tu. Masing-masing ada tuntutan sendiri terhadap tanggungjawab yang diberikan. Besar pengorbanan mereka sebenarnya kepada kita semua," ulas abah. Didokong dengan anggukan daripada mummy yang setia di sisi.

"Tapi, apa masalahnya, Yaya? Abah tengok Yaya macam dah faham sangat dengan kerja Yaya tu."

"Inilah yang Yaya nak bagitahu, abah,"

Suraya, diam sebentar. Telefon pintar yang berada di tangan disimpan kembali.

"Bila Yaya buat test, masa akan banyak dihabiskan di luar dari duduk di pejabat. Kadang-kadang Yaya akan buat test pada waktu siang. Kadang-kadang malam. Macam mana? Abah dan mummy izinkan tak?" Dia melabuhkan pandangan. Silih berganti antara abah dan mummy. Keduanya bertukar jelingan.

"Apa kata abah, mummy ikut aje." getus mummy.

"Abah bukan tak izin. Tapi, kerja waktu malam tu macam bahaya. Keselamatan Yaya macam mana? Ada keluar outstation tak?" soal abah berunsur kebimbangan. Mana tak bimbang. Itulah satu-satunya buah hati kesayangan. Perempuan pula tu.

"Buat masa ni belum ada outstation. Abah, kalau abah nak tahu bila bertugas Yaya tak buat sendirian. Syarikat ada mengupah pemandu. Kadang-kadang Yaya bersama kawan dalam team buat kerja tu."

"Oh, macam tu..,"

Abah diam. Namun, semacam masih belum berpuas hati.

"Abah sebenarnya bimbang sebab Yaya orang perempuan. Berapa ramai perempuan dalam team Yaya?"

"Err... Yaya sorang."

"Apa??" sahut abah dan mummy serentak.

"Abang, macam mana ni?" tanya mummy. Gusar. Abah diam lagi. Reaksi mereka berdua benar-benar meresahkan Suraya hinggakan mengundang debar pula. Malah, dia mula terasa peluang untuk berada di dalam kumpulan itu mula menjauh.

"Siapa bos Yaya?"

"Untuk projek ni, Dr. Adrian." jawabnya.

"Yang annoying tu ke?" celah mummy.

Suraya menahan gelak. Tidak jadi nak ketawa melihat wajah abah yang masih serius.

"Annoying?" sahut abah menatap wajah isterinya meminta penjelasan.

"Semalam Yaya mengadu pasal bos dia. Tapi bila mummy tanya mummy tak nampak pulak apa yang annoying sangat tu. Saja je Yaya ni nak tunjuk ragam." cerita mummy sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Tawa yang dipendam tak mampu ditahan. Suraya ketawa kecil. Peha ibunya ditepuk lembut. Tak habis-habis dia dikenakan oleh ibunya itu.

"Boleh tak Yaya telefon bos Yaya tu?"

Mati terus tawanya itu.

"Apa? Kenapa pulak abah? Abah nak suruh Yaya berhenti kerja ke?" soalnya cemas. Sudah! Tak sangka perkara yang dirasakan kecil mampu bertukar menjadi masalah besar pula.

"Dengar dulu cakap abah. Esok, abah dan mummy hantar Yaya balik KL. Esok juga abah nak jumpa bos Yaya tu. Walau macam mana pun, Yaya anak abah dan abah lebih berhak untuk tahu dengan jelas tentang pekerjaan Yaya. Keselamatan Yaya jadi keutamaan abah. Sekarang, Yaya telefon bos Yaya maklumkan tentang perjumpaan esok." ucap abah umpama satu arahan.

Terkebil-kebil Suraya memandang orang tuanya. Kedua-duanya pula seperti sedang menanti untuk dilaksanakan perintah itu. Lambat-lambat, telefon kembali dikeluarkan. Nombor Dr. Adrian dicari lalu disentuh dengan sedikit rasa gemuruh. Pasti lelaki itu hairan kerana menerima panggilan daripadanya pada hujung minggu begitu. Beberapa saat menanti suara lelaki itu dapat didengari menyambut panggilan.

"Suraya, are you okay?"

Sah. Seperti dijangka seharusnya lelaki itu kebimbangan.

"Assalamualaikum, Dr. Adrian. Saya okay. Tak ada apa-apa."

Sepi. Hanya sayup-sayup jawaban salam itu kedengaran.

"Erm, esok, boleh tak kalau saya nak jumpa dengan Dr. Adrian?" katanya sedikit teragak-agak.

Sepi lagi.

"Oh. That's fascinating, Suraya. Tapi, kenapa nak jumpa saya? Ada hal apa?" soal Dr. Adrian hairan.

Kelu.

'Macam mana nak cakap ni?'

Dikerling dua wajah di sisi. Sedang memerhati semacam menunggu bahagian temujanji itu disahkan.

"S-sebenarnya bukan saya yang nak jumpa. Tapi... A-abah saya." Tergagap-gagap, dia menjelaskan. Wajahnya mula memerah. Mummy menggeleng melihat reaksinya itu. Sekali lagi suasana sepi di hujung talian.

"Alright. I'll let you set up the time and place."

Suraya mengangguk meski sedar lelaki itu tidak dapat melihatnya. Talian diputuskan dan dia menarik lega.

"Yaya nampak takut je dengan bos tu. Orangnya garang sangat ke?" tanya abah.

Suraya menggelengkan kepala. Lemah.

"Bukanlah, abah. Yaya tak takut tapi segan. Pertama kali dalam sejarah ayah staf nak interview bos. Yaya tak tahu apalah yang bos Yaya tu tengah fikir sekarang ni." tuturnya tidak bermaya. Lirikan, dibawa menyoroti ke arah bola api gergasi yang makin hampir mencecah lazuardi. Makin berkurangan tempoh masa untuk bertemu itu makin bertambah berdebar pula dirinya.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.