Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
33,685
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 4

Dalam keadaan masih mamai, dia bangkit lalu mengusap wajah dengan kedua belah tangan. Jiwa, sedari kecil telah lama dilatih spontan membacakan doa ketika bangun tidur. Dalam kesamaran, botol air yang sentiasa diisi penuh yang diletakkan di meja solek dicapai sebelum dia meneguk beberapa kali air kosong yang sudah dingin itu. Tekak yang terasa kering mulai lega. Uzma meraba pula mencari telefon yang terperosok di bawah bantal tidur pada malam tadi. Ditekan satu butang lalu terpapar waktu sebenar ketika itu. Sudah jam enam setengah pagi.

Atuk!

Dia berteleku sebentar mengenangkan kejadian yang berlaku pada malam tadi. Sudahlah berlaku salah faham, sehingga ke saat ini dia belum berkesempatan untuk menjelaskan duduk perkara itu memandangkan Atuk langsung tidak ditemuinya. Malam tadi sehingga dinihari dia menanti. Akhirnya dia menyerah apabila kelibat orang tua itu tidak juga muncul. Dan dia yakin Atuk tentu berada di surau ketika ini. Sedang menadah kitab Paku Iman yang disyarah oleh Imam Kamal. Uzma bangkit dari pembaringan lantas menarik sehelai tuala di rak sidaian. Dia harus cepat kerana waktu Subuh sudah hampir ke penghujung.

Satu demi satu tingkap kayu di buka bagi memberi laluan kepada udara pagi menyerbu ke setiap inci ruang di dalam rumah itu. Haruman dedaun disimbahi embun pagi terasa nyaman melewati rongga hidungnya. Sahutan kokokan ayam jantan yang belum puas berpesta menyambut kedatangan pagi riuh kedengaran. Dia melangkah ke dapur. Mengisi air ke dalam cerek lalu dihidupkan dapur gas dengan api sederhana. Sementara menunggu air dijerang, sebatang penyapu di balik pintu dapur dicapai. Tiga buah bilik yang terdapat di dalam rumah itu dikemas dan disapu walaupun kamar itu senantiasa dipastikan dalam keadaan kemas. Siap lalu ruang tamu pula dibersihkan. Tidaklah berhabuk mana tetapi kalau sudah menjadi rutin harian begitulah tabiatnya. Tidak lengkap permulaan harinya andai tidak dikemas rumah terlebih dahulu. Selesai di bahagian hadapan dia kembali ke dapur. Juga dikemas dan disapu.

Melihatkan air yang dijerang sudah mendidih, sebiji teko dikeluarkan dari kabinet dapur yang sudah uzur lalu dibancuh pula kopi pekat kegemaran Atuk. Sementelah terbiasa menyediakan minuman kopi untuk orang tua itu, dia sendiri menjadikan minuman itu sebagai minuman kegemarannya. Saban pagi dia tidak menyediakan sebarang sarapan memandangkan dia tahu sebentar lagi apabila Atuk pulang, pasti dua bungkus nasi lemak Mak Midah dibawa bersama.

Kerja mengemas belum berakhir. Sambil menantikan kepulangan Atuk, dia menyambung berkemas di serambi pula. Alas meja yang dirasakan sudah lama digunakan diganti dengan alas yang baharu berwarna oren lembut bercorak bunga-bungaan. Lambakan surat khabar lama yang disusun di satu sudut ditarik sekeping untuk dijadikan alas menadah habuk-habuk sampah yang bakal disapu sebentar lagi. Usai aktivitinya di situ dia kembali ke dapur lalu ke anjung kembali dengan dulang air ditatang bersama.

Di saat punggung dilabuhkan di salah satu kerusi yang ada di meja makan itu, bunyi Honda EX5 kepunyaan Atuk kedengaran. Motosikal berwarna hitam yang dibeli daripada Pak Tam dengan harga seribu ringgit itu masih elok keadaannya meskipun sudah berusia hampir dua puluh tahun. Dibayar menggunakan kaedah ansuran. Cukup sepuluh bulan, motosikal itu menjadi milikan Atuk.

Dalam penantian penuh debaran, Uzma menuang secawan kopi buat Atuk. Matanya tidak lepas memerhatikan keadaan orang tua itu. Berbaju Melayu dan berkain pelikat. Juga kopiah putih di kepala. Topi keledar jarang-jarang sekali dipakai oleh Atuk ketika menunggang motosikal di dalam kampung walaupun sudah puas diingatkan. Namun, jika destinasinya agak jauh barulah topi keledar itu dikenakan.

Ketika Atuk memarkirkan motosikalnya di bawah pohon pulasan yang ditanam sebaris dengan pohon rambutan itu, lirikan Atuk melayang sebentar ke arahnya sebelum tongkat motosikal dijatuhkan. Kecut perutnya melihat reaksi Atuk yang semacam itu. Sudah. Malam tadi, walau dia berasa takut dan bimbang dengan tanggapan Atuk terhadapnya, namun perasaannya masih lagi berjaya dikawal. Pagi ini lain pula jadinya. Mengapa kebimbangan itu makin menjadi-jadi?

"Atuk, minum.." pelawanya sambil memaniskan wajah sewaktu Atuk melangkah masuk.

"Erm..." sahut Atuk ringkas.

Bungkusan nasi lemak di dalam plastik berwarna oren diletakkan oleh Atuk ke atas meja. Dia bergegas ke dapur mengambil pinggan dan sudu. Sebungkus nasi lemak yang dibalut daun pisang dikeluarkan lalu dihidangkan kepada Atuk yang sedang menghirup kopi.

"Makan, Atuk." katanya lagi.

Atuk tidak menjawab. Hanya menarik pinggan yang ditolak mendekatinya. Baik Atuk mahupun dirinya, kedua-duanya membisu sahaja sepanjang menikmati hidangan pagi mereka itu.

"Atuk-.."

"Ju-.."

Serentak mereka bersuara ketika selesai menjamah makanan tersebut. Dia membalas pandangan Atuk sambil mengunci mulut sebagai tanda memberi laluan terlebih dahulu kepada orang tua itu untuk berkata-kata.

"Hujung bulan Ju nikah."

Dummm!!!

Tubuhnya sedikit bergetar. Bunyi tayar lori meletup kedengaran sayup. Namun, bukan bunyi itu yang menghantar isyarat kejutan ke seluruh tubuhnya. Ucapan Atuklah yang memeranjatkan dirinya. Kedua belah tangan di ribaan menggenggam erat hujung baju tshirt berlengan pendek yang dipakai. Wajah ditundukkan seketika sebelum diangkat.

"D-dengan siapa?" soalnya sedikit gugup.

"Ahmad."

"A-Ahmad mana?"

"Laa... Budak lelaki malam tadi tulah."

Hampir-hampir goyah kerusi yang diduduki mengenangkan betapa kebimbangan yang menggila sebentar tadi berasas.

"Ta... Tapi, Atuk.. Ju.., lelaki tu ada tatu!!"

Tiba-tiba dia teringatkan akan bayangan tubuh lelaki bernama Ahmad pada malam tadi. Walaupun dia melihat tubuh tidak berbaju itu dengan samar kerana malu, tompokan berwarna hitam itu jelas pada pandangannya.

Uzma tahu Atuk juga dapat melihat keadaan lelaki itu lebih dari apa yang dia dapat lihat. Dipandang Atuk dengan kedua biji mata dibulatkan. Air mukanya tampak bersemangat demi menyampaikan alasannya yang kukuh supaya orang tua itu sedar telah berlaku kesilapan dalam keputusan yang dibuatnya itu.

"Habis tu, kenapa? Orang bertatu tak boleh kahwin?" jawab Atuk pula.

Uzma menelan air liur. Layu sudah jiwa keperwiraannya sebentar tadi.

"Erm, boleh ke, Atuk?"

Seperti orang bodoh dia bertanya. Memang dia tak tahu pun. Sebab itulah dia bertanya.

"Mestilah boleh. Solat pun boleh. Kalau tatu tu kerana kesilapan lalu dan dia bertaubat, tak jadi masalah untuk dia buat ibadah macam orang lain. Kalau boleh buang, buang. Kalau memudaratkan, tak perlu. Agama kita ni mudah. Tapi jangan dimudahkan." ucap Atuk panjang lebar.

Itu dia. Barulah dia mengerti tentang perkara itu. Seperti burung belatuk, dia terangguk-angguk mengiyakan kata-kata orang tua itu.

"Tapi Atuk... Ju tak buat apa-apa pun malam tadi. Sum-.."

"Sudah! Atuk dah setuju dengan Ahmad. Dah maklumkan pada Imam dan orang surau. Cukup bulan Ju dan Ahmad nikah." ucap Atuk lantas bangun tanpa sempat dia membantah lagi.

Dia tercengang-cengang. Cukup bulan? Bukankah cukup bulan tu dua minggu lagi? Eh, nanti dulu. Dia mencongak sambil jari-jemari membuat kira-kira. Biji mata dibulatkan. Sepuluh hari lagi? Duduknya tidak lagi tenang. Terhuyung-hayang tubuhnya bergerak ke depan dan ke belakang seakan meratib. Jemari bermain sesama sendiri. Haru! Haru jikalau begini jadinya.

Terkebil-kebil, dia memerhatikan Atuk mencuci tangan di sinki sebelum menghilang ke bilik tidurnya. Dia tak percaya Atuk tidak mempercayainya. Tak kan Atuk tak kenal akan sikap cucunya ini? Tak kan Atuk bulat-bulat sahaja menerima kritikan dan teguran dari Lebai Sidek malam tadi? Belum pernah terjadi dalam sejarah dia terjebak dalam perkara sebegitu. Bukankah Atuk boleh berasa sangsi dengan kejadian yang menimpa dirinya malam tadi. Adakah Atuk lebih percayakan orang luar dari darah dagingnya sendiri?

Berpuing-puing hatinya berkecai sedikit demi sedikit. Kerana sedar kesilapan sendirilah baru terbit seribu penyesalan. Meski sudah punah-ranah rancangan yang dirancang, otaknya tetap ligat memikir. Memang silapnya. Tetapi tidak pula dia terfikir begini besar pula impak itu berlanjutan. Apa yang diharapkan olehnya hanyalah tempohnya berdua-duaan dengan Isyraf dibengkel kayu itu dilihat oleh Atuk. Itu sahaja. SUMPAH!

Muna!

Ya. Malam tadi puas dia mendail nombor temannya itu. Tetapi tidak pula berjawab. Dengan tergesa-gesa Uzma kembali ke bilik tidurnya. Telefon di atas katil segera dibelek. Manalah tau kalau-kalau dia terlepas melihat mesej atau pesanan yang dihantar oleh temannya itu. Berkerut-kerut keningnya meneliti setiap mesej dari Muna yang disimpan di dalam telefonnya itu. Kesemuanya bertarikh kelmarin. Langsung tiada yang baharu. Tanpa membuang masa dia mendail lagi nombor telefon temannya itu. Tidak diangkat. Cubaan demi cubaan dilakukan hinggalah ketika cubaannya mendail dijawab oleh operator, barulah dia mengalah.

Muna, mana pulak kau pergi ni, seru hati kecilnya.

Sambil memegang kemas telefon di tangan, dia memerah otaknya mencari jalan penyelesaian yang lain pula.

"Ju, ambik kad ni."

Hampir tercampak telefon di genggaman tatkala Atuk tiba-tiba muncul di muka pintu. Kali ini Atuk sudah menyalin pakaian. Sehelai seluar khaki yang lusuh dan baju kemeja berlengan panjang. Juga sudah luntur warnanya. Tentu Atuk mahu ke kandang lembu sebentar lagi untuk memberi makan lembu yang dibelanya itu. Dalam keadaan penuh tanda tanya dia menyambut huluran Atuk. Sekeping kad kecil itu di baca.

"Apa ni, Atuk?" tanya Uzma tidak mengerti.

"Imam Kamal yang bagi. Esok pagi Atuk hantar Ju ke situ." ujar Atuk sambil merenung ke wajahnya.

"Yelah. Tapi, nak buat apa?" soalnya masih belum memahami tujuan Atuk memberikannya kad tersebut.

Pada kad itu terdapat nama seorang lelaki, nombor telefon dan alamat.

"Esok Atuk bagitahu. Satu minggu ni jangan pergi ke mana-mana. Kalau boleh duduk aje dekat rumah." Atuk mengarah lagi seraya berlalu.

Dia termangu sendirian. Kad yang penuh misteri itu dibiarkan sahaja di atas meja solek. Dia kembali berteleku di birai katil. Tetapi sebentar sahaja selepas mendengar bunyi kelentang-kelentung Atuk mencuci di sinki. Dia bingkas bangun. Segera teringatkan cawan dan pinggan kotor yang ditinggalkan di meja makan sebentar tadi.

Walaupun mempunyai banyak kesempatan untuk menjelaskan perkara sebenar kepada Atuk, dia mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja ketika ini. Dia perlu bijak memancing mood orang tua itu sebelum membuka mulut. Melihat gelagat Atuk yang kasar sebegitu dia tahu Atuk masih berbekas marah. Oleh itu lebih baik dibiarkan sahaja orang tua itu memujuk dirinya sendiri. Paling lama marahnya lebih kurang tiga hari. Dia yakin, seandainya dia dapat membawa Muna bertemu dengan Atuk dan menjelaskan setiap inci pelan rancangan mereka pasti Atuk akan menarik balik keputusan yang dibuatnya itu. Pasti!

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.