Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
203,354
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 1
“HOI!” jerit Tengku Azri Iskandar, menyergah seorang budak perempuan yang sedang menggunting pokok orkid di bawah pondok orkid kepunyaan Puan Adila. 

Sangkanya, tentu budak yang datang entah dari mana hendak mencuri orkid Puan Adila pagi itu. Lagipun ketika dia keluar berjoging tadi, pintu kecil tepi pagar itu tidak dikunci. 

Budak perempuan yang terkejut itu segera melempar gunting ke tanah dan berlari masuk mengikut pintu dapur sambil menjerit memanggil Puan Adila. 

“Mama!” 

“Kenapa?” tanya Puan Adila.Budak perempuan itu tidak menjawab kerana ketakutan. Dia terus berlari masuk ke dapur. 

Tengku Azri ditinggalkan terkebil-kebil sendirian. Dia pelik kerana budak perempuan itu terus masuk ke dalam dapur rumah dan menjerit memanggil mama. Ada saudaranya yang datang tapi tidak diketahuinya ke? Hisy! Segan pula rasanya kerana tidak usul periksa menyergah gadis itu. Buatnya mama gadis itu keluar dengan sudip dan mengejarnya, bagaimana?

Tengku Azri buat-buat tidak tahu. Dia menyambung lagi senaman di laman rumah. Sambil-sambil itu dia mengerling juga kiri dan kanan, mana tahu ada orang yang datang tiba-tiba menghambatnya pula.
Siapakah budak atau gadis itu? Apakah hubungan gadis itu dengan keluarganya? Tengku Azri memang tidak tahu apa-apa tentang tali kekeluargaan kerana selama ini yang dia tahu mamanya anak tunggal dan mamanya juga mengaku dia anak yatim piatu. Kalau sebelah papanya memang dia kenal sangat kerana papanya, arwah Tengku Idham mempunyai empat orang adik-beradik, seorang sahaja perempuan. 

Hendak dikatakan anak Ayah Long Ikhsan, si Tengku Norliza tu ramah semacam dan bukannya gemar berbaju kurung dan bertudung. Tetapi gadis yang dilihat hanya dari belakang tadi itu nampak macam gadis dari kampung. Ada saudaranya yang datang dari kampung ke? 

Selepas membuat senaman menyejukkan badan, Tengku Azri menapak perlahan masuk ke dalam rumah dari pintu hadapan. Di dalam hati memanjat doa agar tidak disergah sebagaimana dia menyergah gadis bertudung tadi. 

SIAPA budak perempuan yang gunting bunga orkid kat depan tadi tu, ma?” tanya Tengku Azri Iskandar, anak tunggal Puan Adila yang baru semalam pulang ke tanah air setelah tamat belajar di luar negara. 

Pada waktu cuti, Tengku Azri jarang pulang ke tanah air. Jadi dia memang tidak tahu apa yang sedang dan telah berlaku di dalam rumah itu. Waktu dia balik dari berjoging tadi, dia sudah ternampak seorang budak perempuan berbaju kurung merah jambu berbunga-bunga kecil sedang menggunting orkid di bawah pondok orkid di depan laman rumahnya. Tengku Azri mula menyergah apabila dia melihat budak itu dengan beraninya menggunting orkid kesayangan Puan Adila.

Anak siapalah agaknya? Bertudung litup. Budak perempuan sekarang setahu Tengku Azri memang tidak rajin hendak membuat kerja-kerja rumah. Daripada menjadi pembantu rumah, mereka lebih rela bekerja di kilang atau di pasar raya. Itu sebabnya di Malaysia, sesiapa yang memerlukan khidmat pembantu rumah, terpaksa mencari menerusi ejen yang membekal khidmat pembantu rumah warga negara asing. 

Kalau dapat pembantu rumah yang serumpun, bolehlah berkomunikasi dengan baik. Jika dapat yang dari luar jajahan kita, mahunya bercakap macam bunyi ayam dengan itik. Tetapi budak yang sedang membantu Puan Adila di luar itu nampak macam budak Melayu. 

Selepas mandi dan turun untuk bersarapan, Tengku Azri tidak terdengar pula bunyi bising orang berbual-bual atau suara anak-anak jika ada saudara yang datang bertandang. Siapa pula budak perempuan tadi yang berlari masuk ke dalam dapur rumahnya? 

“Budak perempuan?” Terlopong sekejap mulut Puan Adila mengingatkan. 

Tengku Azri merenung wajah mamanya. Hai? Yang masuk berlari ke dapur tadi memanggil mama, tak perasan ke? Bunian ke? Desis Tengku Azri pelik. 

“Oh, Lily. Anak arwah Mak Esah,” jelas Puan Adila, baru teringat Tengku Azri memang tidak kenal gadis itu. 

Semalam, sewaktu Tengku Azri sampai pun sudah tengah malam, jadi Puan Adila tidak mengejut Lily Athira yang telah tidur akibat kepenatan. 

“Tak pernah nampak pun?” soal Tengku Azri.Mak Esah ada anak dara? Tak pernah tahu pun? 

“Lily tu kan selama ni sekolah asrama. Mana Ayie nak jumpa.” 

“Habis tu sekarang tengah cuti sekolah ke?” 

“Dia tengah tunggu result SPM. Mak Esah kan dah meninggal. Lily tu tinggal seorang-seorang sekarang, tu yang mama ambil dia jadi anak angkat. Mama dah janji dengan Mak Esah masa dia tengah sakit. Rajin budak tu, pandai buat kerja-kerja rumah walaupun baru 17 tahun umurnya.”

“Anak angkat?” soal Tengku Azri berkerut kening memandang Puan Adila. “Mama ni entah apa-apa aje. Semua orang nak dijadikan anak angkat. Ayie ni jadi apa?” soal Tengku Azri, menarik Akhbar Sinar Harian dari atas meja sambil menunggu sarapan. 

Eh? Apa ke sombong aje bunyinya? Puan Adila terkejut dengan pernyataan anak lelakinya itu.

“Kenapa? Dia kan perempuan, boleh jadi teman mama berbual-bual dalam rumah ni,” sahut Puan Adila yang muncul lagi dengan hidangan mihun goreng dan sepiring kuih seri muka kegemaran Tengku Azri. 

“Nak harap Ayie? Cuti pun tak nak balik rumah. Asyik nak enjoy, nak lepak dengan kawan-kawan kat oversea tu aje. Kat rumah ni tak boleh lepak? Bukan ada adik kecik yang nak mengacau pun,” bebel Puan Adila. 

“Wah, my favourite. Dah lama Ayie tak jumpa kuih nilah mama,” ujar Tengku Azri mengubah topik, bimbang Puan Adila masuk hantu seawal pagi itu. 

Bukan dia tidak kenal dengan Puan Adila Zulkarnain itu. Kalau sudah mula buka mulut, ceramahnya panjang berjela. Esok pun belum tentu habis. 

“Hah, makanlah. Mama tahu Ayie suka. Tu sebab mama suruh Lily buat malam tadi. Pagi ni dah sejuk, dah dapat makan. Kalau baru pagi ni nak dibuat, alamatnya petang karang baru boleh makan.” 

“Lily yang buat?” 

“Haah. Kenapa?” 

“Tak ada apa-apalah.”

Tengku Azri terus mengambil sepotong kuih seri muka dan menyuap ke mulut. Ekor matanya menjeling kelibat gadis yang melintas di tepi tingkap. Cute pulak anak arwah Mak Esah ni. Sempat dia memerhati. Tak tahu pulak arwah Mak Esah ada anak dara yang pandai buat kerja dan pandai buat kuih, desis Tengku Azri.

Puan Adila datang dengan membawa seteko kopi. Ketika dia menarik cawan di depan Tengku Azri untuk menuangnya, segera Tengku Azri menutup muka cawan dengan telapak tangan.

“Ayie tak nak kopilah, ma. Bagi jus aje.”

Gatal sungguh anak bujang aku ni. Semenjak dua menjak duduk negara omputih ni, dah nak minum juslah pulak, getus Puan Adila. 

“Lily! Tolong bawak gelas dan jus untuk Abang Ayie,” panggil Puan Adila. 

Bila ternampak kelibat Lily Athira yang masuk ke dapur dari pintu belakang, terus Puan Adila meminta dia mengambil gelas dan jus dari peti ais. 

Lily Athira datang dengan gelas dan sekotak jus minuman. Diletakkan sebiji gelas di depan Tengku Azri dan terus menuangkan jus itu. Tengku Azri mengerling daripada pembacaannya. Gadis bertudung itu tidak langsung mengangkat muka. Mungkin masih fobia dengan insiden pagi tadi. 

Ternyata dia bukan seperti gadis kampung biasa. Dia memang cantik. Kalau Mak Esah, Tengku Azri memang boleh ingat. Tapi budak ini macam anak angkat sahaja rupanya. Belah mana ada rupa Mak Esah? Mungkin bahagian kerjanya, barangkali. Mak Esah memang pandai serba-serbi. Itu dia tahu kerana Puan Adila asyik memuji Mak Esah. 

“Ni Abang Ayie, yang mama selalu cerita tu. Sampai lewat malam tadi. Mama malas nak kacau Lily. Lily memang tak kenal dia pun pasal masa cuti dia tak pernah balik sini. Selalunya kalau mama rindu, mama yang pergi jumpa dia kat sana.”

Lily Athira hanya mengangguk. Hampir luruh jantungnya disergah lelaki itu pagi tadi. Lintang-pukang dia lari menyorokkan diri, bimbang entah lelaki mana yang terlepas masuk ke kawasan rumah Puan Adila. 

“Marilah duduk, minum sekali,” ajak Puan Adila. 

“Tak apa puan, Lily ada kerja kat belakang tu.” 

“Eh? Kenapa masih panggil puan pulak ni? Kan dah ajar panggil mama aje?” 

“Maaf, ma. Lily nak pergi jemur kain baju dulu. Nanti Lily minum kemudian.” 

Bukan apa. Nanti anak bujang dia dengar panggil mama, macam perasan pulak. Tak ke pelik orang tu dibuatnya? Desis Lily Athira. 

“Okeylah. Karang jangan sampai lupa sarapan pulak. Mama bukan nak jadikan Lily orang gaji kat rumah ni.” 

“Ya ma, Lily faham.” 

Lily Athira berlalu ke dapur. Dia tahu latar belakang hidupnya yang menumpang belas kasihan daripada Puan Adila yang sanggup mengambilnya sebagai anak angkat selepas kematian ibunya, Mak Esah kerana darah tinggi. 

Selama ini Lily Athira tinggal di sekolah berasrama penuh. Dia sudah biasa dengan Puan Adila kerana pada waktu cuti sekolah dia akan pulang ke rumah besar itu dan tinggal dengan ibunya di bilik pembantu di bahagian belakang. Dia sudah tahu apa kerja-kerja yang harus dilakukan di dalam rumah itu. Ketika itu pula Tengku Azri Iskandar memang tidak pernah tahu. 

“Dia tu anak angkat Mak Esah ke, ma?” tanya Tengku Azri setelah Lily Athira berlalu meninggalkan meja makan untuk menyambung kerja menjemur pakaian. 

“Hisy! Mana ada. Anak kandung dia yang seorang itulah, yang Ayie suka melayan semasa dia baru pandai berjalan jatuh dulu, tak ingat?” 

Lama Tengku Azri mengingat. Kalau Lily Athira yang itu, Tengku Azri masih boleh ingat. Beza usia mereka tujuh tahun. Sempatlah dia bermain sekejap dengan Lily Athira yang masih kecil ketika itu. Bila dia masuk ke asrama penuh dan terus melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara, memang dia tidak ambil tahu akan hal itu semua selepas itu.

“Lily yang tu ke?” tanya Tengku Azri lagi tidak percaya. 

Memang dia tidak teringat dan menyangka langsung tentang Lily Athira yang baru pandai berjalan jatuh itu sudah berubah menjadi gadis yang cantik dan sopan pula gayanya. 

“Ni mama nak pesan dengan kamu, Ayie.” 

Tengku Azri mengangkat muka daripada memandang Surat Khabar Sinar Harian dan menoleh ke arah Puan Adila. 

“Mama suka dengan Lily tu. Kalau tiba-tiba mama tak ada nanti, mama nak Ayie jadikan dia isteri Ayie.” 

“Nonsense,” jawab Tengku Azri tanpa memandang muka Puan Adila. 

“Ayie!” Puan Adila meninggikan sedikit suara. “Bukan sekarang. Dia pun bercadang nak sambung belajar lagi. Nanti lepas dia habis belajarlah.” 

“Mama ni, tak payahlah nak tinggal-tinggalkan wasiat yang pelik-pelik macam tu. Ayie takut Ayie tak boleh nak penuhi permintaan mama nanti.” 

“Dia tu dah jadi anak yatim, Ayie. Macam mama dulu. Kesian dia tak ada arah tujuan. Dia nak duduk dengan siapa lagi?” 

“Payah sangat nanti, mama kahwinkan ajelah.” 

“Ya. Tapi mama nak dia kahwin dengan kamu. Kenallah dengan dia dulu, tak ada perempuan yang pandai belajar dan pandai jugak buat kerja-kerja rumah sekarang, Ayie.” 

“Mama, please. Can we drop the subject? Ayie belum minat nak bercakap pasal nikah kahwinlah. Ayie baru aje habis belajar, ma.”

“Okay then, take your time.”

Tengku Azri melipat surat khabar dan meletakkan di atas meja. Dia menarik pinggan yang berisi mihun goreng. “Hmm... dah lama Ayie tak makan mihun goreng. Mama memang pandai masaklah,” puji Tengku Azri. 

“Bukan mama yang masaklah.” 

“Habis tu? Beli ke?” 

“Lily yang buat.” 

Lily lagi. Hai, baru 17 tahun dah pandai masak? Yalah tu, saja mama nak jual saham budak tu tinggi-tinggi kat aku, desis Tengku Azri. 

Puan Adila merenung anak bujangnya. Namun Tengku Azri hanya bersuara dalam hati. Tiada pujian. Tiada senyuman. Yang nyata Tengku Azri sedikit terkedu. Kelibat Lily Athira yang sedang menjemur pakaian di belakang rumah sesekali dikerling dengan penjuru mata. Ada ke patut budak kampung nak disuruh kahwin dengan aku? Buat malu aku aje nanti bila jumpa dengan member-member. Azzah tu nak letak kat mana? Getus Tengku Azri. 

Sudah empat tahun lamanya dia mengenali Azzahani, namun gadis itu belum berjaya menambat hatinya. Asyik bertekak sahaja bila bertemu. Manakan tidak, kena ikut telunjuk dia saja, kita pun ada harga diri juga. Itu belum sebut hendak dijadikan dia special girlfriend lagi? Kalau sudah masuk bab bertunang, mahu mengamuk kena baling dengan selipar Jepun. 

Mama bukan tahu. Sesuka hati aje dia nak padukan aku dengan pilihan dia. Muda lagi pulak tu. Mama...mama...Pelik juga kadang-kadang memikirkan mamanya seorang ini. Dia bukan tidak bercampur dengan orang. Macam tidak ada pilihan lain pula. Anak dara arwah Mak Esah ini tiba-tiba berjaya menambat hatinya. Ingatkan stok seorang emak macam mama, mesti taste dia pada yang pandai bergaya ala-ala model. Atau mungkin, mama dah jemu memandang gadis sebegitu, maka dia beralih arah? Cari yang tidak berkerjaya dan yang pandai urus rumah tangga? 

Kalau difikir dari segi itu, memang aku senang tak payah nak cari pembantu rumah. Mama jugak senang, tak payah nak ke dapur lagi kerana punya menantu yang pandai urus rumah tangga dan makan pakai anaknya.

Lagipun, mungkin dia dah sesuai sangat dengan Lily. Dah terbiasa. Senang nak disuruh itu dan ini. Aku pulak yang risau tengok dia asyik bergelak ketawa dan bergurau senda dengan Lily lebih daripada aku, anaknya sendiri. Tetapi tak mengapa, mama pun dah cakap ‘take your time’. So, untuk masa ni, aku letak dia bawah probation. Kalau dia melepasi tahap sakat dan buli versi aku, akan dipertimbangkan. Begitu Tengku Azri bermonolog sepanjang pagi itu, mengkaji kehendak Puan Adila. 

TV yang terpasang itu bercakap sendirian. Tengku Azri mengerling Puan Adila di sofa sebelah yang kerjanya menjahit pagi, petang, siang dan malam. Kain yang besar itu digunting kecil-kecil, disambung dan ditampal semula. Katanya hendak dijadikan cadar. Dulu sibuk beli mesin jahit elektrik, tetapi akhirnya menjahit hanya menggunakan tangan. Aduhai! Payah-payah sangat beli yang dah siap ajelah, ma!


Previous: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian