Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
190,995
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 14
“LILY Athira binti Abu Bakar...” Tengku Azri membaca nama yang tertera di atas sampul surat. “...McBride?” Suaranya perlahan bila menyebut nama akhir itu. 

Oh, ni nama penuh anak dara arwah Mak Esah tu ya? Patutlah dia ada rupa kacukan. Tengku Azri meletakkan segala surat yang diambil dari peti surat di tembok luar ke atas meja konsul tepi pintu masuk. 

Suara Tengku Azri membaca nama pada sampul surat berwarna kuning tanah itu menarik perhatian Lily Athira di dapur yang sedang menggoreng pisang buat minum petang. Lily Athira sedikit memanjangkan leher ke arah pintu untuk melihat ke ruang tamu. Tak nampak tuan punya suara. Tapi sah itu suara tuan muda yang baru pulang dari pejabat. Dia yang mengutip surat dari peti surat di tembok pagar. Puan Adila ada di biliknya, menunaikan Solat Asar. Dia menunggu juga jika tuan muda itu baik hati mahu membawa surat itu kepadanya namun sia-sia. Tak apa, dah siap kerja ni karang aku ambiklah, bisik hati Lily Athira. 

Nak buat air apa ni? Kalau mama tentu dia nak teh perisa strawberi. Kalau tuan muda ni aku kurang pasti. Kejap nak jus, kejap mintak air kosong. Tapi yang pasti bila waktu malam dia mintak nescafe.
Pisang goreng siap dihidang di atas meja. Cuma tinggal menunggu arahan daripada tuan muda, air apa yang perlu dibuat. 

Beg bimbit ditinggalkan di atas sofa. Tengku Azri menarik kerusi di meja makan. “Lily, get me a cup of coffee,” arah Tengku Azri dalam bahasa Inggeris, mengusik Miss McBride. He...he...he...

Kopi? Kata mama, tuan muda ni tak minum kopi? Nescafe kut? Tanya balik macam mana? Lily Athira menjengul kepala ke ruang tengah. “Kopi ke nescafe?” 

“Coffee, c.o.f.f.e.e,” eja Tengku Azri macam mengajar budak tadika. 

Woi! Siap dieja tu. Ingat aku ni pekak badak agaknya, getus Lily Athira. 

“Bila masa pulak kamu ni dah pandai minum kopi?” soal Puan Adila yang baru turun selepas menunaikan Solat Asar. Dia menepuk-nepuk bahu Tengku Azri dari belakang. 

Terasa luruh jantung ke tanah dibuat dek mamanya. Tengku Azri mengurut-urut dada. Ingat tadi nak mengusik anak angkat mama, si Miss McBride tu. “Mama ni, terkejut Ayie.” 

“Mama pelik tengok kamu ni, Ayie. Semenjak dua menjak ni berlainan betul kehendak kamu. Dah seminggu ni, hari-hari mintak sambal belacan. Lepas tu, tak pernah suka kopi, mintak kopi pulak,” ujar Puan Adila pelik sambil menarik sebuah kerusi bertentangan anak bujangnya lalu duduk di situ. “Cuba cerita sikit?” pinta Puan Adila. 

“Tak ada apa yang peliknya, ma. Ayie kan baru belajar menikmati makanan masyarakat orang Melayu?” jawab Tengku Azri sambil mengambil seketul pisang goreng dan dibawa ke mulut. 

“Habis tu selama ni kamu perasan kamu mat salih ke?” tanya Puan Adila lagi. 

“Mama, ni teh mama. Perisa strawberi, macam biasa.” Sengaja Lily Athira memberitahu begitu sambil menghulur sebiji mug berisi minuman itu kepada Puan Adila. Tidaklah macam mamat seorang ni, sekejap hendak air ini, sekejap hendak air itu. Dikerlingnya tuan muda yang sekarang memang banyak songeh. Mungkin kerana aku ni muda, dia berani nak mengarah agaknya. Masa ibu kerja kat sini dulu, okey aje. Oh ya, Lily Athira baru teringat mamat ni kan masa tu masih kecil lagi. Mana pandai memerintah. 

“Aik! Where’s my coffee?” Dahi Tengku Azri berkerut merenung. 

“Coming right up, sir!” jawab Lily Athira spontan. 

Lupa pula ada Puan Adila di situ. Cadangnya saja nak mengenakan mamat yang banyak songeh itu. Sekali sama ter’speaking’ London. Kantoi! Semasa dia meletakkan mug berisi kopi panas itu di depan tuan muda, dia terpandang Puan Adila yang tersenyum melirik. 

Tak padan anak dara Mak Esah ni. Sesekali tu terkeluar jugak bunga-bunga lawak dia. Padan muka anak bujang aku, bisik hati kecil Puan Adila sambil tersenyum. 

Apa hal mama ni senyum-senyum pulak? Bulat mata Tengku Azri merenung Puan Adila dan Lily Athira silih berganti. Lily Athira yang sudah merah muka kerana terkantoi dengan Puan Adila segera ke dapur. Namun, baru sahaja dia mahu menapak pergi... 

“Lily, tadi ada surat untuk Lily. Abang letak kat atas meja konsul tu,” beritahu Tengku Azri sambil memuncung mulut ke arah depan. 

Lily Athira terus berpusing balik menuju ke depan. Puan Adila merenung Tengku Azri, bertanya tanpa suara. Tengku Azri hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Aaa!” Spontan Lily Athira terjerit kegirangan. 

Kepala Tengku Azri berpusing mengikut arah bunyi suara. Dah gila ke apa perempuan ni tiba-tiba menjerit? 

Puan Adila hampir tersembur teh yang diteguk. Apa hal pulak anak dara arwah Mak Esah ni? “Lily, kamu kenapa?” 

Lily Athira berlari mendapatkan Puan Adila lalu memeluk wanita itu. “Thanks, ma,” ucap Lily Athira. Pipi Puan Adila dicium kanan dan kiri. 

Puan Adila dan Tengku Azri hanya terkebil-kebil menunggu jawapan. Lily Athira berdiri di sebelah Puan Adila sambil memegang surat yang baru dibukanya itu dengan senyuman yang masih belum padam.  

“Lily dapat tajaan untuk sambung belajar,” jawab Lily Athira, memberitahu isi surat dengan sekali nafas akibat kegirangan. Bangga pun ada juga sebab nak beritahu dengan mamat tu, kalau dia dah sambung belajar, tak ada peluang mamat tu nak buli dia lagi. 

“Alhamdulillah,” ucap Puan Adila tumpang bangga kerana Lily Athira sudah dianggap macam anak sendiri walaupun dia sedikit terkedu dengan perkhabaran itu. Ini bermakna selepas ini tiada lagi orang yang boleh diharap untuk membantunya membuat kerja-kerja rumah. 

Puan Adila memandang anak bujangnya yang tiba-tiba memusing-musingkan jari telunjuk ke bibir mug kopi di depannya. Nampak macam sedih. Mungkin dia menyesal membuli anak dara Mak Esah itu. “Ayie tak gembira ke?” 

Tengku Azri mengangkat muka daripada memandang mug kopi. “Alah, mama ni. Kita nak sedih buat apa? Dia seronoklah tak ada orang nak buli dia lagi,” ujar Tengku Azri sambil menolak kerusi ke belakang dan terus beredar dari situ. Riak wajahnya tidak dapat dibaca.

Puan Adila kehairanan. Aku ada cakap kena bersedih ke? Bukan ke aku tanya dia lain? Hisy, masalah pendengaran betul Ayie ni. Ke silap komunikasi? Puan Adila ditinggalkan terkulat-kulat di meja makan. 

“Ma? Lily ada silap cakap ke?” soal Lily Athira berkerut dahi. 

“Entah. Mama pun tak berapa nak faham,” jawab Puan Adila sambil menjongket bahu. 



PANDANGANNYA dihalakan keluar tingkap. Hilang fokus untuk membuat kerja petang itu. Masih terpandang-pandang wajah Lily Athira yang kegembiraan mendapat berita tentang tajaan melanjutkan pelajaran. Kalau dia terima, maknanya tiadalah lagi Lily Athira di rumah itu sebagai teman untuk disakat dan dibuli. Takkan nak buli mama pulak? Takkan mama yang nak buat kerja-kerja rumah semua tu? Masak tu mungkin bolehlah. Kalau begitu, terpaksalah dia dan Puan Adila mencari pembantu rumah baru. 

Memanglah mama ambil Lily jadi anak angkatnya. Tapi menurut mama, setiap bulan mama ada masukkan sejumlah wang sebagai bayaran dia membuat kerja-kerja di rumah itu walaupun Lily menolak bila mama menghulur wang tunai pada awalnya. Jadi, wang itu mama terus sahaja masukkan ke akaunnya. Sekurang-kurangnya mama tolong simpan sekiranya dia memerlukan wang untuk buat sambung belajar nanti. Hendak diharapkan pada siapa? Desis Tengku Azri. 

Begitu cadangan Puan Adila sebenarnya semasa dia berjanji dan bersetuju untuk mengambil Lily Athira sebagai anak angkat. Tapi lama-kelamaan menjadi sayang pula bila gadis itu pandai membawa diri. Bertambah sayang bila anak gadis arwah Mak Esah itu pandai memasak dan membuat kerja-kerja rumah. Sayang untuk melepaskan dia pergi dari rumah itu. Manalah tahu kalau dia pergi belajar jauh-jauh, terpikat pula dengan orang lain. Masa itu nanti sudah tentu Puan Adila tidak berpeluang untuk bersama dengan Lily Athira lagi. Maka Puan Adila cepat-cepat mengatur cadangan baru apabila anak bujangnya pulang ke tanah air.

Bagi Tengku Azri, entah mengapa hatinya tidak berapa suka menerima berita itu. Sepatutnya dia tumpang gembira juga. Hairan! Perasaan suka pada gadis itu terasa telah hinggap di dalam hatinya tapi datang dari entah mana. Suka yang bagaimana? Tidak dapat hendak diungkap dengan kata-kata. Macam tidak mahu menerima kehilangannya pada suatu hari nanti. Tentu dia akan amat terasa akan ketiadaannya. Mahukah gadis itu pulang bercuti di rumahnya lagi nanti? Hisy! 

Tengku Azri lalu bangun menapak ke tingkap. Langsir yang terbuai-buai ditiup angin petang itu ditolak ke tepi. Dia menekur di situ memandang ke laman bawah belakang rumah yang kini hampir dilitupi pokok kelapa gading yang sudah semakin tinggi. Pelepahnya melempai-lempai mencecah tingkap bilik. 

Pak Abu, tukang kebun sekolah rendah yang berhampiran kawasan tempat tinggalnya itu akan datang dua minggu sekali untuk kerja-kerja pembersihan sekitar rumah. Memotong rumput, meracun dan mencantas dahan-dahan pokok yang menyesakkan. Kali ini pelepah pokok kelapa gading yang melindungi pemandanganya terus ke laman belakang itu mesti dicantas. 

Pandangannya tiba-tiba beralih kepada Lily Athira yang berada di laman belakang. Gadis itu sedang menarik getah paip untuk kerja-kerja rutinnya menjirus pokok-pokok bunga yang ditanam sekeliling rumah. Rajin betul. Tak payah bersuruh kalau bab membuat kerja. Esok kalau dia tak ada siapa yang nak buat? Kalau dilihat daripada penampilannya, tak adalah menarik pun. Sentiasa bertutup. Asyik berbaju kurung dan bertudung walaupun dalam rumah.

Jauh berbeza dengan penampilan Azzahani yang sering berdandan. Azzahani pula terlalu sosial, tanpa tudung dan pakaiannya sedikit menjolok mata. Dia gemarkan yang sempit-sempit, yang sendat-sendat dan yang pendek-pendek. Pelik! Orang berada yang banyak duit nak pakai baju yang tak cukup kain. Tambah dengan perhiasan diri yang bermacam-macam mengikut tema dan warna baju yang dipakai. Beg dan kasut sahaja entah berapa pasang. Itu kalau terbawa-bawa sampai sudah berkeluarga nanti macam mana? Mahukah Azzahani ke dapur mengurus makan pakainya? 

Anak pembantu rumahnya pula, kalau boleh hanya nak nampak biji mata sahaja. Semua nak ditutup. Namun dalam keadaan yang demikian gadis itu pantas membuat kerja-kerja rumah pula. 

Kalau dikaji daripada permintaan Puan Adila, Tengku Azri memang setuju sangat. Apa yang diperlukan seorang lelaki itu sebenarnya dalam mencari suri hidupnya? Haruskah bercinta dahulu dalam mencari jodoh? Bukankah cinta itu boleh disemai perlahan-lahan setelah berkahwin nanti? 

Tengku Azri menggarap cerita, merangka masa depan sendiri sambil memerhati anak arwah Mak Esah yang sedang membuat kerja-kerja di laman belakang rumah macam lipas kudung.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian