Home Novel Kanak-kanak SAYA BUKAN PENCURI
SAYA BUKAN PENCURI
Mat Lawi Hassan
19/12/2019 12:06:52
60,204
Kategori: Novel
Genre: Kanak-kanak
Bab 6

KASIH SEORANG GURU

Sudah masuk dua minggu Hanafi tidak hadir  ke sekolah. Cikgu Munirah yang masih terpacak di kerusi guru membelakangkan papan hijau itu mula mengangkat muka dan memandang ke sekeliling kelas. Razak hanya memerhati dari jauh. Dia tahu, guru kelasnya ini tentu mencari Hanafi. Semenjak Hanafi tidak datang ke sekolah,dialah yang mejadi kaunter pertanyaan semua guru. Terutamanya Cikgu Munirah.

“Razak! Hanafi tak datang lagi er?”

“Entah la cikgu,” sahut Razak.

Sebelum melangkah keluar kelas, Cikgu Munirah sempat memanggil Razak.

“Tolong bawa buku latihan ni ke Bilik Guru, boleh?”Pinta Cikgu Munirah.

Razak mengangguk-angguk dan kemudian mengangkat susunan buku latihan yang berwarna koko dari atas meja guru. Sebelum mereka sampai ke Bilik Guru, Cikgu Munirah mengarahkannya supaya berhenti dan duduk sekejap di bawah pondok rehat.

Cikgu Munirah memandang Razak sambil mengulum senyum. Memang terjelas sifat keibuan yang ada pada gurunya ini.

“Awak pandang mata cikgu dalam-dalam… Razak,” pinta Cikgu Munirah.

Razak serba salah, dia hanya tersengih dan mula mengaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Cikgu tahu awak tak cakap benar dengan cikgu,” Cikgu Munirah mula meneka.

“Awak kena anggap cikgu seperti ibu awak, awak pernah bohong dengan ibu awak?” Tanya cikgu yang berusia awal 50-an itu lagi.

Razak hanya membungkamkan diri. Dia tidak berani menjawab.

“Menipu berdosa tau,” sambung Cikgu Munirah lagi.Kata-katanya lembut dan penuh santun.

Razak hanya mengangguk-angguk. Mulutnya terasa berat untuk mencari helah bagi menyembunyikan sesuatu yang Cikgu Munirah patut tahu.

“Okey la, kalau awak sayangkan kawan awak tu, awak kena bagi tau cikgu kenapa dia tidak datang sekolah. Dan… di mana dia pada waktu persekolahan,” soal Cikgu Munirah dengan penuh santun bagaikan seorang ibu memujuk anak kecilnya makan.

Razak semakin serba salah. ‘Di telan mati emak,diluahkan mati bapa’ itulah keadaan Razak pada ketika ini. Kalau dia bercakap benar bererti dia mungkir janji pada Hanafi. Tetapi jikalau dia berbohong dia telah berdosa pada cikgunya, malah pada tuhan juga.

“Razak, kita sama-sama nak tolong Hanafi. Cikgu pun nak tolong dia, cikgu anggap kamu semua macam anak-anak cikgu sendiri,” pujuk Cikgu Munirah lagi.

“Razak… Cikgu tau kamu kawan karib Hanafi. Cikgu tau kamu sembunyikan sesuatu tentang Hanafi dari cikgu, jadi kalau kamu rasa kamu kawan sejatinya kamu pasti tolong dia,” ujar Cikgu Munirah.

“Tapi… tapi… saya dah berjanji dengannya cikgu,” jelas Razak perlahan.

“Tapi janji kamu itu bukan untuk kebaikan, jadi tiada manfaatnya,” terang Cikgu Munirah.

“Baik… baiklah cikgu,” balas Razak mengalah.

“Haaa… macam tu la, nanti kita sama-sama selesaikan masalahnya,” sambut Cikgu Munirah sambil tersenyum. Dia kelihatan menarik nafas. Lega dengan kerjasama yang diberikan Razak yang berada di hadapannya itu.

“Tapi cikgu…” celah Razak lagi.

Cikgu Munirah kembali merenung Razak, dia kagum dengan anak muridnya ini. Sungguhpun selalu melawak di dalam kelas dan gemar membuat murid-muridlain ketawa tetapi masih pintar di dalam pelajaran. Dia dan Hanafi tergolong dalam senarai nama pelajar ‘target’ bagi UPSR tahun ini. Apa yang lebih istimewa tentang anak muridnya ini adalah sikap setiakawannya.

“Ya…” sambut Cikgu Munirah ringkas.

“Cikgu jangan beritahu mak dan ayahnya, itu pesan Hanafi pada saya,” pinta Razak .

“Baiklah, cikgu akan jumpa Hanafi dahulu,” ujar Cikgu Munirah.

Razak menarik nafas lega, sekurang-kurangnya sudah ada orang dewasa yang akan memujuk Hanafi. Dia yakin, Cikgu Munirah mampu lakukan semua itu kerana sikapnya yang mesra dan selalu mengambil berat tentang masalah murid-murid. Di dalam hatinya turut berdoa agar ditunjukkan Allah kebenarannya.

            “Cikgu…” Razak masih tidak puashati.

            Cikgu Munirah kembali memandang ke muka Razak. Dia tahu anak muridnya ini masih ragu-ragu.

            “Macam mana kalau Hanafi masih berkeras…” masih ada kerisauan di dalam hati Razak.

            “Insya-Allah, saya yakin dia akan setuju,” sela Cikgu Munirah yang memang murah dengan senyuman itu.

            “Okey le Razak,awak tolong bawa buku-buku ni dan letakkan ke atas meja saya di Bilik Guru,” pinta Cikgu Munirah sambil bangkit.

            “Baik cikgu,” Razak mencapai susunan buku latihan dan mula melangkah.

“Terima kasih Razak,” ungkap Cikgu Munirah sebelum Razak terkocoh-kocoh ke Bilik Guru.

            “Sama-sama cikgu” Balas Razak yang sempat menoleh ke arah Cikgu Munirah
Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan