Home Novel Keluarga Oh, Nonaku Azizah.
Oh, Nonaku Azizah.
Raihan Zaffya
29/8/2013 22:41:58
12,041
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Sinopsis




LALUAN hidup Azizah seperti kerikil yang tajam. Di setiap langkah dipenuhi ranjau, onak dan duri. Air mata adalah teman yang paling setia. 1945 adalah tahun paling getir apabila Azizah kehilangan kedua orang tuanya. Dalam keperihan Azizah tumbuh mekar menjadi gadis pingitan. Gadis berkulit putih melepak itu mula menambat hati seorang guru bernama Rashid seawal usianya 12 tahun. Cinta tidak berbalas membuat Rashid sakit hati lalu jalan kotor menjadi pilihan supaya Azizah gila bayang. Azizah yang derita bergelut untuk meraih bahagia.

Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Bukan Rashid yang menjadi suami tetapi Jamal seorang lelaki budiman yang berjaya menyunting Azizah sebagai suri. Walaupun Jamal hanya seorang nelayan, Azizah merasai bahagia bersamanya. Langit tidak selalu cerah, mendung juga membayangi. Ketika Azizah sarat berbadan dua, Jamal meninggalkannya. Dijemput menemui Tuhan ke negeri abadi. Hati Azizah bagai kaca terhempas, hancur berderai. Di mana tempatnya mahu mengadu? Bagaimana nasib benih di dalam tubuhnya? Azizah separuh nanar.

Menumpang di rumah abang tua bagaikan hidup terpanggang bara. Dihina, dilayan bagai hamba. Bayi yang baru dilahirkan merasai tempias derita. Saban hari Azizah hujan air mata. Tidak tertahan bersama abang tua, Azizah mengadu nasib pada abang tengah. Takdir sudah tertulis, derita juga miliknya. Azizah dianggap madu oleh kakak ipar sendiri. Berdarah hati Azizah bagai diguris selumbar. Nyilu dan tergerit. Terasa tidak mahu lagi menatap dunia. Sayang, nafas dan nyawa masih ada. Belum tiba tarikh ajal menemui Tuhan.

Selepas lautan derita diharung dan direnangi, setitis bahagia menjengah untuk Azizah. Biarpun Azizah hanya bersuamikan seorang penarik beca, Ahmad telah meminjamkan bahagia. Kehidupan tidaklah sesenang mana. Kais pagi makan pagi, petang hari belum tentu ada makanan yang mengalas perut mereka. Caci nista jiran tetangga dimamah lumat dan ditelan dalam paksa. Mereka hina di mata manusia. Azizah tiada tempat walau ke mana dia pergi dan di mana dia berada.

Bagi Azizah, keluarga dan zuriat adalah segala-galanya. 10 orang anak cuba diberi bahagia mengikut sukatannya. Jangan sentuh mereka! Nescaya Azizah sanggup berbuat apa saja. Khidmat dan sayang Azizah hanya untuk mereka. Terkadang Azizah terlupa, anak itu satu ujian yang menjadi daki dunia. Melangkahi kehidupan yang masih suram, Azizah memendam rasa. Benarlah kata orang, si Tanggang tetap hidup walaupun di mana zamannya.

Hati seorang ibu sering dilukai. Ketika sihat, ibulah segala-galanya. Apabila Azizah semakin tidak berdaya, dirinya tidak ubah hanya sehelai kain buruk yang dicampak ke mana saja. Tika Azizah sendirian tanpa Ahmad di sisi, semangatnya melayang entah ke mana. Dunia menjadi kosong dan kelam. Suara hati tidak pernah didengari. Kemahuan tidak difahami. Azizah berkelana dalam 'dunianya' sendiri.

Keadaan membuat Azizah mudah membenci dan menyimpan dendam. Di benaknya sudah tersemat kemas, sesiapa yang mengganggu akal warasnya adalah duri-duri yang mesti dimusnahkan. Mesti! 

Pemusnah itu adalah benci. Benci disemai dan dipendam hingga ke tulang hitam. Jangan sentuh Azizah dan sakiti Azizah! Akan ada dendam yang dalam. Hidup perlu diteruskan dengan jiwa yang kian mengecil. Hati hanya dipenuhi prasangka dan berjaga-jaga. Azizah terus hidup walaupun bukan kehidupan yang dia mahukan.

Siapa yang harus dipersalahkan? Terlalu banyak tangan yang mahu melakar perjalanan hidup Azizah. Mereka tidak pernah peduli adakah Azizah menginginkan itu semua. Tanpa memberi ruang untuk Azizah mencorak setitis bahagia dengan acuannya. Sampai bila?
Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.