PAGI itu, Tengku Azri dikejutkan deringan alarm daripada jam digital SONY di sisi katil yang memang telah di ‘set’ waktunya untuk dia bangun Solat Subuh. Dekat rumah ini mana boleh main-main. Dari dalam perjalanan balik hari itu lagi Puan Adila sudah mengingatkan supaya menetapkan alarm untuk mengingat waktu solat.
Dipanjangkan tangan kanan dan meraba-raba mencari punat jam untuk menghentikan bunyi yang mengganggu sunyi subuh ketika itu. Dia berpaling ke kiri sambil memeluk bantal guling. Remote air-cond diraba dari bawah bantal dan dimatikan bila dia terasa begitu sejuk.
Tok! Tok! Tok!Terdengar pintu bilik diketuk.
“Ayie! Dah masuk subuh ni!” jerit Puan Adila.
“Ayie dah bangun, ma!” sahut Tengku Azri.
Dia menggeliat beberapa kali sebelum terus bangun menuju ke bilik air.
Selesai Solat Subuh, Tengku Azri bercadang kembali ke katil menyambung tidur. Nanti bila dah mula bekerja tak dapat peluang tidur sampai siang, bisik hati Tengku Azri. Namun bunyi titisan air di luar mencuri perhatiannya. Dia menyelak kain langsir tingkap biliknya yang menghadap kawasan sebelah belakang rumah.
Aik, hujan? Kalau tak hujan, boleh jugak ke taman untuk berjoging. Sejenak dia asyik di situ memerhati hujan yang turun renyai-renyai membasahi pokok kelapa gading di belakang rumah.
Pemandangannya tiba-tiba diganggu kemunculan lembaga manusia dari dalam cuaca sedikit gelap itu. Kelibat yang berpayung itu menuju ke arah rumpun pandan di tepi pagar lalu membongkokkan badannya. Tengku Azri tidak dapat melihat apa yang dilakukan kelibat itu kerana payung yang dipegang kelibat itu menutupi pandangannya. Kemudian kelibat yang berpayung itu bangun dan beredar dari situ.
Tengku Azri tahu itu bukan mamanya. Mana pernah Puan Adila hendak bersusah payah pada pagi buta begitu. Puan Adila sudah biasa ada pembantu. Dulu ada Mak Esah dan kini diganti pula dengan anak perempuannya. Untung mama. Dia selalu dibantu orang yang pandai membuat kerja-kerja rumah. Tengku Azri cukup pasti, itu kelibat anak dara Mak Esah. Kasihan dia, pagi-pagi begini dia sudah memulakan aktivitinya. Kalau si Lily tu dapat sambung belajar, dah tentu mama susah hati, fikir Tengku Azri.
Tengku Azri kembali ke katil. Dia memeluk bantal guling dan cuba memejam mata. Sekejap dia berpusing ke kiri dan sekejap pula ke kanan. Anak dara arwah Mak Esah sudah menjadi tajuk utama dalam mindanya pagi itu. Apatah lagi Puan Adila selalu menjadikan gadis itu sebagai tajuk perbualan.
Terasa tekaknya haus. Dia bangun lalu menapak ke pintu. Ruang tamu di bawah masih gelap. Dia menuruni anak tangga sambil mengerling jam di dinding. Baru 6.50 minit pagi. Patutlah kain langsir masih bertutup rapat dan Puan Adila masih belum turun.Dari ruang tamu kedengaran suara orang menyanyi perlahan mengikut lagu yang berkumandang dari radio Hitz.Fm. Tengku Azri tahu itu lagu Lady Gaga berjudul ‘Bad Romance’. Tengku Azri mendekati suara itu.
Amboi! Tak padan anak dara arwah Mak Esah ni. Menyanyi kat dapur? Tak takut ke dia nanti dapat laki tua? Tengku Azri menyandarkan badan di bingkai pintu sambil memerhati.
Lily Athira sedang menumis lada kisar untuk dijadikan sambal tumis. Bila bahan tadi bertemu dengan minyak panas, berdesir bunyinya. Serta-merta baunya menyengat hidung.Tengku Azri di muka pintu terbersin sekuat hati.
“Hachum!”
“Oh mak kau!”
Lily Athira yang sedang asyik dengan tugasnya pagi itu terkejut beruk dibuatnya. Terpelanting sudip yang dipegang di tangan. Dia menoleh ke belakang.
“Hisy, abang ni. Kus semangat!” ujar Lily Athira sambil mengurut dada.
“Masak apa tu? Pedih hidunglah.”
Tengku Azri sedikit mendengus marah, menutup malunya yang datang senyap-senyap ke dapur tetapi kantoi pula.
Lily Athira tidak menjawab. Dia membongkok untuk mengutip sudip yang terpelanting jatuh ke bawah meja dan membawanya ke singki untuk dibasuh. Tengku Azri juga masuk ke dapur.
“Breakfast belum siaplah. Tinggal buat sambal tumis ni aje.”
Lily Athira segera membuka peti ais mencari asam jawa.Tengku Azri memang tidak tahu di mana mahu mencari apa pun di rumah itu walau mahu membuat secawan air pun.
“Gelas mana?” tanya Tengku Azri bila dilihat Lily Athira sibuk dengan tugasnya.
“Dalam kabinet tengah yang ada cermin tu. Tapi kalau nak buat air panas, pakai mug. Guna gelas nanti pecah,” ujar Lily Athira mengingatkan, seakan-akan Tengku Azri tidak tahu apa-apa.
Tengku Azri masih tercegat di situ.
“Abang nak air apa?” soal Lily Athira sambil mengelap tangan setelah mengecilkan api dapur.
“Lily dah jerang air tapi belum dibancuh aje.”
Lily Athira menoleh memandang Tengku Azri sambil menunggu arahan.
“Bagi jus ajelah dulu.” Kesian pulak tengok orang tu tak cukup tangan.
“Okey.”
Lily Athira mencapai sebiji gelas dari rak pengering. Dia membuka peti ais dan mengambil sekotak jus mangga. Gelas dan sekotak jus tadi diletakkan di atas meja di depan tuan muda rumah itu yang tiba-tiba datang ke dapur macam buat ‘spot check’ pula.
“Orang perempuan yang belum kahwin, mana boleh menyanyi kat dapur?” tegur Tengku Azri setelah sekian lama memerhati gelagat gadis itu. Kalau dilihat daripada cara kerjanya di dapur, memang dia pandai memasak.
“Alah, kalau dah memang jodoh Lily dengan orang tua, nak buat macam mana?” jawab Lily Athira macam mak nenek.
Sibuk pulak dia. Ni pagi-pagi dah bangun, kenapa?
“Hai! Tak takut ke?” tanya Tengku Azri lagi sambil meneguk jus dari gelas.
“Kata orang, yang tua tu banyak pengalaman dan penyabar,” jawab Lily Athira sambil mengacau sambal tumis ikan bilis yang hampir siap dimasak.
“Tak semua macam tu,” ujar Tengku Azri kemudian bangun dan meletakkan gelas ke singki. Kotak jus tadi dikembalikan ke dalam peti ais.
“Dah boleh makan ke?” tanya Tengku Azri bila melihat Lily Athira mematikan suis dapur.
“Tak nak tunggu mama ke?”
“Abang dah lapar ni,” ujar Tengku Azri sambil meraba-raba perut bila Lily Athira membuka penutup periuk.
Semerbak bau daun pandan yang dimasukkan semasa menanak nasi tadi membuatkan selera makannya terus meronta.
Lily Athira terus mencapai pinggan. Disendukkan nasi lemak tadi ke pinggan. Dihulurkan ke depan Tengku Azri yang sudah menunggu di meja dapur.
“Nasi aje? Sambalnya?” tanya Tengku Azri tidak sabar.
“Nak campur sekali ke?”
“Yalah. Kat kedai kan macam tu?”
Pinggan tadi dicapai kembali. Sesudip sambil tumis dituang ke dalamnya. Sebiji telur mata kerbau, sedikit kacang tanah goreng dan diletakkan juga dengan beberapa keping hirisan timun.
Tengku Azri mencapai pinggan yang dihulur Lily Athira.
“Hmm... bestnya,” ujar Tengku Azri sambil mengangkat kedua-dua tangan membaca doa makan.
Bila Lily Athira berpaling untuk memberi sudu dan garpu, dilihat Tengku Azri sudah menyuap dengan menggunakan tangan sahaja.
Hmm... sedap. Memang dia pandai masak. Hati Tengku Azri mengiakan.
Lily Athira sedikit terkejut memandang. Lapar sangat ke dia ni?
“Abang nak air apa?”
“Bagi air suam dahlah,” jawab Tengku Azri yang tekun mengutip kacang tanah goreng.
“Ai! Anak bujang mama dah lapar sangat ke?” Suara Puan Adila mengejutkan empat biji mata di ruang dapur itu.
Mereka serentak mengangkat wajah. Lily Athira meletakkan mug berisi air suam di depan Tengku Azri.
Hisy mama ni, kacau daunlah. Karang tu mulalah merepek meraban, desis Tengku Azri.
Puan Adila menarik kerusi dan melabuhkan duduk. Tengku Azri masih tekun menyuap nasi lemak. Sebelah tangan sudah mencapai mug air suam.
“Awak nak ke mana, awal dah breakfast?” tanya Puan Adila lagi.
“Hujan-hujan ni laparlah, ma,” ujar Tengku Azri selesai meneguk air. “Nak berjoging pun tak boleh,” sambung Tengku Azri memberi alasan.
“Nasib baik ada Lily, kan? Dapat Ayie makan nasi lemak. Kalau nak tunggu mama, kena keluar pergi belilah,” ujar Puan Adila, mengerling Lily Athira di singki dan beralih ke Tengku Azri sambil memberi senyuman.
Ada makna tu! Tengku Azri faham, memang mamanya selalu berkias dengannya tentang Lily Athira. Tengku Azri juga perasan selama dia menjejakkan kaki tinggal bersama mamanya, makan pakainya memang tersedia. Tetapi kenapa anak dara arwah Mak Esah? Tengku Azri bangun menatang pinggan ke singki.
Lily Athira terpaksa memberi laluan kepada Tengku Azri untuk mencuci tangan. Kitchen roll yang tergantung di tepi singki ditarik. Tengku Azri mengelap tangan dan mulut. Dia kembali duduk di situ.
“Mama tak nak breakfast ke?”
“Kejap lagi. Mama nak tunggu Lily.”