Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
19,128
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 18


Kenderaan yang dinaiki baru sahaja melewati Tol Sungai Besi. Sejak memulakan perjalanan dari awal pagi tadi, matanya sentiasa celik. Tak lepas memerhati pemandangan sepanjang perjalanan meskipun pemandangan hijau sahaja yang dilihat. Alex, membisu di sebelah. Fokus pada pemanduan pada tahap lapan puluh kilometer per jam.

Kereta yang dipandu lancar meluncur memasuki sebuah susur keluar dan terus bergerak pada lebuh yang panjang seperti tiada penghujung. Bangunan tinggi yang berkedudukan saling menghimpit di antara satu sama lain mula kelihatan. Dia tahu bangunan tinggi itu tak lain tak bukan adalah sebuah kediaman. Entahkan flat, apartmen atau kondominium. Dia bukan tahu sangat jenis-jenis rumah yang terdapat di bandar besar begitu. Sama saja pada pandangannya asalkan ianya jenis kediaman yang berlapis-lapis.

Dia terus menatap penuh kekaguman. Tak mampu bayangkan andai dirinya menetap di tingkat terpaling atas. Tentunya ngeri apabila melihat ke bawah.

Tiga puluh minit kemudian, dia melihat pula lebuhraya bertingkat yang bersimpang-siur. Entah ke mana hala tuju jalan itu. Namun, ada saja kenderaan yang sentiasa memenuhi jalanraya tersebut. Bagaikan sebuah perjalanan kehidupan yang seringkali tidak lurus seperti yang diharapkan. Bengkak-bengkok dan berselit-belit. Andai panduan syariat menjadi pegangan, majulah perjalanan dipimpin iman. Namun, andai nafsu-nafsi menjadi ikutan tersembah ke bumi meranalah diri. Kata-kata dari Atuk suatu ketika dahulu tiba-tiba menjelma dalam fikiran apabila melihat suasana jalanan yang dilalui itu.

Uzma, mengerling ke arah Alex. Tenang memandu. Penampilannya juga kemas meskipun masih mengenakan sehelai t-shirt berlengan panjang dan sepasang jeans. Rambut yang panjang itu diikat separuh dan separuh lagi dibiarkan lepas. Mata kembali memandang ke luar tingkap. Masih belum tibakah mereka ke destinasi yang dituju?

"Abang, kita tak sampai lagi ke?"

Persoalan pertama terpacul dari mulutnya setelah perjalanan yang memakan masa hampir dua jam itu.

"Sekejap lagi. Dalam lima belas minit." sahut Alex tanpa menoleh ke arahnya.

Dia mengangguk. Kembali menjamu mata dengan hidangan hutan batu di sekeliling. Kereta, mengambil susur keluar lagi. Membelok ke arah kanan dan dia melihat papan tanda Universiti Malaya. Wah, sebuah pusat pengajian tinggi yang ternama dan terkemuka di tanah air. Berharap dalam diam institusi pengajian tinggi yang ternama itu dapat dikalih walaupun hanya bumbung yang kelihatan. 

Laluan yang diambil diperati. Jalan berlengkok itu turut mempunyai laluan susur gajah yang sibuk dengan pejalan kaki. Jam di tangan dikerling. Hampir jam 10.15 pagi. Sebaik kenderaan menyusur ke arah kanan di sebuah cabang dua, matanya terbuka luas. Pintu gerbang dengan tulisan berwarna kuning keemasan itu menyentap dada mengganggu fikiran. Terkenang-kenang perbualan bersama Muna ketika mereka berbincang tentang rancangan masa depan. Kata Muna, andai mereka berdua memperoleh keputusan yang cemerlang, dia teringin untuk menyambung pelajaran di universiti itu. Bukan sendirian. Mengimpikan mereka berdua bersama-sama menjejakkan kaki ke menara gading itu.

Uzma segera berpaling. Keluar dari imaginasi kelmarin. Tetapi, terkebil-kebil menyedari gelagatnya sedang diperhati. Kemudian, lelaki itu selamba memandang ke hadapan. Sebuah jalan yang berbukit diambil melewati sebuah kawasan perumahan pula. Entahkan beberapa buah perumahan telah dilewati akhirnya mereka tiba di sebuah kawasan lot kedai yang agak lengang di sebuah kawasan yang bernama Bukit Damansara. Kelajuan yang sederhana makin perlahan tatkala menelusuri lorong di hadapan lot kedai itu lalu, kereta berhenti.

"Dah sampai. Jom." ujar Alex lantas mematikan enjin kereta dan turun.

Uzma mengikuti kemudian. Beg galas yang setia di atas ribaan digalas ke bahu lalu dia turut turun dari kenderaan. Dia mengambil masa untuk membetulkan baju kurung yang sedikit renyuk akibat terlalu lama duduk di dalam kereta tadi. Tubuhnya juga baru terasa letih. Ah, urat sarafnya menegang! Buat beberapa detik barulah ketegangan itu menghilang setelah dia membuat sedikit regangan.

Tanpa berlengah, Alex menapak terlebih dahulu ke arah kaki lima lot tersebut. Uzma mendongak. Membaca papan tanda kedai-kedai yang ada di situ dan melihat lelaki itu menuju ke sebuah kedai yang tertulis Kafe Hitam Putih.

Dia, tetap tercegat di situ. Segan pula mahu mengikuti lelaki itu bertemu dengan pelanggan. Lagipun, dia bukan tahu apa-apa tentang dunia perniagaan ni. Malah, bukan orang yang penting yang patut ada dalam pertemuan itu. Jadi, lebih baik dia tunggu sahaja di luar.

Seperti menyedari ketiadaan Uzma di sisi, Alex lantas berpaling. Dan alangkah terkejutnya dia sebaik melihat Uzma sedang tercegat dengan wajah menunduk di tepi kereta. Sedikit tergesa, dia kembali mendapatkan gadis itu.

"Kenapa?" soal Alex sedikit bimbang. Diperhati keadaan Uzma yang sopan dalam persalinan baju kurung dan sehelai tudung bawal.

"Kalau Ju tunggu dalam kereta tak boleh ke? Seganlah." ucap Uzma berterus-terang.

Alex merenung. Kemudian tanpa sebarang bicara terus mencapai tangannya dan dibawa ke arah kafe tersebut. Itulah jawapan lelaki itu dan Uzma tidak mempunyai pilihan selain mengikuti.

Sejak masuk ke dalam kafe itu, Uzma sentiasa menarik nafas yang dalam. Harum semerbak aroma kuih-muih dan bau kopi buat dia tidak puas menghidunya. Sedap betul baunya!

Ketika ini kelihatan hanya seorang pelanggan sedang duduk menikmati hidangan sebungkus nasi lemak, kuih koci dan minuman kopi di sebuah meja di tepi cermin. Keadaan di dalam kedai itu pula lengang. Tiada seorang pelayan pun yang kelihatan. Sudah habis berniaga atau baru nak beroperasi?

Perhatiannya terganggu tatkala seorang lelaki seperti pelayan kedai datang menghampiri. Belum sempat Alex membuka mulut, satu suara terlebih dahulu melaung.

"Hei, Alex! Dah sampai pun."

Seorang lelaki tergesa-gesa mendekati dari arah belakang kafe. Reaksi ceria dan mesra itu menggambarkan betapa lelaki itu seakan sudah lama mengenali Alex. Dua orang lelaki itu lantas berjabat tangan. Uzma menundukkan wajah sedikit sebaik menyedari lelaki yang mengenakan cermin mata itu memandangkan ke arahnya.

"Wah, ada teman. Siapa ni?"

"Isteri."

"Kau dah kahwin, Alex?? Tak bagi tau pun. Aira!! Aira! Mari sini!"

"Ye, bang?..." sahut satu suara dari arah belakang kafe.

Tanpa menunggu lama, muncul seorang wanita yang cantik parasnya dengan senyuman manis menyertai. Seperti lelaki berkaca mata itu, reaksi wanita itu setara. Mesra.

"Alex dah kahwin. Tak jemput kita pun." tutur lelaki itu lagi tanpa mempedulikan perasaan tetamunya yang mula berasa segan.

Wanita yang memakai apron itu tidak lepas memandang ke arah Uzma dengan senyuman yang tak putus meniti di bibir.

"Eh, kenapa berdiri aje? Abang ni, sampai hati biarkan tetamu berdiri. Mari mari... Kita duduk dulu." ujar wanita itu lantas mempersilakan tetamunya untuk duduk di hujung sebuah meja panjang sebelum beredar.

Kedudukan yang diambil agak kebelakang. Berdekatan dengan lorong keluar dan masuk ke bahagian dapur kafe.

"Nasi lemak?" soal lelaki berkaca mata itu.

Alex menggeleng. Uzma menarik lega. Menu itu merupakan sarapan pagi mereka ketika di kampung tadi. Lelaki berkaca mata itu senyum kemudian beredar ke kaunter kuih. Dia kembali dengan sepiring kuih-muih yang pelbagai dan sepinggan pulut kuning dengan rendang daging. Tidak menunggu lama, wanita cantik itu pula muncul dengan menatang dulang minuman. Dihidangkan empat cawan kopi panas. Lalu, menuju ke arah kaunter untuk mengambil piring kecil dan sudu. Kemudian, dia turut duduk di sisi lelaki berkaca mata itu. Perlakuan mereka menunjukkan bahawa mereka adalah pasangan suami dan isteri.

"Bila kau kahwin?"

Uzma merasakan tangannya yang belum dilepaskan digenggam kemas.

"Minggu lepas."

"Oo... Pengantin barulah ni... Yang, kita nak bagi hadiah apa dekat pengantin baru kita ni?" usik lelaki berkaca mata itu sambil bertanyakan kepada isterinya.

Sang isteri tersenyum gembira.

"Haa... Special, bang." sahut si isteri.

Kedua-duanya tergelak kecil. Uzma tersenyum simpul. Malu bukan kepalang diusik meskipun mereka berdua itu baru pertama kali bertemu. Layanan mesra menenggelamkan sedikit perasaan janggal. Patutlah suaminya berkeras menuntunnya ke situ. Mahu memperkenalkan dirinya kepada teman rapat agaknya.

"Jemput makan. Siapa nama gadis bertuah ni?" tanya wanita yang diseru Aira itu ramah.

Uzma tersipu.

"Uzma." jawabnya malu-malu.

"Hah, kau pun makanlah, Alex. Sambil-sambil tu aku nak cerita tentang projek baru kitorang yang perlukan bantuan kau." tutur si kaca mata lalu disambut dengan anggukan daripada isterinya.

"Sebenarnya, kitorang nak renovate kafe ni dan kitorang dah sepakat nak gunakan tema kayu. Baru nampak klasik dan kena dengan menu yang kami sediakan." cerita sang isteri sambil si suami terangguk-angguk.

Uzma melihat Alex cuma mendiamkan diri. Mendengar dengan fokus lalu minuman yang berada di hadapannya disisip sedikit.

"Okay. Tapi aksesori sahaja. Perabot masih belum dibuka." ucap Alex lalu menyandarkan tubuh ke kerusi.

"Ah, aku fikir nak pujuk kau untuk projek reno ni tapi awal-awal lagi kau dah bagi notis. Alex, kau tak percayakan aku ke? Kita dah kenal lama. Tak mungkin aku tipu kau." kata kenalan Alex itu separuh merayu.

"Yelah... Tolonglah, Alex. Kalau kau tak percayakan kitorang apa kata kitorang bagi deposit sixty percent." pujuk si isteri pula.

Alex diam. Mungkin sedang kebuntuan atau sedang memikir. Pandangan Uzma bertemu dengan pandangan wanita di hadapannya. Pasangan itu kelihatan terdesak untuk mendapatkan khidmat suaminya dalam projek pengubahsuaian itu. Kasihan pula dia melihat raut wajah yang mendung itu. Meskipun baru pertama kali berjumpa, sikap mesra dan layanan yang baik itu menunjukkan bahawa kedua pasangan itu telah lama mengenali suaminya. Dia tidak tahu apa masalah atau isu yang dihadapi oleh Alex sebelum ini namun, tak kan dengan teman lama nak berkira!

Uzma melarikan tangan dari bawah meja. Dicapai cawan minuman dan menyisip sedikit kopi susu di hadapannya. Wah, enaknya minuman itu. Tidak terlalu manis tetapi cukup berlemak. Sedap pada tunas rasanya. Melihatkan pulut kuning yang terhidang membuatkan hatinya sedikit tercantas. Semalam, pulut kuning yang disediakannya langsung tidak sentuh oleh lelaki itu. Hari ini, dia ingin menduga. Sengaja dicapai piring kecil yang kosong lalu sesenduk pulut itu dikaup berserta rendang daging. Ditolak ke depan suaminya dan dipelawa Alex makan. Tanpa bertangguh dilihat lelaki itu mencapai garpu. Perasaannya serta merta terhiris.

Sesi negosiasi, masih berlangsung ketika dia mencapai seketul lepat pisang. Tidak terkata enaknya kuih tradisional yang dibubuh sedikit kelapa parut di dalamnya itu.

"Okay, macam nilah. Untuk aksesori, aku akan email pada kau. Aku perlukan banyak aksesori seperti hiasan, dulang, cutting board dan macam-macam lagilah."

"Attach gambar produk dalam email tu." sampuk Alex dengan suaranya yang datar itu.

Uzma mengeluh. Perlahan sekali. Sikap suaminya betul-betul kurang mesra! Namun, seakan tidak menjadi keganjilan buat pasangan itu. Malahan mereka berdua kelihatan seperti sudah terbiasa dengan lagak serius suaminya itu.

"Erm, tumpang tanya... Tandas di mana?" celahnya secara tiba-tiba.

Tiga pasang mata tertumpu kepadanya. Dia, tersipu sebentar.

"Mari, akak tunjukkan." kata wanita itu lantas berdiri.

Uzma ikut bangun mengekori pergerakan wanita itu menuju ke belakang kafe. Usai melaksanakan hajatnya, dia keluar. Melewati satu lorong di tengah-tengah dapur yang lengang. Barangkali, mereka sudah mahu menutup kedai.

"Uzma..." seru wanita anggun itu dari dalam dapur. Langkah yang diambil terbantut. Dia menoleh dengan satu senyuman terukir. Wanita cantik itu mendekati.

"Nama akak, Aira. Panggil Kak Aira aje."

Uzma masih senyum.

"Tak sangka betul Alex dah kahwin. Sebenarnya, kami dah lama kenal dengan Alex. Sejak duduk di Kelantan lagi. Waktu pertama kali jumpa memang akak takut tengok dia. Muka masam aje. Lepas tu, suka buat hal sendiri. Sampaikan akak pernah bergurau pada abang Fizal yang Alex tu forever alone lah nampaknya. Tapi, tup tup datang bertemu kitorang bawak isteri. Saje lah tu nak tayang dekat akak agaknya." cerita Aira sambil tergelak kecil.

Uzma senyum. Segan pun ada apabila mendengar kisah suaminya sendiri.

"Uzma, umur berapa?"

"Lapan belas."

"Lapan belas??" sahut Aira dengan wajah yang terkejut.

Namun cepat-cepat ditutup dengan senyuman meski jelas ianya kelat.

"Baru habis SPM?"

Uzma mengangguk kecil.

"Isy, isy... Habis tu Uzma kahwin ni ada niat nak sambung belajar ke tak?" soal Aira mengambil berat.

Diangguk lagi.

"Abang tak kisah. Abang ikut aje apa yang Ju nak buat." balasnya. Lengannya terasa dielus seketika.

"Eloklah tu. Rugi kalau tak sambung belajar lebih-lebih lagi bila keputusan yang diperoleh tu bagus. Tapi, kalau dah tak minat nak buat macam mana. Mungkin rezeki belajar tinggi-tinggi tiada. Tapi, tetap boleh majukan diri dengan belajar kemahiran atau sebagainya." ujar Aira berupa nasihat.

Uzma angguk lalu tersenyum sedikit.

"Akak doakan rumah tangga Uzma dan Alex diberkati. Alex tu baik orangnya. Jujur dan berkerja keras. Uzma beruntung dapat suami macam dia." kata Aira lagi lantas mempelawanya kembali menyertai dua orang lelaki yang belum habis berbincang itu.

Ketika pandangannya dan Alex bertukar, satu senyuman dilirik kepada lelaki itu. Pandangan mereka terhadap kehidupannya dan Alex sekata. Apa yang mereka lihat, hanyalah pada luaran sahaja. Tetapi, dia tidak berminat untuk menjelaskan kepada mereka semua termasuk Atuk sendiri apakah yang sedang dirasai dan dihadapi selama mereka berdua berkahwin. Cukuplah hal ehwal rumahtangga mereka berdua menjadi rahsia yang kekal dalam lipatan minda mereka sahaja.

Hampir satu jam duduk berbual dan berbincang, mereka kembali ke kereta yang diparkir dengan ditemani oleh pasangan suami dan isteri itu. Sebuah kotak yang mengandungi produk kayu yang ditempah sebagai hadiah perkahwinan untuk kenalan rapat bertukar tangan. Begitu juga salam dan pelukan.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.