“Kalau mak nak makan sangat, ha, ambil ni,
makan! Makan!” Zila yang muncul menghambur kata-kata yang menyakitkan.
“Opah kalau nak makan memang tak ingat orang
lain.” Rizal, anak Zila pula menyampuk.
Butir-butir nasi di tangan Azizah tidak
sempat disuap ke mulut. Terasa bagaikan butiran pasir yang akan melukai
kerongkongnya. Seleranya hilang lenyap biar pun perutnya masih berkeroncong.
Air mata yang hampir menitis ditahankannya. Azizah menolak semula pinggan ke
tengah meja. Perlahan-lahan tangan yang kotor segera dibasuh.
Dengan tangan ketar, Azizah mencapai
sebatang tongkat di tepi dinding. Tubuhnya yang separuh maya melangkah meninggalkan
meja makan. Langkahnya begitu perlahan tanpa ada sesiapa yang sudi membantu.
Azizah menuju ke dalam bilik lalu menguncinya dari dalam.
“Opah dah merajuklah tu.” Ajuk Rizal,
sayangnya Azizah tidak lagi men dengar.
“Dah tua-tua pun nak merajuk, biarkan!” Zila
sedikit pun tidak mengendahkan, sedangkan Zaidi, suami Zila hanya berdiam diri.
Di dalam
bilik, Azizah memasang radio transistor yang setia menjadi teman nya. Lagu
‘Azizah’ dendangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menjadi halwa telinga. Biarpun
lagu itu sedang berkumandang, fikirannya begitu jauh melayang. Azizah
mengenang untung nasib dikandung badan. Biar pun anak berbelas, hidup tidak
ubah sebatang kara. Kedatangannya ke rumah anak sendiri jarang sekali dihargai.
Air mata
yang sudah lama tertahan, akhirnya jatuh berlinang. Serasa hari-hari tuanya
begitu jauh terbuang. Direbahkan tubuhnya yang kian lesu di atas katil. Azizah memicit-micit kepala yang terasa pusing. Mata yang mula berpinar cuba
di pejamkan. Mata baru saja hendak terlena, terdengar ketukan pintu
bertalu-talu.
Dengan kudrat yang tinggal sisa, Azizah menggagahi diri untuk
bangun. Terasa sukar untuk mengambil tongkat yang terjatuh ke lantai. Setelah tongkat
berada di tangan, mahu berdiri terlalu payah. Mendengar ketukan yang bertalu, digagah juga
tenaga yang ada. Langkah Azizah satu-satu. Untuk menuju ke pintu yang jauh
sedepa, rasanya sudah terlalu lelah.
“Mak duduk
je kat rumah, kami nak tengok wayang.” Melihat Zila sudah siap berpakaian,
kepingin Azizah ikut berjalan.
“Mak tinggal sorang?” Azizah masih
mengharap dirinya dibawa sama.
“Mak tu
susah nak jalan. Duduk rumah je lah.” Arah Zila sambil berlalu.
“Pukul berapa balik?” Azizah bertanya
dengan payah.
“Tak tau
lagi! Dahlah kami nak pergi!” Hanya suara Zila yang kedengaran dari arah pintu
hadapan.
Azizah memerhati sekeliling rumah,
begitu sepi sekali. Sesepi hatinya melewati hari-hari tua. Ingin dimuntah
segala rasa yang mengasak dada tapi pada siapa? Ingin mengadu pada Sepol, anak
lelakinya jauh di kampung. Mahu meluah pada Kamal dan Noriza, anak menantunya
tidak tahu kedatangannya ke Kuala Lumpur. Hanya mereka lah yang faham hati dan
perasaan.
Sebentar kemudian Azizah mengusap
perutnya yang semakin pedih mendidih. Untuk ke meja makan langkahnya perlu
diatur sekali lagi. Mujur tongkat yang ada dapat mengimbangi tubuhnya. Kerusi
ditarik dengan hati-hati. Azizah duduk untuk menikmati hidangan tengahari
yang sudah terlewat ke petang. Tangan ketarnya membuka tudung saji di atas
meja.
Tidak
banyak yang tinggal. Hanya ikan goreng, gulai dan sayur sedikit bersisa. Azizah
menjeling sepinggan nasi yang ditinggalkan. Cukuplah sesuap dua untuk mengalas
perutnya. Nasi yang dimamah terlalu sukar untuk ditelan. Kata-kata dingin Zila
sering terngiang-ngiang di pendengaran. Azizah tidak menyangka akan
diperlakukan sebegitu. Kunjungannya dari kampung seperti tidak diperlukan.
Azizah
mengamati kulit kendur yang membaluti tubuhnya. Kulit yang mulus satu ketika
dulu sudah sudah berubah. Rambut hitamnya berganti putih. Tubuh yang kuat semakin lemah. Umur muda beranjak tua dan tidak
berdaya.
‘Sampai
hati Zila buat mak macam ni!’ Azizah bangun dari kerusi selepas selesai
menjamah nasi.
Ketika
bangun Azizah tidak dapat mengimbang tubuhnya yang terlalu goyah. Tidak sempat
bertahan pada sebatang tongkat, Azizah terlentang di atas lantai. Wajahnya
berkerut menahan sakit yang teramat. Erangan memenuhi ruang rumah yang sepi.
Kepala Azizah terasa berdenyut bukan kepalang.
Nafas Azizah
turun naik ketika dicubanya untuk bangun. Usahanya hanya sia –sia. Alangkah baiknya
kalau Sepol datang membantu. Betapa gembiranya andai Kamal dan Noriza
menghulurkan tangan membantunya untuk berdiri. Sayangnya mereka tiada, Azizah
perlu berusaha sendiri untuk bergerak meninggalkan ruang makan.
Perlahan-lahan
Azizah mengesot. Setelah letih dia berhenti sebentar. Penyakit darah tinggi dan
kencing manisnya lebih membataskan setiap pergerakan. Akhirnya ruang makan
berjaya ditinggalkan. Azizah telah sampai di hadapan pintu bilik. Sedikit
tenaga lagi perlu dikerah untuknya sampai ke katil. Dia perlu berbaring, mahu berehat
sepuasnya. Biar hatinya tenang, biar dadanya lapang.
Azizah
tidak peduli pukul berapa Zila mahu pulang. Bila difikir-fikirkan lebih baik
Zila pergi. Biar Azizah sendirian. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu mendengar
kata-kata Zila yang kasar atau perlakuan Rizal yang kurang ajar. Zaidi sebagai
menantu tidak pernah ambil tahu tangisan hati Azizah.
Duduk di
atas katil memberi Azizah sedikit kelegaan. Dicapainya minyak urut di meja
solek lalu Azizah mengurut kaki yang sakit. Selepas itu dibaringkan tubuh
tuanya. Fikiran Azizah jauh melayang, berlegar-legar. Semakin jauh dan terus
menjauh.
“Azizah! Apa yang tercegat lagi tu.
Cepat masukkan pelita dalam tong.” Razak, abang sulung menjerit menyedarkan
Azizah.
Azizah
yang berusia enam tahun sedang asyik melihat kapal terbang Jepun yang berlegar-legar
di ruang angkasa. Dia tidak faham mengapa banyak kapal terbang berlegar pada
waktu malam. Gulungan-gulungan kertas dilontar dari ruang udara. Bertebaran di
serata kampung. Azizah berasa seronok mengutip risalah-risalah yang
berterbangan lalu jatuh ke tanah itu.
“Kamu nak kena tembak ke?” jerit Razak
lagi.
“Tak boleh
harap langsung! Cepat masuk dalam rumah!” Suara Razak tenggelam timbul di
antara kebingitan bunyi kapal terbang Jepun.
Bosan
mendengar jeritan Razak, Azizah cepat-cepat masuk ke dalam rumah. Angin yang
berhembus pada malam itu terlalu dingin. Rumah kecil beratap rumbia dan
berdinding sebelah tidak dapat menyembunyikan penghuninya dari hembusan angin
malam. Azizah berpeluk tubuh untuk menghangatkan tubuh kecilnya.
Dia menghampiri Mak Aseh yang sedang meriba
adik bongsunya, Zainal. Keadaan ibunya kelihatan tidak terurus. Sudah lama Mak
Aseh tidak berdandan rapi. Tumpuannya hanyalah untuk menjaga Pak Resad yang
terlantar sakit. Lantaran bimbang ditangkap oleh tentera Jepun, sukarlah untuk
membawa Pak Resad ke rumah sakit. Sementelahan rumah sakit terlalu jauh,
mustahil untuk pergi dengan berjalan kaki.
“Mak,
kenapa mesti sorokkan semua pelita?” soal Azizah yang tidak menyenangi suasana
gelap.
“Kalau
Jepun nampak susah. Kalau kamu tak mau kena tangkap Jepun, duduk diam-diam.
Baring sini!” Mak Aseh memberi sebiji bantal usang kepada Azizah.
“Aseh!
Esok pagi, abang teringin makan lepat pisang. Aseh bancuh air kopi sekali
“Baiklah
bang, nanti Aseh buatkan.” Janji Mak Aseh sambil mengurut badan Pak Resad yang
sakit di sana-sini.
Malam itu
Azizah sekeluarga tidur seadanya. Semenjak Pak Resad jatuh sakit, Mak Aseh
tidak dapat tidur lena. Sekejap-sekejap dia terjaga. Tidur yang hanya beralaskan
tikar mengkuang menjadikan tubuh yang sakit bertambah sakit. Mendengar batuk
Pak Resad yang tidak henti-henti, menghilangkan rasa mengantuk Mak Aseh. Dipandangnya
sebentar wajah itu. Rupa-rupanya Pak Resad sudah lama berjaga.
“Aseh ke
dapur ya, bang.” Mak Aseh mahu menunaikan keinginan Pak Resad malam tadi.
“Ambilkan
rokok abang. Dah lama abang tak hisap.” Pinta Pak Resad di celah batuknya. Menghisap
rokok daun adalah satu kepuasan.
“Nanti
tambah teruk batuk awak.” Mak Aseh cuba melarang.
“Dapat
hisap sikit pun jadilah.” Pak Resad begitu mengharap membuatkan Mak Aseh tidak
sampai hati.
Seawal
pagi, Mak Aseh telah menyiapkan sarapan. Lepat pisang dan kopi panas yang
dipinta oleh Pak Resad. Pak Resad pasti gembira kerana permintaannya dituruti
tanpa banyak soal. Mak Aseh meletakkan lepat pisang dan air kopi ke atas
dulang. Dia mesti segera menghidangkannya untuk suaminya. Pasti menyelerakan
bila dimakan panas-panas.
“Makan
bang!” Kata Mak Aseh sambil menuang secawan kopi untuk Pak Resad.
“Makanlah
bang. Malam tadi beria-ria sangat.” Mak Aseh mengulangi kata-kata nya apabila
tiada tindak balas dari Pak Resad.
Mak Aseh
berpaling memandang Pak Resad yang bersandar pada tiang seri. Mata Pak Resad
terpejam sedangkan rokok di celah jari masih berasap. Mak Aseh menggeleng-gelengkan
kepala lalu tersenyum. Dihampiri suaminya dengan niat mahu mengejutkan
tidurnya.
‘Tertidur
lagi rupanya!’ Getus Mak Aseh.
“Bang! Bangun bang!” Mak Aseh mengejutkan Pak
Resad.
Pangilan
berkali-kali Mak Aseh tidak diendahkan. Mata Pak Resad tetap terpejam rapat.
Mak Aseh menggoyang-goyangkan tubuh Pak Resad yang tidak bergerak-gerak. Mak
Aseh menjadi panik melihat tubuh Pak Resad yang kaku. Mak Aseh menyentuh kulit Pak Resad. Begitu dingin sekali.
Hatinya berdebar-debar tidak menentu Dipanggil dan digoyang tubuh Pak Resad
lagi namun masih tiada jawapan.
“Abang!
Jangan tinggalkan Aseh bang! Bangun bang, bangun!” Mak Aseh meletakkan wajahnya
di paha Pak Resad.
“Razak!
Bangun nak! Ayah dah tak ada, ayah dah tinggalkan kita!” Mak Aseh tenggelam
punca.
“Razak! Shaharudin! Azizah! Bangun! Bangun!”
Mak Aseh tidak keruan.
“Kenapa
mak?” Razak menggosok-gosok matanya.
“Ayah dah
tak ada! Cepat kejutkan adik-adik kamu.” Arah Mak Aseh yang tidak dapat menahan
perasaan lagi.
“Ayah!
Kalau ayah tak ada, siapa nak jaga Razak dan adik-adik? Ayah!” Razak mendakap
erat tubuh kaku Pak Resad.
“Ayah!”
Azizah mencium wajah Pak Resad yang sudah tidak bernyawa.
“Shaharudin, mari kita pergi cari pak long! Azizah! Jaga adik!” Razak
menarik tangan Shaharudin dengan tergesa-gesa.
Mak Aseh
tidak berganjak dari Pak Resad. Pandangannya kosong, Mak Aseh ter mangu-mangu.
Rengekan Zainal yang hauskan susu tidak disedarinya. Azizah meng angkat Zainal
dari buaian. Tangisan Zainal semakin lama bertambah kuat. Azizah tidak dapat
memujuknya agar diam. Dia menyerahkan Zainal kepada Mak Aseh.
“Mak! Adik haus susu.” Azizah mengingatkan
Mak Aseh.
“Emm, emm,
emm, emm.” Mak Aseh mendodoi dan menyusukan Zainal dengan air mata bercucuran.
Hatinya
kosong. Pandangannya kosong. Yang kelihatan hanya gelap kelam. Mak Aseh telah
kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata. Ketika dia masih diperlukan
untuk meneruskan kelangsungan hidupnya bersama anak-anak yang masih kecil.