Home Novel Kanak-kanak SAYA BUKAN PENCURI
SAYA BUKAN PENCURI
Mat Lawi Hassan
19/12/2019 12:06:52
60,163
Kategori: Novel
Genre: Kanak-kanak
Bab 7

TUHAN SENTIASA MENGASIHIMU

Pagi itu, seperti biasa Hanafi akan turun dari rumah dengan lengkap beruniform sekolah. Sebaik sahaja sampai di simpang tiga jalan berturap,langkahnya akan melencong ke arah Sungai Pak Din. Di sanalah tempat dia menukar uniform sekolah kepada seluar jeans dan baju T yang sudah renyuk. Pakaian sekolahnya itu  akan dilipat dan dimasukkan ke dalam beg sekolah. Kemudian beg itu akan dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum disembunyikan di bawah rimbunan pokok paku pakis yang meragas pokok senduduk di tebing sungai.

Tepat pukul 9.00 pagi, Hanafi sudah berada di stor Uncle Murali. Sudah menjadi kelaziman pada Uncle Murali menyediakan sarapan pagi yang dibeli di Warung Pak Yakob kepada tujuh orang pekerjanya itu. Dia mahu pastikan semua pekerjanya bersarapan sebelum memulakan tugas kerana dia tahu kerja-kerja di situ perlu pakai kederat.

Selalunya, Hanafi akan diarahkan melakukan kerja-kerja yang ringan. Uncle Murali tidak mahu Hanafi melakukan kerja-kerja yang boleh mengundang bahaya dan kerja-kerja yang tidak sepadan dengan kederatnya. Uncle Murali sedar tindakannya menggaji kanak-kanak di bawah umur itu salah. Tetapi kali pertama dia melihat Hanafi datang memohon kerja, dia sudah dapat mengagak yang anak ini dalam kesempitan hidup. Dia tidak sampai hati untuk menolaknya.Niatnya hanya untuk menolong sekadar yang dia mampu kerana Hanafi mengingatkan dia pada zaman kanak-kanaknya yang terpaksa bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Hanafi menyeka peluh yang mula menitis di mukanya dengan kain tuala “Good Morning” putih yang tersangkut di lehernya. Tin-tin minuman yang telah kepek itu dicapai dan dicampak ke dalam karung guni yang sengaja disangkut pada dua batang besi pemegang troli barang beroda dua di sisi kirinya. Itulah kerja-kerja Hanafi,dia akan mengasingkan tin-tin yang telah kepek mengikut saiz. Sesekali kelihatan dia akan menghentak tin-tin yang belum kepek dengan kaki kanannya.

“Hanafi… ooo… Hanafi…” Hanafi mendongak dan dilihatnya Uncle Murali yang berada di tepi pintu masuk stor itu melambai-lambai ke arahnya.

“Ada apa Uncle,”tanya Hanafi sebaik sahaja dia berada betul-betul di hadapan lelaki berbangsa India , berambut kerinting dan bertubuh kurus tinggi itu.

“Ada orang mahu jumpa sama awak di luar sana,” beritahu Uncle Murali sambil mengangkat tangan kanannya ke arah luar stor.

Hanafi melangkah longlai, benaknya mula berteka-teki. ‘Takkan Razak,kalau Razak Uncle Murali memang sudah kenal.’

Langkahnya tiba-tiba terhenti. Darahnya mula berderau.Bulu romanya turut meremang dan badannya mula mengigil. ‘Jangan-jangan ayah dan mak dah tau.’ Hanafi mula mengesat-ngesat peluh di mukanya yang terasa semakin bertambah laju. Kakinya terasa berat untuk melangkah keluar dari stor itu.Mulutnya mula kumat-kamit berdoa. Dengan dada yang berdebar dia gagahi juga langkah kakinya keluar dari pintu stor berdinding zink-zink itu.

Sekali lagi langkahnya bagaikan dikunci, tidak dapat digerak-gerakkan lagi. Sekujur tubuh yang berdiri di hadapannya kini betul-betul telah membuat dirinya pasi.

“Apa khabar Hanafi?” Tegur Cikgu Munirah dengan suara yang tersekat-sekat. Matanya terpekong memandang Hanafi dalam keadaan yang comot-momot itu. Pipinya yang putih melepak itu mula merah kerana cuba menahan sebak di dada.

Bahu Cikgu Munirah bergoyang-goyang dan kemudiannya dia meluru ke arah Hanafi. Tubuh kecil itu dipeluknya kemas-kemas sambil menangis.

Hanafi tergamam. Belum pernah dia melihat cikgunya ini menangis. Belum pernah dia dipeluk oleh gurunya. Lebih-lebih pelukan sebegini.Segala kesulitan dan segala kekusutan hidupnya terasa hilang serta-merta.Jiwanya terasa sebening air di tasik.

 “Maaf cikgu,badan saya kotor sangat ni, nanti busuk baju cikgu.” Tiba-tiba dia cuba merenggangkan rangkulan cikgunya itu.

Cikgu Munirah makin erat memeluknya. Kemudian dia merungkaikan pelukannya tetapi kedua tangannya masih memegang kedua-dua bahu Hanafi.

“Boleh kita bersembang sekejap?” Tanya Cikgu Munirah sambil menyeka kedua matanya dengan hujung lengan baju. Masih merah dan berkaca.

Hanafi bungkam tetapi kemudiannya mengangguk-ngangguk.

“Kita ke sana,” ajak Cikgu Munirah.

Mereka berjalan beriringan ke bawah pokok ceri rendang yang sudah tersedia dengan bangku simen fero.

“Kenapa Hanafi ponteng sekolah?” Soal Cikgu Munirah,sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya ke atas bangku simen yang dibentuk seakan sepotong batang pokok itu.

Suara Cikgu Munirah yang lunak dengan pancaran matanya yang penuh kasih sayang itu seakan memukau Hanafi supaya menjawab dengan jujur apa yang disoal.

“Saya, saya malu cikgu…” Sahut Hanafi yang duduk bertentangan muka dengan Cikgu Munirah.

“Kenapa mesti malu, Hanafikan tidak salah?” Suara Cikgu Munirah itu bagaikan air Sungai Pak Din pada dinihari. Sejuk dan nyaman.

“Kalau Hanafi ponteng sekolah, masalah Hanafi tidak akan selesai. Malah semakin rumit,” tutur Cikgu Munirah cuba memujuk.

“Kenapa mesti takut dengan perkara yang kita tidak buat? Kalau Hanafi mengelakkan diri macam ni, Hanafi sendiri yang rugi. Hanafi akan menyesal,”Cikgu Munirah menyinsing lengan bajunya.

“Kembalilah… kembali. Buktikan yang Hanafi tidak bersalah,” Cikgu Munirah cuba bermotivasi.

“Tapi, tiada bukti yang boleh saya tunjukkan pada semua orang yang saya tidak salah.” Sela Hanafi sambil mendongak mukanya ke atas pokok. Tuala kecil itu dibuka dan ditutup seluruh mukanya. Tapak tangan kanannya diletakkan di atas tuala dan sebelum ditarik tuala itu ke bawah,dipusingnya pada seluruh kulit muka.

“Siapa kata tiada?” Soal Cikgu Munirah kembali. Matanya memandang tepat ke muka Hanafi yang sudah memandangnya dengan wajah yang mula ceria tetapi masih terkejut itu.

“Maksud cikgu…” Hanafi cuba meneka.

“Ya, semuanya jelas. Semua telah selesai,” ujar Cikgu Munirah sambil mengukir senyum.

Hanafi mula tersenyum sama, dia memandang sekelilingnya.

“Benarkah cikgu? Saya tak mimpi?” Hanafi mencubit-cubit pipinya.

“Betul… Allah sentiasa mendengar doa hamba-Nya,” tutur Cikgu Munirah lagi.

“Ini semua ujian Allah pada Hanafi, Allah tak uji dengan ujian yang kita tak mampu hadapinya,” ujar Cikgu Munirah bermotivasi lagi.

“Tapi, macam mana cikgu?” Hanafi masih belum puashati.

“Sebenarnya, pihak sekolah tak pernah menuduh Hanafi. Kami hanya mengambil masa bagi menyiasat dan mengumpulkan bukti,” Cikgu Munirah membetul-betulkan tudungnya.

“Kata Cikgu Siti, dia yang minta Hanafi masuk ke Kelas 6 Kekwa bagi mengambil begnya yang tertinggal,” sambung Cikgu Munirah.

“Apa yang penting, pengakuan Nadia,” tekan Cikgu Munirah dan membiarkan Hanafi berteka-teki.

“Pengakuan Nadia?” Soal Hanafi sedikit terkejut.

“Kami tak fikir Hanafi yang curi anting tu. Semua guru yang pernah mengajar Hanafi juga sependapat. Kami telah siasat dari A hingga ke Z,” jelas Cikgu Munirah lagi.

“Apa yang Nadia telah lakukan cikgu?” Soal Hanafi tidak sabar.

Cikgu Munirah mengulum senyum. Hanafi dilihat bagai cacing kepanasan.

“Nadia mengaku yang dia cuai. Dia yang tersalah masukkan anting tu ke dalam beg Hanafi. Katanya, pada masa tu dia gementar dan berasa terlalu cemas. Ada sesuatu yang baru berlaku padanya,” cerita Cikgu Munirah.

“Nadia kenapa, cikgu?” Hanafi masih terpinga-pinga.

“Hahaha… masalah orang perempuan la Hanafi,” tubuh Cikgu Munirah terhinggut-hinggut, dia ketawa sampai merah mukanya.

Hanafi hanya melihat Cikgu Munirah ketawa, benaknya masih diasak tanda tanya.

“Apa-apapun, yang mustahak Hanafi tidak bersalah. Hanafi kena balik ke sekolah, UPSR dah hampir sangat,” ujar Cikgu Munirah sebaik ketawa reda.

“Saya hairan la cikgu, macam mana cikgu tahu saya kat sini?” Tanya Hanafi kemudiannya sambil mengerutkan dahinya.

“Cikgu dah pasang siap-siap alat pengesan kat badan Hanafi,” gurau Cikgu Munirah disambut dengan gelak tawa mereka berdua.

“Itu tak penting, yang penting sekarang cikgu mahu Hanafi tumpu pada UPSR. Banyak yang Hanafi sudah ketinggalan.” Cikgu Munirah tidak henti-henti memberi nasihat.

 “Cikgu mahu Hanafi berjaya,” Cikgu Munirah menyambung lagi.

Alangkah mulianya hati guru kelasnya ini. Memang sempurna Allah jadikan raut wajahnya yang cantik, secantik hatinya.  Usianya yang sudah menjangkau awal 50-an itu langsung tidak dapat digambarkan melalui wajahnya yang putih bersih itu. Ibu yang sudah mempunyai tiga orang cahaya mata itu masih lawa walaupun tanpa sebarang sentuhan alat solek. Tidak hairanlah anak perempuannya yang bongsu, Nur Liyana selalu menjadi usikan ramai murid. Itu yang terdetik di hati Hanafi ketika ini.

Cikgu Munirah mengangkat tangan kanan sambil membengkokkan siku, matanya ditumpukan ke muka jam yang melekat di pergelangan tangannya.

“Oh! Dah hampir pukul 1.00 tengah hari, cikgu kena balik ke sekolah dulu. Ingat tu, Hanafi. Esok mesti ke sekolah.” Cikgu Munirah mengingatkan lagi sambil bangun dan melangkah ke keretanya.

Ketika kereta Cikgu Munirah bergerak meninggalkan Hanafi, ada sesuatu yang turut ditinggalkannya sama. Hanafi dapat rasakan itu,semakin lama semakin kuat.

“Betul cakap cikgu, Allah sentiasa mendengar doa hamba-Nya,” getus hati kecil Hanafi sendirian. Mulutnya mula mengukir senyum dan tidak putus-putus mengucap syukur kepada Allah.

 

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan