HUJAN renyai-renyai berterusan turun hingga ke tengah hari. Memang tidak ada apa yang dapat dilakukan. Tengku Azri menghabiskan waktu di sofa kembar tiga, menonton segala macam CD movie yang dibawa pulang bersama.
Puan Adila pula sibuk dengan kerjanya, menjahit sulam tampal. Lily Athira di dapur sedang menyediakan makan tengah hari.
Tengku Azri yang baru pulang dari luar negara itu teringin makan soto syam. Itulah, tidak ada kerja sampai habis majalah orang perempuan dibeleknya. Belek punya belek, dia sudah terjumpa Majalah Rasa.Tadi Lily Athira ke pasar dengan Tengku Azri untuk membeli bahan yang diperlukan. Tengku Azri yang beria-ia hendak memandu ke pasar sendiri tapi tidak tahu apa yang patut dibeli untuk membuat soto ayam. Maka Puan Adila yang sedang asyik dengan kerja sulam tampalnya mengarahkan agar Lily Athira ikut sama.
Sampai di pasar, ini dia hendak, yang itu dia mahu. Hisy, mengalahkan orang perempuan mengidam. Mengalahkan orang yang berpuasa sebulan. Petang ini masak ini, petang esok masak itu. Segala yang dijumpa dalam majalah tadisemua hendak disuruh buat. Yang jadi lawak itu pula, sewaktu Lily Athira sibuk memilih barang basah, Tengku Azri datang dari arah mana entah dengan seplastik penuh ubi kayu. Tergelak Lily Athira dibuatnya.
“Itu ubi kayulah,” tegur Lily Athira.
Kut-kutlah lama duduk luar negara, sampai tak kenal apa yang dibeli.
“Excuse me? Abang masih kenal, okey?”
“Oh, okey.” Malu Lily Athira jadinya. “Tapi nak buat apa beli banyak sangat? Macam orang yang nak berniaga kerepek ubi aje?”
Kebetulan Lily Athira menyebut kerepek ubi. Tengku Azri lekas-lekas teringat. Tadi dia ingat cuma nak suruh buat ubi rebus saja. Lama betul tak makan ubi rebus. Elok pula sambal tumis bilis pagi tadi masih ada lagi. Pergh! Tengku Azri sudah menelan liur.
“Abang nak makan ubi rebus dan yang lebihnya bolehlah dijadikan kerepek.
”Mak aih! Kemaruk apa dia ni? Pandai-pandai aje mengatur jadual masak. Tak menang tanganlah aku macam ni, getus Lily Athira.
“Mama dah nak makan ke?” soal Lily Athira keluar dari dapur sambil mengelap tangan.
Puan Adila memandang Tengku Azri. “Ayie, kamu dah lapar ke?”
“Dah siap ke?” tanya tengku Azri.
“Dah,” jawab Lily Athira jauh dari arah dapur.
Tengku Azri menekan butang ‘off’. Televisyen dimatikan. “Jom ma, makan dulu.”
“Kamu makanlah dulu, mama nak siapkan lagi sikit ni.”
Tengku Azri terus ke meja makan. Dia membuka penutup serving dish. “Mak ai! Ni macam mana gaya nak makan ni?”
Ada taugeh, daun sup dan daun bawang yang siap dimayang halus. Ada bawang goreng, kacang tanah goreng, sambal kicap, dan...apa benda ni? Tengku Azri menunggu Lily Athira untuk bertanya.
Lily Athira datang membawa semangkuk besar sup ayam yang masih panas dan meletakkannya di tengah meja.
“Nak makan macam mana ni?” tanya Tengku Azri lagi.
Lily Athira mencapai mangkuk yang sudah siap diatur di atas meja. Kesian mamat ni, tak pandai dia nak menggayakan cara makan soto ayam. Itulah, biasa order yang dah siap.
“Macam ni...”Lily Athira meletakkan mihun yang sudah siap dicelur. Sedikit taugeh, daun sup dan daun bawang serta bawang goreng, kacang tanah goreng dan isi ayam yang sudah disiat.
“Lepas tu curahkanlah supnya banyak mana yang abang suka. Kalau nak pedas, tambahkan dengan sambal kicap ni.” Lily Athira menghulurkan sebiji mangkuk berisi sambal kicap kepada Tengku Azri.
Tengku Azri membelek-belek mangkuk yang dihulurkan kepadanya. Dalam majalah tu tunjuk kalau soto ayam ada nasi himpit. Ini pulak mihun, mana nasi himpitnya? Tengku Azri memandang isi serving dish.
“Ada yang kurang ke?” tanya Lily Athira.
"Bukan dalam gambar tu tunjuk soto ayam dia ada nasi himpit ke?”
“Lah, kalau abang nak yang ada nasi himpit tu kena tunggu esoklah baru boleh makan. Kalau buat nasi himpit sekarang, mana boleh nak dipotong? Masih panas.”
“Oh, ya ke?”
“Nak ke tak ni?”
Tengku Azri tidak menjawab. Perasaannya sedikit kecewa mengalahkan perempuan yang bunting sulung. Petang semalam dia membelek-belek Majalah Rasa. Di dalamnya ada memaparkan gambar segala macam jenis soto. Nampak sungguh menyelerakan dan sesuai dimakan ketika cuaca panas dan hujan-hujan begini. Tengku Azri terus mengisi mangkuknya dengan sup.
“Ma, makan!” jerit Tengku Azri memanggil Puan Adila.
“Makan aje kamu ni, Ayie,” tegur Puan Adila melintas dari belakang Tengku Azri yang sudah mula menghirup sup, untuk ke singki mencuci tangan.
“Ni ubi kayu satu besen nak dibuat apa, Lily?” tanya Puan Adila.
Dia terpandang sebesen penuh ubi kayu yang siap berkupas kulitnya di singki sebelah. Macam hendak buat kenduri gayanya.
“Abang Ayie mintak buat kerepek, ma,” jawab Lily Athira perlahan. Tangan sudah mencapai kuali besar dan meletakkannya ke atas tungku dapur.
“Rehatlah dulu, Lily. Ikut sangat Abang Ayie kamu tu. Macam tengah kemaruk. Dulu tak reti nak balik, asyik nak melawat negara orang putih aje. Kenapa tak makan aje roti yang senang dibeli kat kedai tu?” perli Puan Adila.
Tengku Azri yang sedang tertiup-tiup sup panas itu mengerling Puan Adila bila namanya naik di dalam perbualan mamanya dengan Lily Athira di ruang dapur.
Lily Athira hanya melempar senyuman dan turut sama mengerling anak bujang Puan Adila. Dia lebih senang sebenarnya menyibukkan diri begitu daripada melahu tidak tentu pasal. Hendak duduk bersama di depan membantu Puan Adila menjahit sulam tampalnya, malu pula kerana anak bujangnya turut sama ada di situ, asyik melengkar mengalahkan ular sawa.
“Kamu tak makan sekali?” tanya Puan Adila sambil menarik kerusi.
“Mama makanlah dulu, Lily siapkan kerepek ni. Nanti petang dah boleh makan sambil tengok TV,” ujar Lily Athira.
Tengku Azri mengangkat muka mengerling Lily Athira. Perli akulah tu. Siapa lagi yang asyik duduk kat depan TV? Getus Tengku Azri.
“ORANG perempuan ni, setinggi mana pun belajarnya kena pandai buat kerja-kerja dapur.”
Teringat Lily Athira pesan ibunya, Mak Esah yang memang sejak muda telah berkhidmat dengan penuh disiplin bersama pasangan Tengku Zulkarnain dan isteri, Tengku Anna, ibu bapa kepada Puan Adila. Mak Esah sama-sama dihalau keluar dari rumah pasangan itu bila Tengku Adila membantah untuk dijodohkan dengan rakan kongsi seperniagaannya yang sebaya bapanya itu kerana sudah mempunyai pilihan sendiri.
“Alah, apa yang susahnya, kita yang buat dia.” Mak Esah selalu berkata begitu semasa mengajar Lily Athira membantunya memasak di dapur.
Mak Esah tegas orangnya walaupun Lily Athira merupakan anak tunggal yang diperolehi ketika dia sudah lanjut usia. Segala ilmu yang ada padanya mahu diperturunkan kepada anak seorangnya itu.
“Tak rugi hidup merendah diri, kalau kita pandai menyesuaikan diri. Walau kat mana kita berada, kita akan tetap disayangi,” pesan Mak Esah lagi, mengingatkan Lily Athira tentang kehidupan yang dilaluinya dan begitu juga dia berharap jika suatu hari nanti dia pergi meninggalkan anak yang satu itu, anaknya disayangi orang kerana pandai membuat kerja-kerja dapur dan tidak payah bersuruh.
“Ni yang dah siap, abang bawak ke depan ya?” Suara Tengku Azri memecah lamunan Lily Athira yang sedang menunggu gorengan kerepek ubi di kuali.
Tidak sempat Lily Athira mengata ‘ya’, Tengku Azri sudah melarikan setin Anlene yang dipenuhi kerepek ubi yang siap bergoreng.
Hisy! Tak kenyang-kenyang mamat seorang ni, bisik hati Lily Athira sambil menjeling kelibat anak tunggal Puan Adila itu.