Home Novel Kanak-kanak SAYA BUKAN PENCURI
SAYA BUKAN PENCURI
Mat Lawi Hassan
19/12/2019 12:06:52
60,211
Kategori: Novel
Genre: Kanak-kanak
Bab 8

DI MANA ADA USAHA DI SITU ADA KEJAYAAN

 

Perhimpunan pagi ini begitu bererti bagi Hanafi, masakan tidak dia seolah-olah terlepas dari hukuman penjara seumur hidup. Wajah Guru Besar semasa menyampaikan amanat pada pagi ini begitu garang sekali. Dia banyak bercakap pasal disiplin sekolah di kalangan murid-murid. Dia juga menyentuh soal pencapaian sekolah dalam akademik dan sukan. Dia telah mengambil contoh peristiwa yang terpaksa dilalui oleh Hanafi.

“Cikgu tak mahu peristiwa yang menimpa seorang murid di kalangan kita ini berulang lagi. Disebabkan kecuaian yang boleh dielakkan,murid ini menjadi mangsa tohmahan. Dia menjadi mangsa ejekan. Akibatnya, dia tertekan dan berlakulah perlanggaran peraturan-peraturan sekolah yang lain,”omel Guru Besar sambil menggerak-gerakkan kedua tangannya ke atas dan ke bawah.

Nadia yang berada di barisan tengah kelihatan tunduk.Hanafi juga tunduk. Tiada satu suara pun kedengaran pada masa ini kecuali suara Guru Besar sedang berucap.

“Di sini cikgu nak ulang sekali lagi, memakai perhiasan ke sekolah adalah satu kesalahan. Lebih-lebih lagi perhiasan itu sangat berharga seperti emas. Mana-mana murid yang didapati melanggar peraturan ini,tindakan disiplin akan diambil. Faham tak?” Suara Guru Besar lantang bergema melalui pembesar suara dan disahut serentak oleh murid-murid yang berdiri menghadap teniat.

“Faham, cikgu…”

Perhimpunan yang mengambil masa hampir setengah jam telahpun selesai. Belum sempat Hanafi dan Razak menggerakkan langkahnya, nama Hanafi dipanggil dari belakang. Semasa Hanafi memusingkan badannya, Nadia sudah menghampiri mereka.

“Maafkan aku Hanafi, sebenarnya aku tak sengaja,” luah Nadia gementar.

“Okey, aku maafkan. Lagipun semuanya dah selesai.” Balas Hanafi sambil mengulum senyum.

“Tapi… ngapa baru sekarang kau mengaku yang kau silap letak? Ngapa tak beritahu awal-awal?” Sampuk Razak yang mula meniru-niru gaya seorang peguam yang berhujah di dalam mahkamah.

“Aku keliru. Lagipun ia berlaku terlalu pantas,” jawab Nadia perlahan.

“Sebelum itu, aku ikut mak aku pergi makan kenduri. Aku lupa nak tanggalkan anting-anting tu semasa ke sekolah. Ketika aku hendak ke tandas  pada waktu Pendidikan Jasmani tempoh hari, baru aku teringat.” Sambung Nadia dengan kesal.

“Mungkin kerana pada masa tu aku terlalu terburu-buru,dan… aku tak sangka anting-anting tu boleh terjumpa dalam beg Hanafi.” Ujar Nadia lagi.

Hanafi teringatkan cerita Cikgu Munirah semasa dekat Stor Uncle Murali tempoh hari. 

“Sebenarnya, apa yang berlaku pada kau pada hari tu? Sampai kau panik semacam. Kau sakit perut ya?” Tanya Hanafi masih tidak mengerti.

“Memang la  aku sakit perut, tapi… yang buat aku cemas sebab itu pengalaman pertama aku datang haid.” Jelas Nadia tersipu-sipu malu.

Hanafi dan Razak berpandangan. Masing-masing sedang menahan ketawa.

 “Aku betul-betul rasa bersalah, maafkan aku ya,” pinta Nadia dengan nada suara menahan sebak.

“Aku dah maafkan kau. Tak usahlah kau sedih lagi.” Pujuk Hanafi.

Mereka kemudian sama-sama melangkah ke kelas. Belumpun sempat Hanafi meletakkan punggungnya ke kerusi, Khairul dan Fauzi sudah meluru ke hadapannya.

“Napi, aku pun nak minta maaf sama. Aku tahu banyak yang aku dah sakitkan hati kau.” Suara Fauzi tercungap-cungap.

“Aku pun sama Napi.” Sampuk Khairul.

Hanafi tersenyum lebar sambil mengangguk-angguk.Rupa-rupanya banyak pengajaran yang diperolehinya dari semua yang menimpa dirinya. Dia sudah mendapat ramai kawan. Dia semakin yakin dengan diri sendiri.Kemiskinannya tidak lagi mematahkan semangatnya untuk berjaya kerana dia dapat rasakan yang dirinya mula dihargai oleh semua.

“Kepada loyar dua puluh persen ni, kau tak mahu minta maaf ke?” Celah Razak tiba-tiba.

Mereka berempat ketawa mengekeh-ngekeh.

“Kau ni macam-macam la Razak,” ujar Hanafi.

“Ya lah…Ya lah, kami mohon maaf. Kami berjanji tak akan ulangi lagi,” tutur Khairul dan Fauzi serentak, umpama lebah membuang sengat.

Selang beberapa minit, kelihatan Cikgu Munirah melangkah masuk ke dalam kelas. Seperti hari-hari yang lepas kedatangan murid-murid direkodkan.  Cikgu Munirah tersenyum puas, semua murid kelas jagaannya hadir. Kemudian dia mengangkat mukanya dari Buku Rekod Kedatangan Murid dan memandang ke arah murid-murid.

“Cikgu ada satu pengumuman yang hendak di buat. Guru Besar arahkan supaya semua murid Tahun 6 dipecahkan kepada beberapa kumpulan.Kumpulan ni dikenali sebagai ‘Study Group’. Ahli kumpulan ni mesti ada murid lelaki dan ada murid perempuan,” beritahu Cikgu Munirah.

“Ahli-ahli kumpulan telah ditentukan oleh cikgu sendiri.Tiap-tiap kumpulan mesti membuat perjumpaan sekerap yang boleh bagi membincangkan soalan-soalan contoh UPSR yang akan diberikan kelak.” Terang Cikgu Munirah lagi.

“Ada apa-apa soalan?” Tanya Cikgu Munirah.

“Macam mana tentang tempat perjumpaan cikgu?” Soal Malik.

“Di mana-mana yang difikirkan baik dan boleh dihadiri oleh semua ahli kumpulan. Di sekolah, di rumah atau di mana-mana tetapi mesti dipastikan ianya selamat,” ujar Cikgu Munirah.

“Apa yang pasti, jika kita semua berusaha tak dikira di mana sahaja… di situ tentu ada kejayaan,” sela Cikgu Munirah.

“Di mana ada usaha, di situ ada kejayaan,” bisik Razak ke telinga Hanafi.

Hanafi tergelak.

“Eh, bukankah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan?”ujar Hanafi.

“Memang la, kalau ada kemahuan baru ada jalan tapi kalau ada kemahuan tak ada usaha mana boleh berjaya?” Tempelak Razak.

“Memang betul la kau ni loyar,” ujar Hanafi lagi.

Loyar buruk,”pintas Razak.

Mereka berdua ketawa terkekeh-kekeh.

“Okey kelas, senarai nama ikut kumpulan ni saya serahkan pada Malik,” Cikgu Munirah mengangkat kertas putih yang berada di tangannya.

“Nanti Malik, awak tampal  di depan ni,” ujar Cikgu Munirah, tangan kanannya ditunjukkan ke arah pintu depan kelas.

“Satu lagi, cikgu harap semua masih ingat ya. Bulan depan murid-murid Tahun 6 akan ada Peperiksaan Percubaan UPSR. Jadi cikgu hendak kamu semua mengulangkaji,” pinta Cikgu Munirah sambil bangun dan melangkah keluar kelas.

“Hey Napi, kau rasa aku ni sesuai tak jadi loyar?” Soal Razak tiba-tiba.

“Sesuai sangat,” sahut Hanafi sambil ketawa terkekeh-kekeh.

“Aku sungguh-sungguh ni…” renta Razak.

“Akupun beritahu yang sungguh-sungguh juga, ngapa kau nak jadi loyar pulak?”

“Aku dah mula minat la,” sahut Razak sambil tergelak-gelak.

“Aku doakan kau berjaya dengan cita-cita kau tu,”

“Amin…” Sahut Razak sambil menadah kedua tangan dan kemudian diletakkan ke mukanya.

“Kau pulak Pi,” soal Razak sambil menyiku pinggang Hanafi.

“Aku sedang fikir UPSR ni.”

“Ngapa pulak?”

“Ya la, aku takut.”

“Aku pun sama, tapi yang penting kita telah berusaha,” tegas Razak sambil menegakkan tangan kanannya.

“Di mana ada usaha, di situ ada kejayaan,” gurau Hanafi perlahan.

“Tahupun kau.”

Mereka sama-sama tergelak. Nadia yang berada di sebelah mereka memandang sambil menggeleng-geleng dan turut tersenyum.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan