SELEPAS Puan Adila dan Tengku Azri Iskandar keluar dengan tugas masing-masing, Lily Athira mula mengemas. Pinggan, piring dan cawan habis dibawa ke singki. Meja makan dilap. Dia menyapu dari ruang makan ke dapur. Kemudian dari ruang tengah dibawa ke pintu utama dan terus ke porch. Setelah siap, dia membuka paip air untuk menyiram pokok-pokok bunga. Memang itu rutin kerjanya setiap hari.
Tiba-tiba sebuah kereta bergerak perlahan melalui depan rumah Puan Adila seakan-akan mencari alamat rumah seseorang. Sambil menyiram pokok, Lily Athira sempat memanjangkan leher untuk melihat. Manalah tahu, kalau pemandu kereta itu ingin bertanya kepada seseorang yang dilihat berada di luar rumah? Kerana pada waktu pagi-pagi begini memang tiada sesiapa di luar melainkan pembantu-pembantu rumah sahaja yang sedang membuat kerja sama ada menjemur pakaian, mencuci kereta atau macam yang dilakukannya sekarang, menyiram pokok-pokok bunga.
Kebetulan, kereta Camry putih itu berhenti di hadapan rumah Puan Adila. Kelihatan dua orang wanita yang cantik bergaya keluar dari perut kereta itu dan berjalan menuju ke arah pintu pagar serta menekan loceng. Lily Athira segera menutup paip air dan berlari ke arah pintu pagar. Tanpa membuka pintu itu dia bertanya terlebih dahulu.
“Ya, boleh saya bantu?”
“Assalamualaikum.” Perempuan berbaju blaus berkolar dan berseluar slek itu memberi salam.
“Waalaikumussalam,” jawab Lily Athira tersenyum malu sambil menyambut salam.
“Ini rumah Lily Athira binti Abu Bakar McBride ke?”
“Ya saya. Tapi ini bukan rumah saya. Saya tinggal kat sini aje.”
“Boleh kami masuk?
Perempuan itu mencari sesuatu dari dalam beg tangan. “Saya Rozita Shamsuddin dari syarikat guaman, Azam Malek & Co.” Perempuan itu menunjukkan kad nama kepada Lily Athira.
“Ada apa ya? Saya tak beranilah nak bagi puan berdua masuk. Tuan rumah ni tak ada.”
“Kalau duduk kat kerusi laman ni pun tak apa. Kami cuma nak dapatkan kepastian daripada adik aje.”
“Okey, sekejap ya?” Lily Athira menyeluk poket baju kurung dan mengeluarkan kunci rumah. Dia membukakan pintu kecil di sebelah kiri rumah. “Silakan,” jemput Lily Athira.
Tetamu yang tidak dikenali itu duduk di bawah pergola yang menempatkan kerusi laman.
“Ini saya kenalkan, Nicole Ann McBride.”
Perempuan Melayu itu memperkenalkan wanita Inggeris yang bergaun tanpa lengan dan bertopi agak lebar. Barangkali mahu mengelak daripada panas matahari di bumi Malaysia ini.
“McBride?” soal Lily Athira sedikit tergamam. Macam kenal aje.
“Saya, wakil dari syarikat guaman yang memegang amanah wasiat yang ditinggalkan bapa adik iaitu Abu Bakar Abdullah McBride sehingga adik berusia 18 tahun nanti. Buat masa ni harta tu akan kami simpan. Tapi jika dalam tempoh tu, adik dah berkahwin, adik boleh dapatkannya sekiranya adik mengemukakan sijil nikah adik kepada pihak kami,” ujar Rozita Shamsuddin menerangkan dengan agak panjang namun jelas.
“Dia ni siapa dengan saya?” tanya Lily Athira sedikit teruja ingin tahu.
“Dia ni adik kepada bapa adik. Dia datang ke sini semata-mata kerana mencari anak saudaranya berhubung dengan harta peninggalan bapa adik.”
Lily Athira sedikit tergamam. Dia yang fasih berbahasa Inggeris juga sudah macam tidak tahu bercakap. Mana kan tidak, sudah 17 tahun usianya, baru kini dia diperkenalkan dengan saudara sebelah bapanya. Wanita Inggeris yang hanya memerhati dari mula tadi seakan-akan faham apa yang sedang berlaku.
“I am your auntie, Lily.” Dia bersuara.
“Hi Auntie Nicole, nice meeting you.”
“Hi. I am so happy that I finally found you. It’s been so long.”
“Mana ibu adik?” tanya Rozita Shamsuddin setelah melihat sekeliling rumah itu senyap seperti tidak berpenghuni.
“Ibu saya dah meninggal dunia enam bulan lepas.”
“Oh, sorry.”
“Tak apa.”“Habis tu adik tinggal dengan siapa sekarang?”
“Keluarga angkat saya.”
Rozita Shamsuddin hanya mengangguk-angguk. “Her mother passed away six month ago. She lived with her adopted parents,” ujar Rozita Shamsuddin menerangkan kepada wanita Inggeris itu.
“Oh, poor baby. Tell her she can always come with me.” Tiba-tiba Auntie Nicolenya bersuara.
“It’s okay, I’ll be fine. Don’t worry,” ujar Lily Athira cepat-cepat menjawab. Ada pulak tiba-tiba aku nak ikut dia yang agamanya entah apa-apa.
“Macam ni, dik. Kalau ada apa-apa masalah, adik cuba hubungi akak. Ni kad akak. Ini pulak alamat Auntie Nicole kat sini. Dia dalam proses untuk berkahwin dengan warga tempatan. Dia pun kalau boleh nak adik ikut dia. Kebetulan adik pun tak punya sesiapa kat sini kan?”
“Betul kak, saya okey aje dengan keluarga angkat saya ni.” Takut juga, manalah tahu tiba-tiba dia paksa suruh ikut dia.
“Baiklah, kalau macam tu. Tapi urusan kami ni belum selesai sebenarnya. Adik perlu tandatangani beberapa dokumen dan kami jugak perlukan salinan surat beranak dan salinan kad pengenalan adik untuk mengesahkan tentang hal ni. Kalau adik ada masa nanti datang ke pejabat akak kat alamat pada kad tadi tu. Bawak sekali salinan-salinan yang kami perlukan. Boleh?”
“Insya-ALLAH, kak.”
“Kami mintak diri dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Lily Athira mengurut dada. Sesak nafas dibuatnya bila ditanya dengan pelbagai soalan. Apatah lagi yang datang itu dari pejabat guaman. Biasanya kalau dari pejabat guaman ni ada berhubung kait dengan undang-undang. Eee... mintak simpang. Rasanya aku memang tak bersalah dan tak pernah buat salah.
Auntie Nicole ni pun, tiba-tiba aje muncul. Dah 17 tahun aku hidup, baru hari ni keluarga sebelah bapa datang mencari. Nak suruh ikut dia pulak. Boleh percaya ke? Rasanya jadi pembantu rumah Puan Adila pun okey lagi. Atau aku kena setuju dengan permintaan Puan Adila dalam hal ni? Kalau mungkin aku dah berkahwin, dah tentu segala urusan harus menerusi suami. Sepanjang pagi itu Lily Athira bermonolog.
Mana tidaknya, dulu tu aman damai aje tinggal dengan Puan Adila seorang. Bila anak bujangnya balik dari luar negara, bertambah beban pulak. Puan Adila pun tak macam tu punya cerewet. Hari ni pulak, datang lagi satu hal. Entah apa yang dia hendak dengan aku agaknya. Oh ibu, kalaulah ibu masih ada, tentu anakmu ini berasa selamat berada bersamamu, desis Lily Athira.