Home Novel Kanak-kanak SAYA BUKAN PENCURI
SAYA BUKAN PENCURI
Mat Lawi Hassan
19/12/2019 12:06:52
58,876
Kategori: Novel
Genre: Kanak-kanak
Bab 5

PONTENG SEKOLAH

 

“Razak... aku rasa aku nak cari kerja la,” ujar Hanafi sambil membaling seketul batu ke dalam sungai.

Deruan angin di celah-celah rumpun buluh di tebing Sungai Pak Din itu jelas kedengaran. Di sinilah mereka berdua selalu menghabiskan masa pada sebelah petang dan hari-hari cuti.

“Apa? Kau dah gila? Sekolah macam mana?” Bentak Razak yang seakan mengerti dengan maksud sahabatnya itu.

“Aku rasa, aku dah tak ada tempat di sekolah tu,” luah Hanafi perlahan.

“Aku dapat rasakan yang semua mata mengejek dan mengutuk aku,” Hanafi tunduk, dipandang selipar jepun di kakinya. Sudah lusuh dan hampir putus getahnya.

“Aku tahu kau kuat. Kau tabah Pi. Kau boleh lalui semuaini.” Pujuk Razak.

Inilah kali pertama Hanafi mendengar sesuatu yang ‘karen’ keluar dari mulut Razak. Apa yang selalu didengarnya, asyik melawak sahaja.

“Aku tak sanggup lagi Razak, hari-hari aku mendengar orang mengumpat pasal aku. Orang memperli aku. Orang memulau aku. Aku rasa teramat malu. Malu sangat-sangat.” Hanafi mengangkat muka dan menghala ke arah sungai. Kemudian, mereka sama-sama bertinggung di tebing sungai.

“Kau dah beritahu ayah dan mak kau?” Soal Razak.

“Aku tak akan beritahu. Kau tolong rahsiakan… ya, aku percaya pada kau, tolong…” Pinta Hanafi sambil menemukan kedua tapak tangan di aras dadanya.

“Tapi… Sampai bila?” Soal Razak lagi.

“Sampai bila-bila, sampai mereka tahu sendiri nanti.” Ujar Hanafi.

Razak mengeluh. Kemudian dipandang sahabatnya itu.

“Kalau Cikgu Munirah tanya, macam mana?” Tanya Razak lagi.

“Kau cakap aje kau tak tau.” Balas Hanafi.

“Tapi… Aku yakin Pi, kes kau akan selesai… Kau juga kata kau tak takut kerana kau benar.” Protes Razak lagi.

“Benar Razak, tapi itu dulu,” Hanafi menelan liurnya.

“Sekarang, aku sendiri dah tak yakin dengan diriku.”Jelas Hanafi lemah.

“Maksud kau, kau memang salah. Kau yang ambil anting tu?” Soal Razak lagi.

“Bukan begitu maksud aku. Aku tak akan mengaku salahbagi perkara yang aku tak buat.” Ujar Hanafi.

“Habis tu?”

“Aku tak yakin cikgu-cikgu akan percaya pada aku, aku dapat rasakan yang aku akan dipersalahkan.”

“Doa Pi, doa… Allah Maha Mendengar, bukankah itu nasihat Cikgu Munirah pada kau dua hari lepas.” Razak cuba mengingatkan Hanafi.

Hanafi mengangguk-angguk. Cikgu Munirah, guru kelasnya itu sungguh baik hati. Selalu memberi kata-kata semangat kepadanya. Sering menolongnya dalam banyak perkara. Cikgu inilah juga yang tolong menjelaskan bayaran PIBG sebanyak RM150.00 ketika Hanafi dalam kebuntuan.

“Sehingga ke hari ini, aku tak pernah berhenti berdoa Razak. Aku akan berdoa dan terus berdoa.” Balas Hanafi sambil menahan air mata dari terus keluar.

“Cuma aku tak sanggup hari-hari berdepan dengan orang-orang macam Fauzi dan Khairul. Aku takut aku hilang sabar.” Tegas Hanafi sambil menarik sebatang pokok kemuncup di hadapannya. Kemudian diletakkan ke mulutnya.

“Pedulikan…” Pintas Razak memujuk.

“Kau tengok batu tu,” Tunjuk Hanafi ke arah seketul batu besar yang berada di dalam sungai.

“Haaa… ngapa dengan batu tu pulak?” Soal Razak sambil memandang Hanafi.

“Nampak tak belakang batu tu, tau ngapa kat bawah kecik dari kat atas?” Soal Hanafi macam lagak seorang guru geografi.

“Amboiii… macam professor.” Perli Razak.

“Sebab selalu diterjah air sungai tu,” Terang Hanafi cuba berfalsafah.

“Akupun kalau selalu sangat diejek, mahu hilang jugak sabarnya.” Gumam Hanafi lagi.

“Terpulanglah pada kau Pi, tapi kau nak kerja kat mana?”Soal Razak apabila dilihatnya Hanafi sudah nekad dengan keputusannya.

“Aku dah tanya Uncle Murali, dia bagi aku kerja tempat dia bila-bila masa aku mahu.” Jawab Hanafi jujur.

“Bekerja di stor yang membeli dan menjual barang-barang terpakai tu?” Razak cuba mendapatkan kepastian.

Hanafi mengangguk-angguk perlahan. Sekurang-kurangnya aku tidak bazirkan masa, dapat juga wang untuk aku bantu keluarga.

“Tapi Pi, kita terlalu muda untuk semua ni.” Razak masih tidak bersetuju.

“Aku tiada pilihan lain,” sahut Hanafi sambil membuang batang kemuncup yang sudah lama berada di bibirnya.

“Aku tak setujulah Napi.” Razak menggeleng.

“Itu saja peluang yang aku ada sekarang Razak… Biarlah aku belajar cara orang niaga pulak. Mula-mula kerja, kumpul wang sikit-sikit,lepas tu beli barang-barang lusuh, jual…” Hanafi mula berangan.

“Dah… dah… Kau dah macam Mat Jenin aku tengok.” Pintas Razak.

“Apa yang aku nampak, kau mesti teruskan sekolah rendah kau. Periksa UPSR dulu, masuk sekolah menengah, masuk universiti…” Belumpun sempat Razak menghabiskan omelnya, Hanafi sudah terjun ke dalam sungai.

“Hoi! Kurang asam…” Laung Razak terkekeh-kekeh sambil melompat masuk ke sungai.

Hanafi sudah bertenggek di atas batu besar. Razak masih berenang, menyelam dan berenang. Itulah kerja mereka di hujung minggu kalau tidak bermain bola. Kadangkala mereka juga memancing ikan atau udang.

Mereka akan lupa sekejap tentang masalah yang sedang mereka hadapi. Mereka akan bersantai sehingga perut berkeroncong. Mereka tidak akan berhenti mandi selagi kulit tangan masih tidak mengecut. Mereka akan terus menyelam dan berenang sehinggalah tubuh mereka mula mengigil kesejukan.

 

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan